Siti Nurkhalida Binti Md Ariff Universiti Utara Malaysia (UUM) [email protected]
Phat A/L Awang Deng Universiti Utara Malaysia (UUM)
[email protected] Yusniza Yaakub
Universiti Utara Malaysia (UUM) [email protected]
ABSTRAK
Adat dan budaya suatu ketika dahulu meletakkan wanita Melayu dalam kemunduran. Perbezaan biologi menyebabkan kaum wanita dieksploitasi dan didiskriminasi sejak zaman berzaman.
Perbezaan antara dunia lelaki dan wanita sering kali menimbulkan fenomena yang tidak dapat diselesaikan. Namun begitu, sekitar dekad 1980-an sastera Melayu mula mengetengahkan sastera feminisme. Sastera feminisme bertujuan untuk mendidik masyarakat. Di Malaysia, dengan mengetengahkan isu yang berbeza dengan barat kebanyakan pengkarya telah menyelitkan budaya Islam dalam karya mereka. Dalam Islam, tiada pembahagian darjat antara lelaki dan wanita. Selain itu, teks-teks kesusasteraan di sekolah didapati turut mengandungi sastera feminisme. Oleh itu, kajian ini ingin mengenal pasti unsur-unsur feminisme yang diterapkan dalam teks-teks kesusasteraan persekolahan bagi membantu bentuk keperibadian remaja perempuan. Kajian berbentuk kualitatif ini akan menggunakan kaedah analisis kandungan sebagai reka bentuk kajian.
Unsur feminisme dalam teks kesusasteraan yang dikaji akan dianalisis dengan menggunakan Teori Feminisme. Hasil kajian mendapati, nilai-nilai feminisme yang terdapat dalam puisi yang dikaji dapat mendidik dan mengubah persepsi kendiri remaja perempuan. Penerapan unsur-unsur feminisme dalam karya feminis dapat membuka mata mereka untuk melihat jauh lebih ke hadapan supaya suatu hari nanti mereka dapat menjadi wanita yang berani, tegas dan mempunyai pendirian yang teguh.
Kata Kunci: Feminisme, Puisi Melayu, Remaja perempuan, Komsas
PENGENALAN
Feminisme merupakan satu gerakan yang memperjuangkan hak dan kedudukan dengan menentang kezaliman patriaki. Hal ini bertujuan untuk melahirkan dunia wanita yang sejahtera, bahagia dan bermaruah (Mana Sikana, 2021). Feminisme di Malaysia berbeza dengan unsur feminisme di barat.
Mohamad Saleeh Rahamad (2021) mengatakan bahawa di Malaysia, pengarang membawakan perjuangan feminisme dengan melihat kepada aspek budaya ketimuran di Malaysia. Pengarang atau penyair di Malaysia biasanya berkarya secara berhemah, selaras, dan menyerlahkan tuntutan budaya dan agama Islam. Di Malaysia, penulis wanita dan lelaki masing-masing memainkan peranan dalam mengangkat perjuangan serta taraf wanita. Isu sastera feminisme melibatkan kemanusiaan dan perlu untuk mendidik masyarakat sepanjang zaman (Iqbal Hidayat Hamizul, 2021).
Unsur feminisme boleh dikesan dalam pelbagai bidang pengajian dan disiplin ilmu, termasuk bidang kesusasteraan seperti puisi dan prosa. Dalam konteks ini, pantun Melayu misalnya banyak juga menyerlahkan unsur feminisme (Siti Khariah Mohd Zubir, 2012). Berdasarkan kecenderungan itu, kajian ini meneliti dan menemui bahawa teks-teks kesusasteraan yang digunakan di sekolah mengarapkan pelbagai persoalan berhubung keadaan atau kesedaran tentang feminisme dalam masyarakat. Oleh itu, kajian menelusuri unsur-unsur feminisme dalam teks-teks kesusasteraan di sekolah sebagai cetusan atau dorongan kesedaran mampu membentuk keperibadian remaja perempuan. Kajian ini memfokuskan kepada puisi moden yang terkandung dalam teks sastera sekolah menengah yang digunakan di seluruh Malaysia pada tahun 2000 sehingga kini. Beberapa buah puisi yang mengetengahkan unsur feminisme antaranya ialah pada sekuntum mawar, wanita zaman ini, aku menjadi lebih berani, tiba waktunya, pesan ibu beribu-ribu dan pesan lelaki kecil kepada gadis kampus
SOROTAN KAJIAN LITERATUR
Feminisme seringkali diperkatakan dalam karya sastera di negara ini, misalnya kajian yang dijalankan oleh Siti Nur Izzaty Salit dan Norsimah Mat Awal (2017). Kajian ini melihat kepada unsur-unsur feminisme dalam peribahasa Melayu. Kajian yang mengkaji peribahasa dalam buku Peribahasa Melayu: penelitian makna dan nilai ini mendapati, sebanyak 17 daripada 5489 peribahasa mengandungi unsur feminisme. Hasil kajian menunjukkan bahawa sememangnya unsur feminisme sudah diberikan perhatian dalam kalangan masyarakat Melayu pada zaman dahulu, cuma jumlahnya tidak dominan kerana pada ketika itu kaum wanita dianggap golongan yang kedua selepas lelaki. Justeru itu, feminisme hanya didapati secara implisit melalui penggunaan metafora yang tinggi dalam peribahasa Melayu. Selain itu, kajian ini juga mendapati bahawa sudut pandang terhadap wanita juga tidak hanya ditumpukan kepada ruang lingkup yang negatif sebagaimana yang didapati oleh kajian-kajian lepas, tetapi wanita juga turut ditonjolkan secara positif dalam peribahasa Melayu seperti wanita yang telah berjaya meningkatkan taraf atau kualiti hidup mereka.
Selain itu, kajian lain yang melihat unsur feminisme dalam karya sastera melibatkan hal berkaitan emansipasi wanita dalam novel-novel Melayu terpilih dari tahun 1960-an hingga 1990-an telah dijalankan oleh Nurhasmira Mat Rusok, Roslina Abu Bakar, Arbai’e Sujud dan Rozita Mohamed Noor (2019). Kajian tersebut juga menggunakan teori feminisme Cheri Register untuk membincangkan mengenai empat buah novel iaitu Badai, Sebelum Penghujongnya Musim, Di tengah Kabus dan Jaringan. Hasil kajian mendapati persoalan emansipasi wanita diperlihatkan secara lantang dengan berpandukan ajaran Islam. Antara kebebasan yang dituntut oleh wanita ialah ruang untuk menentukan jalan hidup sendiri, kerjaya, kebebasan menuntut ilmu, kebebasan fizikal dan minda serta pandangan negatif masyarakat. Emansipasi wanita dari sudut sosial dapat dilihat dari penjelasan teori kritikan feminisme Cheri Register yang menimbulkan kesedaran dan pengetahuan untuk memahami dan menghayati nasib sebenar yang ditempuhi oleh kaum wanita.
(Nurhasmira Mat Rusok, Roslina Abu Bakar, Arbai’e Sujud Rozita dan Mohamed Noor, 2019).
Selain itu, kajian Elizatul Nataysah Kamaruddin & Mohd Zariat Abdul Rani (2017) juga turut membincangkan mengenai unsur feminisme dalam karya sastera. Kajian ini melihat kepada watak Fatimah yang terkandung dalam cerpen-cerpen karya Hamzah Hussin iaitu Perempuan gusti dan Fatimah kahwin dengan menggunakan prinsip taklif dalam ajaran Islam. Hasil kajian mendapati bahawa watak Fatimah dalam kedua-dua cerpen yang dikaji menunjukkan tentang wanita Melayu yang menyanggah dengan syariat Islam seperti tidak menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan dan menganggap pemakaian tudung kepala bertentangan dengan naluri semula jadi wanita serta menghalang kemodenan seorang wanita.
METODOLOGI
Kajian yang dijalankan ini berbentuk kualitatif dengan menggunakan kaedah analisis kandungan sebagai reka bentuk kajian. Data akan dianalisis dengan menggunakan kerangka feminisme untuk melihatkan keperibadian wanita yang ditonjolkan dalam puisi-puisi Melayu sebagai satu cara untuk membentuk keperibadian remaja perempuan. Teori feminisme yang diasaskan oleh Cheri Register (1979) dengan beberapa ciri-ciri yang penting (seperti di dalam Nurhasmira Mat Rusok, Roslina Abu Bakar, Arbai’e Sujud dan Rozita Mohamed Nor, 2019) misalnya menyebut bahawa karya feminis sewajarnya menimbulkan kesedaran dengan penonjolan tentang perkembangan kendiri wanita dan juga persepsi terhadap cabaran-cabaran luar sepertimana yang ingin difokuskan dalam kajian ini. Selain itu, karya feminis juga menjadi satu forum yang mendedahkan pengalaman dan nilai hidup wanita secara jujur tanpa mengikut garis panduan lelaki. Ciri yang berikutnya ialah karya feminis juga perlu dapat membantu dalam memberikan persefahaman mengenai pengalaman lelaki dan wanita iaitu dengan menghormati dan memahami pendirian serta pendapat yang sesuai dengan fitrah masing-masing. Seterusnya, karya feminis juga perlu mempunyai role-model yang boleh dicontohi. Unsur-unsur positif seperti wanita yang mempunyai self-actualizing, pandai berdikari serta tidak bergantung sepenuhnya kepada lelaki perlu dimasukkan di dalam karya. Selain itu, ciri lain yang perlu ada dalam karya feminis ialah semangat persaudaraan sesama wanita perlu
ditonjolkan bagi mengambarkan sikap saling bekerjasama, memupuk dan menjalin persaudaraan serta memahami antara satu sama lain.
DAPATAN
Teks-teks puisi Melayu moden yang digunakan di sekolah menengah di Malaysia didapati turut menyelitkan unsur-unsur feminisme. Hal ini dapat ditemukan dalam beberapa buah puisi Melayu moden yang telah digunakan di dalam teks Komsas sejak dari tahun 2000 sehingga 2020. Kajian ini telah mendapati bahawa terdapat beberapa ciri karya feminis yang diterapkan dalam teks-teks puisi Melayu moden antaranya ialah penonjolan role model dalam watak karya untuk dicontohi, karya feminis menjadi sebuah forum yang mendedahkan pengalaman hidup wanita dengan jujur tanpa mengikut garis panduan lelaki dan kerya feminis yang dapat menimbulkan kesedaran kepada wanita dengan memaparkan mengenai perkembangan kendiri wanita dan persepsi terhadap cabaran dari luar.
PERBINCANGAN
Petikan di bawah menunjukkan tentang puisi Melayu moden yang digunakan medium untuk menimbulkan kesedaran kepada wanita iaitu dengan menerapkan kepentingan mencari ilmu kepada kaum wanita. Bagi wanita, ilmu merupakan perkara yang perlu diutamakan dalam kehidupan mereka untuk menghadapi dunia yang penuh dengan cabaran selari dengan peredaran zaman.
Wanita memerlukan ilmu untuk menjaga kehormatan diri, mendirikan rumahtangga, mendidik anak-anak, bergaul dengan rakan-rakan serta menyatakan kebenaran. Menjadi wanita yang berilmu tidak bermaksud menyambung pengajian sehingga ke peringkat tertinggi tetapi mencukupi dengan menuntut dan mempraktikkan ilmu yang ada (Nur Saadah Khair, 2019). Dalam kajian ini, pengkaji mendapati bahawa penyair menekankan kepada menuntut ilmu dengan usaha mencari ilmu melalui pendidikan. Hal ini dapat dilihat melalui penekanan menjadi wanita yang berilmu pengetahuan yang diterapkan dalam puisi-puisi Komsas yang dikaji. Contohnya, dalam puisi berjudul “Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus”, penyair Sazalee Yacob menyatakan:
Kuhantar kau mengecapi angin baru
Udara lain dari kampung bendang kuningmu Bumantara asing dari yang sering kaumerasai Yang sama sekali berbeza
Dengan suasana suntimu
Kaunikmatilah angin dan udara ilmu itu Memesrai azimat dan tangkal
Dari tangga gading
(Sejadah Rindu, 2015, hlm. 16)
Dalam petikan di atas, puisi ini menunjukkan tentang harapan yang ada dalam hati seseorang mengenai seorang gadis yang melanjutkan pengajian ke menara gading untuk menikmati hidup dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Petikan “Bumantara asing dari yang sering kaumerasai/ Yang sama sekali berbeza/ dengan suasana suntimu/ kaunikmatilah angin dan udara ilmu itu” menunjukkan tentang harapan seseorang itu kepada anak gadis yang baru menjejakkan kaki dalam suasana yang jauh berbeza dengan suasana ketika zaman remajanya dan perlu memulakan hidup baru dengan menyesuaikan diri dalam persekitaran yang baru serta memenuhkan diri dan pemikiran dengan ilmu pengetahuan yang dapat diperoleh dari tempat tersebut. Petikan di atas menunjukkan tentang puisi digunakan sebagai medium membicarakan persoalan wanita seperti saranan oleh Cheri Register, iaitu menerapkan kepentingan mencari ilmu kepada kaum wanita.
Selain itu, dalam puisi “Pesan ibu beribu-ribu” karya Rahman Shaari pula turut juga menerapkan kepentingan menuntut ilmu dan menjadi seseorang yang mempunyai ilmu pengetahuan.
Contohnya,
Setiap langkah kita diiringi pesanan ibu
“buat begini jangan begitu Bacalah buku selalu
Kukuhkan diri dengan ilmu’
(Bintang Hati, 2016, hlm. 10)
Petikan di atas menunjukkan tentang karya feminisme yang dapat menimbulkan kesedaran kepada khalayak berdasarkan pendekatan Cheri Register(1979) dengan memaparkan tentang kepentingan bagi seorang wanita itu mengukuhkan dirinya dengan mendalami ilmu melalui pembacaan buku.
Petikan ini menunjukkan tentang pesanan seorang ibu kepada anaknya untuk sentiasa mengukuhkan diri dengan ilmu. Petikan “Bacalah buku selalu/ Kukuhkan diri dengan ilmu”
menunjukkan betapa pentingnya untuk setiap insan itu mempunya ilmu pengetahuan dalam kehidupannya. Ibu sentiasa memikirkan perkara yang terbaik untuk anaknya. Oleh itu, setiap pesanan yang diberikan merupakan nasihat yang sewajarnya dituruti. Melalui petikan ini, dapat dilihat betapa telitinya nasihat seorang ibu yang inginkan anaknya untuk sentiasa berwaspada dalam membuat keputusan yang dilakukan. Hal ini kerana, keputusan yang dilakukan oleh seseorang itu akan dipengaruhi oleh ilmu dan pengetahuan yang dimilikinya. Bagi mengelakkan seseorang daripada membuat keputusan yang memudaratkan diri maka seseorang perlu mengutamakan ilmu pengetahuan dalam hidupnya. Berdasarkan petikan-petikan tersebut dapat dikatakan bahawa setiap insan tidak kira jantina wajib menuntut ilmu dalam apa-apa keadaan sekalipun. Seseorang yang memiliki ilmu akan memiliki adab yang baik. Hal ini kerana, adab dan ilmu itu saling melengkapi antara satu sama lain dan tidak dapat dipisahkan. Tiada gunanya bagi seseorang yang mempunyai ilmu tetapi tidak mempunyai adab yang baik. Adab yang ditonjolkan oleh seseorang menunjukkan ketinggian ilmu yang dimiliki seseorang itu (Hasnizam Hashim, 2020).
Wanita pada zaman ini sudah bebas dalam membuat sebarang keputusan. Mereka bebas memilih pakaian dan bebas bergerak ke mana sahaja. Sekiranya wanita tidak berada dalam keadaan yang selesa atau masih lagi dilayan seperti warga kelas kedua maka mustahil bagi masyarakat tersebut untuk membangun dan hidup aman dan damai. Bagi membina tamadun yang terbaik bagi masa depan maka masalah tersebut perlu diselesaikan (Harun Yahya, 2017). Berdasarkan kajian yang dilakukan, pengkaji mendapati bahawa terdapat unsur feminisme dari segi kebebasan wanita dalam membuat keputusan untuk memilih jalan hidup yang mereka inginkan juga turut diterapkan dalam puisi-puisi Komsas. Sebagai contoh dalam puisi berjudul “Wanita Zaman Ini” (Aladin Mohamad) di bawah:
Wanita zaman ini
Lebih bahagia hidup sendiri
Perkahwinan bagi mereka membatasi pergerakan diri
dan segala aktiviti peribadi bahkan memperjudi nasib diri
di tengah kehidupan lelaki
(Anak Bumi Tercinta, 2002, hlm. 19)
Dalam petikan ini, dapat dilihat terdapat perbezaan sudut pandangan yang diterapkan untuk menunjukkan kebebasan wanita dalam memilih perkara yang ingin dilakukan oleh mereka seperti isu perkahwinan. Petikan “Wanita zaman ini/ Lebih bahagia hidup sendiri” menunjukkan tentang wanita juga sudah mempunyai kebebasan dalam memilih jalan kehidupan mereka untuk tidak berkahwin dan mereka bahagia dengan keputusan tersebut. Remaja perempuan juga akan dapat memikirkan mengenai masa hadapan mereka bukan hanya sekadar untuk berkahwin tetapi memfokuskan kepada perkara yang lebih jauh kehadapan melalui petikan-petikan puisi tersebut sebagaimana yang dinyatakan oleh Cheri Register (1979) iaitu karya sastera dapat dijadikan sebagai medium yang menyediakan role-model kepada remaja perempuan supaya meraka juga menjadi seorang berani dalam membuat keputusan yang melibatkan masa hadapan mereka.
Selain itu, terdapat juga puisi yang dikaji menyarankan agar wanita menjadi lebih berani melakukan perubahan dalam hidupnya dan juga kepada masyarakat. Sebagai contoh dalam puisi berjudul “Tiba Waktunya” (Ghazali Lateh) di bawah,
Wanita zaman siber
Perlu mengacung minda ke tengah arena Suara dan kudratmu adalah pemangkin aspirasi Menuju wawasan era globalisasi
(Harga Remaja,2011, hlm. 24)
Dalam petikan di atas dapat dilihat bahawa puisi digunakan sebagai karya sastera yang menyediakan role-model yang dapat dijadikan panduan untuk diteladani oleh wanita seperti yang dinyatakan oleh Cheri Register (1979) terutamanya bagi remaja perempuan untuk menyedari akan kemampuan diri mereka untuk menyuarakan pendapat. Berdasarkan petikan di atas, penyair menyarankan wanita untuk meyedari akan kemampuan mereka terutamanya dari segi menyuarakan pendapat serta melibatkan diri dengan perkara-perkara yang dapat memajukan diri mereka dan juga masyarakat. Sebagai contohnya petikan “Wanita zaman siber/ Perlu mengacung minda ke tengah arena/Suara dan kudratmu adalah pemangkin aspirasi” menunjukkan bahawa wanita juga mampu untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih maju sekiranya mereka berani menukar persepsi sebelum ini mengenai wanita. Oleh itu, mereka sewajarnya menyedari bahawa diri mereka mampu untuk memilih jalan kehidupan yang mereka inginkan dan bergerak maju seiring dengan kemajuan global. Melalui penerapan unsur feminisme yang mengalakkan wanita untuk menjadi seorang yang mempunyai kebebasan dalam memilih kehidupan yang mereka inginkan diharapkan dapat membantu membentuk remaja perempuan yang mampu membuat keputusan yang terbaik untuk diri mereka dan mementingkan masa depan mereka serta mampu untuk memperjuangkan hak mereka untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik dan berkualiti.
Karya feminis dapat dijadikan sebagai salah satu forum untuk membicarakan mengenai wanita seperti yang dinyatakan oleh Cheri Register (1979). Karya feminis menjadi forum bagi mendedahkan pengalaman serta nilai hidup seorang insan yang bergelar wanita tanpa mengikut garis panduan lelaki. Dalam kajian ini, pengkaji mendapati bahawa isu yang dapat dibicarakan ialah mengenai harga dan maruah diri yang ada pada seorang wanita. Maruah merupakan harga diri yang dimiliki oleh seseorang itu dan maruah perlu dipelihara pada setiap waktu. Seorang individu yang mempunyai kewarasan dalam pemikirannya tidak akan membiarkan dirinya diperlakukan sewenang-wenangnya oleh orang lain. Maruah diri dapat dipelihara dengan sebaiknya dengan tidak membiarkan diri terjebak dengan perkara yang boleh menjatuhkan maruah diri (Mohd Shahrizal Nasir, 2018). Penerapan unsur feminisme yang menerapkan supaya remaja perempuan menjaga maruah diri mereka juga dapat ditemukan dalam beberapa puisi yang dikaji. Sebagai contoh dalam puisi berjudul “Pada Sekuntum Mawar” (Mahwa Mohamed) di bawah:
Sekuntum mawar
Bukan melontar harum indahmu Di hujung lembah
Tapi mengangkat seri mahkotamu Ke puncak iman
(Baik Budi, Indah Bahasa, 2016, hlm. 30)
Petikan ini menunjukkan tentang pentingnya anak gadis menjaga maruah diri mereka dan tidak terjebak dengan hal-hal yang dapat membuatkan diri mereka hilang harga diri. Hal ini dapat dilihat apabila penyair mengajak anak gadis untuk sentiasa menjaga maruah diri mereka terutamanya
dengan menjaga kehormatan diri mereka. Petikan “Sekuntum mawar bukan melontar harum indahmu/ Di hujung lembah” merujuk kepada sikap anak gadis yang sewajarnya menjaga diri mereka agar tidak terjebak dengan perkara-perkara yang dapat merosakkan diri mereka.
Selanjutnya, petikan “Tapi mengangkat seri mahkotamu/ Ke puncak iman” menunjukkan tentang harapan yang dibawakan oleh penyair kepada setiap anak gadis untuk sentiasa menjaga maruah diri mereka sebaik-baiknya mengikut ajaran agama.
Selain itu, unsur feminisme yang menganjurkan remaja perempuan supaya menjadi wanita yang menjaga maruah dan kehormatan diri juga dapat ditemukan dalam puisi yang berjudul “Pesan Ibu Beribu-ribu” (Rahman Shaari) seperti di bawah:
Ibu yang satu menyekat kita di pintu Bertanya ke mana arah tuju
‘Jagalah diri selalu
di luar sana mungkin bencana menunggu’
(Bintang Hati, 2016, hlm. 10)
Petikan ini menunjukkan tentang karya feminis yang menjadi forum kepada wanita seperti yang dinyatakan oleh Cheri Register (1979). Penyair menyampaikan pesanan seorang ibu kepada anaknya supaya tidak tersalah dalam memilih jalan hidup sehingga menggadaikan maruah dan kehormatan diri. Petikan “Jagalah diri selalu/ Di luar sana mungkin bencana menunggu”
menunjukkan tentang amaran yang perlu diambil berat oleh setiap remaja supaya tidak membuat keputusan yang mungkin akan disesali seumur hidup. Setiap keputusan yang dilakukan akan memberikan kesan di masa hadapan seseorang itu justeru itu sewajarnya mereka menjaga maruah dan kehormatan diri mereka dengan sebaiknya kerana bagi remaja perempuan maruah dan kehormatan diri yang sudah tercemar akan memberikan kesan yang mendalam dalam kehidupan mereka.
PENUTUP
Kesimpulannya, puisi-puisi Komsas yang dikaji mempunyai ciri-ciri karya feminis seperti yang telah dicadangkan oleh Cheri Register (1979). Karya-karya feminis ini bertujuan untuk melahirkan generasi wanita yang lebih berilmu pengetahuan, mempunyai kebebasan dalam menentukan hidup serta pada masa yang sama turut menjadi wanita yang mempunyai maruah diri serta menjaga kehormatan diri mereka. Penerapan unsur-unsur feminisme dalam karya feminis dapat membuka mata mereka untuk melihat jauh lebih ke hadapan supaya suatu hari nanti mereka dapat menjadi wanita yang berani, tegas dan mempunyai pendirian yang teguh. Diharapkan pada masa hadapan karya feminis masih lagi diketengahkan dalam bidang kesusasteraan sebagai salah satu usaha untuk mendidik keperibadian remaja perempuan ke arah yang lebih baik.
RUJUKAN
Adnan Abd. Majid. (Ed.). (2002). Anak Bumi Tercinta. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Azizah Saliman & Zaiton Saad. (Ed.). (2015). Sejadah Rindu. Selangor: Sasbadi Sdn. Bhd
Elizatul Nataysah Kamaruddin & Mohd. Zariat Abdul Rani. (2017). Wanita menurut Taklif: Satu analisis terhadap watak Fatimah dalam cerpen ‘Perempuan Gusti’ dan ‘Fatimah kahwin’
karya Hamzah Hussin. MANU, 25(1), 23-47. doi:10.51200/manu.v25i0.760
Hasnizam Hashim. (2020, Ogos 17). Adab tuntut ilmu walau belajar secara dalam talian. Capaian daripada https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php ?id=1870416
Harun Yahya. (2017, November 6). Hormati hak, pertahan maruah wanita. Capaian Daripada https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2017/11/347106/hor mati-hak-pertahan- maruah-wanita
Iqbal Hidayat Hamizul. (2021, September 26). Isu feminisme dalam sastera tidak lapuk? Capaian daripada https://dewansastera.jendeladbp.my/2021/09/ 26/isu-feminisme-dalam-sastera- tidak-lapuk/
Mana Sikana. (2021, Oktober 24). Sastera feminisme memartabatkan wanita. Capaian daripada https://www.sinarharian.com.my/article/168479/KHAS/Pendapat/Sasterafeminisme- martabatkan-wanita
Mohd Shahrizal Nasir. (2018, Oktober 21). Harga diri manusia. Capaian daripada https://www.hmetro.com.my/addin/2018/10/388368/harga-diri-manusia
Nurhasmira Mat Rusok, Roslina Abu Bakar, Arbai’e Sujud & Rozita Mohamed Noor. (2019).
Emansipasi wanita dalam sosial menerusi novel-novel pilihan 1960-an – 1990-an. Jurnal Kesidang, 4(1), 38-52.
Nur Saadah Khair. (2019). Ilmu dan kepentingannya kepada wanita. Capaian daripada https://wafiq.my/2019/03/31/ilmu-dan-kepentingannya-kepada-wanita/
Norazhar Razali & Nurulhudha Omar. (Ed.). (2016). Bintang Hati. Selangor: Aras Mega Sdn. Bhd Norazwa Mahat. (Ed.). (2016). Baik Budi, Indah Bahasa. Kuala Lumpur: Arah Pendidikan Sdn.
Rosmani Omar. (Ed.). (2011). Harga Remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Bhd Siti Khariah Mohd Zubir. (2012). Unsur Feminisme dalam pantun Melayu. PENDETA, 3(1), 139-
154.
Siti Nur Izzaty Salit & Norsimah Mat Awal. (2017). Unsur feminisme dalam peribahasa Melayu:
Analisis semantik kognitif. Jurnal Linguistik, 21(2), 15-23.