• Tidak ada hasil yang ditemukan

Dr Linamalini Binti Mat Nafi

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra [email protected]

ABSTRAK

Bahasa Arab merupakan bahasa yang sangat istimewa kerana ia adalah bahasa al-Quran dan juga hadith Rasulullah SAW yang telah mendapat jaminan daripada Allah SWT bahawa ia akan terus kekal serta dipelihara oleh Allah selari dengan kelangsungan al-Quran sehingga ke akhir zaman (Ahmad Kilani, 2001). Pendidikan Islam dan bahasa Arab begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia dan ia mempunyai sejarah yang panjang sejak kemasukan Islam ke negara ini, iaitu lebih kurang 500 tahun yang lalu (Abdullah et al., 2005). Menurut al-Attas (1984), bahasa Arab telah sampai ke Malaysia sejak kurun ke 13 Masihi bersama dengan kedatangan Islam. Ia dibuktikan dengan penemuan Batu Bersurat di Hulu Terengganu ditulis pada 22 Februari 1303 Masihi bersamaan dengan 4 Rejab 702 Hijrah (Asmah, 1987). Berdasarkan perspektif sejarah, pembelajaran bahasa Arab yang mula diperkenalkan di Malaysia bertempat di rumah-rumah mubaligh, tempat-tempat ibadah dan seterusnya berkembang di istana. Ia kemudiannya terus berkembang setelah satu institusi berbentuk baru ditubuhkan untuk mengajar pelajaran berkaitan agama Islam termasuklah bahasa Arab melalui pembinaan institusi pondok dan kemudian berkembang kepada institusi madrasah (Azizi, 2010). Justeru, kajian ini bertujuan untuk membincangkan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam pengajaran Bahasa Arab di Malaysia serta mengemukakan beberapa cadangan untuk memperkasakan pengajaran Bahasa Arab di Malaysia.

Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang dilakukan menerusi kaedah perpustakaan di mana data kajian diperoleh menerusi kajian-kajian lampau seperti artikel, jurnal, tesis mahupun buku. Hasil kajian menunjukkan bahawa dalam usaha memantapkan proses pengajaran bahasa, terlebih dahulu seorang pengajar bahasa harus mengenal pasti setiap isu dan permasalahan yang sering timbul sama ada yang berkaitan dengan bahasa yang diajar, situasi pembelajaran, isu yang berkaitan dengan pihak pelajar ataupun pihak pengajar sendiri. Justeru, perlu ada usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan baik di peringkat sekolah, IPT mahupun pihak kerajaan untuk bekerjasama meningkatkan minat masyarakat bumiputera Melayu dan Islam agar menyayangi dan menguasai bahasa Arab sebagai bahasa yang menghubungkan wahyu Ilahi dan tamadun Islam dengan dunia pada hari ini.

Kata kunci: Pendidikan, Bahasa Arab, Bahasa asing

PENGENALAN

Bahasa ialah satu peraturan yang mengkaji rumus-rumus suara yang digunakan atau diungkapkan dengan tujuan bertukar-tukar fikiran, perasaan antara anggota masyarakat yang pelbagai bangsa dan bahasa (Al-Khuli, 1982). Ia merupakan alat komunikasi antara manusia yang menggambarkan pemikiran serta perasaannya. Melalui penggunaan bahasalah terjalin perhubungan antara individu dengan individu lain serta hubungannya dengan masyarakat. Bahasa Arab pula merupakan bahasa yang sangat istimewa kerana ia adalah bahasa al-Quran dan juga hadith Rasulullah SAW yang telah mendapat jaminan daripada Allah SWT bahawa ia akan terus kekal serta dipelihara oleh Allah selari dengan kelangsungan al-Quran sehingga ke akhir zaman (Ahmad Kilani, 2001). Ia merupakan salah satu bahasa utama yang digunakan sebagai media pertuturan dunia (Bakalla, 1984). Ia turut menjadi bahasa rasmi di 24 buah negara yang mewakili hampir 300 juta penduduk (Abdullah, 2009; Ghofur, 2013). Menurut al-Qardhawi (1994), Bahasa Arab juga merupakan bahasa yang digunakan dalam ibadat solat. Setiap penganut agama Islam yang ingin mendirikan solat mesti menggunakan bahasa al-Quran. Justeru, bahasa Arab mempunyai hubungan serta kaitan yang sangat erat dengan rukun-rukun agama Islam.

Ahmad Kilani (2001) menyatakan bahawa Bahasa Arab mempunyai kedudukan yang tinggi setanding dengan bahasa-bahasa utama di dunia dan kepentingannya semakin terserlah pada zaman mutakhir ini. Kenyataan ini menyokong pandangan al-Khuli (1982) bahawa bilangan mereka yang menggunakan bahasa Arab ini semakin bertambah. Malah, ia menjadi bahasa utama 24 negara Arab dan menjadi bahasa kedua di kebanyakan negara umat Islam. Tambahan pula, kedudukan ini menunjukkan bahawa terdapat 1/7 daripada negara-negara di seluruh dunia menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa utama mereka (al-Khuli, 1982). Lebih-lebih lagi, terdapat ramai penganut Islam yang bukan berbangsa Arab amat berminat mempelajari bahasa tersebut kerana kaitannya yang amat rapat dengan agama Islam yang mereka anuti.

OBJEKTIF KAJIAN

1. Mengupas secara ringkas tentang perkembangan Bahasa Arab dan pengajarannya di Malaysia

2. Membincangkan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam pengajaran Bahasa Arab di Malaysia.

3. Mengemukakan beberapa cadangan untuk memperkasakan pengajaran Bahasa Arab di Malaysia

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang dilakukan menerusi kaedah perpustakaan di mana data kajian diperoleh menerusi kajian-kajian lampau seperti artikel, jurnal, tesis mahupun buku.

Pengajaran Bahasa Arab di Malaysia

Berdasarkan perspektif sejarah, pembelajaran bahasa Arab yang mula diperkenalkan di Malaysia bertempat di rumah-rumah mubaligh, tempat-tempat ibadah dan seterusnya berkembang di istana.

Ia kemudiannya terus berkembang setelah satu institusi berbentuk baru ditubuhkan untuk mengajar pelajaran berkaitan agama Islam termasuklah bahasa Arab melalui pembinaan institusi pondok dan kemudian berkembang kepada institusi madrasah (Azizi, 2010).

Selaras dengan perkembangan tersebut, sukatan subjek bahasa Arab telah diperluaskan skopnya.

Menurut Rosni (2009), dalam sistem madrasah ini pelajar mempelajari pelbagai subjek ilmu bahasa, sastera, budaya dan kemahiran bahasa di samping mempelajari subjek Pengajian Islam dalam bahasa Arab. Setelah melalui beberapa fasa perkembangan, akhirnya pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab mula diberi perhatian oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 70-an apabila subjek bahasa Arab dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran yang ditawarkan di sekolah menengah kebangsaan di seluruh negara.

Pendidikan bahasa Arab ini mendapat pengiktirafan oleh kerajaan dengan penawaran subjek bahasa Arab di sekolah-sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), sekolah-sekolah berasrama penuh(SBP) dan sekolah-sekolah yang mempunyai kelas aliran agama (KAA). Melihat kepada keperluan pembelajaran bahasa Arab di peringkat sekolah kebangsaan maka kerajaan telah memulakan projek rintis dengan memperkenalkan bahasa Arab di 98 buah sekolah kebangsaan di seluruh negara pada tahun 1997 dan dilaksana dengan rasminya pada tahun 1998(Rosni, 2009).

Susulan daripada kenyataan mantan Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Abdullah bin Ahamad Badawi dan resolusi Seminar Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) peringkat kebangsaan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mula melaksanakan Program j-QAF di 1,221 buah sekolah kebangsaan pada tahun 2005. Program j-QAF ini adalah suatu usaha untuk memperkasakan Pendidikan Islam melalui penekanan khusus dalam pengajaran Jawi, al-Quran, bahasa Arab, dan Fardhu Ain yang dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dengan pelaksanaannya menggunakan kurikulum serta model dan modulnya yang tersendiri (Linamalini, 2014).

Seterusnya, perkembangan pengajaran bahasa Arab telah merentas sempadan sekolah dengan penawaran subjek tersebut di pusat-pusat pengajian tinggi sebagai satu kursus bahasa pilihan atau kertas bahasa asing pilihan. Pengajaran bahasa Arab terus gah dengan adanya institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan kursus-kursus pengajian Islam dalam bahasa Arab. Terdapat juga institusi-institusi yang menawarkan pengkhususan dalam jurusan bahasa Arab (Rosni, 2009).

Cabaran-Cabaran dalam Pengajaran Bahasa Arab di Malaysia

Pendidikan Bahasa Arab mempunyai kedudukan yang unik dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Suatu ketika dahulu, Bahasa Arab merupakan asas dalam pendidikan pondok dan sistem sekolah aliran agama, namun kini menjadi salah satu matapelajaran dalam arus pendidikan perdana.

Melihat kepada senario pembelajaran bahasa di Malaysia, bahasa Arab merupakan bahasa yang

ketiga atau asing selepas bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Hal ini menunjukkan bahawa pentingnya status bahasa Arab di Malaysia dan bukan sahaja di negara Arab. Bahasa Arab dianggap penting di Malaysia kerana majoriti masyarakat adalah beragama Islam dan agama tersebut merupakan agama rasmi di Malaysia. Bertitik tolak dari kesedaran terhadap kepentingan bahasa Arab, pihak kerajaan Malaysia telah memperkenalkan bahasa Arab di peringkat universiti dan menengah. Walau bagaimanapun, dalam usaha memperkasa pendidikan Bahasa Arab di Malaysia, isu permasalahan guru dalam pengajaran bahasa Arab sering kali diperdebatkan (Abdul Razif Zaini et.al., 2019). Penulisan ini akan membincangkan cabaran-capan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab di Malysia.

Cabaran Dari Aspek Guru dan Pelajar

Walaupun Bahasa Arab sudah sekian lama dipelajari di Malaysia, bermula dari peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah, kemudian diteruskan hingga ke peringkat universiti.

Namun, kelemahan penguasaannya dalam kalangan pelajar semakin hari semakin ketara dan meningkat terutamanya dalam kemahiran berbahasa (Mat Taib 2006, Che Radiah 2009). Dalam konteks kemahiran menulis, tahap penguasaan pelajar masih berada pada tahap yang kurang memuaskan, malah terdapat sebilangan pelajar menunjukkan tahap yang sangat lemah (Norhayati et.al., 2016). Kajian Hassan Basri (1996) mendapati tahap kemahiran menulis dalam kalangan pelajar Akademi Pengajian Universiti Malaya masih berada pada tahap rendah. Kajian Rosni (2012) terhadap 200 orang pelajar yang mengikuti pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia mendapati tahap pelajar dalam menulis karangan adalah lemah. Senario ini menunjukkan seolah- olah mereka baru mengenali Bahasa Arab di peringkat pengajian tinggi, sedangkan mereka telah mempelajari Bahasa Arab di peringkat sekilah menengah setelah bertahun-tahun lamanya.

Selain itu, kebanyakan pelajar menunjukkan reaksi negatif terhadap bahasa Arab (Mohammad Rusdi dan Zawawi, 2017). Mereka menganggap bahasa ini bahasa yang susah untuk dipelajari dan tidak menunjukkan minat untuk mempelajarinya. Pelajar juga menganggap mata pelajaran ini tidak penting malah tidak mempunyai nilai komersial serta mereka gagal menguasai kemahiran- kemahiran tertentu bahasa Arab (Hassan Basri, 2005; Ishak Rejab, 1992; Khairuzaman Kadir, 2003; Muhammad Azhar, 2005; Nik Mohd Rahimi, 1999; Rusni Abdul Latif, 2007; Zawawi Ismail

& Rahimi Saad, 2005, Zawawi Ismail, 2005). Menurut Lubna & Nadwah (2007) di antara cabaran- cabaran yang dihadapi oleh pelajar universiti awam iaitu bahasa Arab sukar dari segi tatabahasa dan morfologinya, perbendaharaan kata bahasa Arab luas dan pengertiannya kompleks, kepelbagaian struktur ayat dalam bahasa Arab, pensyarah tidak menggunakan sepenuhnya Bahasa Arab di dalam dan di luar kelas serta rakan-rakan tidak berinteraksi dalam bahasa Arab secara aktif (Lubna & Nadwah, 2007).

Azman (2013) telah menjalankan kajian mengenai sikap pelajar terhadap pembelajaran bahasa Arab di IPTA. Hasil kajian mendapati para pelajar menyatakan kesukaran tabahasa adalah yang paling utama dalam pembelajaran bahasa Arab. Kesukaran-kesukaran yang lain adalah ejaan, kefahaman, sebutan dan tulisan. Meskipun bahasa Arab telah diperkenalkan di peringkat sekolah,

namun ia masih tidak mampu membentuk sikap minat pelajar untuk mendalami dan meningkatkan penguasaan bahasa Arab (Azman, 2013). Hal ini disebabkan oleh sikap bahawa bahasa Arab tidak penting dan mereka belajar sekadar untuk mendapatkan ganjaran CGPA (Ghazali et al., 2010). Di sini perlu adanya satu usaha yang boleh mengubah sikap dan anggapan pelajar terhadap bahasa Arab pada masa akan datang bermula di peringkat sekolah lagi.

Satu hakikat yang perlu diterima adalah tidak semua guru bahasa Arab di Malaysia memiliki latar belakang pendidikan bahasa Arab yang khusus (M. Amarudin Shuheb, 2016). Hakikatnya, pengajaran bahasa Arab juga turut diajar oleh guru yang bukan opsyen dan guru yang kurang berpengalaman. Oleh yang demikian, permasalahan ini menjadi salah satu cabaran dalam pengajaran dan pengajaran bahasa Arab di Malaysia. Berdasarkan penelitian yang dilakukan ke atas kajian-kajian lalu, beberapa masalah berkaitan dengan guru yang dikenal pasti dalam pengajaran bahasa Arab adalah pengajaran berpusatkan guru (Rosni Samah, 2009), pendekatan nahu terjemahan (Ab. Gani Jalil, 1993, Rosni Samah, 2009) dan penggunaan bahan bantu mengajar (Ab. Gani Jalil, 1993, Rosni Samah, 2009, Rahimi Md. Saad et al.). Selain itu, kekurangan bahan bacaan tambahan (Rosni Samah, 2009), kekurangan aktiviti (Ab. Gani Jalil, 1993, Rosni Samah, 2009), kekurangan komunikasi (Rosni Samah, 2009), persekitaran (Azman Che Mat dan Goh Ying Soon, 2010, Nik Rahimi, Kamarulzaman dan Zawawi, 2006, Kamarudin, 2000, Ab. Gani Jalil, 1993) dan motivasi (Rosni Samah, 2012) juga turut menjadi punca kemerosotan pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab di Malaysia.

Cabaran Dari Aspek Persekitaran dan Status Bahasa Arab di Malaysia

Persekitaran bahasa yang dibina di Malaysia tidak menyeluruh dan hanya dihadkan kepada kawasan-kawasan tertentu sahaja (Nik Mohd Rahimi, 1998). Selain itu, para guru juga didapati tidak mempraktikkan dan menggunakan bahasa Arab ketika menjalankan proses Pengajaran dan Pembelajaran (pdp) dalam kelas (Nik Rahimi, Kamarulzaman dan Zawawi, 2006, Kamarudin, 2000, Ab. Gani Jalil, 1993). Sedangkan, sekiranya para guru sentiasa mengamalkan penuturan bahasa Arab yang berterusan ia secara langsung memberi kesan yang positif terhadap para pelajar (Ghazali Yusri et al, 2010). Hakikatnya, persekitaran yang ‘hidup’ dengan suasana bahasa Arab itu sendiri sangat penting dalam mewujudkan suasana pembelajaran aktif dalam kalangan pelajar (Kamaruddin, 1997). Menurut Osman Khalid (1993), faktor persekitaran telah dikenal pasti sebagai salah satu punca yang membawa kepada kemerosotan Bahasa. Persekitaran Bahasa yang lemah tidak membantu dalam melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran dalam berbahasa Arab.

Beliau menegaskan bahawa ketiadaan suasana atau persekitaran bahasa yang menggalakkan serta dorongan persekitaran yang kurang ini telah membantutkan atau melemahkan penguasaan bahasa dalam kalangan para pelajar di Malaysia.

Status dan kedudukan Bahasa Arab dalam sistem pendidikan negara sememangnya memberi kesan tidak langsung kepada pengajaran Bahasa Arab. Walaupun Bahasa Arab mempunyai kedudukan yang unik dalam konteks masyarakat di Malaysia di mana penggunaannya berkait rapat dengan amal ibadah umat Islam, namun kedudukannya dalam sistem Pendidikan negara masih perlu

dibincangkan. Akta Pendidikan 1996 telah menjelaskan status bahasa Arab di Malaysia sebagai salah satu bahasa asing sama seperti bahasa Jepun, Jerman, atau Perancis yang boleh ditawarkan di sekolah-sekolah jika didapati munasabah dan praktikal untuk berbuat sedemikian (JAPIM,2002).

Pelajar tidak wajib mengambil subjek tersebut dan tidak diwajibkan lulus dalam peperiksaan (Awatif et al. 2017). Berdasarkan kajian lampau yang dipetik daripada Zawawi 2001, (dalam Azman Che Mat dan Goh Ying Soon, 2010) majoriti pelajar beranggapan bahawa bahasa Arab itu merupakan bahasa asing dan penggunaannya dalam masyarakat tidak meluas. Ini menyebabkan pelajar-pelajar yang mempelajari bahasa Arab tidak berkemampuan dan tidak berkebolehan dalam menutur bahasa Arab (Azman Che Mat dan Goh Ying Soon, 2010).

Cadangan-Cadangan Penambahbaikan Penambahbaikan Dari Aspek guru dan pelajar

Berdasarkan penelitian yang dilakukan ke atas kajian-kajian lalu, beberapa masalah yang dikenal pasti dalam pengajaran bahasa Arab adalah pengajaran berpusatkan guru (Rosni Samah, 2009), pendekatan nahu terjemahan (Ab. Gani Jalil, 1993, Rosni Samah, 2009), penggunaan bahan bantu mengajar (Ab. Gani Jalil, 1993, Rosni Samah, 2009, Rahimi Md. Saad et al.) , kekurangan bahan bacaan tambahan (Rosni Samah, 2009), kekurangan aktiviti (Ab. Gani Jalil, 1993, Rosni Samah, 2009), kekurangan komunikasi (Rosni Samah, 2009), persekitaran (Azman Che Mat dan Goh Ying Soon, 2010, Nik Rahimi, Kamarulzaman dan Zawawi, 2006, Kamarudin, 2000, Ab. Gani Jalil, 1993), dan motivasi (Rosni Samah, 2012). Sekiranya maklumat ini diteliti, permasalahan yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab di Malaysia adalah berkait dengan faktor guru. Guru dilihat faktor penting yang mampu menyelesaikan masalah-masalah tersebut seharusnya menambahbaik PdP bahasa Arab di Malaysia.

Walaupun tidak semua guru bahasa Arab di Malaysia memiliki latar belakang pendidikan bahasa Arab yang khusus (M. Amarudin Shuheb, 2016), namun latihan yang baik mampu menjadikan mereka kompeten dan berkeupayaan serta kreatif dalam penyampaian. Oleh yang demikian, permasalahan pengajaran dalam kajian ini wajar diberi tumpuan kepada faktor guru. Kaedah pengajaran bahasa yang lebih interaktif dan kontemporari menggunakan pelbagai kemudahan teknologi laman web serta gajet yang ada dapat meningkatkan minat masyarakat bagi mempelajari bahasa Arab. Kebijaksanaan guru yang mengajar bahasa ini amatlah diperlukan supaya pembelajaran bahasa Arab tidak dianggap membuang masa, membosankan dan terlalu terikat kepada pembelajaran tatabahasa semata-mata (Muhammad Sabri, 2015). Maka, para guru bahasa Arab perlulah mengubah gaya amalan mereka menjadi lebih efektif dan interaktif dalam menyampaikan dan melaksanakan pengajaran Bahasa (Abdul Razif et al., 2019). Selain itu, para guru perlulah memikirkan teknik dan kaedah yang menarik serta mampu memberi kesan terhadap minat pelajar untuk terus mempelajari bahasa Arab. Para guru juga perlu peka dan cakna bahawa motivasi murid juga boleh turut terjejas apabila pengisian pembelajaran dilaksanakan dengan aktiviti yang tidak bermakna dan kurang merangsang (Mohammad Abdillah Samsuiman, Miss Asma Benjaman & Zamri Arifin, 2014).

Selain itu, kreativiti dalam pengajaran merupakan antara perkara utama bagi seorang guru.

Kefahaman dan pelaksanaan dalam proses pengajaran mampu menjamin tercapainya objektif pengajaran yang dirancang dengan baik (Stranberg, 2006; Zolfaghari, 2011) disamping ianya merupakan suatu kaedah yang dapat membantu para pelajar berfikir dengan lebih luas dan dinamik (Mohd Azhar Abd Hamid, 2004). Pelbagai kajian yang dijalankan di Malaysia membuktikan wujudnya keperluan guru menguasai dan melaksanakan kreativiti dalam proses pengajaran dan pembelajaran (Ab. Halim Tamuri et al, 2004; Ainon Mohd & Abdullah Hassan, 1997;

Balakrishnan, 2002; Chua, 2011; Rizal dan Rehan, 2010). Keperluan menguasai dan melaksanakan kreativiti ini bukan hanya terhad di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Banyak kajian dilakukan membuktikan bahawa guru sangat perlu menguasai dan melaksanakan kreativiti dalam proses pengajaran dan pembelajaran (Park, 2011, 2012; Chumo, 2014; Sabelius, 2002; Hyde & Thomas, 2005; Diamantes, 2007). Perkara yang sama juga berlaku dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab di Malaysia. Persediaan dan cabaran ini perlu ditangani dengan baik oleh guru bahasa Arab bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku berjaya mencapai hasrat yang telah digubal oleh pihak kerajaan.

Dalam pada itu, sikap merupakan elemen penting yang mempengaruhi pemikiran dan tindakan seseorang khususnya dalam Pendidikan kerana ia dapat mempengaruhi seseorang berfikir, bertindak, membuat persepsi dan berperasaan dalam menghadapi sesuatu objek, idea, situasi ataupun nilai (Rakhmat, 2001). Kejayaan program pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab tidak terhenti pada kecekapan para guru dan kemantapan kurikulum semata-mata, tetapi sikap dan kepedulian pelajar terhadap bahasa yang dipelajari memainkan peranan yang paling penting. Ini bermakna, kejayaan sesuatu program pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab umumnya dan nahu khususnya bukanlah semata-mata terletak pada kurikulum, kaedah pengajaran dan kecekapan guru-guru sahaja. Sikap pelajar sama ada positif atau negatif terhadap mata pelajaran yang dipelajari merupakan faktor utama dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Pelajar yang tidak berminat terhadap mata pelajaran yang diajar ditambah pula dengan tujuan pembelajaran yang tidak jelas sudah tentu tidak dapat membuahkan hasil yang positif (Ab.Halim Mohamad & Wan Muhamad Wan Sulong, 2016). Hasil kajian Osman et al. (2007) mendapati tingkah laku guru mempengaruhi sikap positif pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran. Kajian yang dijalankan oleh Che Mohd Zaid et al. (2019) mendapati sikap pelajar dalam pembelajaran Bahasa Arab di universiti awam Malaysia memberikan kesan terhadap peningkatan pencapaian pelajar dalam kursus tersebut.

Selain daripada itu, pelajar juga harus mempraktikkan penggunaan bahasa Arab dalam konteks kehidupan mereka sebagai pelajar seperti di dalam bilik kuliah, di luar bilik kuliah, di asrama, di kantin, di perpustakaan dan sebagainya(Ab.Halim Mohamad & Wan Muhamad Wan Sulong, 2016).

Penambahbaikan Dari Aspek Persekitaran

Persekitaran adalah satu unsur yang tidak dapat diasingkan daripada pengajaran dan pembelajaran terutamanya dalam pengajaran bahasa sebagai satu media untuk berhubung (Brown,1994).

Menurut Kamarulzaman et al., (2018) memandangkan bahasa Arab bukanlah bahasa komunikasi harian masyarakat di Malaysia serta penggunaannya tidak meluas sebagaimana bahasa Inggeris, justeru satu ekosistem berbahasa Arab yang kondusif perlu diwujudkan persekitaran bahasa Arab di sekolah bagi menyokong aspirasi penggubalan kurikulum ini. Peri pentingnya persekitaran pembelajaran murid dalam menguasai sesuatu pembelajaran telah dibuktikan dalam banyak kajian sebelum ini. Kajian yang dijalankan oleh Majdah (2011) mendapati kelemahan murid dalam pembelajaran Bahasa Arab adalah berpunca daripada kurangnya amalan dalam mempraktikkan bahasa Arab di rumah mahu pun di sekolah. Dunkin dan Biddle (1974) menyatakan persekitaran pembelajaran mempengaruhi tingkah laku murid di dalam bilik darjah dan seterusnya pencapaian murid dalam sesuatu pelajaran. Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kepimpinan dan pengurusan sekolah dalam mewujudkan persekitaran yang positif untuk murid belajar dan berkehendak untuk belajar (Bowring-Carr & West- Burnham, 1999).

Hakikatnya, persekitaran yang ‘hidup’ dengan suasana bahasa Arab itu sendiri sangat penting dalam mewujudkan suasana pembelajaran aktif dalam kalangan pelajar (Kamaruddin, 1997). Selain itu, ia dapat meningkatkan kemahiran sosial pelajar terutama dalam menguasai dan memperoleh bahasa Arab. Sekiranya, permasalahan persekitaran ini dapat dibendung, sudah tentu matlamat pengajaran dapat dicapai dengan sempurna.Untuk merealisasikan hasrat ini satu sistem sokongan perlu diwujud melalui pembudayaan persekitaran berbahasa Arab dalam kawasan sekolah sama ada melibatkan aktiviti dalam kelas mahupun di luar kelas. Kegagalan melakukan transformasi terhadap budaya persekitaran bahasa boleh membantutkan kejayaan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab ini. Persekitaran pembelajaran bahasa yang kondusif, di samping dorongan (rangsangan) dan sikap positif sangat diperlukan dalam menguasai sesuatu bahasa.

Bahkan, kajian yang dilakukan oleh Fraser dan Lee (2009) dan Wong dan Fraser (1996) mendapati ada hubungan yang signifikan antara amalan kerjasama dan sikap. Oleh yang demikian, persekitaran pembelajaran bahasa yang baik mampu menjadi pendorong kepada minat pelajar untuk mempelajari sesuatu bahasa, seterusnya menjadi pemangkin kepada sikap positif yang menghasilkan kejayaan seseorang.

PENUTUP

Dewasa ini, isu dan permasalahan dalam pembelajaran Bahasa Arab bukanlah suatu perkara yang asing dalam kalangan pendidik dan pengkaji. Namun, senario permasalahan ini bukanlah dilihat sebagai suatu perkara yang negatif semata. Malah, ia dilihat membuka ruang perbincangan dan percambahan idea dalam menambahbaik sistem pengajaran Bahasa Arab di Malaysia khususnya dalam suasana perkembangan Bahasa Arab yang dilihat semakin meluas dewasa ini. Menurut Ab.

Rahim (2004) dan Naimah (2004) dalam Azman (2010), dalam usaha memantapkan proses pengajaran bahasa, terlebih dahulu seorang pengajar bahasa harus mengenal pasti setiap isu dan permasalahan yang sering timbul sama ada yang berkaitan dengan bahasa yang diajar, situasi pembelajaran, isu yang berkaitan dengan pihak pelajar ataupun pihak pengajar sendiri. Oleh yang demikian, disarankan perlu ada usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan baik di peringkat