Nur Asyiqin Zohkarnain
Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia
[email protected] Firuz-Akhtar Lubis
Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia
ABSTRAK
Karya sastera merupakan karya yang kaya dengan pengajaran dan mempunyai kepentingannya dalam menggambarkan situasi sesebuah masyarakat termasuk situasi pandemik yang pernah berlaku suatu ketika dahulu. Tujuan kajian ini adalah mengenal pasti tinjauan awal berkaitan pandemik di Mesir yang tercatat dalam karya al-Ayyam oleh Taha Hussein. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dengan menganalisis kandungan korpus kajian berdasarkan kaedah tematik. Berdasarkan tinjauan awal ini, beberapa tema baharu telah dihasilkan yang terdiri daripada sejarah penularan taun dan norma masyarakat ketika menghadapi pandemik meliputi keluarga, kampung dan pihak berkuasa. Hasil tinjauan awal ini, karya al- Ayyam merupakan medium bagi mengetahui gambaran masyarakat ketika pandemik di Mesir suatu ketika dahulu. Oleh itu, kajian ini berharap agar penyelidik pada masa akan datang dapat menggiatkan penerokaan dalam bidang kesusasteraan Islami khususnya dari perspektif pandemik kerana terbukti memberi kepentingan dalam membekalkan sumber maklumat penting mengenai sosiologi kehidupan masyarakat terdahulu ketika menghadapi pandemik. Bahkan juga sumber maklumat penting ini sangat berguna untuk djadikan sebagai rujukan bagi kajian pelbagai bidang khususnya yang berkaitan dengan pandemik.
Kata Kunci: pandemik, karya sastera, al-Ayyam, Taha Hussein.
PENGENALAN
Secara umumnya, karya kesusasteraan sangat penting kerana terkandung nilai positif yang boleh dijadikan sebagai pengajaran khususnya dalam mendidik sesebuah masyarakat (Ros Anita et al.,
2021). Menurut Muhd Norizam Jamilan & Shaiful Bahri Md Radzi (2015) karya kesusasteraan merupakan penulisan yang indah dan bermanfaat. Dalam Islam, sastera dikenali sebagai al-adab yang membawa maksud karya yang terhasil daripada jiwa halus seorang pengarang yang bertujuan untuk mendidik dan mengasuh hati nurani masyarakat dengan nilai-nilai murni dalam kehidupan.
Dalam erti kata lain, sastera merupakan karya yang mendidik manusia ke arah yang lebih beradab dan karya al-Ayyam tidak terkecuali kerana menghimpunkan nilai-nilai pengajaran yang sangat bagus untuk dijadikan pedoman dalam sesebuah masyarakat.
Umumnya, karya sastera bukan sahaja mencatatkan perihal kemanusiaan, kebudayaan dan keagamaan bahkan turut menggambarkan kejadian-kejadian besar yang mengerikan dan membimbangkan yang pernah berlaku dalam sesebuah masyarakat seperti kejadian bencana umumnya dan pandemik khususnya. Pandemik secara amnya memberi kesan dan cabaran yang negatif terhadap masyarakat di seluruh dunia (Khatijah Othman, 2021). Hal ini kerana pandemik merupakan wabak penyakit yang menular secara besar-besaran dan mencatatkan kes kematian yang tinggi dalam masa yang singkat (Meen, 2020).
Di samping itu juga, terdapat juga impak positif daripada pandemik khasnya dalam bidang penulisan. Didapati, kadar aktiviti penulisan karya kesusasteraan ketika penularan pandemik bukan sahaja melonjak naik dan mendapat tempat di hati masyarakat suatu ketika dahulu bahkan juga memberi impak positif pada masa kini. Hal ini dibuktikan dalam kajian (Mohamed Nazreen et al., 2020) bahawa penularan pandemik ini melahirkan pelbagai karya sastera unggul yang bertujuan untuk merakamkan gambaran masyarakat ketika menghadapi pandemik dan memberi kesedaran khususnya buat masyarakat.
Begitu juga yang tercatat dalam karya al-Ayyam oleh Taha Hussein yang banyak memberi gambaran masyarakat ketika menangani pandemik taun dari perspektif yang positif. Antara gambaran lapisan masyarakat yang akan dikupas termasuklah keluarga, kampung dan pihak berkuasa. Berdasarkan penulisannya, masyarakat telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi membanteras penularan pandemik dari berleluasa. Oleh itu, kajian ini akan membincangkan sejarah penularan taun dan situasi masyarakat ketika berhadapan dengan pandemik di Mesir suatu ketika dahulu seperti yang tercatat dalam karya al-Ayyam oleh Taha Hussein. Kajian ini akan memberi maklumat yang berguna khususnya situasi masyarakat terdahulu apabila menghadapi pandemik..
Latar Belakang Kehidupan Taha Hussein Dan Karya Al-Ayyam
Taha Hussein merupakan pemikir sastera hebat kelahiran Mesir (Abdel Fattah, 1993). Beliau dilahirkan pada tanggal 14 November 1889 di Maghragha berdekatan dengan sungai Nil di Mesir (Syahrin Harahap, 1994). Pada usia dua tahun, beliau diuji dengan penyakit ophthalmic yang memberi kesan ke atas dirinya hingga terjadinya cacat kekal iaitu buta kedua belah matanya.
Dikhabarkan penyakit ophthalmic ini terjadi disebabkan fenomena alam di Mesir pada awal abad ke-20. Namun ada yang menyatakan ophthalmic ini merupakan angin khamsin yang membawa debu dan pasir dari padang pasir dengan kelajuan dan kepanasan yang tinggi (Lane, E. W., 1973).
Meskipun seorang yang buta, kekurangan ini tidak menghalang Taha Hussein untuk mendapatkan pendidikan (Barsihannor, 2014). Pada usia 13 tahun, beliau telah pun berjaya menyambung pengajian di Universiti al-Azhar. Sepanjang pengajian, beliau bergiat aktif dan mempelajari pelbagai bidang keilmuan yang merangkumi bidang agama, ideologi Barat dan juga bahasa Perancis. Berkat kesungguhannya dalam menuntut ilmu, pada tahun 1904 beliau telah berjaya memegang ijazah doktor falsafah dengan disertasinya yang bertajuk Zikra Abi Ala (Adams, C.C., 2013). Minatnya yang mendalam terhadap ilmu membuatkan beliau meneruskan lagi pengajiannya di Universiti Sarbone di Paris dan untuk kedua kalinya beliau telah pun berjaya memegang gelaran doktor falsafah pada tahun 1918 dengan disertasi yang berjudul The Philosophy of Ibn Khaldun:
Introduction and Criticism.
Kecemerlangannya ini membuatkan beliau dilantik untuk menjawat jawatan tertinggi di Universiti Kaherah iaitu sebagai Dekan Fakulti Persuratan. Pada tahun 1983, beliau diberi kepercayaan untuk menjadi Menteri Pendidikan di Mesir atas jasanya dalam memberi manfaat buat masyarakat Mesir (Barsihannor, 2014). Di samping itu juga beliau amat meminati bidang penulisan sehingga berjaya menghasilkan sebuah karya yang sangat bermanfaat untuk dibaca lebih-lebih lagi karya al-Ayyam.
Karya ini banyak memberi gambaran masyarakat Mesir khususnya apabila menghadapi pandemik suatu ketika dahulu. Umumnya, karya al-Ayyam diterbitkan di Dar al-Ma’arif pada tahun 2004 dengan mengandungi 654 helaian bilangan muka surat. Karya ini telah diterjemahkan ke dalam dua bahasa iaitu bahasa Indonesia dengan judulnya Taha Husain Hari-Hari Berlalu oleh Ali Audah, manakala terjemahan bahasa Inggeris pula berjudul The Days oleh Paxton, E.H.
Umumnya karya ini mengandungi tiga jilid yang difokuskan. Jilid pertama merangkumi zaman kanak-kanak pengarang dengan tema kejahilan yang berleluasa di pedalaman Mesir dan juga turut membahaskan mengenai adat resam yang diamalkan oleh masyarakat Mesir pada masa itu. Jilid pertama ini, menghimpunkan pengalaman beliau ketika menghadapi pandemik taun.
Penceritaannya adalah tertumpu pada gambaran tiga latar masyarakat ketika berhadapan pandemik iaitu keluarga, kampung dan pihak berkuasa. Terdapat pelbagai reaksi yang dinyatakan dalam jilid pertama ini yang patut diambil pelajaran ketika menghadapi pandemik. Pada jilid ini juga, beliau mengakhiri penceritaan dengan penderitaan keluarganya yang kehilangan saudara lelaki akibat pandemik. Berlainan pula perbahasan dalam jilid dua yang merangkumi penceritaan mengenai kemasukannya ke Al-Azhar hingga kemasukannya ke Universiti Kaherah. Dalam jilid kedua ini, Taha Hussein memfokuskan pada pemberontakannya terhadap guru-gurunya dan tradisi di Al- Azhar. Manakala jilid terakhir pula iaitu jilid ketiga membahaskan pengalamannya mengembara ke Paris seorang diri bagi menuntut ilmu. Kupasan mengenai pandemik dalam karya al-Ayyam ini melibatkan jilid pertama sahaja dan akan dibahaskan secara terperinci dalam perbincangan selepas ini.
Pandemik Dalam Karya Al-Ayyam
Pandemik dalam karya al-Ayyam adalah jenis pandemik taun yang menular di kawasan Mesir iaitu sekitar tahun 1902. Selain itu, pandemik taun yang dibahaskan dalam karya ini adalah berfokuskan
di penempatan Mesir Hulu iaitu tempat tinggal Taha Hussein sekeluarga. Umumnya ketika pandemik berlaku Taha Hussein merupakan kanak-kanak istimewa kerana mengalami kebutaan yang kekal akibat daripada kesan penyakit ophthalmic yang berlaku abad itu (Audah, A., 1924).
Menerusi catatan karya Taha Hussein ini, beliau mencatatkan keadaan emosi masyarakat ketika pandemik sangat membimbangkan kerana mengorbankan ramai nyawa masyarakat di kawasan Mesir Hulu termasuk ahli keluarganya. Bukan setakat itu sahaja, terdapat juga segelintir masyarakat yang mengamalkan amalan menyimpan atau mengagungkan azimat sebagai tangkal bagi menghindarkan diri dan keluarga mereka daripada wabak berbahaya tersebut. Bahkan terdapat juga masyarakat yang turut beramal dengan amalan-amalan yang menenangkan jiwa mereka seperti amalan bacaan surah Yasin, bacaan zikir dan berdoa. Berdasarkan catatan Taha Hussein, masyarakat dilihat lebih tenang apabila mereka beramal dengan konsep penghambaan diri kepada Allah SWT ini. Hasil dapatan kajian ini akan dibincangkan dalam perbincangan seterusnya.
HASIL DAPATAN KAJIAN
Berdasarkan pembacaan karya al-Ayyam ini, terdapat beberapa perkara yang akan dibahaskan meliputi aspek sejarah penularan pandemik taun dan juga gambaran masyarakat semasa pandemik.
Antara gambaran masyarakat yang difokuskan dalam kajian ini pula meliputi keluarga, kampung dan pihak berkuasa. Hasil dapatan menerusi pembacaan karya al-Ayyam dibincangkan seperti di bawah:
1. Sejarah Penularan Taun di Mesir
Menerusi karya al-Ayyam ini, Mesir merupakan salah sebuah negara yang berhadapan dengan pandemik taun suatu ketika dahulu. Dalam karya ini, Taha Hussein mencatatkan bahawa pandemik yang terjadi di Mesir telah meragut ramai nyawa manusia khususnya sekitar tahun 1902. Namun dalam karya ini lokasi penularan tidak dinyatakan secara terperinci dan hanya menekankan kawasan Hulu Mesir yang terletak di negara Mesir. Dari sudut kesan daripada pandemik taun pula Taha Hussein menggambarkan situasi masyarakat yang mengalami beberapa gejala seperti sakit di bahagian peha, muntah-muntah, sakit kepala, tidak selera makan dan demam. Muhammad Widus
& Abdulloh Salaeh (2020) dalam kajiannya turut menyatakan kesan yang sama seperti yang digambarkan oleh Taha Hussein tersebut. Bahkan pakar perubatan Islam seperti al-Nawawi, Ibn Qayyim al-Jauziyyah dan Ibn Sina juga menyatakan perkara yang sama di mana taun akan menyebabkan degupan jantung seseorang pesakit itu menjadi laju dan akan mengalami nausea (muntah-muntah) (Lukman Abd Mutalib et al., 2020). Terdapat juga gejala-gejala lain yang dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu gejala cirit-birit yang akan menyebabkan dehidrasi dan membawa kepada kematian sekiranya tidak dirawat dengan segera (Norhayati Rusli, 2013).
2. Gambaran Masyarakat Ketika Menghadapi Taun di Mesir
Seterusnya kupasan mengenai gambaran keseluruhan mengenai tindakan masyarakat ketika menghadapi pandemik taun. Umumnya, terdapat tiga jenis latar masyarakat yang akan dikupaskan terdiri daripada keluarga, kampung dan pihak berkuasa. Hasil dapatan ini seperti ditonjolkan dalam Rajah 1.
Rajah 1 Gambaran tindakan masyarakat ketika menghadapi pandemik taun di Mesir berdasarkan karya al-Ayyam
Berdasarkan penelitian terhadap karya al-Ayyam, terdapat tiga jenis latar masyarakat yang ditekankan iaitu keluarga, kampung dan pihak atasan. Menerusi intipati yang ditekankan, ketiga- tiga jenis latar masyarakat ini masing-masing menunjukkan reaksi yang positif ketika menghadapi pandemik. Dalam erti kata lain, mereka tidak memberontak malahan menunjukkan sikap reda dengan ujian yang berlaku.
i. Masyarakat keluarga dan kampung
Dari sudut latar masyarakat keluarga dan kampung, didapati dua jenis latar masyarakat ini telah mengamalkan konsep ibadah seperti membaca al-Quran, berzikir dan solat ketika pandemik taun berlaku di Mesir. Konsep ibadah yang ditekankan dalam karya al-Ayyam ini seperti ditonjolkan dalam Rajah 2.
Rajah 2 Gambaran masyarakat keluarga dan kampung yang mengamalkan konsep ibadah ketika menghadapi pandemik taun berdasarkan karya al-Ayyam
Keluarga
Masyarakat keluarga dan
kampung
Konsep Ibadah kepada Allah
SWT
Membaca surah Yasin Membaca surah
al-A'raf Berzikir dan solat
Mengamalkan konsep ibadah kepada Allah
Mengamalkan kaedah saintifik
Berdasarkan Rajah 2 didapati masyarakat keluarga mengamalkan bacaan surah Yasin ketika menghadapi pandemik. Dalam karya al-Ayyam, amalan bacaan surah Yasin ini dibaca sebanyak tiga peringkat. Peringkat pertama dengan tiga kali bacaan surah Yasin kemudian bertambah kepada tujuh kali bacaan dan berakhir dengan empat puluh satu kali bacaan surah Yasin (Rujuk halaman 101-102 dalam karya al-Ayyam). Umumnya bagi masyarakat Islam, sudah menjadi kelaziman untuk beramal dengan surah Yasin bagi memohon perlindungan daripada Allah SWT (Hassan Abd Rauf, 2018). Hal ini kerana surah Yasin terkandung ayat-ayat yang boleh dijadikan sebagai penawar dan kaedah rawatan serta memohon perlindungan daripada Allah swt daripada segala keburukan yang berlaku (Wan Rohani & Wan Mokhtar, 2012). Bukan setakat itu sahaja, didapati masyarakat keluarga turut mengamalkan zikir, solat sunat dan berpuasa bagi mendapatkan ketenangan jiwa ketika pandemik berlaku (Rujuk halaman 124-130 dalam karya al-Ayyam). Hal ini kerana amalan ini dapat memberi aura positif kepada seseorang yang mengamalkannya seperti mendapat ketenangan jiwa, keberkatan rezeki dan mempunyai kehidupan yang sempurna (Khairul Hamimah Mohammad Jodi et al., 2015).
Berlainan pula dari aspek masyarakat kampung yang beramal dengan surah al-A’raf. Didapati mereka ini mengamalkan bacaan surah al-A’raf dengan dua cara. Pertama, mengamalkan sebagai zikir bagi menghindarkan diri daripada mendapat masalah kesihatan mental ketika menghadapi pandemik taun. Keduanya mereka mengamalkannya sebagai azimat dan dibiarkan gantung di hadapan rumah supaya penyakit wabak tersebut tidak dapat memasuki kawasan rumah mereka.
(Rujuk halaman 104-106 dalam karya al-Ayyam). Namun terdapat hukum khusus bagi cara kedua yang diamalkan oleh masyarakat ini. Hal ini dibuktikan menerusi kenyataan Muflti Wilayah Persekutuan (2020) bahawa hukum menggantungkan ayat-ayat al-Quran di rumah diharuskan namun bergantung pada syarat ataupun dawabith yang ditetapkan iaitu:
1. Ayat-ayat al-Quran mestilah digantungkan di tempat-tempat yang bersih, baik dan terhindar dari sebarang najis dan keadaan gantungan tersebut mestilah dalam keadaan yang baik supaya tidak mudah terjatuh.
2. Bukanlah bertujuan sebagai penghinaan atau mencari keberkatan, namun ia mestilah sebagai peringatan.
3. Tidak berlebih-lebihan sehingga menyebabkan pembaziran.
ii. Pihak berkuasa
Selain konsep ibadah seperti yang dibincangkan sebelum ini, Taha Hussein juga menggambarkan kaedah saintifik yang dilaksanakan oleh masyarakat dari golongan pihak berkuasa. Kaedah yang dilakukan ini bagi membendung penularan pandemik taun daripada berleluasa di Mesir ketika itu.
Antara kaedah yang digambarkan dalam karya al-Ayyam ialah pihak berkuasa telah menguatkuasakan undang-undang seperti penutupan sekolah, masjid dan pusat perindustrian sebagai langkah pencegahan penularan pandemik taun. (Rujuk halaman 121 dalam karya al-
Ayyam). Jika diperhatikan, kesan langsung daripada penularan taun dalam karya al-Ayyam ini amat menyamai kesan pandemik COVID-19 yang berlaku pada hari ini (Mohamad Sofuan Mohamad Saleh, 2021). Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda:
ِدَسَْلْا ْنِم رِفَت اَمَك ِموُذْجَمْلا ْنِم ُّ رِفَو َّ
Maksudnya: Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.
Hadith riwayat al-Bukhari: (5707) Menerusi hadith di atas, sekiranya berlaku situasi wabak berjangkit yang boleh memberi kemudaratan kepada seseorang, maka langkah pencegahan yang boleh dilakukan ialah menjauhinya dan mengatasinya dengan tidak berkontak rapat dengan pesakit. Dalam erti kata lain, Rasulullah SAW ingin menyatakan sekiranya berlaku situasi sebegini adalah menjadi tanggungjawab agama dan setiap individu untuk mengambil langkah pencegahan yang terbaik bagi menjamin kesejahteraan kehidupan manusia ini termasuklah mengelakkan diri daripada memasuki tempat-tempat awam bagi mengekang penularan wabak daripada berlaku.
Bahkan juga mereka yang sihat tidak boleh memasuki negeri ataupun negara yang terkena wabak dan bagi mereka yang bergejala dan dijangkiti tidak pula dibenarkan keluar dari kawasannya.
Langkah pencegahan ini mempunyai persamaannya pada hari ini di mana pihak bertanggungjawab turut mengekang penularan pandemik COVID-19 dengan menyekat perjalanan keluar masuk penduduk dari satu tempat ke tempat yang lain dan juga penutupan sempadan negara, pusat perindustrian, sekolah dan masjid (Mohamad Saleh, 2021).
PENUTUP
Secara kesimpulannya, karya al-Ayyam oleh Taha Hussein ini berfungsi sebagai medium dalam menggambarkan situasi sesebuah masyarakat ketika berhadapan dengan pandemik. Hal ini ditonjolkan dalam beberapa gambaran latar masyarakat yang difokuskan terdiri daripada masyarakat keluarga, kampung dan pihak berkuasa. Didapati mereka ini telah pun berjaya menangani pandemik dengan menunjukkan kesan positif iaitu mengambil langkah pencegahan yang terdiri dari aspek konsep ibadah dan kaedah saintifik. Menerusi penelitan terhadap karya al- Ayyam, gambaran situasi masyarakat yang ditonjolkan tidak kurangnya dengan situasi masyarakat yang menghadapi pandemik COVID-19 pada masa kini. Namun apa yang dapat disimpulkan, masyarakat pada hari ini lebih efisien dari aspek saintifiknya berbanding dengan kaedah saintifik yang diterapkan dalam karya sastera al-Ayyam. Menerusi karya al-Ayyam ini para pembaca juga dapat melihat kesinambungan masyarakat dahulu dan masyarakat kini ketika menangani pandemik dalam sesebuah masyarakat. Karya ini juga menjadi batu loncatan dan dapat diambil sebagai iktibar untuk masyarakat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai situasi masyarakat suatu ketika dahulu seperti yang dicatatkan dalam karya al-Ayyam ini. Bahkan juga kajian ini dapat dijadikan sebagai sumber rujukan bagi kajian lanjutan untuk pelbagai bidang yang lain lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan pandemik.
PENGHARGAAN
Artikel ini sebahagian daripada kajian ilmiah Nur Asyiqin Binti Zohkarnain (P116036) pelajar Sarjana Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Selain itu, artikel ini juga adalah di bawah Geran Penyelidik Muda (GGPM), kod:
GGPM-2019-016 yang berjudul ‘Notions of Captivity in Arab, Malay and Persian Travel Narratives.’
RUJUKAN
Abdel Fattah Galal. (1993). Taha Hussein, Prospect: The Quarterly Review of Comparative Education. UNESCO: International Bureau of Education.
Adams, C. C., (2013). Chapter 4. Egyptian Nationalism, Religious Liberty, and the Rethinking of the American Mission, 1918–45. In American Evangelicals in Egypt: Missionary Encounters in an Age of Empire (pp. 96-148). Princeton: Princeton University Press.
Al-Bukhari. Sahih al-Bukhari. Kitab Tibb. Bab al-Juzam.
Audah, A., (1924). Taha Husain: Hari-Hari Berlalu. Pustaka Jaya.
Barsihannor. (2014). Pemikiran Taha Husain. Jurnal al-Hikmah, 15(1), 118-127.
Hassan Abd Rauf. (2018). Surah Yasin Dengan Panduan Waqaf Dan Ibtida. Telaga Biru.
Kartini, R., & Ali, A. (2021). Implikasi Elemen Sastera Melayu Terhadap Perkembangan Kognitif Murid Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Sejarah Di Sekolah Rendah. Jurnal Dunia Pendidikan, 3(4), 116-126.
Khairul Hamimah Mohammad Jodi, Syaidatun Nazirah Abu Zahrin, Hadenna Towpek & Nurul Husna Mansor. (2015). Program Koreksi Berasaskan Islam Melalui Program Halaqah Sebagai Medium Dakwah kepada banduan di penjara kajang. Al-Hikmah, 7(2), 3-22.
Khatijah Othman. (2021). Cabaran dan impak pandemik covid-19 terhadap institusi kekeluargaan di malaysia. International Journal for Studies on Children, Women, Elderly and Disabled, 14, 187-196.
Lane, E.W., (1973). An Account of the Manners and Customs of the Modern Egyptians. With a new introduction by John Manchip White. Dover Publications.
Lukman Abd Mutalib, Wan Abdul Fattah Wan Ismail, Ahmad Syukran Baharuddin, Abdul Manan Ismail, Mohd Soberi Awang, Setiyawan Gunardi, Siti Fatimah Salleh, Muhammad Hazim Ahmad. (2020). Sorotan sejarah penyakit berjangkit (wabak) sebagai asas pembinaan fiqh pandemik: kajian maqasidiah. The 3rd International Conference of the Postgraduate Students and Academics in Syariah and Law 2020 (INPAC 2020) "Syariah and Law Approach in Solving Contemporary Issues."
Meen. (2020). Ketahui maksud endemik, epidemik dan pandemik. Sinar harian Online. Retrieved from https://sinarplus.sinarharian.com.my/fyi/ketahui-maksud-endemikepidemik-dan- pandemik/.
Mohamad Saleh, M. S. (2021). Penutupan masjid di era pandemik covid 19: komitmen masjid terhadap kebajikan ummah. International Journal of Mosque, Zakat and Waqaf Management
(Al-Mimbar), 1(2), 77-85. Retrieved from
http://almimbar.kuis.edu.my/index.php/almimbar/article/view/27.
Mohamad Sofuan Mohamad Saleh. (2021). Penutupan masjid di era pandemik covid 19: komitmen masjid terhadap kebajikan ummah. Al-Mimbar: International Journal of Mosque, Zakat And Waqaf Management, 1(2), 77-85.
Mohamed Nazreen Shahul Hamid, Rohaya Md Ali, Muhammad Wafi Ramli. (2020). Pandemik dalam karya sastera: ceritera kehidupan manusia. NARADATA 2020: Bahasa, Sastera Dan Budaya Penyelidikan Bahasa, Sastera Dan Budaya Dalam Era Pandemik 2020 E-Prosiding Naradata 2020. Pusat Pengajian Bahasa Tamadun dan Falsafah Universiti Utara Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.
Muflti Wilayah Persekutuan Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-355: Hukum Menggantungkan Ayat-Ayat Suci Al-Quran Di Rumah. Retrieved from https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad- fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/3941-irsyad-al-fatwa-siri-ke-355-hukum-menggantungkan- ayat-ayat-suci-al-quran-di-rumah 2020.
Muhammad Widus & Abdulloh Salaeh. (2020). Kaedah kawalan dan rawatan pandemik taun dalam al-quran dan hadis. Conference: Seminar Antarabangsa Islam Dan Sains (Sais2020). At:
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). USIM Press.
Muhd Norizam Jamilan & Shaiful Bahri Md Radzi (2015). Kesusasteraan Melayu tradisional sebagai wadah komunikasi massa: suatu analisis. Jurnal Komunikasi, 31(2), 183-194.
Norhayati Rusli. (2013). Taun. Retrieved from http://www.myhealth.gov.my/taun-2/.
Paxton, E. H., Wayment, H. & Cragg, K. (2006). The Days. Cairo Press.
Syahrin Harahap. (1994). Al-Qur’an Dan Sekularasi: Kajian Kritis Terhadap Pemikiran Taha Husain. Tiara Wacana.
Taha Husain. (1938). Mustaqbal. Matba’ah al-Ma’arif.
Taha Hussein. (2010). Al-Ayyam. Al-Hayyat Al-Misriat Al- ‘Amat lil Kitab.
Wan Rohani Wan Mokhtar. (2012) Penggunaan uslub khabari dalam Al-Quran: Kajian terhadap Surah Yasin. Disertasi Sarjana, Universiti Malaya.