• Tidak ada hasil yang ditemukan

RIHLA AL-TETUANIA ILA AD-DIYAR AL-FARANSIA”

MUHAMMAD AS-SAFFAR: PENGEMBARA MAGHRIBI KE

PENGENALAN

Abad ke-19 menyaksikan pertembungan dunia Barat dengan wilayah Islam bertambah agresif selari dengan tuntutan era modenisasi demi memenuhi keperluan Revolusi Industri. Perancis, Sepanyol dan British sebagai pemain kuasa besar ketika itu meluaskan jajahan mereka ke wilayah Arab terutamanya di Afrika Timur iaitu Mesir, Tunis, Algeria dan akhirnya Maghribi. Maghribi sebagai wilayah perdagangan maritim yang bebas mandiri dari naungan kerajaan Uthmaniyyah turut terpalit dengan penjajahan kuasa luar Perancis kerana terlibat memberi bantuan ketenteraan dalam peperangan kepada wilayah jiran, Algeria. Natijahnya, Maghribi terikat dengan perjanjian selepas kekalahan perang dan tunduk pada negosiasi Perancis pada 1844 Masehi selepas Mesir, Tunis dan Algeria. Atas faktor ini, setiap wilayah diarahkan menghantar delegasi duta (ambassador) ke Paris, ibu kota Perancis bagi proses memeterai perjanjian dan perundingan bersama Raja Perancis. Setiap kedutaan yang dipersembahkan diwakili oleh ilmuan, sarjana, pegawai kerajaan serta ulama, maka terdapat catatan penting perjalanan rihla kumpulan ini ke dunia Barat sebagai rujukan tanah air.

Akhirnya, abad ini mencetuskan genre penulisan pengembaraan (travel writing) terbaru iaitu naratif kedutaan (embassy narratives) oleh Rifa’at al-Tahtawi dari Mesir, Khayr al-Din al-Tunisi dari Tunis dan akhir sekali Muhammad al-Saffar dari Maghribi.

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif menerusi kaedah penganalisian teks. Pengkaji menggunakan dua proses dalam menjalankan kajian ini iaitu kaedah pengumpulan data dan kaedah penganalisian data. Pengkaji menggunakan bahan-bahan pembacaan kepustakaan bagi aspek pengumpulan data. Data-data yang dikumpul adalah melalui sumber-sumber yang berautoriti seperti artikel, jurnal, buku, kertas prosiding dan tesis. Data-data yang dikumpulkan telah disaring dan dibahagikan mengikut tema berdasarkan kaedah tematik.

Latar Belakang Muhammad As-Saffar

Nama penuh beliau adalah Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Abd Allah As-Saffar Al-Andalusi (asal-usulnya), Al-Tetuani (tempat lahir). Keluarga beliau datang dari suatu tempat bernama Jaen di Andalusia dan bapanya mempunyai laqab, Al-Jayyani. Sepertimana tokoh sezaman itu, tarikh kelahiran beliau tidak diketahui begitu juga kisah awal kehidupannya. Namun, rumah kelahiran beliau masih kekal wujud sehingga kini di Tetuan berbentuk bangunan dua tingkat mewah dengan hiasan dalaman mengagumkan. Ini memberi maksud bahawa As-Saffar lahir dari keluarga ternama dan berkedudukan dalam masyarakat. Keluarga As-Saffar berhijrah ke Tetuan mengikuti gelombang imigran yang melarikan diri dari peristiwa Reconquista pada akhir abad ke-15 Masehi.

Golongan ini terdiri dari Muslim Sepanyol yang membina kubu di Tetuan sebagai kem ketenteraan bagi mengatur serangan semula kearah kerajaan Kristian Sepanyol. Perbahasan atar belakang

Muhammad A-Saffar meliputi bandar kelahiran, pendidikan dan kerjaya awal, misi delegasi, serta fasa penggabungan dengan Makhzan (R. Gibb, 1965).

a) Bandar Kelahiran

Setiap bandar di Maghribi mempunyai keunikan tersendiri dan bandar Tetuan sangat dekat di hati As-Saffar sehingga dinukilkan dalam bentuk puisi di rihla, tanda cinta yang mendalam ke atas tanah air. Ia terletak di hilir sungai antara gunung-ganang serta menghadap terus lautan Mediterranean bersama dengan Tangier, bandar terdekat di tanah tanjung Maghribi serta semenanjung Gibraltar. Kedudukannya yang strategik menjadikan ia lokasi perdagangan antarabangsa dengan kehadiran pedagang asing, sibuk dengan aktiviti perniagaan dan pasar serta kekayaan bandar ini mengundang campur tangan pemerintah dan kekacauan pihak tertentu. Pada 1820 Masehi, puak fanatik Mulay Ibrahim masuk ke dalam kota dan merampas urusan pelabuhan Martil dan rumah milik Sultan kerana protes kepada Mulay Sulayman yang dilantik sebagai pewaris takhta. Di waktu yang lain, Sultan sendiri sewenangnya merampas kekayaan pedagang Tetuan yang dirasakan terlalu besar. Namun, kekayaan itu sebenarnya adalah sebagai persediaan kepada warga Tetuan dengan pelayaran yang lebih jauh ke Eropah dan keselamatan yang tak terjamin oleh lanun (Ahmed Rhoni, 1998).

Selain itu, Tetuan juga mempunyai pesaing terdekat dari dunia Barat iaitu wilayah Ceuta yang merupakan pengkalan dunia Barat di Maghribi sejak dari tahun 1415 Masehi. Bermula dari taklukan Portugis, kemudian jatuh ke Sepanyol pada 1580 Masehi dan akhirnya milik British.

Dengan keberadaan wilayah Kristian ini, bandar Tetuan dibangunkan pertahanan ketenteraan dan askar khas sebagai persediaan kepada peperangan. Pada 1791 Masehi, satu siri serangan telah dibuat ke atas Ceuta oleh Mulay Yazid bersama pengikutnya dengan melanggar perintah ayahnya, Muhammad III namun tidak berjaya. Kekuatan ketenteraan di Tetuan bertambah agresif dengan pendudukan golongan tarikat sufi Darqawa pada akhir abad ke-18 Masehi. Mereka membuka beberapa zawiyah di dalam bandar dan sentiasa bersedia untuk peperangan jihad melawan puak Kristian. Maka, inilah beberapa latar belakang kehidupan As-Saffar di Tetuan: bandar yang melimpah ruah dengan barang mewah, lokasi urbanistik dengan pedagang kaya-raya, pos ketenteraan bagi perang suci serta tumpuan aktiviti keagamaan dengan pertumbuhan zawiya.

Suasana rencam ini membentuk jati diri As-Saffar terutamanya semasa berkhidmat di bawah Makhzan (kerajaan Maghribi) (Ahmed Rhoni, 1998).

b) Pendidikan Awal

As-Saffar memulakan pendidikan awal di Tetuan di bawah para sheikh kemudian melanjutkan ke institusi Qarawiyyin bersama sahabatnya, Muhammad Aziman, qadi atau hakim di Tetuan kemudiannya. Di sana, beliau mendalami ilmu hadith, undang-undang dan tatabahasa Arab selama lebih 8 tahun dengan ulama terkenal, Ibn ‘Abd Al-Rahman al-Hujrati di masjid. Di sesi petang, beliau turut serta kelas tambahan yang diadakan dalam aspek gaya dan retorik (balaghah) untuk menguasai kesusasteraan Arab. Pada tahun 1836 Masehi, beliau pulang ke Tetuan dengan gelaran

faqih menunjukkan kecemerlangan beliau dalam bidang undang-undang dan legislatif. Status kedudukan beliau juga berubah kepada khassa (elit) berbanding amma (kebiasaan) dalam masyarakat Maghribi. Berkat permintaan guru-guru hebat beliau, As-Saffar terus ditempatkan di dalam institusi mahkamah Tetuan dengan kuasa mengesahkan kontrak antara dua pihak, menentukan pihak bersalah dan menjadi saksi hakim dalam beberapa kes. Walaupun dalam kesibukan urusan penghakiman, beliau masih berkesempatan mengajar ilmu hadith, perundangan, muamalat dan hubungan sosial di masjid-masjid. Beliau selesa dengan tugasan kehidupan dalam pentadbiran mahkamah dan menyampaikan ilmu pada orang ramai. Di Tetuan juga, beliau mendirikan rumah tangga bersama Sharifa al-Mubaraka, anak kepada muazzin masjid dan dikurniakan 2 orang cahaya mata perempuan (Al-Kattani, 1898).

c) Misi Delegasi

Kehidupan As-Saffar berubah mencabar selepas penggabungan diri beliau dalam pentadbiran bersama gabenor Tetuan, Muhammad Ash’ash dan kemudiannya anaknya, ‘Abd Al-Qadir Ash’ash.

Beliau terhalang dari acara penyampaian ilmu dan menjadi penasihat gabenor atas kemampuannya dalam ilmu bahasa Arab dan perundangan Islam. Namun, desakan ke atasnya berlaku apabila Sultan Maghribi memerintahkan agar setiap gabenor menggaji jurutulis untuk surat menyurat dalam urusan rasmi. Satu petikan menyebut:

When [As-Saffar’s] first letter arrived at the court, the Sultan was greatly pleased and said, “At last Ash’ash has taken on a secretary!”.

Selepas kekalahan Morocco pada Perancis pada tahun 1844 Masehi, Sultan memerintah gabenor Ash’ash ke bandar Paris dengan membawa bersamanya seorang ‘alim untuk perbincangan soal keagamaan, As-Saffar secara tidak langsung dipilih menyertai. Di Perancis, beliau menyaksikan kehidupan tamadun Eropah dipenuhi dengan kemewahan, keajaiban dan beberapa perkara janggal.

Keterbukaannya melihat suatu perkara dicatat dengan penuh ketelitian bagi membawa persoalan- persoalan penting kepada Sultan. Setelah 50 hari berada di sana, As-Saffar kembali semula ke Tetuan dan menyambung tugas semula disamping menggabungkan catatan rihla beliau bagu laporan delegasi kepada Sultan (N. Cigar, 1981).

d) Penggabungan Dengan Makhzan (Pentadbiran Pusat)

Pada tahun 1850 Masehi, fasa kehidupan As-Saffar bertukar tragis apabila Sultan mengeluarkan perintah penangkapan gabenor Ash’ash beserta pengikutnya. As-Saffar memilih untuk melarikan diri ke Zawiya Fasiya bagi mencari perlindungan kerana menjadi adat Maghribi bahawa makam para wali tempat adalah suci dan tidak boleh diganggu mereka di dalamnya. Nasib As-Saffar sangat baik kerana Sultan mengingati jasa beliau dalam penulisan rihla manakala gabenor Ash’ash serta keluarga dan hartanya ditangkap juga turut dirampas. Akhirnya, gabenor Ash’ash dibebaskan dan dipindahkan ke Meknes sehingga akhir riwayat beliau pada 1865 Masehi. Fasa kehidupan As- Saffar seterusnya adalah berkhidmat di pejabat kerajaan pusat, Makhzan. Beliau diberi kepercayaan oleh Sultan untuk mendidik keluarga diraja termasuk pewaris takhta, Sultan Hasan I. Beliau hidup

dalam kerangka istana sehinggakan mengimami solat di dalamnya pada kebanyakan waktu. Ini menyebabkan beliau adalah penasihat istimewa di sisi Sultan. Kemudian, beliau naik dilantik sebagai Menteri Pertama (wazir al-awwal) pada akhir pemerintahan Sultan Abd Al-Rahman dan ianya adalah jawatan tertinggi di dalam kerajaan. Dalam ketidaktentuan politik mengikut selera nafsu Sultan, As-Saffar menjalankan tugas dengan terbaik bagi mengekalkan jawatan sedia ada.

Kredibiliti beliau semakin kuat selepas Sultan memecat salah seorang menteri yang dibuktikan melakukan salahlaku pada tadbir urus perbendaharaan kerajaan. Hatta, sewaktu kejatuhan Sultan Abd Al-Rahman pada tahun 1859 Masehi, As-Saffar memangku pentadbiran kerajaan sementara sebelum pemilihan pewaris seterusnya, Sultan Muhammad IV (Ahmed Rhoni, 1998).

As-Saffar kekal di jawatan tertinggi sepanjang pemerintahan Sultan Muhammad IV diikuti dengan Sultan Hasan I sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1881 Masehi. Kesetiaan dan seni bicara beliau menyebabkan kariernya bertahan sehingga pengakhiran hidup berbanding pegawai kerajaan lain tersungkur di pertengahan jalan politik. Beliau jatuh sakit semasa mengikuti Sultan dalam rombongan dan dikebumikan di Marakesh, berdekatan makam Sidi Yusuf bin Ali, salah seorang wali terkenal. Jenazahnya ditempatkan di situ oleh Sultan sebagai penghargaan kepada khidmat lama beliau dalam kerajaan. Ironinya, kehidupan beliau di Makhzan lebih dikenali dan diingati berbanding penulisan pengembaraan ke Perancis. Tiada catatan lebih lanjut mengenai kesan penulisan rihla terhadap kehidupan serta kerjayanya atau kepada polisi luar Maghribi terhadap Perancis sedangkan reformasi di Barat menjadi hal terpenting bagi dunia Arab. Apa yang dapat disimpulkan adalah kemahiran As-Saffar terhadap pemerhatian dan menggambarkan situasi dalam penulisan rihla membuktikan kualiti serta kebijaksanaan seorang ilmuan layak ditempatkan di kedudukan tertinggi dalam kerajaan Makhzan. Bagi memahami hubungan pengalaman pengembaraan dan kisah hidupnya, penulisan travelog beliau travelognya “al-Rihla al-Tetuania Ila ad-Diyar al-Faransia haruslah diamati (Ahmed Rhoni, 1998).

Travelog Diplomatik “Al-Rihla Al-Tetuania Ila Ad-Diyar al-Faransia

a) Latar Belakang Manuskrip

Manuskrip asal rihla As-Saffar telah dikenalpasti sekitar tahun 90-an di dalam koleksi arkib diraja di Rabat, Maghribi. Arkib ini menyimpan dokumen-dokumen penting negara yang masih lagi belum dikaji dan diproses untuk kajian. Namun, manuskrip bertarikh abad ke-19 Masehi berkaitan As-Saffar telah dikenal pasti oleh sarjana Maghribi, Si Muhammad Al-Manuni. Ianya mempunyai 139 halaman serta ditulis dengan baik dalam khat Maghribi. Struktur travelog ini menggabungkan penulisan klasik serta beberapa elemen moden. Sebagai seorang jurutulis terkenal, beliau mencatatkan pemerhatian sebenar, puisi, kata hikmah, hadith dan ayat Al-Quran, pepatah, gurauan, anekdot dan gaya kesusasteraan Arab dalam rihla beliau. Kajian teks As-Saffar ini kali pertama dikaji untuk disertasi peringkat kedoktoran di Jabatan Sejarah, Universiti Michigan, Amerika

Syarikat pada tahun 1976 Masehi oleh Prof. Dr Susan Gilson Miller. Akhirnya, teks ini berjaya diterjemah sepenuhnya dalam bahasa Inggeris pada tahun 1992 Masehi kemudian menjadi rujukan untuk terjemahan kepada bahasa Arab pada tahun 2007 oleh Khalid bin Saghir (Abdullah Inan, 1980).

b) Sipnosis Travelog

Travelog terbahagi kepada 6 bahagian, dimulai dengan prolog, kemudian diikuti 4 bab dengan huraian subjek lalu diakhiri dengan epilog. Pendahuluan travelog mengandungi puji-pujian kepada Allah, Rasulullah, Sultan Maghribi serta dinyatakan maklumat terperinci peserta delegasi. Selain itu, info geografi tempat-tempat persinggahan disebut mengikut metod Ibn Khaldun lalu berakhir dengan luahan emosi As-Saffar terhadap pemergian beliau meninggalkan tanah air. Bahagian seterusnya berkisar perjalanan beliau setelah tiba di pelabuhan Marseille menaiki kereta api dan kereta kuda menuju ke Paris dalam masa beberapa hari. Beliau menyatakan keterujaan terhadap kepantasan mobilisasi pengangkutan serta keselamatan perjalanan berbanding situasi di Maghribi.

Teknologi kereta api menggunakan kapal wap merupakan suatu keajaiban bagi As-Saffar sehingga dicatatkan sekecil-kecil perkara di dalamnya. 3 bahagian atau bab berikutnya adalah perbahasan yang paling meluas dalam travelog As-Saffar.

Beliau mencatatkan segala maklumat kota Paris dari segi pentadbiran, sosial, ekonomi, perincian wanita, pusat pendidikan, kemajuan teknologi, pemikiran saintifik masyarakat, etika makan dan lain-lain. Pertemuan wakil delegasi Maghribi dan Raja Perancis digambarkan dengan kekaguman terhadap sistem ketenteraan dipersembahkan di hadapan mereka. Akhir sekali, bab penutup merupakan bab terpendek dengan keganjilan catatan terhadap pendapatan serta kira-kira wang kota Perancis dan diakhiri dengan istighfar oleh As-Saffar atas kelemahan dalam penulisan travelognya (S. G. Miller, 1992).

Rajah 1: Itinerari perjalanan Muhammad As-Saffar ke Paris

Sumber: kitabweb-2013.forumarc.net

Rajah 2: Manuskrip asal rihla Muhammad As-Saffar yang tersimpan di Arkib Diraja, Rabat

Sumber: kitabweb-2013.forumarc.net c) Signifikan Travelog

Untuk mengetahui signifikan travelog As-Saffar, kita harus menelusuri peristiwa yang berlaku pada Maghribi sebelum delegasi diutuskan. Umum mengetahui kekalahan terburuk Maghribi dalam perang oleh satu kuasa besar membuka minda dan mata pemerintah terhadap dunia luar. Di samping mengakui kelemahan dalam kemajuan ketenteraan, dunia Arab mengagumi kehebatan tamadun Eropah dalam segenap aspek kehidupan. Dengan duta yang dihantar ke Paris dan melihat dengan mata kepala akan ketamadunan Eropah, dunia Arab mencari kunci dan jawapan ke arah pemodenan dan agenda reformasi di negara sendiri. Pemergian As-Saffar bertujuan menyediakan satu bentuk jawapan kepada persoalan Sultan mengenai keghairahan terhadap rahsia kemampuan dunia Barat.

Namun, bagi As-Saffar dan warga Maghribi, semuanya kelihatan asing lalu catatan delegasi seolah menjadi penulisan pengembaraan bertemakan budaya Eropah dari segenap aspek dan tidak tertumpu pada ketenteraan sahaja (S. G. Miller, 1992).

Semua perkara dianggap penuh keajaiban dan tanda tanya sehinggakan As-Saffar sukar menamakan sesuatu yang belum wujud di dunia Arab seperti keretapi. Dengan mengetahui sisi luar dan dalam sesuatu tamadun, As-Saffar mewakili wilayah Maghribi mampu mengenalpasti pembaikan dan kemajuan yang diperlukan terutama soal ketenteraan dan hal berkait polisi hubungan luar memandangkan kuasa besar Perancis aktif dalam aktiviti kolonisasi wilayah Islam.

Setelah pembantaian Perancis di wilayah Tangier, penulisan pengembaraan As-Saffar tidak dipengaruhi perasaan dendam dan amarah sebaliknya catatan deskriptif dan teliti mengagumi sisi- sisi sosial Barat di samping mengakui tahap kemajuan dunia Arab.

Inilah kekuatan seorang faqih, ulama dan hakim yang menyampaikan maklumat secara objektif, tidak bias dan seimbang dari naratif Occidentalisme (S. G. Miller, 1992).

Analisis Elemen Kesusasteraan Kembara

Dari perspektif ahli antropologi Paul Fussell (1980), sastera kembara adalah genre yang menghubungkan dua model persepsi, pertamanya adalah realiti, bukan khayalan dan dunia fizikal manakala keduanya adalah gambaran imaginatif. Kedua model perlu dijadikan rujukan dalam menghayati makna sebenar As-Saffar dalam rihla. Bagi kebanyakan pengembara, episod perjalanan menuju lokasi jauh merupakan perkara magis dan mengubah sisi hidup penulis. Ahli antropologi juga meyakini impak pengembaraan sangat besar kepada persepsi dan tingah laku manusia terutamanya tanpa sedar penulis berkemampuan membawa pembaca dari neraca kebiasaan (ordinary) kepada suatu masa dan tempat di luar jangkaan (extraordinary) batas pemikiran. Fussell turut menegaskan wujud struktur “tripartite” dalam kebanyakan travelog kembara melibatkan watak protagonis iaitu pertama, fasa meninggalkan asal-usul, keduanya fasa permulaan cabaran dan pengembaraan dan ketiga adalah fasa kepulangan watak dan kembali kepada tanah air.

Dalam rihla As-Saffar, fasa meninggalkan tanah air dari nada mendatar beralih ke peringkat emosi tertinggi dengan pengakuan keperitan dalam perpisahan serta bayangan minda penulis akan ketakutan kematian jauh dari tanah air akibat marabahaya dunia lautan. Klimaks emosi ditunjukkan dalam petikan As-Saffar sewaktu berlepas meninggalkan Tetuan:

“O my splendid Tetutan,” …. “will fate allow us to come home, and will we meet again…after the crashing waves, will we be reunited?”

Fasa kepulangan juga mengandungi elemen emosi yang sama. Kesamaran emosi dalam keadaan bercampur baur dengan kerinduan kepada insan tersayang, kembali kepada kehidupan norma serta melepaskan magis perjalanan namun tidak bersifat sentimental. Malah, As-Saffar melepaskan pesona pengembaraan di belakang dengan kembali pada tujuan asal rihla lalu mengakui kelemahan sebagai seorang faqih dengan ucapan:

“May God forgive me for what my hands have commited, for the repulsive abominations my eyes witnessed, and for the abhorrent blasphemies and confused mutterings of the misguided that my ears have heard.”

Fasa-fasa ini dipersembahkan bagi mengakui naluri manusiawi dalam setiap pembaca dengan kehidupan yang dipenuhi dengan pasang surut emosi. Hakikatnya, rihla ini akan dibaca secara khusus oleh Sultan dan warga Maghribi, maka penemuan As-Saffar dengan keajaiban “dunia baru”

harus disampaikan mengikut tradisi dan budaya setempat agar penulisan beliau kekal relevan dan diterima semua lapis masyarakat. Ia juga ditulis bagi menjaga nama baik gabenor Tetuan, Muhammad Ash’ash atas amanah dan kepercayaan yang diberikan. Oleh yang demikian, rihla As- Saffar harus menepati kualiti ilmu, penghormatan, ketepatan, gaya bahasa sastera serta format penulisan seorang jurutulis terbaik. Tidak hairan, kehidupan As-Saffar selepasnya diberi perhatian oleh Sultan dan kerajaannya (Valene Smith, 1989).

a) Elemen Penulisan Rihla

Persoalannya, apakah elemen penulisan yang meletakkan rihla As-Saffar dalam kualiti terbaik?

Pertamanya, As-Saffar perlu merujuk kepada tradisi klasik mengenai penulisan rihla dari Maghribi.

Kedudukan muslim Maghribi dan Sepanyol jauh dari tanah suci menyebabkan rihla sebelum ini dari kedua wilayah ini berkisarkan perjalanan menunaikan haji sebagai rujukan pembaca. Rihla haji merupakan suatu penulisan yang diangkat, menyerahkan diri kepada Allah, menempuh kesukaran perjalanan, dan mencapai kemuncak emosi serta tujuan hidup menziarahi Baitullah. Tradisi rihla ini mendapat tempat dalam masyarakat, mengandungi struktur tersusun terutamanya dalam bab prolog (pendahuluan) dan menjadi naratif pengembaraan terbaik yang diminati pembaca sebelum abad ke-19 Masehi (Graburn, 1989).

Berbeza dengan situasi As-Saffar, rihla Maghribi mencabar tradisi dari pengembaraan suci ke Haramain bertukar kepada perjalanan ke Dar Al-Harb (negeri kafir) yang jauh menyimpang dari hidup beragama. Pandangan dunia Arab terhadap Eropah pada ketika itu adalah serong dalam soal keagamaan dan merasakan cara hidup umat Islam adalah yang terbaik (religious superiority). As- Saffar menyedari perihal latar belakang ini dan mengemukakan formula masalih al-umma (kepentingan umat Islam). Dalam hujah beliau dalam prolog rihla, As-Saffar menyatakan Sultan memerintahkannya agar menjaga urusan umat Islam yang menyertai delegasi kedutaan. Di samping itu, sirah Rasulullah menghantar sahabat terbaik dalam urusan agama ke misi-misi luar wilayah digunapakai bagi menguatkan hujah. Ia bertujuan supaya kefahaman komuniti terhadap pengembaraan ini jelas dan mendapat persetujuan bersama setara dengan penerimaan rihla ke tanah suci. Seolah-olah, As-Saffar mencari titik persamaan dengan tradisi rihla silam biarpun destinasi pengembaraan jauh berbeza (Abu-Lughod, 1963).

Biarpun As-Saffar tidak pernah ke Eropah, namun beliau mempunyai asas ilmu organisasi sosial dan kenegaraan yang dipelajari dari sejarawan ulung Islam Maghribi abad ke-14 Masehi, Ibn Khaldun dalam kitabnya Muqaddimah. Kitab ini menjadi rujukan idea As-Saffar mengenai geografi, masyarakat dan pentadbiran politik. Ibn Khaldun sangat terkenal dengan konsep umran dan As-Saffar melihat bandar Paris sebagai model ketamadunan yang diidamkan oleh penteori sosial tersebut. Beliau juga menerima pakai idea Ibn Khaldun dalam kuasa politik bahawa setiap manusia diciptakan secara semula jadi dengan sifat pentingkan diri, agresif dan harus dikekang secara paksa. Oleh yang demikian, tamadun yang teguh dipimpin dengan kekuatan raja dan tentera serta kewangan mampan sebagai tiang pembinaan negara selamat. Teori Ibn Khaldun berkaitan organisasi sosial turut mendapat pemerhatian As-Saffar. Beliau mendapati landskap Paris dipenuhi dengan rumah dan bangunan, tapak industri bagi penyediaan pekerjaan, serta ladang-ladang yang diusahakan sebagai tanda kemajuan tamadun seperti yang dijelaskan dalam Muqaddimah.

Sehinggakan ucapan raja dari singgahsana di Paris juga adalah kriteria Ibn Khaldun dalam menentukan keabsahan kuasa politik seperti mana tradisi pemerintahan Maghribi. As-Saffar sangat kagum kerana melihat sebuah negara idaman Ibn Khaldun pada bandar Paris sebagai manifestasi

karya Muqaddimah dan ini menjadikan keterikatan rihla beliau dengan masyarakat Maghribi (Ibn Suda, 1962).

Seterusnya, “kualiti” rihla As-Saffar dalam menyandarkan huraian terperinci masyarakat Paris secara hampir sama dengan penulis Mesir, Rifa’at Al-Tahtawi dalam Takhlisnya. Persamaan dari segi gaya, format, perincian dan frasa perkataan boleh dikatakan berlaku plagariasm bagi standard Barat, namun dalam tradisi Islam hal ini menunjukkan kesahihan dari sumber dipercayai. Faktanya, keduanya berkongsi peranan yang sama sebagai alim memberi panduan spiritual kepada kumpulan delegasi Muslim walaupun tidak pernah berjumpa. Hal ini lebih mudah bagi As-Saffar merujuk Al- Tahtawi kerana tempoh 5 tahun berada di Paris adalah suatu pengalaman menakjubkan berbanding beliau sekadar 50 hari. Walau bagaimanapun, wujud limitasi kepada persamaan dua catatan kembara ini yang perlu diambil kira. Al-Tahtawi menuju ke Perancis pada tahun 1826 Masehi sedangkan gerakan reformasi sedang berjalan di bawah pemerintahan Muhammad Ali Pasha.

Pelbagai perubahan sedang dilakukan di Mesir manakala Maghribi masih belum dalam kesediaan perubahan walaupun selepas beberapa dekad. Sarjana Mesir telah banyak mengkaji dan berkomentar terhadap karya-karya ilmiah Perancis dalam pelbagai aspek terutama politik, falsafah, dan pembelajaran saintifik tetapi di Maghribi masih belum terlaksana. Misi Al-Tahtawi untuk menggesa agenda reformasi namun As-Saffar hanya catatan pemerhatian dan laporan kepada Mahkhzan. Analisis keseluruhan mendapati faktor-faktor tersebut menentukan hasil kerja rihla dan menjustifikasi perbezaan keduanya (S. G. Miller, 1992).

b) Dimensi Masa, Ruang dan Hubungan Sosial

Dalam menyelami makna perbezaan, terdapat suatu ketika apabila titik balas lemah (subdued counterpoint) di antara dunia dalaman dan luaran menjadi kedengaran pada pendengaran pembaca.

Dalam Tristes Tropiques karya Claude Levi-Strauss menyebutkan bahawa pengembaraan bermaksud perubahan (dislocation) dalam tiga dimensi: masa, ruang dan hubungan sosial. Bagi dunia abad pertengahan Muslim, mengikut Andre Miquel, pengembaraan ke wilayah non-Muslim mencipta suatu peluang tiada tandingan kepada melangkaui kesucian pengalaman harian dan mencabar imaginasi. Untuk memahami makna sebenar dinamika tentang pertembungan budaya, seseorang harus masuk ke dalam kesedaran minda pengembara terutamanya sewaktu menempuhi titik kekeliruan.

Contohnya, dimensi masa dirasai oleh As-Saffar dengan gangguan serta merta yang dicipta oleh jurang perbezaan teknologi pengangkutan Pernacis dan Maghribi. Beliau datang dari dunia di mana manusia berjalan kaki dan menunggang kuda dalam mod perlahan walhal saat di Perancis peralihan telah berlaku dari penggunaan haiwan kepada kuasa mekanikal. Di Maghribi, pengembara mengambil masa sejam untuk jarak 4 batu sedangkan dengan pengunaan kereta haiwan menjimatkan masa lebih drastik serta kelajuan tersebut dianggap luar biasa oleh As-Saffar. Dimensi ruang ketika perjalanan As-Saffar dari Marseille ke Orlean menaiki koc kereta api. Ia kelihatan seperti bilik petak dilengkapi perabot dan tidak dirasai kesan pergerakan kenderaan itu