• Tidak ada hasil yang ditemukan

JOM KURANGKAN PLASTIK Nizam bin Ijom

Dalam dokumen Penasihat. Ketua Editor. Editor Editor (Halaman 65-69)

Jabatan Sains

Penciptaan plastik telah dimulakan oleh Alexander Parkes di Birmingham, England pada tahun 1856 dan dipatenkan sebagai Nitrocellulose. Warga Amerika Syarikat, John Hyat telah menambah baik plastik menjadi lutsinar. Beliau menamakannya sebagai Celluloid pada tahun 1873. Namun begitu istilah plastik hanya mula digunakan pada awal abad kedua puluh. Plastik merupakan suatu polimer sintetik yang dicipta dan dipatenkan pada tahun 1907 oleh Leo Baekelite dengan nama “baekelite” atau bakelit yang keras, tahan haba dan bersifat penebat. Beliau turut memperkenalkan istilah plastik yang berasal dari perkataan Latin “plasticus” dan istilah Greek “plastikos” bermaksud sesuatu yang mudah dibentuk. Terma plastik bermaksud suatu produk yang dihasilkan daripada bahan sintetik berasaskan petroleum.

Botol dan beg daripada plastik digunakan dengan jumlah yang sangat tinggi. Sebanyak 480 billion plastik dilaporkan telah terjual hanya pada tahun 2016 di seluruh dunia. Dianggarkan satu juta botol plastik terjual setiap minit atau bersamaan 20 ribu botol setiap saat. Malangnya dari jumlah botol plastik yang terjual hanya separuh sahaja dikitar semula. Laporan yang diterbitkan oleh oleh United Nations Environment Programme (UNEP) bertajuk Single-use Plastic: A Roadmap for Sustainability menunjukkan sejumlah lima trilllion beg plastik digunakan setiap tahun. Sebahagian besarnya hanya digunakan sekali sahaja dan dibuang sebagai sampah atau bahan buangan.

Mantan Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, YB Yeo Bee Yin menyatakan Malaysia berada pada tangga pertama dalam rantau ASEAN dalam penggunaan plastik pada tahun 2019. Secara puratanya setiap penduduk negara ini menggunakan plastik melebihi tiga kali ganda purata penggunaan plastik di rantau ASEAN. Kajian yang dijalankan oleh Ipsos Sdn. Bhd. (Ipsos) mendapati bahawa setiap rakyat Malaysia menggunakan sebanyak 75 kg plastik dalam tempoh setahun dan ini merupakan satu jumlah yang amat besar dan membimbangkan. Penggunaan plastik yang amat banyak ini akhirnya dibuang sebagai sampah yang akan mencemarkan alam sekitar. Sampah plastik seperti beg plastik, pembalut barang, pembungkus gula-gula, cawan dan botol minuman plastik mengambil masa sehingga 1000 tahun untuk terurai. Botol plastik mengambil masa sehingga 450 tahun, sebaliknya kertas hanya memerlukan 4 hingga 6 minggu untuk terurai.

Kajian pencemaran plastik oleh sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Jenna R. Jambeck menunjukkan Malaysia berada pada tangga kelapan negara pengeluar sisa bu-angan plastik terbesar dunia pada tahun 2015. Pada tahun 2010, sebanyak 0.94 juta tan sisa plastik terbuang dengan 40 peratus dibuang di lautan. Malahan dikatakan semenjak tahun 1950-an lagi hanya sembilan peratus sahaja plastik daripada sejumlah 6.3 billion tan yaang dihasilkan. Lebih membimbangkan setiap tahun dianggarkan 8 juta tan sisa plastik dibuang ke sistem perairan seperti sungai dan terus ke lautan mampu memberikan kesan kepada hidupan marin dan manusia. Berdasarkan situasi yang semakin sukar dikawal, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres telah memberi amaran menjelang tahun 2050 plastik lebih banyak berbanding ikan di lautan. Dr. Rosazlin Abdullah, pensyarah Institut Sains Biologi Universiti Malaya menjelaskan peningkatan sisa plastik boleh memudaratkan ekosistem bumi di darat dan juga lautan termasuklah manusia. Plastik yang tidak mudah mereput akan pecah menjadi partikel kecil dan terurai apabila terdedah kepada sinaran ultraungu, oksigen, suhu tinggi dan aktiviti mikroorganisma dalam tempoh masa tertentu. Plastik yang pecah dan terurai dalam laut akan menjadi mikroplastik dan nanoplastik (saiznya lebih kecil daripada mikroplastik) yang akan membahayakan biodiversiti marin termasuk plankton, spesis ikan mengundang bahaya kepada kepelbagaian hidupan laut seperti plankton, plebagai ikan dan juga burung. Zarah plastik yang mengandungi bahan kimia akan menyerap ke dalam tisu haiwan seperti ikan yang merupakan sumber protein manusia. Memakan makanan laut yang dicemari mikroplastik dan nanoplastik boleh mengancam kesihatan manusia.

Kajian-kajian yang dijalankan mendapati mikroplastik dikaitkan dengan logam-logam berat seperti kadmium, plumbum dan kromium yang membahayakan kesihatan manusia. Bahan-bahan ini menyebabkan kanser, endometriosis, merosakkan sistem saraf dan pembiakan, mengganggu sistem endokrin dan keimunan yang boleh menjejaskan pertumbuhan bayi. Bolehkah sisa plastik dikurangkan tanpa mencemarkan lautan? Suatu persoalan yang sukar dijawab. Sisa plastik jika dibakar akan membebaskan gas beracun yang berbau dan mencemarkan udara, akhirnya mengganggu kesihatan manusia dan ekologi. Tanpa disedari, pembakaran plastik boleh mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar melalui penipisan ozon dan menyebabkan perubahan iklim global.

Menghentikan penggunaan plastik secara drastik adalah sukar. Ini akan menjejaskan industri penghasilan plastik dan mendapat tentangan daripada pengilang. Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia (MPMA) umpamanya telah mencadangkan program yang lebih menyeluruh seperti mengurang, mengguna semula dan mengitar semula plastik berbanding menghentikan penggunaan plastik apabila kerajaan negeri Pulau Pinang melaksanakan hari tanpa plastik pada tahun 2009. Bermula tahun 2009 dan seawal tahun 2010 Pulau Pinang dan Selangor memulakan hari tanpa beg plastik untuk mengurangkan penggunaan plastik di pasaraya dan kedai-kedai runcit. Penjual akan mengenalkan caj 20 sen untuk setiap beg plastik pada setipa hari Sabtu di seluruh negeri Selangor, manakala di Pulau Pinang pada hari Isnin. Kutipan caj plastik ini akan dimasukkan dalam Tabung Amanah Kerajaan Negeri Selangor bagi membiayai program berkaitan alam sekitar. Memandangkan hari tanpa beg plastik telah menunjukkan kesan yang positif, mulai 2017 setiap hari diisytiharkan sebagai hari tanpa beg plastik di Selangor.

Kejayaan pelaksanaan hari tanpa beg plastik di Pulau Pinang dan Selangor telah diikuti oleh negeri-negeri lain. Melaka menetapkan hari Jumaat dan Sabtu sebagai hari bebas beg plastik pada tahun 2014, malah lebih awal menjadikan sepanjang minggu hari bebas beg plastik iaitu pada Januari 2016. Hari Sabtu dan Ahad sebagai hari bebas beg plastik pada Julai 2017 di Pahang. Manakala negeri terakhir melaksanakan hari tanpa beg plastik adalah Perlis mulai 7 Mac tahun ini. Negeri tersebut juga menetapkan dalam tempoh 2 tahun untuk mencapai hasrat setiap hari tanpa beg plastik. Di peringkat ASEAN, negara Brunei juga melaksanakan setiap masa bebas dari penggunaaan beg plastik pada tahun 2019. Kerajaan Singapura juga mengambil langkah kempen mengurangkan penggunaan beg plastik, penyedut minuman dan botol-botol plastik sejak tahun 2018. Ini kerana penduduk Singapura menggunakan 820 juta beg plastik di pasaraya, secara purata 146 beg plastik setiap rakyat. Hanya empat peratus sahaja yang dikitar semula. Langkah lain mengurangkan sampah plastik adalah kempen seperti Hari Alam Sekitar. Menyedari kepentingan meningkatkan kesedaran dan melindungi alam sekitar tarikh 5 Jun mulai tahun 1972 dipilih sebagai Hari Alam Sekitar Dunia yang disambut serentak di seluruh dunia dengan tema yang ditetapkan oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP). Bagi tahun 2018 tema “Menghapuskan Pencemaran Plastik” sangat bertepatan dengan situasi pencemaran plastik berada pada tahap membimbangkan.

diterajui Kementerian Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Kempen Hindari Penggunaan Plastik Sekali Guna dilancarkan sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2019. Kempen yang disasarkan kepada semua organisasi kerajaan sama ada di peringkat persekutuan, mahu pun di peringkat negeri termasuklah syarikat berkaitan kerajaan. Tujuan kempen adalah untuk menggalakkan kakitangan kerajaan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna melalui beberapa kaedah seperti menggantikan penggunaan beg plastik dengan beg yang boleh digunakan berulang kali seperti woven bag, membawa botol air sendiri, menghidangkan air dalam jag dan gelas, membawa bekas sendiri untuk membeli makanan dan sebagainya. Matlamat akhir kempen ini akan dapat diperluas kepada organisasi swasta seperti sektor perkhidmatan seperti sektor pembekalan makanan dan minuman (food and beverages) dan perhotelan.

Rujukan

Azrina Sobian. (2019). Perjuangan Menghentikan Penggunaan Plastik Sekali Guna. http://

www.ikim.gov.my/new-wp/index.php/2019/02/11/perjuangan-menghentikan-penggunaan -plastik-sekali-guna

Dziyaul Afnan Abdul Rahman. (2020). Sabtu Hari Tanpa Beg Plastik di Perlis. Berita Harian. 7 Mac 2020.

Kerajaan negeri Pulau Pinang. (2017) Garis Panduan Penguatkuasaan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik Percuma Negeri Pulau Pinang 2017. https://www.penang.gov.my/images/Garis% 20Panduan%20Bag%20Plastik%202.0%20Penguatkuasaan.pdf

Kerajaan Negeri Selangor. (2019). Garis Panduan Pelaksanaan Program Kutipan Caj Beg Plastik di Negeri Selangor.

http://www.mdsb.gov.my/sites/default/files/lampiran_3_-_selangor_am_garis_panduan_pelaksanaan_program_kutipan_caj_beg_plastik_di_negeri _selangor.pdf

FOMCA. (2019). Melestari alam sekitar tanpa beg plastik. http://www.fomca.org.my/v1/ index.php/fomca-di-pentas-media/543-melestari-alam-sekitar-tanpa-beg-plastik. Jabatan Alam Sekitar (2019). Kempen Hindari Penggunaan Plastik Sekali Guna. https://

www.doe.gov.my/portalv1/wp-content/uploads/2019/09/8.-Kempen-Hindari-Penggunaan -Plastik-Sekali-Guna.pdf.

Muhammad Yusri Muzamir. (2019). Tiada beg plastik di Pulau Pinang setiap Isnin. Berita Hari-an. 8 Jun 2019.

Nik Sukry Ramli. (2019). Semua Premis Perlu Jayakan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik. Berita Harian. 27 Jun 2019.

Reuters. (2020). Report: Malaysian Asia’s Big Plastics Consumers. New Straits Times. 17 Feb 2020.

MEMAHAMI JANGKITAN DAN KESTABILAN CORONAVIRUS DISEASE 2019

Dalam dokumen Penasihat. Ketua Editor. Editor Editor (Halaman 65-69)