• Tidak ada hasil yang ditemukan

BAB 4: PENDEKATAN ETIKA ISLAM

4.4 Garis panduan etika dalam Islam

4.4.1 Syariah .1 Definisi

4.4.1.4 Objektif syariah

k) Al-Istiṣḥāb

Al-Istiṣḥāb dari segi bahasa ialah menuntut pendampingan dan

kelangsungannya. Dari segi istilah ia bermaksud pengekalan hukum yang telah ditetapkan selagi tiada dalil yang mengubahnya.624 Contohnya seperti penjelasan bahawa hukum setiap perkara termasuk makanan, minuman, haiwan dan tumbuhan pada asalnya adalah harus. Oleh itu selagi tiada dalil yang mengharamkan penggunaan perkara-perkara yang disebutkan maka ia adalah diharuskan.625

4.4.1.4 Objektif syariah

Objektif syariah (maqaṣid al-sharīʻah) ialah makna atau tujuan bagi hukum-hukum yang telah ditetapkan dalam syariah.626 Matlamat utama syariah adalah bagi mendatangkan kebaikan (maṣlaḥah) dan mencegah keburukan atau kerosakan (mafsadah) kepada manusia di dunia dan akhirat.627 Perkara ini adalah selari dengan keterangan al-Quran mengenai tujuan para rasul diutuskan untuk memastikan manusia memperoleh kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Contoh ayat tersebut ialah ayat 165 surah an-Nisa’ yang bermaksud:628

Rasul-rasul pembawa khabar gembira (kepada orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.629

623 Ibid., hlm. 266. Lihat ayat 194 surah al-Baqarah.

624 Al-Zarkashi, M. (1992). Op. cit., (Jilid ke-6) hlm. 17.

625

Abd. Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin. (1997). Pengantar usul fiqh. Kuala Lumpur: Ilham Abati Enterprise.

626 Al-Zuhayli, W. (1986). Op. cit., hlm. 1017.

627 Al-Ghazali, A. H. (1992). Op. cit., (Jilid ke-2). hlm. 481-482; Ibnu Ashur, M. A. (2006). Op. cit., hlm. 8.

628 Al-Shatibi, I. M. (1999). Al-Muwāfaqāt fi uṣūl al-sharīʻah. Beirut: Dar al-Ma’rifah. hlm. 4.

Hukum-hukum yang ditetapkan dalam syariah adalah untuk kepentingan manusia. Dalam hal ini Abu Ishaq al-Shatibi menjelaskan dengan mengambil hukum berwuduk sebelum menunaikan solat sebagai contoh. Menurut beliau, hikmah wuduk ini disebutkan di dalam ayat 6 surah al-Maidah yang bermaksud: ‘…Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi berkehendak mensucikan kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.’630 Syariah memberi panduan kepada manusia untuk memenuhi keperluan mereka dengan cara yang terbaik dan sangat bermanfaat, iaitu supaya manusia dapat membina kehidupan berasaskan nilai-nilai yang baik dan menjauhkan mereka daripada nilai-nilai yang buruk.631 Keperluan manusia yang dititikberatkan dalam syariah tidak hanya melibatkan keperluan fizikal manusia sahaja seperti harta benda, bahkan juga keperluan spiritual seperti ketenangan jiwa dan kegembiraan selaras dengan keperluan manusia yang mempunyai entiti jasad dan roh.632

Memandangkan pandangan dunia umat Islam adalah berasaskan tauhid dan meliputi kehidupan dunia dan akhirat, maka mereka memerlukan syariah sebagai panduan untuk menentukan sama ada sesuatu perkara atau perbuatan baik atau buruk.633 Hal ini adalah kerana akal manusia mempunyai kemampuan yang terbatas serta terdedah kepada pelbagai pengaruh dan kepentingan di dalam menentukan suatu perkara dan tindakan. Oleh yang demikian, apa yang dinyatakan oleh sumber-sumber syariah sebagai maṣlaḥah adalah baik dan mendatangkan kebaikan, dan apa yang disebut sebagai mafsadah atau mendatangkan keburukan, maka ia tetap dikira sebagai buruk dan tidak mungkin dapat dipertikaikan lagi. Justeru penetapan sama ada sesuatu perkara

630 Al-Shatibi, I. M. (1999). Op. cit., hlm. 4.

631 Al-Maududi, A. A. (1979). Op. cit., hlm. 17 &160.

632

Chapra, M. U. (2008). The Islamic vision of development in the light of the maqasid al-sharī’ah. Herndon: The International Institute of Islamic Thought. Diperoleh Julai 20, 2010 dari

http://xa.yimg.com/kq/groups/21494039/1225285914/name/Umer+Chapra+-The+Islamic+Vision+of+Development+-+Umer+Chapra.pdf_%5BXyAx6b%5D.pdf. hlm. 3.

baik atau buruk dalam Islam adalah berdasarkan dalil-dalil syariah selain mengambil kira pandangan akal yang waras dan sihat.634

Abu Hamid al-Ghazali menjelaskan bahawa maṣlaḥah ialah perkara yang bermaksud untuk memelihara lima matlamat utama syariah iaitu menjaga kesucian dan ketinggian agama, menjaga keselamatan diri, menjaga kebaikan dan kecergasan akal fikiran, menjaga keturunan serta menjaga kesucian dan keselamatan harta benda.635 Kelima-lima perkara ini menurut Abu Ishaq al-Shatibi termasuk dalam kategori

ḍarūriyyāt iaitu keperluan asasi yang penting bagi manusia bagi menjamin

kelangsungan hidup serta menunaikan kewajipan agama dan memenuhi keperluan dunia dan agamanya. Jika perkara-perkara ḍarūriyyāt ini diabaikan, maka hidup manusia boleh musnah dan menderita di dunia dan akhirat.Hal ini adalah kerana segala urusan agama dan keduniaan dibina atas kelima-lima perkara ini dan hanya dengan memeliharanya segala urusan individu dan masyarakat berjalan dengan baik. Perintah untuk mengerjakan ibadah adalah untuk menjaga agama seperti solat fardu.636 Penjagaan agama juga bermaksud menjaga agama umat Islam daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan agama termasuk mempertahankan tanah dan kedaulatan negara Islam. Panduan syariah dalam perkara-perkara asas kehidupan manusia seperti makanan, minuman dan pakaian pula adalah untuk menjaga nyawa dan akal. Penjagaan nyawa manusia bermaksud menjaga nyawa manusia daripada bahaya dan kemusnahan sebelum ia berlaku seperti menghapuskan wabak penyakit. Seperti contoh, Umar al-Khattab r.a pernah menghalang tentera Islam daripada memasuki Syria kerana wabak taun telah tersebar di wilayah Amuas.637

634

Mohamad Che Wook. (n.d). Op. cit., hlm. 5.

635 Al-Ghazali, A. H. (1992). Op. cit., (Jilid ke-2). hlm. 482.Terdapat di kalangan ulama turut menambah perkara yang keenam iaitu menjaga kehormatan (dignity, al-Ird). Lihat Al-Qaradawi, Y. (1997b). Op. cit., hlm. 60.

636 Al-Shatibi, I. M. (1999). Op. cit., hlm. 7.

Penjagaan akal pula bermaksud menjaga akal manusia daripada perkara yang merosakkannya yang menyebabkan manusia tidak dapat berkelakuan dengan baik. Oleh itu meminum arak adalah haram dalam Islam.638 Ajaran Islam mengenai perhubungan sosial (muamalat) sesama manusia pula adalah bagi menjaga keturunan dan harta.639 Penjagaan harta bermaksud menjaga harta daripada dimusnahkan atau dipindahkan ke tangan pihak lain tanpa mendapat ganti rugi. Penjagaan keturunan iaitu mencegah daripada perkara-perkara yang dapat menyebabkan kelangsungan keturunan manusia terganggu dan boleh membawa kepada pengecilan populasi, seperti aktiviti homoseksual. Islam juga mengharamkan zina kerana ia boleh mendatangkan kekeliruan dalam hubungan antara anak dan ibu bapa serta menyebabkan anak-anak yang dilahirkan tidak mendapat penjagaan yang sebaiknya.640 Hal ini adalah kerana keturunan atau pertalian keluarga menjadi asas kepada pelbagai hukum, termasuk perwarisan harta, wali dan wasiat.641

Selain ḍarūriyyāt, terdapat dua kategori maṣlaḥah yang lain ialah ḥājiyyāt dan

taḥsīniyyāt. Ḥājiyyāt ialah perkara yang menghilangkan kesempitan atau kesukaran

yang pada kebiasaannya tidak membawa kepada kemusnahan diri.642 Ia memberi kemudahan kepada manusia dan ketiadaannya menyebabkan kesukaran dalam hidup. Contohnya, dalam perkara ibadah disyariatkan beberapa kemudahan seperti solat qasar dan jamak bagi orang yang bermusafir.643 Taḥsīniyyāt pula ialah perkara yang memperelokkan kehidupan manusia yang berkaitan dengan adat-adat yang baik dan budi pekerti yang mulia yang tidak membawa kepada kemusnahan dan kesukaran hidup, serta menjauhkan manusia dari perkara-perkara yang keji pada pandangan

638 Ibid., hlm. 117.

639 Al-Shatibi, I. M. (1999). Op. cit., hlm. 8.

640

Ibnu Ashur, M. A. (2006). Op. cit., hlm. 118-119.

641 Al-Khinn, M., Al-Bugho, M., & Al-Sharbaji, A. (1992). Al-Fiqh al-manḥaji ʻala mazḥab al-Imām al-Shāfiʻi (Jilid ke-4). Damsyik: Dar al-Qalam. hlm. 215.

642 Al-Shatibi, I. M. (1999). Op. cit., hlm. 9.

orang yang berakal.644 Contohnya, Islam menyuruh umatnya memakan makanan yang baik serta menjauhi makanan yang memudaratkan.645

Ketiga-tiga kategori maṣlaḥah mempunyai tertib keutamaan yang tertentu iaitu

maṣlaḥah yang paling penting untuk dilindungi ialah ḍarūriyyāt, kemudian ḥājiyyāt dan

seterusnya taḥsīniyyāt, seperti yang dijelaskan dalam rajah 4.3 di halaman sebelah. Hal ini bermaksud jika sesuatu perbuatan yang dilakukan untuk memelihara perkara ḥājiyyāt tidak boleh bertentangan atau didahulukan dengan perbuatan untuk memelihara perkara

ḍarūriyyāt. Dengan menggunakan hujah ini para ulama menetapkan bahawa harus

membuka aurat untuk tujuan perubatan kerana menutup aurat adalah perkara

taḥsīniyyāt, manakala menjalankan rawatan untuk menyelamatkan nyawa adalah

perkara ḍarūriyyāt. Kelima-lima perkara dalam kategori ḍarūriyyāt juga mempunyai tertib kepentingan iaitu pertama agama, kedua nyawa, ketiga akal, keempat keturunan dan kelima harta. Melihat kepada tertib ini para ulama merumuskan bahawa jihad mempertahankan agama adalah wajib walaupun ia mungkin menyebabkan kehilangan nyawa. Hal ini adalah kerana menjaga agama adalah lebih utama daripada menjaga nyawa.646 Abu Ishaq al-Shatibi menegaskan bahawa walaupun ketiga-tiga kategori ini mempunyai martabat yang tertentu, namun kategori ḥājiyyāt dan taḥsīniyyāt juga sebenarnya adalah untuk menjaga perkara-perkara ḍarūriyyāt.647 Dengan kata lain kesemua kategori maṣlaḥah mempunyai kaitan dan perlu dipelihara. Walau bagaimanapun, perkara ḍarūriyyāt adalah yang paling asas dan mempunyai keutamaan yang paling tinggi berbanding yang lain.648

644 Al-Shatibi, I. M. (1999). Op. cit., hlm. 9.

645 Hassan Ahmad. (1999). Maqasid syariʻah: Konsep dan pengaruhnya dalam pembentukan hukum. Dlm. Abdul Karim Ali & Raihanah Azahari (Eds.), Hukum Islam semasa bagi masyarakat Malaysia yang membangun (hlm. 61-72). Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. hlm. 66.

646 Zaydan, A. K. (2001). Op. cit., hlm. 382-383.

647 Al-Shatibi, I. M. (1999). Op. cit., hlm. 13.

Tertib keutamaan perkara asasi

Keu

tam

aan

Rajah 4.3: Tertib keutamaan kategori-kategori maṣlaḥah

Sebagai kesimpulan dapat dirumuskan bahawa syariah adalah peraturan bagi menjaga kebajikan manusia dan menghindarkan mereka daripada penderitaan di dunia dan di akhirat. Perkara-perkara yang terangkum sebagai kebaikan atau maṣlaḥah yang paling penting yang dipelihara oleh syariah ialah agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

4.4.2 Fiqh