• Tidak ada hasil yang ditemukan

Organisasi Sistem Pengurusan Pangkalan Data

SEMAK KENDIRI 5.5

5.10.2 Organisasi Sistem Pengurusan Pangkalan Data

Sistem pengurusan pangkalan data ada fungsi menguruskan data dan maklumat yang tersimpan di dalam pangkalan data. Ia boleh dianggap sebagai antara muka antara pengguna dan pangkalan data di mana ia bertindak sebagai pemudah cara yang membenarkan pengguna mencapai dan memanipulasi elemen data yang terdapat di dalam pangkalan data. Contoh sistem pengurusan pangkalan data untuk komputer peribadi adalah Microsoft Access, dBase V, FileMaker Pro, FoxPro, Visual Fox Pro dan Paradox.

Sistem pengurusan pangkalan data adalah berbeza daripada pengurusan fail secara tradisional. Pengurusan fail tradisional adalah sistem yang mengandungi

fail yang berasingan antara satu sama lain. Misalnya, fail pelajar dan fail kursus ditawarkan setiap semester adalah berbeza dan tidak berhubungan antara satu sama lain. Ini membuatkan pemprosesan menjadi sukar jika maklumat daripada beberapa fail diperlukan

Sebagai contoh, kita mempunyai satu rekod dan atribut seperti berikut: (a) Fail pelajar ă Nama, matrik, kad pengenalan jabatan;

(b) Fail pendaftaran kursus TZ1443 ă Matrik, nama, jabatan; (c) Fail pendaftaran kursus TU2983 ă Matrik, nama, jabatan; dan (d) Fail bilik pensyarah ă Nama pensyarah, no. bilik.

Melalui sistem fail tradisional, kita boleh berdepan dengan masalah dalam mendapatkan senarai nama pelajar berdasarkan jabatan atau senarai kursus yang diambil oleh pelajar kerana maklumat ada dalam tiga fail yang berasingan. Sistem pemprosesan fail tradisional ada kelemahan berikut:

(a) Pertindanan data ă Atribut data yang sama wujud berulang kali dalam fail yang berbeza;

(b) Masalah integriti data ă Data perlu dikemaskinikan dalam semua fail untuk memastikan ia konsisten secara keseluruhan; dan

(c) Masalah program dan kebebasan data ă Program dan data berhubungan rapat kerana data diwujudkan untuk diberikan kepada program.

Sistem pengurusan pangkalan data dibina untuk menyelesaikan masalah. Ia ada objektif berikut:

(a) Integrasi data daripada pelbagai sumber fail atau pangkalan data; (b) Mengelakkan pertindanan data;

(c) Perkongsian data antara aplikasi yang berbeza;

(d) Integriti data boleh disimpan untuk maksud keselamatan dan kebolehpercayaan; dan

(e) Data di dalam pangkalan data boleh diubah sebagaimana yang diperlukan. Di dalam pangkalan data, setiap fail mempunyai hubungan dengan fail lain. Hubungan antara fail dilakukan melalui medan utama. Dalam pangkalan data, kamus data menyimpan maklumat dalam data dan struktur pangkalan data. Dalam membina sebuah aplikasi pangkalan data, tujuh langkah berikut diperlukan, seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 5.17.

Rajah 5.17: Tujuh langkah membina aplikasi pangkalan data

Langkah-langkah ini biasanya dibincangkan dengan lebih terperinci dalam kursus Analisis dan Reka Bentuk Sistem. Sistem pengurusan pangkalan data diperlukan untuk membebaskan data dan program aplikasi dan membuatkan mereka tidak bergantung kepada satu sama lain. Ini akan memudahkan akses dan penyuntingan data, meminimumkan pertindanan data, mentakrifkan data, mengurus keselamatan data dan mengekalkan integriti data. Ia boleh dianggap sebagai lapisan perisian sekitaran pangkalan data. Perisian ini termasuklah bahasa pertanyaan, penjana laporan dan utiliti, dan grafik.

Sistem pengurusan pangkalan data ada beberapa kelemahan. Pertama, perisiannya adalah mahal. Untuk komputer peribadi, perisian sistem pengurusan pangkalan data bernilai antara RM1,000 hingga RM2,500 setiap satu. Perisian ini dikhususkan untuk pengguna tunggal dan mempunyai bilangan fail yang terhad yang boleh diwujudkan.

Untuk komputer kerangka utama seperti perisian pangkalan data yang digunakan dalam pendaftaran pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pendaftaran kereta di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau pendaftaran pesakit di Pusat Perubatan UKM, kos perisian DBMS adalah tinggi. Contoh sistem pengurusan pangkalan data dengan kapasiti tinggi adalah Sistem Pengurusan Pangkalan Data Bersepadu (Integrated Database Management

System ă IDMS), DB2, Oracle, Sybase dan Informix. Penggunaan sistem pengurusan pangkalan data memerlukan storan sekunder yang besar dan unit pemprosesan pusat berkuasa tinggi. Terdapat juga keperluan untuk kakitangan mahir untuk menguruskan perisian sistem pengurusan pangkalan data. Orang yang menguruskan sistem pengurusan pangkalan data dikenali sebagai pentadbir pangkalan data (database administrator ă DBA). Pembangunan sistem maklumat berdasarkan sistem pengurusan pangkalan data adalah lebih rumit, memakan masa dan mahal.

Walau bagaimanapun, sistem pengurusan pangkalan data adalah perisian teras bagi mana-mana organisasi, sama ada besar atau kecil, dalam menguruskan maklumat. Hampir semua organisasi besar dalam pelbagai industri menggunakan perisian sistem pengurusan pangkalan data untuk menguruskan maklumat. Sesetengah orang mengatakan bahawa organisasi tidak dapat berfungsi tanpa sistem pengurusan pangkalan data yang baik.

Ada tiga jenis hubungan yang boleh wujud di dalam pangkalan data  satu-ke-satu, satu-ke-banyak dan banyak-ke-banyak seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 5.18.

Rajah 5.18: Contoh tiga jenis hubungan

Sebagai contoh, mari kita lihat pangkalan data syarikat yang mengandungi ada pelanggan, fail jualan, fail inventori dan fail pembekal, seperti yang berikut: (a) Hubungan satu-ke-satu ă Satu data hanya boleh mempunyai hubungan

dengan satu data sahaja, contohnya, hubungan antara fail pelanggan dan fail jualan;

(b) Hubungan satu-ke-banyak ă Satu data boleh mempunyai hubungan dengan lebih dari satu data lain, contohnya, fail pelanggan dengan fail jualan, jika pengguna membuat banyak pembelian; dan

(c) Hubungan banyak-ke-banyak ă Satu atau lebih data boleh mempunyai hubungan dengan satu atau lebih data lain, contohnya, ramai pembekal boleh membekalkan banyak item barangan

Ada beberapa jenis organisasi pangkalan data. Ia terdiri daripada hierarki, berangkaian dan hubungan dan kesemuanya akan dibincangkan di sini.

Dalam pangkalan data hierarki, rekod disusun atau digabungkan dalam kumpulan berkaitan yang menyerupai pohon keluarga, iaitu konsep bapa dan anak. Pangkalan data ini berfungsi dengan baik jika ia mempunyai hubungan satu-ke-banyak. Strukturnya perlu ditakrifkan dari awal. Setiap anak hanya boleh mempunyai satu bapa dan tidak terdapat hubungan dalam kalangan anak-anak. Hubungan banyak-ke-banyak tidak dapat diwujudkan di sini. Jenis pangkalan data ini telah diperkenalkan pada tahun 1960an. Rajah 5.19 menunjukkan contoh pangkalan data hierarki.

Rajah 5.19: Contoh pangkalan data hierarki

Dalam pangkalan data rangkaian, setiap anak boleh mempunyai lebih daripada satu bapa. Aturan ini boleh dibengkokkan dengan mudah berbanding dengan pangkalan data hierarki tetapi terdapat had pada bengkokkan dan ia memerlukan definisi sebelum menggunakannya. Jenis pangkalan data ini boleh mempunyai semua jenis hubungan. Ia mula diperkenalkan pada tahun 1970an. Kedua-dua jenis hierarki dan rangkaian ini tidak digunakan secara meluas hari ini. Rajah 5.20 menunjukkan satu contoh pangkalan data rangkaian.

Rajah 5.20: Contoh pangkalan data rangkaian

Pangkalan data hubungan adalah pangkalan data yang paling stabil dan fleksibel. Model ini pertama kali diperkenalkan oleh E. F. Codd. Ia tidak memerlukan pentakrifan awal terhadap struktur pangkalan data. Data disusun dalam bentuk jadual dengan baris dan lajur. Nama diberi kepada setiap jadual dan setiap lajur. Setiap jadual diberi lajur yang unik, yang dikenali sebagai kunci utama. Kunci utama ini digunakan untuk menghubungkan jadual yang berbeza. Pangkalan data hubungan digunakan secara meluas pada masa kini. Rajah 5.21 menunjukkan satu contoh pangkalan data hubungan.

Rajah 5.21: Contoh pangkalan data hubungan

Dalam pangkalan data hierarki, berangkaian atau hubungan, data disimpan di dalam pangkalan data. Program untuk memproses data disimpan secara berasingan di luar pangkalan data. Walau bagaimanapun, terdapat pendekatan baru di mana data dan program disimpan di dalam pangkalan data secara serentak. Ini dikenali sebagai pangkalan data berorientasikan objek. Jenis pangkalan data baru ini belum digunakan secara meluas lagi. Sekarang, terdapat juga pangkalan data hubungan berorientasikan objek. Rajah 5.22 menunjukkan empat jenis organisasi sistem pengurusan pangkalan data.

Rajah 5.22: Empat jenis organisasi sistem pengurusan pangkalan data