• Tidak ada hasil yang ditemukan

KAJIAN LEPAS DAN SOROTAN KARYA

2.4 SOROTAN KARYA

2.4.6 Penyelesaian Konflik Dari Perspektif Islam

Bahagian ini membincangkan konflik yang berlaku dan penyelesaiannya dari perspektif Islam. Bagi memudahkan perbincangan, bahagian ini dibahagikan kepada tiga tumpuan. Pertama, konflik rumah tangga; kedua, konflik dalam peperangan; dan ketiga, penyelesaian konflik melalui syura.

2.4.6(a) Konflik Rumah Tangga

Penelitian juga dilihat kepada konflik yang berlaku di luar daripada ruang lingkup organisasi. Konflik juga boleh berlaku dalam institusi kekeluargaan. Karya-karya yang dihasilkan oleh penulis ke atas konflik rumah tangga dilakukan oleh Sri Lestari, (2012), Norzulaili Mohd Ghazali dan Wan Abdul Fattah Wan Ismail (2006), Azizah Hefni (2017) dan Qal’aji dan Qunaybi (1988).

Menurut Sri Lestari (2012), institusi rumah tangga atau keluarga merupakan unit sosial yang penting dalam pembangunan masyarakat. Menurut Norzulaili Mohd Ghazali dan Wan Abdul Fattah Wan Ismail (2006), membina sebuah keluarga yang bahagia merupakan impian setiap individu atau pasangan. Dalam hal yang tersebut, penyelesaian ke atas konflik rumah tangga diambil apabila si isteri atau si suami menangani situasi konflik yang berlaku ke arah yang berbentuk positif. Seterusnya, ia akan menghasilkan kesan yang boleh menguatkan lagi institusi rumah tangga.

113

Dalam satu kisah yang melibatkan sahabat Rasulullah SAW, iaitu Saidina Umar Khattab r.a yang dileteri oleh isterinya. Bagaimana seorang sahabat yang ingin mengadu masalah rumah tangga. Sahabat mendapati Saidina Umar hanya mendengar leteran tersebut sambil berdiam diri. Hal ini dijelaskan oleh Saidina Umar, isterinya juga mempunyai hak ke atas beliau. Oleh sebab alasan tersebutlah Saidina Umar bersabar dengan karenahnya. Tindakan Saidina Umar bukan disebabkan oleh takut kepada isteri beliau, tetapi ia merupakan kesabaran yang dimiliki yang mampu menahan emosinya (Azizah Hefni, 2017). Corak pengurusan konflik yang diambil oleh beliau dengan menghindari seolah-olah tidak wujudnya konflik telah berjaya mengekalkan keharmonian rumah tangga yang dibina selama ini. Hasil daripada perkara yang dilakukan oleh Saidina Umar ini, menunjukkan bagaimana pengurusan ke atas konflik rumah tangga dapat membentuk satu keluarga yang bahagia.

Sebab itu jugalah Saidina Umar dikaitkan dengan istilah diam itu emas (silent is golden) atas kesabaran yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Andai kata Saidina Umar mengambil langkah yang bertentangan arus, pasti akan berlaku kekecohan dalam hubungan suami isteri. Seterusnya, berkemungkinan akan menyebabkan sehingga berlakunya keruntuhan rumah tangga yang beliau bina bersama isterinya.

Dari ini dilihat kembali ke atas pengurusan konflik yang dikendalikan oleh Saidina Umar dalam menghadapi leteran isterinya, yang menggunakan kaedah yang konstruktif dalam membina sebuah rumah tangga yang bahagia. Dalam menyelesaikan masalah yang berkonflik dalam urusan rumah tangga, telah dinyatakan dengan jelas kaedah penyelesaiannya.

114

Islam menggariskan penyelesaian konflik antara suami dengan isteri kepada empat tahap. Pertama, menasihat; yang kedua, asingkan tempat tidur; tahap ketiga, pukul;

dan tahap yang terakhir sekiranya ketiga-tiganya tidak berjaya, ialah tahkim. Tahkim adalah tindakan pihak bertelagah melantik seseorang menjadi orang tengah yang akan berusaha menyelesaikan konflik yang berlaku. Karya yang diutarakan oleh Qal’aji dan Qunaybi (1988), mereka mendefinisikan tahkim sebagai kaedah persetujuan antara kedua-dua belah pihak yang berkonflik dengan cara menerima keputusan orang tengah.

Keempat-empat kaedah yang digariskan ini, merupakan tahap-tahap yang perlu diikuti dalam menyelesaikan pertelagahan. Islam mengajar umatnya menyelesaikan masalah dengan berhemah dan menggunakan pendekatan yang tidak berupa kekerasan dalam menyelesaikan masalah rumah tangga.

2.4.6(b) Konflik Dalam Peperangan

Perbincangan konflik dalam peperangan juga dibincang oleh penulis-penulis dalam karya mereka. Antara penulis tersebut adalah H.A. Hafizah (2004), Hamka (2006), Syed Ahmad Semait (1995), Ach. Fajruddin Fatwa (2012), Nurazmallail Marni (2003), Sulaiman Nordin (1996), Ali Shariati (1979), dan Mohd Yusoff Hashim (1992).

115

Kekacauan yang berlaku dalam arena antarabangsa yang melibatkan pertentangan kumpulan manusia dan agama juga dikaitkan dengan konflik. Antaranya cetusan konflik yang berlaku di negara-negara berkonflik seperti di Syria, Yaman dan Iraq.

Oleh yang demikian satu kesimpulan asas diperoleh iaitu konflik berlaku di mana-mana sahaja. Konflik tidak boleh dihentikan atau dibiar berlalu begitu sahaja.

Pada zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar yang memegang teraju negara Islam juga berlakunya konflik. Saidina Abu Bakar al-Siddiq menghadapi banyak tentangan disebabkan oleh konflik yang melibatkan golongan nabi palsu, golongan murtad dan golongan yang enggan membayar zakat. Penulisan oleh H.A. Hafizah (2004) menyatakan, dalam peringkat awal pemerintahan Abu Bakar, pelbagai kekacauan dan pemberontakan telah berlaku.

Menurut Hamka (2006), dalam mengatur pemerintahan Abu Bakar, meskipun tidak lama, beliau berjaya dalam menyelesaikan konflik yang berlaku. Dalam menangani pelbagai bentuk konflik yang dihadapi oleh Saidina Abu Bakar dalam masa yang sama, tetapi atas kebijaksanaan beliau berjaya menguruskan konflik tersebut melalui pelaksanaan perancangan strategik. Menurut Syed Ahmad Semait (1995), ketegasan siasat Abu Bakar itu meniti ke atas jalan yang benar. Dalam mengatasi Gerakan al-Riddat ini, Saidina Abu Bakar melaksanakan beberapa langkah awal sebelum mengambil tindakan terakhir, iaitu peperangan. Hal ini dilakukan demi memerangi kumpulan terbabit dan seterusnya menyelesaikan konflik yang berlaku. Menurut Ach. Fajruddin Fatwa (2012), pembentukan ketenteraan dalam Islam adalah disebabkan oleh kewujudan gangguan, tentangan dan juga serangan dari pihak lawan.

116

Namun demikian terdapat juga dalam sejarah Islam yang menunjukkan kemusnahan dalam perhubungan diakibatkan oleh konflik. Antara sejarah yang diketengahkan ialah konflik yang terjadi antara Saidina Ali dengan Saidina Muawiyah. Pertelagahan antara kedua-dua belah pihak telah menyebabkan peperangan dan pepecahan dalam kalangan umat Islam. Bagi menyelesaikan konflik yang dihadapi, majlis takhim diadakan. Karya yang dihasilkan oleh Nurazmallail Marni (2003) menyatakan peristiwa tahkim merupakan salah satu peristiwa yang bersifat kontrovensional dan menarik untuk dikaji.

Menurut Nurazmallail Marni (2003) lagi, terdapat pelbagai pandangan dan tafsiran mengenai peristiwa yang disebabkan oleh pengaruh serta kesan yang begitu besar kepada sejarah, sehingga munculnya golongan-golongan lain seperti golongan Khawarij dan Syiah. Dalam pada itu, Sulaiman Nordin (1996) pula menyatakan, hasil daripada konflik yang berlaku inilah terbentuknya golongan berfahaman Syiah dan golongan ahli Sunnah, dan ia diikuti dengan pembentukan beberapa fahaman yang lain. Hakikatnya, kaedah pengurusan konflik yang diambil lebih kepada kaedah persaingan telah menyebabkan konflik yang timbul menjadi lebih parah.

Jika dianalisis, peperangan dan pembunuhan antara manusia diharam dalam ajaran Islam. Islam melarang umatnya daripada mencipta konflik yang menyebabkan pertumpahan darah antara manusia. Lebih-lebih lagi pertumpahan darah sesama saudara seagama. Dalam Islam, peperangan merupakan langkah terakhir sekiranya konflik tidak boleh diatasi dengan cara yang lain seperti diplomasi dan perbincangan.

117

Dalam Islam, darah adalah halal untuk dibunuh apabila terdapat ancaman yang melibatkan kepentingan agama dan bukannya apabila terhasilnya konflik yang melibatkan kepentingan peribadi.

Penulisan yang diutarakan oleh Ali Shariati (1979), beliau melihat peristiwa mengenai Habil dengan Qabil sebagai sejarah pertama yang melibatkan pertentangan antara manusia. Bagaimana pertentangan atau konflik yang berlaku antara kedua-dua anak Nabi Adam tersebut berakhir dengan kematian apabila Habil mati dibunuh oleh Qabil. Dalam pertentangan tersebut, Qabil menggunakan kaedah pengurusan konflik secara persaingan dan seterusnya menyingkirkan pesaingnya, iaitu dengan cara pembunuhan. Menurut Ali Shariati (1979), pertelagahan yang berlaku antara Habil dengan Qabil bukanlah hanya melibatkan perbalahan antara adik-beradik kerana merebut seorang gadis, tetapi pertelagahan tersebut mewakili pertelingkahan antara dua pihak dalam masyarakat.

Allah SWT menyeru agar konflik yang timbul antara dua orang Islam hendaklah diselesaikan dan mencari pendamaian. Mohd Yusoff Hashim (1992) mengatakan:

“It has often been remarked that the Islam made a great cultural and intellectual impact on the indigenous population who became Muslim. Basically, the concept that ’all Muslims are brothers’

became the principle for the solidarity of Muslim society whether its members were local Muslims or Muslims from Arabia, Persia or Southern India.”

Natijahnya hal ini menunjukkan wujudnya semangat ukhuwwat antara sesama Islam tanpa mengira kedudukan, bangsa, kebudayaan atau warna kulit. Atas semangat persaudaraan inilah wujudnya keinginan untuk menyelesaikan sebarang konflik yang

118

timbul bagi kebaikan bersama atas semangat sesama Islam. Peradaban Islam yang komprehensif telah membentuk satu jemaah yang berkongsi fahaman tepat yang berlandaskan falsafah, hikmah dan juga ajaran Islam yang lurus.

2.4.6(c) Penyelesaian Konflik Melalui Syura

Penakrifan ke atas konflik perlu diterapkan berlandaskan hukum-hukum yang telah ditetapkan Allah SWT. Dari perspektif Islam, apabila berlakunya konflik, syura perlu digunakan bagi menyelesaikan perbezaan yang berlaku. Syura merupakan proses perbincangan bagi mencari kebenaran dan juga membentuk persetujuan ke atas isu yang timbul menyentuh kepentingan individu atau organisasi. Kajian mengenai syura dilakukan oleh Mohd. Shahar Sidek (2008), Lunyka Adelina Pertiwi (2016) dan Muhammad Syukri Salleh (1998).

Penggunaan kaedah syura dibincang oleh Mohd. Shahar Sidek (2008). Beliau menjelaskan bahawa syura merupakan kaedah yang utama bagi penyelesaian masalah atau konflik jika berlakunya konflik dalam organisasi. Justeru, Islam menekankan konsep kepimpinan dalam pengurusan konflik. Menurut Lunyka Adelina Pertiwi (2016), syura merupakan asas komunikasi efektif dalam mengingatkan kembali mengenai prinsip ‘adl (keadilan) dan karamah (martabat).

Selanjutnya, Muhammad Syukri Salleh (1998) merumuskan konsep pengurusan Islam mengikut rangka yang disenarai. Pertama, rangka kerja pengurusan hendaklah berdasarkan kedudukan manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT di alam ini;

kedua, pengurusan itu hendaklah dijalankan secara kerjasama dan musyawarat

119

berdasarkan prinsip syura; ketiga, matlamat pengurusan menurut Islam ialah untuk mewujudkan satu tamadun unggul yang adil dan bersih daripada sebarang unsur yang dilarang oleh Allah SWT; dan keempat, matlamat kemuncak daripada sistem pengurusan Islam ialah untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Selain konsep syura, Islam juga menggariskan penyelesaian konflik melalui nasihat, irsyad dan tawsiyyat.