• Tidak ada hasil yang ditemukan

PERKEMBANGAN PENDIDIKAN MALAYSIA

Perkembangan pendidikan serantau menyaksikan hubungkaitannya dengan sejarah penerokaan, penjelajahan, penjajahan dan globalisasi. Sistem pendidikan dan pengisian kurikulum di negara-negara yang terbabit adalah mengikut acuan negara-negara yang dianggap „ibu‟ mereka. Berdasarkan Rajah 3.1 jelas dilihat pengaruh perkembangan pendidikan moden dibeberapa negara.

Continental Inggeris Islam

Perancis Jerman Inggeris Arab

Rusia Amerika Filipina, India Taiwan, Korea China Indochina,

Indonesia Jepun Malaysia, Singapura Rajah 3.1: Perluasan pengaruh pendidikan dan kurikulum moden dibeberapa negara di dunia

Berdasarkan Rajah 3.1, pendidikan di Malaysia difabrikkan oleh pengaruh luar seperti Pendidikan Islam dari tanah Arab dan India, Pendidikan Inggeris dari England, Pendidikan Cina dari Tanah Besar China dan Pendidikan Tamil dari Benua Kecil India. Hal inilah yang kemudiannya memunculkan sistem pendidikan vernakular (sekolah yang menggunakan bahasa pengantar yang mengikut bahasa ibunda) di Tanah Melayu dan kekal sehingga kini di Malaysia (kecuali pendidikan Inggeris) apabila Akta 1996 menjamin terus kewujudannya.

Dalam masyarakat tradisional yang serba ringkas dan mudah, pendidikan hanyalah satu keperluan hidup sebagai survival dalam masyarakat seperti memburu, bertani, bertukang dan nelayan. Dalam kelangsungan hidup berkeluarga dan bermasyarakat, pendidikan bertumpu kepada berbezaan gender dan status sosial dalam masyarakat. Kemahiran dan ilmu kewanitaan yang berkaitan dengan peranan anak perempuan, isteri dan ibu diwariskan kepada anak-anak perempuan. Mereka dididik untuk cekap memasak, mengurus rumahtangga, menjaga maruah dan kesopanan, mengaji al-Quran dan serba sedikit bertani & memelihara ayam itik sebagai keperluan. Manakala anak lelaki merupakan anak emas keluarga yang akan membawa nama keluarga. Mereka diberi pendidikan dengan ilmu keperwiraan untuk menjadi pahlawan yang tangkas, cekal dan mempunyai kepimpinan untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua

36 keluarga. Mereka juga diajar erti kehidupan yang lasak untuk mencari nafkah keluarga yang diwarisi dari bapa mereka sama ada bertani, bertukang ataupun nelayan yang lebih mahir. Kedua-dua anak sama ada lelaki atau perempuan diberi didikan yang sama tentang agama dan adat sehingga muncul ungkapan „Biar mati anak, jangan mati adat‟ dan „Agama dijunjung, adat dikelek‟.

Pendidikan berkaitan dengan status sosial dalam masyakat Melayu tradisional yang terus sebati sehingga sekarang sebenarnya tercipta dari peristiwa di Bukit Si Guntang apabila termeterinya perjanjian di antara Seri Teri Buana, raja yang memerintah dengan Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat jelata. Dari penjanjian itu lahirkan konsep „daulat‟ kepada raja dan „tulah‟ kepada rakyat. Raja-Raja Melayu mempunyai daulat yang mesti dijunjung oleh semua rakyat di bawah naungannya. Mana-mana rakyat yang menderhaka kepada rajanya akan menerima tulah, akibat dari perbuatannya. Kerana itu pantang kepada rakyat menderhaka kepada rajanya. Sehubungan dengan itu muncullah ungkapan “Daulat Tuanku!”. Situasi seperti itu mesti dipatuhi dan diwariskan dari satu generasi kepada generasi yang seterusnya. Putera dan puteri raja diberi pendidikan di dalam istana mengenai adab-adab yang selayaknya sebagai anak raja. Bagi anak-anak pembesar pula seperti anak Bendahara, Temenggung, Bentara, Laksamana dan Syah Bandar, Orang Kaya-Kaya, Orang Besar menerima anugerah dari sultan atau raja untuk hidup dalam bayang-bayang istana. Mereka dari golongan rakyat biasa yang terpilih kerana kelebihan ilmu, kemahiran dan harta yang dimiliki. Rakyat jelata pula merupakan golongan hamba yang mesti taat setia, sedia menyumbang bakti kepada raja tanpa sebarang keraguan dan persoalan. Hal ini banyak dikisahkan dalam buku-buku seperti Sejarah Melayu, Misa Melayu dan Hikayat Hang Tuah sebagai rujukan, teladan dan iktibar.

Perkembangan Kerajaan Melayu Melaka yang pesat meliputi sebahagian besar Alam Nusantara telah menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan antara bangsa pada abad ke-14. Melaka telah bertukar menjadi pusat pendidikan terbuka di rantau sebelah timur. Pelbagai ilmu dipelajari dan dimanfaatkan seperti ilmu perdagangan dan perniagaan, pengurusan pelabuhan, perundangan, komunikasi antara bangsa, keagamaan dan sebagainya lagi. Institusi-institusi pendidikan semakin berkembang bermula dengan istana dan rumah individu dan kini muncul madrasah dan sekolah pondok. Selanjutnya syiar Islam berkembang meluas ke seluruh Melaka dan tanah jajahan takluknya di rantau nusantara.

Perkembangan pendidikan agama Islam memerlukan kurikulum sebagai pengisiannya. Apa yang nyata, kurikulum yang dipentingkan ialah aspek fardu ain dan fardu kifayah yang bersumberkan al-Quran, al-hadis serta kitab-kitab yang dibawa dari tanah arab dan Mesir. Perkara-perkara yang dipelajari ialah pengajian al-Quran, hadis, fiqh, tauhid dan tasawuf. Pengajarnya pula terdiri dari para saudagar dan pedagang serta pendakwah Islam dari timur tengah. Mereka ini bergelar Sayyid, Sheikh atau Maulana. Dalam Sejarah Melayu dikisahkan perihal Pendita Maulana Abu Ishak dari Mekah yang arif dalam ilmu Tasawuf. Beliau kemudiannya telah mengarang sebuah kitab agama iaitu kitab Duri‟l-Mazlum dan mengajarkannya kepada Maulana Abu Bakar serta meminta agar isi kandungan kitab tersebut diajarkan kepada rakyat Melaka. Keperihatinan sultan terhadap pendidikan agama Islam telah menyebabkan para pembesar istana turut mendalami dan mengamalkan ajaran agama Islam dalam kehidupan mereka. Pendidikan berkembang menerusi kaedah kuliah, syarahan, perbahasan, penyoalan dan sebagainya lagi. Satu kisah yang menggambarkan keadaan tersebut diceritakan di dalam Sejarah Melayu.

“Arakian Sultan Mansur Syah pun menitahkan Tun Bija Wangsa ke Pasai, bertanyakan satu masalah. Segala isi syurga itu kekalkah ia di dalam syurga; dan segala isi neraka itu

Perkembangan pendidikan Islam di Melaka memberikan impak yang sangat besar kepada sistem tulisan. Tulisan Arab telah dijadikan asas kepada pembentukan tulisan Jawi sebagai media penulisan bahasa bersurat dengan mengambil tambahan dari huruf dalam tulisan Parsi dan Barbar. Tulisan Jawi tersebut telah memainkan peranan besar bagi mengikat perpaduan satu bahasa meliputi seluruh bangsa Melayu di alam Nusantara.

Perkembangan Melaka sebagai pusat tamadun timur yang pesat dalam aspek ekomoni, sosial dan agama Islam tidak disenangi oleh kuasa-kuasa barat. Kuasa-kuasa barat ini kemudiannya berazam untuk menjajah kuasa timur ini. Sebenarnya kerajaan Melayu tidak tewas jika berhadapan dengan kekuatan. Hal ini terbukti dengan kejayaan Melaka mengekalkan keamanan dari ancaman Majapahit, Siam dan China. Malah dalam beberapa siri serangan Portugis ke atas Melaka yang diketuai oleh Laksamana Diego Lopez de Sequiera pada tahun 1509 mereka tewas dalam keadaan yang memalukan dan kembali semula ke Goa. Pada tahun 1511, Portugis di bawah pimpinan Alfonso de Albuquerque dengan kekuatan 16 buah kapal perang, bilangan tentera yang ramai dan senjata yang lebih hebat telah menyerang Melaka. Melaka sebenarnya tidak tewas kepada kuasa Portugis. Contohnya serangan Portugis pada 25 Julai 1511 dapat dipatahkan. Hanya serangan pada 24 Ogos 1511, barulah Melaka dapat ditawan dan memaksa Sultan Mahmud meninggalkan Melaka. Sebenarnya Melaka tidak tewas kepada Portugis tetapi ditewaskan oleh anak bangsa sendiri yang menderhaka, bacul dan tidak patriotik seperti si Kitul yang bersekongkol dengan kuasa penjajah tersebut. Melaka tewas dan terus dijajah silih berganti selepas Portugis tewas kepada kuasa Belanda pada tahun 1641 dan kemudiannya diserahkan kepada Inggeris pada tahun 1824 berikutan dengan Perjanjian Inggeris-Belanda. Melaka bagaikan perumpamaan gajah sama gajah bertarung, pelanduk mati di tengah-tengah. Maruah orang Melaka hilang kerana negeri hilang daulat dan menjadi barang pertukaran dengan Betawi di Indonesia di antara Belanda dan Inggeris. Inggeris meluaskan jajahan takluknya menggunakan kepintaran hujah dan menerusi penjanjian dengan raja-raja Melayu, satu demi satu negeri-negeri di Tanah Melayu jatuh kepada Inggeris bermula dengan Pulau Pinang pada tahun 1786 dan berakhir dengan Johor pada tahun 1914. Tanah Melayu terbahagi kepada tiga kumpulan politik dan wilayah iaitu Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan) dan Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu (Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor).

Perang Dunia Kedua menyaksikan tumbangnya kuasa barat dan Tanah Malayu menjadi jajahan takluk Jepun pada 15 Februari 1942, yakni 10 minggu selepas tentera Jepun mendarat di Kota Bahru, Inggeris menyerah kalah setelah menjajah selama 156 tahun mulai 1786. Asia untuk Asia, itulah slogan Jepun yang kemudiannya mentadbir Tanah Melayu secara “pecah dan perintah”. Jepun mengambil orang- orang Melayu dan India untuk bekerja sebagai polis dan kerani pentadbiran. Manakala kala orang orang Cina mengalami kekejaman kerana disyak menyokong penentangan Jepun di China dan Tanah Melayu. Pendidikan era Jepun lebih kepada indoktrinasi ideologi negara Jepun. Tetapi peristiwa ini memberi pengajaran kepada rakyat tempatan bahawa metos „keagungan orang kulit putih‟ dan „kuasa barat tidak boleh dikalahkan‟ adalah tidak benar. Apabila Jepun menyerah kalah pada pertengahan Ogos 1945, maka kuasa Inggeris dijemput untuk terus mentadbir Tanah Melayu bagi menghadapi ancaman Komunis Malaya yang mengambil alih kuasa pemerintahan negara selama lebih kurang lima minggu sehinggalah pada akhir September 1945. Ibarat mengantuk disorongkan bantal, British menjajah semula Tanah Melayu atas dasar membantu mentadbir. Hal ini kerana Tanah Melayu sangat bernilai kepada Britain. Oleh yang demikian, British mesti mengekalkan kuasa demi kepentingan mereka. Britain sebenarnya telah bankrupt pada akhir perang dunia kedua dan terpaksa menjual £1.1 bilion dari pelaburan seberang lautnya bagi menangung hutang asing sebanyak £3.4 bilion. Jelaslah bahawa Tanah Melayu sangat penting bagi pemulihan ekonomi Britain. Walau bagaimanapun keadaan selepas perang menyebabkan kesedaran politik dalam

38 kalangan rakyat Tanah Melayu telah meningkat dan menuntut kemerdekaan yang tulen dari segi ekonomi dan politik. Pendidikan telah menggerakkan ke arah literasi dan penyusunan gerakan tuntutan kemerdekaan secara teratur dan sistematik. Akhirnya tanggal 31 Ogos 1957, Tanah Melayu diisytiharkan merdeka. Seterusnya pada September 1963 pembentukan negara Malaysia dilaksanakan apabila negeri Sabah dan Sarawak menjadi ahli dalam kumpulan negeri-negeri di Malaysia.

Hal ini menunjukkan bahawa Malaysia pernah dikuasai (dijajah dan dinaungi) oleh kuasa asing selama 500 tahun. Selama tempoh itulah pelbagai kuasa barat (Portugis, Belanda dan Inggeris) dan kuasa Jepun telah mencorakkan landskap pendidikan yang ada di Tanah Melayu. Kejatuhan empayar dan kerajaan Melayu Melaka kepada kuasa penjajah Portugis, Belanda serta Tanah Melayu kepada Inggeris telah meruntuhkan kegemilangan tamadun Melayu dalam politik, ekonomi, sosial, budaya, agama dan pendidikan. Dari segi politik hilangnya sebuah negeri berdaulat dengan sistem kerajaan beraja di Melaka. Dalam ekonomi pula, Melaka hilang peranannya sebagai sebuah pelabuhan dan pusat perdagangan antarabangsa. Hirarki struktur politik dan sosial juga berubah kerana negara diperintah melalui sistem Residen. Apa yang ada kepada orang melayu ialah adat Melayu dan agama Islam. Selain daripada politik dan sosial, masyarakat Melayu kehilangan kebudayaan dan warisan tempatan dan digantikan dengan budaya barat. Sektor ekonomi orang-orang Melayu juga semakin terpinggir apabila sistem ekonomi berbentuk komersil diperkenalkan seperti pertanian ladang, perlombongan dan perindustrian. Perkembangan agama Kristian berlaku pesat apabila mubaligh-mubaligh mendapat dana untuk membangunkan gereja-gereja dan sekolah-sekolah yang bercirikan agama Kristian. Perkembangan agama Islam terbantut dan terhalang. Jika sebelum itu Melaka terkenal sebagai pusat pengajian agama Islam di rantau sebelah timur, penjajahan telah menyebabkan hilangnya peranan itu.

Era penjajahan Portugis dan Belanda menyaksikan perkembangan pendidikan terbantut. Pentadbiran Portugis mengambil sikap tidak peduli dan tiada inisiatif untuk membangunkan dan mengembangkan pendidikan untuk penduduk. Nasib lebih malang berlaku terhadap pendidikan agama Islam apabila perkembangannya terhalang. Penjajahan oleh kuasa Inggeris pula dengan segala muslihat dan kepintarannya telah dapat mengubah senario struktur politik dan pentadbiran, sosial dan kebudayaan, ekonomi, agama dan pendidikan di Tanah Melayu. Hal ini kerana penjajahan Inggeris telah menguasai Tanah Melayu secara keseluruhannya bukannya Melaka semata-mata. Orang Melayu tiada kuasa politik kerana yang berkuasa pada waktu itu ialah Gabenor dan Residen Inggeris. Pusat pentadbirannya di India dan rajanya ialah Ratu di England. Panggilan untuk mereka ialah „Sir‟. Maknanya orang Melayu khadam dan orang Inggeris adalah tuan besar. Untuk mengekalkan status ini maka Inggeris menanamkan ideologi tersebut menerusi pendidikan. Pendidikan digunakan sebagai alat kawalan sosial bagi mengukuhkan kuasa Inggeris melalui dasar „pecah dan perintah‟. Bagaimanakah dasar ini boleh dilaksanakan tanpa penentangan dari penduduk?

Inggeris telah memulakan langkah pertama dengan alasan ekonomi. Dikatakan penduduk Melayu tidak suka bekerja dan malas. Oleh itu mereka terpaksa membawa masuk buruh asing untuk bekerja dalam semua sektor ekonomi dengan alasan untuk membantu mengembangkan ekonomi. Hal sedemikian dinyatakan oleh Steinberg;

“Keadaan orang-orang Melayu yang berkedudukan berselerak dan penglibatan mereka dalam satu susunan sosial yang tradisional berdasarkan kekampungan dan pengusahaan tanah bermakna tidak ramai orang-orang Melayu boleh didapati atau sanggup bekerja sebagai buruh bergaji yang sangat diperlukan untuk mempercepatkan perkembangan eksport-eksport perdagangan dan kemudahan-kemudahan tambahan baginya”. (Arasaratnam, S. (1970). Indians in Malaysia and Singapore. London: Oxford University Press. Pg 10-20).

Betulkah orang-orang Melayu malas dan tidak sanggup bekerja?

Inggeris mendapati adanya penawaran tenaga buruh yang murah dan boleh diperas keringatnya dari beberapa negara seperti China, India, Sri Langka dan lain-lain lagi. Pada waktu sama, keadaan di negara berkenaan adalah huru hara, peperangan dan bencana alam yang menyebabkan berlakunya kemelaratan dan kebuluran dalam kalangan rakyatnya. Inggeris hanya mementingkan ekonomi dan mempastikan jentera ekonomi bergerak dengan cekap. untuk berkhidmat sebagai askar & polis, orang Sikh dari Punjab, India dan orang Gurkha dari Nepal dibawa masuk. Manakala untuk bekerja disektor perlombongan bijih timah, maka orang-orang dari negara China dibawa masuk. Sementara untuk memajukan sektor perladangan getah dan buruh kasar maka orang-orang dari negara India dibawa masuk. Manakala untuk perladangan teh, orang-orang dari Sri Langka turut dibawa masuk. Kemasukan buruh asing telah meningkatkan sumber kewangan Inggeris yang digunakan untuk memajukan England. Rakyat tempatan dapat apa? Mengikut Roff (dalam Haris Md. Jadi, 1990) Di antara 1875 hingga 1900, Inggeris telah mengaut harta dari Tanah Melayu (Negeri-Negeri Selat) secara berlipat ganda dari setengah juta ringgit (Mata wang Negeri-Negeri Selat) kepada 15.5 juta ringgit. Manakala nilai eksport meningkat dari 3.3 juta ringgit kepada lebih 60 juta ringgit. Selain dari perubahan ekonomi, pengambilan masuk warganegara dari negara China, India, Nepal, Sri langka telah mengubah pola demografi di Tanah Melayu. Hal ini dapat dilihat menerusi banci penduduk pada tahun 1911, 1921, 1931 dan 1947.

Jadual 3.1: Jumlah penduduk Tanah Melayu mengikut pecahan kaum (1911 – 1947)

Tahun Jumlah

Penduduk

Peratus Bilangan Penduduk

Melayu Cina India Lain-lain

1911 2,672,800 51.0 33.0 11.0 5.0

1921 3,358,054 49.2 35.0 14.0 1.8

1931 4,385,346 44.7 39.0 14.2 2.1

1947 5,846,900 43.5 44.7 10.2 1.6

Sumber: Nordin Selat (1976) dan You Poh Siang (1965)

Berdasarkan jadual tersebut Tun Dr. Mahathir Muhamed semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia pernah berkata melalui ucapan beliau pada tahun 2002 iaitu;

“Semasa zaman penjajahan, para penjajah tidak menghiraukan masalah sosial. Demi untuk membantu mengeksploitasi ke atas kekayaan tanah jajahan, ramai pekerja asing dari tanah jajahan lain dibawa masuk. Demografi kemudiannya berubah.”

Apakah yang boleh anda tafsirkan dari data penduduk dan kenyataan Tun Dr. Mahathir tersebut?

Dasar pecah dan perintah yang dirancang oleh Inggeris berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Hal ini kerana kesemua penduduk yang ada di Tanah Melayu diasingkan mengikut ekonomi dan pekerjaan. Kaum Melayu dengan sektor pertanian sara diri di kampung-kampung. Manakala kaum Cina diletakkan di kawasan perlombongan bijih timah seperti di Lembah Kinta & Larut dan Lembah Kelang di bawah pengawasan Kapitan. Kaum India pula di bawah pengawasan pegawai Inggeris untuk bekerja di lading- ladang getah, buruh binaan dan pengendalian keretapi. Mengapa orang-orang Melayu dikekalkan di sektor pertanian sara diri, nelayan dan bertukang? Orang-orang Melayu dileka dan dilenakan supaya tidak

40 bersusah payah kerana digula-gulakan dengan ungkapan „orang Melayu adalah tuan‟. Inggeris telah belajar tentang hal ehwal orang Melayu. Orang-orang Melayu hanya akan marah dan bangkit menentang kalau berlaku tiga perkara. Pertamanya apabila agamanya (Islam) dicaci cerca. Keduanya apabila bangsa & adat Melayu dihina. Ketiga ialah apabila perbuatan menderhaka terhadap Raja-Raja Melayu. Kepelbagaian kaum yang terdapat di Tanah Melayu memunculkan istilah „masyarakat majmuk‟ yang ditakrifkan oleh Furnivall (1948) seperti berikut;

“Dalam erti kata yang sebenarnya, satu adukan, kerana mereka bercampur tetapi tidak mesra. Setiap kumpulan berpegang kepada agama mereka, kebudayaan dan bahasa mereka, idea-idea dan cara mereka. Sebagai orang perseorangan mereka berjumpa tetapi hanya di pasar, apabila berjual beli. Terdapat sebuah masyarakat majmuk dengan bahagian masyarakat tinggal sebelah menyebelah tetapi terpisah dalam satu unit politik yang sama. Hingga dalam bidang ekonomi terdapat pembahagian tenaga buruh mengikut garis-garis kaum”. (Furnivall, J.S. dalam Mohd. Haris, 1990)

Pembentukan masyarakat majmuk tersebut telah memberikan kesan penting dari segi politik, ekonomi dan pendidikan. Kepintaran Inggeris telah menggunakan pendidikan sebagai helah untuk memperkukuhkan cengkamannya terhadap kuasa politik tanah Melayu dan menguasai ekonomi negara. Bak Kata pepatah „telunjuk lurus, kelingking berkait‟ dan „mulut disuap pisang, buntut dicucuk onak‟. Menurut Mohd. Taib Osman (2002), falsafah pendidikan pada era penjajahan Inggeris adalah untuk mengisi tuntutan pentadbiran tanah jajahan dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dasar pertama yang menyokong falsafah ini ialah mendirikan sekolah rendah dan sekolah menengah yang bahasa pengantarnya bahasa Inggeris dengan kurikulumnya terhad kepada keupayaan menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira). Perkara ini dilaksanakan untuk membolehkan para pelajar memahami kesusasteraan Inggeris, Ilmu Alam, Sejarah, Ilmu Kesihatan dan menguasai hitungan (Ilmu Hisab, Geometri dan Algebra). Akhirnya pencapaian pelajar diiktiraf menerusi sijil peperiksaan daripada Universiti Cambridge. Bagi menunjukkan seolah-olah Inggeris perihatin terhadap masyarakat Melayu, sekolah-sekolah rendah yang menggunakan bahasa pengantarnya bahasa Melayu juga diadakan tetapi setakat darjah lima ditadbir di bawah pentadbiran Jabatan Pelajaran. Di manakah kedudukan pendidikan peringkat menengah untuk orang-orang Melayu berbanding dengan sekolah menengah Inggeris?

Jadual 3.2: Bilangan Sekolah Menengah Kebangsaan Melayu dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Inggeris 1958 - 1967

Tahun 1958 1959 1960 1961 1962 1963 1964 1965 1966 1967

Menengah Melayu - - - 22 338 304 298

Menengah Inggeris 148 151 156 171 231 247 271 421 423 408 Sumber: Malaysia, Educational statistics of Malaysia 1958 – 1967

Pentadbiran Inggeris tidak menyekat pertumbuhan sekolah-sekolah persendirian seperti sekolah- sekolah Cina yang dikendalikan oleh komuniti setempat. Sekolah rendah dan sekolah menengah persendirian Cina berkembang pesat khususnya di kawasan petempatan Cina iaitu di kawasan perlombongan yang kemudiannya bertukar wajah sebagai pusat pertumbuhan komersial yakni bandar- bandar seperti Ipoh, Taiping, Kuala Lumpur dan Seremban. Manakala bagi kaum India yang tinggal di ladang-ladang, pentadbiran Inggeris turut mengizinkan dan membantu membangunkan pendidikan pada peringkat rendah. Dengan kepelbagaian fabrik sekolah-sekolah yang ada maka sistem pendidikan pada

era penjajahan Inggeris bersifat „vernacular‟ (bermaksud bahasa pengantar yang digunakan ialah bahasa

ibunda).

Jelasnya, falsafah dan hala tuju pendidikan didasarkan kepada kepentingan Inggeris sebagai satu kuasa penjajah. Sistem pendidikan pada masa itu tidak bersifat kebangsaan kerana memang itulah yang menjadi hasrat dan matlamat Inggeris. Pendidikan ketika era penjajahan Inggeris dibangunkan secara terpisah dan terasing. Dari segi lokasi binaan bangunan sekolah keterasingan itu disengajakan mengikut kaum. Sekolah-sekolah Inggeris yang menggunakan model sekolah grammar di England ditubuhkan dan ditabdirkan oleh mubaligh Kristian di bandar-bandar kerana orang-orang Inggeris berada di bandar-bandar yang menjadi pusat pentadbiran. Sekolah Cina pula bersifat bebas, di mana Inggeris mengambil sikap tidak peduli. Sekolah Cina berkembang secara persendirian yang dibangunkan oleh kapitan, tauke dan pedagang di kawasan perlombongan bijih timah dan bandar-bandar di mana orang-orang Cina bekerja di kawasan perlombongan yang kemudiannya menjadi pusat perdagangan dan perniagaan. Akhirnya kawasan tersebut berubah wajah dan demografi yang menyaksikan ia bertukar menjadi bandar. Manakala sekolah-sekolah Tamil didirikan oleh pemilik ladang sebagai kemudahan anak-anak orang India yang bekerja di ladang-ladang getah. Di manakah lokasi sekolah-sekolah Melayu? Sekolah Melayu dibangunkan oleh Inggeris hanya terhad dikampung-kampung dan ditubuhkan oleh pentadbiran Inggeris berpandukan sekolah grammar dengan pengubahsuaian terhadap bahasa pengantarnya sahaja iaitu bahasa Melayu. Mengapa di kampung-kampung? Pentadbiran Inggeris menyatakan orang-orang Melayu senang berada di kampung halamannya, maka sekolah-sekolah mestilah sesuai dengan persekitarannya. Apa yang tersirat ialah penjajah Inggeris mahukan orang-orang Melayu terus kekal di kampung-kampung dengan mentaliti kekampungan, mengekalkan tradisi kampung dan memusuhi orang luar dari kampungnya.

Formula: Tiada interaksi + Tiada komunikasi = Sangsi.

Jurang dalam pendidikan semakin dilebarkan oleh Inggeris apabila setiap sekolah yang dibangunkan dalam lingkungan geografi yang berbeza turut mengambil khidmat guru-guru yang dibawa masuk dari negara asal kaum tersebut sebagai penutur asli. Guru-guru sekolah-sekolah Inggeris di bawa dari England, guru-guru sekolah Cina dari negara China dan guru-guru sekolah Tamil dari India. Begitu