Bahasa merupakan sesuatu yang dinamik, berubah dan memenuhi keperluan dan kehendak pengguna mengikut kesesuaian semasa. Jadi perubahan sedemikian tidak terkecuali juga kepada bahasa Hokkien Peranakan Kelantan yang mengalami perubahan dan anjakan kepada penutur dan pengguna bahasa tersebut yang sebahagian besarnya mengalami perubahan sosial.
Aspek pendidikan merupakan asas dan keperluan serta diberi perhatian utama dalam masyarakat di negara kita. Kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk prasarana, teknologi maklumat dan komunikasi serta anjakan pemikiran komuniti Hokkien Peranakan Kelantan khususnya memberi kesan kepada bahasa dan budaya kehidupan semasa. Konflik dua generasi mengundang persepsi berbeza tentang kesedaran dan kecintaan kepada bahasa Hokkien Peranakan Kelantan. Golongan berumur didapati amat sayang akan keunikan dan keindahan bahasa yang mereka warisi dan golongan muda terdedah dengan bahasa arus perdana sehinggakan wujudnya kemelut bahasa Hokkien Peranakan yang semakin hari semakin mencabar. Jadi senario ini perlu dipandang serius oleh semua pihak khususnya komuniti Peranakan Kelantan yang menghadapi dilema bahasa dan perlu diambil langkah yang bersesuaian ke arah memelihara dan memperkasa bahasa yang menjadi identiti etnik dan warisan budaya di negara kita.
Kesimpulan
Sebagai bahasa pertuturan antara etnik di Kelantan, bahasa Melayu dialek Kelantan banyak mempengaruhi bahasa Hokkien Peranakan Kelantan. Keadaan ini menggambarkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan yang utuh dalam kalangan pelbagai etnik di Kelantan khususnya dan di Malaysia amnya. Malah bukan sahaja aspek bahasa, aspek –aspek lain seperti budaya, sosial, ekonomi komuniti Hokkien Peranakan Kelantan sangat banyak diwarnai dan dipengaruhi oleh masyarakat Melayu. Keberadaan bahasa Melayu yang mantap dan teguh dari segi penggunaan pelbagai bidang kehidupan semasa dengan suasana persekitaran dan kehidupan masyarakat Melayu yang mesra, prihatin dan baik budi telah menjadikan bahasa dan budaya Melayu suatu eleman penting dalam interaksi sosial antara etnik. Perkara ini sangat penting untuk diberi perhatian dan perlu dijadikan fokus utama dalam mengekalkan keharmonian berbahasa dan kesepaduan etnik yang semakin hari semakin mencabar dalam meningkatkan martabat bahasa dan keutuhan hubungan interaksi sosial di negara kita. Semangat bermasyarakat dan perkongsian bijak melalui bahasa dan budaya seharusnya menjadi teras dalam kehidupan semasa di negara kita yang membangun dalam kepelbagaian etnik dan kerencaman budaya.
75
Bibliografi
Abdul Rahman Haji Ismail. 2001. Pensejarahan dan Pembinaan Tamadun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Carstens, Sharon. A. 1980. “Pulai: Memories of a Gold Mining Settlement in Ulu Kelantan. ” JMBRAS, Vol. 53, part 1.
Chinese Chamber of Commerce Kelantan. 1965. Cenderamata Ulang Tahun Ke-54 Dewan Perniagaan China Kelantan (in Chinese language). Kota Bharu.
Hanapi Dollah. 1986. Asimilasi Budaya: Kajian Kes Komuniti Cina di Kelantan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hikayat Seri Kelantan. Universiti Malaya Library collection, Kuala Lumpur (mikrofilm).
Graham, W. A. 1908. Kelantan: A State of the Malay Peninsular. Scotland: James Maclehose & Sons, Glasgow.
Kong Yuanzhi, 2000, Pelayaran Zheng He dan Alam Melayu, Bangi, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kenny Chee Sien Chen. “Sepintas Lalu Mengenai Sejarah Kampung Pulai.” Dewan Bahasa, Vol. 36, Num. 1.
Liang Liji. Lembaran Sejarah Gemilang: Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad ke -15. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Asri bin Hj. Muda. 1978. In the foreword for Majalah Peringatan Ulang Tahun Yang Ke-25 Sekolah Menengah dan Rendah Chung Hwa, Kota Bharu.
Mohd Shahrul Imran Lim Abdullah. 2011. “Sejarah Keperdagangan Masyarakat Cina Peranakan Kelantan dalam Alam Melayu.” Isu-isu Terpilih Sejarah Alam Melayu, Johor: Penerbit UTHM.
Middlebrook, S. M. 1999, Pulai: An Early Chinese Settlement in Kelantan.Kelantan Dalam Perpektif Arkeologi, Satu Kumpulan Esei, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.
Purcell, Victor. 1965. The Chinese In Southeast Asia. London: Oxford University Press. Purcell, Victor. 1967. The Chinese in Malaya. Singapore: Oxford University Press.
Rahmat Saripan. 1979. Perkembangan Politik Melayu Tradisional Kelantan, 1776-1842. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rentse, Anker. 1934. “History of Kelantan I. ” JMBRAS, Vol. 12, part II.
Sa’ad Shukri Hj. Muda. 1971. Detik-deti Sejarah Kelantan. Kota Bharu: Pustaka Aman Press.
Shahril Talib. 1995. History of Kelantan, 1890-1940. Monograph no.21, Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS).
Skeat, W.W. “The CambridgeUniversity Expedition to the North Eastern States, and to Upper Perak, 1899-1900.” JMBRAS, vol. 26, part IV, 1953.
76 Teo Kok Seong. “Chinese-Malay-Thai Interactions and the Making of Kelantan Peranakan Chinese Ethnicity,” dalam Michael J. Montesano and Patrick Jory (ed.) Thai South and Malay North” Ethnic Interactions on a Plural Peninsula.” Singapore: NUS, 2008.
Tweedie, M.W.F . 1953. “An Early Chinese Account of Kelantan.” JMBRAS, Vol. XXVI, Pt. I. Wheatly, Paul. 1961. The Golden Khersonese. Kuala Lumpur: University of Malaya Press. Winstedt, Richard. 1968. Malaya and Its History. London: Oxford University Press.
Wee Khoon Hock. 2002. Kelantan and the Chinese Kelantenese. Kelantan Zaman Awal: Kajian Arkeologi dan Sejarah, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.
77
8
Penyebutan Kata Bahasa Malaysia dalam Kalangan Pelajar Arab
Aida Shuhaida Mustafa
Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia Nibong Tebal, Pulau Pinang
Abstrak
Kajian ini merupakan kajian awal untuk melihat sebutan kata bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar Arab. Pelajar ini juga merupakan pelajar yang mengikuti kursus Bahasa Malaysia I (LKM 100) di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM). 13 pelajar Arab yang berasal dari Libya, Yaman, Iraq dan Palestin dijadikan sebagai responden untuk kajian ini. Data yang digunakan dalam kajian ini ialah data autentik yang diperoleh melalui rakaman audio visual. Bahasa ibunda pelajar Arab tersebut ialah bahasa Arab (BA) dan bahasa tersebut sememangnya lazim dijadikan kata pinjaman dalam bahasa Malaysia (BM) sejak berabad-abad lamanya. Namun, terdapat pengaruh perbezaan fonetik antara kedua-dua bahasa tersebut yang telah menimbulkan masalah sebutan kata BM dalam kalangan pelajar Arab. Justeru, data dikaji dengan meneliti unsur-unsur persamaan dan perbezaan antara fonem- fonem BM dengan BA. Seterusnya, kajian ini mengemukakan faktor-faktor yang menyebabkan kesilapan dalam sebutan kata bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar Arab. Kajian ini diharapkan dapat dijadikan sebagai panduan kepada pengajar dan penulis buku pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa Malaysia sebagai bahasa asing khususnya bagi kursus LKM 100 di USM.
Pengenalan
Pemerolehan bahasa merupakan proses perkembangan bahasa manusia. Pemerolehan bahasa kedua bertumpu pada perkembangan bahasa orang dewasa. Kajian terkini tentang pemerolehan bahasa dilakukan secara membandingkan sesuatu bahasa dengan bahasa yang lain. Sebagai contohnya, perbandingan antara bahasa Inggeris dengan bahasa Itali yang dilakukan oleh Antonella Devescovi dan lain-lain pada tahun 2003. Lazimnya, dalam usaha mempelajari suatu bahasa asing, seseorang itu akan terpengaruh dengan sistem bahasa ibundanya. Hal ini juga dialami oleh pelajar Arab yang mengikuti kursus Bahasa Malaysia secara formal selama tiga bulan di Universiti Sains Malaysia (USM). Bahasa ibunda pelajar Arab tersebut ialah BA dan bahasa tersebut sememangnya lazim dijadikan kata pinjaman dalam BM sejak berabad-abad lamanya. Namun, terdapat pengaruh perbezaan fonetik antara kedua-dua bahasa tersebut yang telah menimbulkan masalah sebutan kata BM dalam kalangan pelajar Arab. Kesilapan dalam sebutan kata BM mereka dapat dijangka dengan berpandu pada sistem bunyi BM dan BA. Kesefahaman terhadap sistem bunyi BA mereka ini akan dapat membantu pengajar untuk menyediakan bahan P&P yang terhala bagi mengurangkan kesilapan dalam sebutan kata BM dalam kalangan mereka.
Menurut Jack C. Richards et. al (1992), sebutan ialah cara sebutan bunyi atau bunyi-bunyi dihasilkan. Hal ini berbeza dengan artikulasi yang merujuk pada penghasilan sebenar bunyi-bunyi tuturan di dalam mulut iaitu sebutan yang lebih menekankan pada persepsi pendengar terhadap sesuatu bunyi. Dalam hal ini, sebutan bererti persepsi pelajar Arab terhadap bunyi BM dan cara mereka menyebutnya semula.
78 Kajian ini bertujuan memaparkan ciri-ciri pengaruh persamaan dan pengaruh perbezaan fonem-fonem yang menghalang mereka menyebut perkataan BM dengan betul. Fonem-fonem BM yang dimaksudkan ialah fonem konsonan, vokal, dan diftong. Kajian ini juga cenderung untuk menganalisis fonem-fonem BA yang digunakan untuk menyebut kata BM dan fonem-fonem tersebut tidak biasa digunakan dalam BA. Fonem-fonem tersebut ialah t∫ (c), g, p, ŋ (ng) dan ny. Didapati bahawa fonem t∫ disebut sebagai fonem s atau ∫ (sy), fonem g disebut sebagai fonem j. Bagi huruf p, pelajar didapati melakukan kesilapan kerana beranggapan fonem p sebagai b. Fonem ŋ dan ny pula disebut sebagai fonem n. Seterusnya, huruf yang mewakili dua fonem ialah e dan k. Selain faktor perbezaan fonetik, sistem ejaan, khususnya yang melibatkan dua fonem diwakili oleh satu huruf turut menyebabkan kesilapan dalam sebutan BM dengan membuat sebutan æ bagi ə, atau sebaliknya. Bagi huruf k pula pelajar melakukan kesalahan dalam sebutan fonem k lembut yang wujud pada akhir suku kata BM. Fonem ini disebut dengan fonem k keras, sama seperti fonem k yang terdapat pada awal suku kata BM.
Bagi mengkaji sebutan fonem-fonem BM dalam kalangan pelajar Arab, 13 pelajar Arab yang mengikuti kursus Bahasa Malaysia I (LKM 100) di Kampus Kejuruteraan, USM telah dijadikan sebagai subjek atau responden dalam kajian ini. Pelajar tersebut merupakan pelajar Arab yang berasal dari Libya, Yaman, Iraq, dan Palestin.
Seterusnya, kajian ini akan dilaksanakan dengan mengumpul perkataan-perkataan BM mengikut golongan fonem, iaitu vokal, diftong dan konsonan. Dengan cara ini, sebutan perkataan BM pelajar Arab akan dapat diuji berdasarkan data autentik yang diperoleh melalui rakaman audio visual.