• Tidak ada hasil yang ditemukan

Upaya Memperkasa Bahasa Melayu di Malaysia

Dalam dokumen Survivor Bahasa Mandarin Di Singapura Pe (Halaman 97-101)

Usaha untuk memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu dalam arus perdana masih ada. Kesungguhan ini diterjemahkan melalui usaha yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan melalui penubuhan Jawatankuasa memperkasa Bahasa Kebangsaan. Dalam hubungan ini, Menteri Pelajaran selaku pengerusi Jawatankuasa tersebut memberi jaminan bahawa maruah dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan dipertahankan. Malah jika perlu, bukan sahaja akta dan peruntukan undang-undang akan dipinda tetapi institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan diberikan kuasa yang secukupnya. Senario ini tidak seharusnya mencemaskan mana-mana pihak sehingga melatah dan dijadikan isu bahawa semangat dan kekentalan terhadap bahasa kebangsaan telah luntur.

98 Cakap-cakap sedemikian ini, ada kemungkinan lahir daripada perasaan kecewa dengan sikap golongan tertentu yang masih meragui akan kemampuan bahasa Melayu. Namun, kita juga perlu akur bahawa untuk memastikan martabat bahasa Melayu sebagai teras pembinaan bangsa Malaysia sentiasa mampan, pelbagai usaha perlu dilakukan. Semangat dan kekentalan terhadap bahasa tidak akan ke mana sekiranya tidak disertai dengan tindakan dan perancangan yang rapi di pelbagai peringkat dan lapisan. Justeru, perancangan semula dalam beberapa aspek dan pada waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar- dasar yang berkaitan dengannya, sebagai langkah membina ketahanan jati diri dan maruah bangsa dan negara. Untuk maksud ini, Awang Sariyan (2006) telah mencadangkan beberapa langkah yang perlu diambil untuk memartabatkan bahasa. Antaranya, iaitu :

a. Penegasan dan Penguatkuasaan Dasar Bahasa Secara Bersepadu

Pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula. Hal ini bermaksud tidak ada tolak ansur untuk semua urusan rasmi dan majlis rasmi di peringkat negara dalam menggunakan bahasa Melayu selaras dengan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Semua peruntukan tentang bahasa kebangsaan yang terdapat dalam undang-undang negara hendaklah dihormati dan dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur oleh semua pihak. Hal ini tentu sahaja melibatkan banyak pihak meliputi pemimpin negara hingga penjawat awam dan masyarakat umum. Justeru, sewajarnya di peringkat ini tidak terdapat sebarang usaha atau tindakan yang boleh melemahkan undang-undang tentang penggunaan bahasa kebangsaan sama ada melalui pengenalan dasar baru, pertanyaan atau tindakan yang bercanggah dengan undang-undang itu.

b. Pindaan dan Perluasan Peruntukan Akta yang Berkaitan

Pindaan Akta Bahasa Kebangsaan yang memberikan cakupan lebih luas penggunaan bahasa

Melayu perlu disegerakan dan diberikan penegasan. Pindaan akta-akta yang sudah tidak kemas kini atau tidak jelas tentang penggunaan bahasa Melayu seperti Akta Jalan, Parit dan Bangunan, Akta Pertubuhan, Akta Pendaftaran Perniagaan, Akta Syarikat Akta cap Dagang, Akta Industri Pelancongan dan beberapa yang lain perlu diteliti dan diambil tindakan oleh mereka yang diberikan tanggung jawab. Selain itu, ketegasan dalam penguatkuasaan akta yang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Penyiaran dan Undang-undang Kecil Pengiklanan dilakukan secara tekal supaya tidak timbul salah tanggap.

c. Pengayaan Khazanah Ilmu Dan Persuratan Dalam Bahasa Melayu

Usaha ini perlu ditingkatkan supaya nilai bahasa Melayu menjadi lebih tinggi sebagai bahasa budaya tinggi. Hal ini dapat dilakukan melalui penerbitan bahan ilmiah dan rujukan umum dalam pelbagai bidang dalam pelbagai peringkat dan dalam pelbagai media (bercetak dan elektronik). Agenda pengayaan khazanah ilmu dan persuratan Melayu mesti dimasukkan dalam agenda pembangunan negara. Melalui cara ini tidak akan timbul masalah dan pengabaian terhadap usaha untuk memperkasa martabat bahasa Melayu dan bahasa Kebangsaan dalam arus perdana.

d. Pembudayaan Bahasa Melayu Melalui Sistem Pendidikan

Usaha ini perlu dimantapkan semula, dari peringkat prasekolah hingga peringkat pengajian

tinggi. Dalam hal ini, kerajaan perlu memberikan penegasan yang lebih berat kepada usaha pembudayaan bahasa Melayu sebagai asas peneguhan tamadun bangsa Malaysia dalam dua aspek yang penting. Pertama, melalui pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu seperti bahasa utama dalam proses pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1965 yang diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak

99 Pelajaran Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta pendidikan 1996. sebarang usaha berundur daripada keputusan yang penting dan bijaksana serta telah membuktikan kejayaan dalam proses membina negara hendaklah dielakkan. Kejayaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan universiti-universiti lain dalam pelaksanaan bahasa Melayu sebagai ilmu untuk pelbagai bidang ilmu tidak harus direncatkan. Kedua, ialah pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun, dan mewakili budaya tinggi melalui kegiatan pengajaran dan pembelajaran, sukatan pelajaran, buku teks dan bacaan tambahan serta melalui pelbagai kegiatan kokurikulum. Dengan demikian diharapkan kecelaruan terhadap penggunaan bahasa rojak seperti yang digunakan dalam sembang siber, bahasa SMS atau yang lain tidak akan sampai menggugat bahasa mewakili budaya teras.

e. Komponen Bahasa dan Persuratan Dalam Program Negara

Semua program negara yang bersifat pembinaan sahsiah di pelbagai peringkat mesti memasukkan program bahasa dan persuratan. Antaranya Program Khidmat Negara, kursus Biro Tatanegara, KP3P yang memberi ruang yang cukup untuk memantapkan kecintaan mereka terhadap bahasa. Kursus atau apa-apa juga program motivasi untuk kalangan ahli politik dan professional perlu memasukkan modul bahasa dan persuratan dalamnya.

f. Modul Bahasa Dan Persuratan Dalam Program Latihan Jabatan

Setiap kerajaan dan agensi kerajaan perlu memasukkan modul bahasa, penulisan dan persuratan dalam program “kursus dalam perkhidmatan” masing-masing.

g. Pemantauan Terhadap Bidang Penyiaran Dan Media Massa

Usaha ini perlu dilaksanakan untuk memastikan media massa melaksanakan tanggungjawab sebagai ejen pemantapan bahasa yang baik dan santun dalam penyiaran dan penerbitan program atau bahan. Tindakan perlu dilaksanakan dalam bentuk tindakan pentadbiran dan juga tindakan undang-undang. Justeru pembudayaan Bahasa Melayu Tinggi Melalui Media wajar dilakukan. Penyajian program-program yang dapat memasyarakatkan bahasa Melayu tinggi, bahasa Melayu dapat bertahan sebagai bahasa yang mewakili budaya tinggi. Dengan demikian tidaklah menular fenomena ”sekerat ular sekerat belut” (seperti yang diistilahkan oleh Datuk Sri Utama Dr. Rais Yatim) dalam penggunaan bahasa bagi tujuan yang rasmi.

h. Pengayaan Khazanah dalam Bahasa Melayu dijadikan Agenda Negara

Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan Negara Berhad, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) yang mengemblengkan penerbit dan institut penyelidikan dan badan-badan lain hendaklah digerakkan agar benar-benar memenuhi tanggung jawab sosial masing-masing. Penyelidikan dan penerbitan karya ilmu yang diusahakan adalah untuk kelompok dewasa, remaja dan kanak-kanak sama ada dalam bentuk cetakan mahupun elektronik. Dalam hal ini perlu ada dana khusus untuk menjayakan agenda memperkayakan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu.

i. Program Pemasyarakatan Bahasa Bertaraf Kebangsaan

Kerajaan, melalui semua kementerian, jabatan dan agensi serta perbadanan dan pihak swasta hendaklah secara aktif dan terancang menyertai program pemasyarakatan bahasa kebangsaan di seluruh negara yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, khususnya Bulan Bahasa dan Sastera Negara yang dilaksanakan setiap tahun selama sebulan. Selain itu, setiap jabatan kerajaan dan swasta hendaklah diminta merancang dan menganjurkan

100 kegiatan yang dapat menyemarakkan pembudayaan bahasa Melayu dari waktu ke waktu dalam perancangan tahunan supaya bahasa dan persuratan Melayu tidak terpinggir dalam sektor di luar lingkungan orang atau institusi khusus dalam bidang bahasa dan sastera.

Kesimpulan

Bahasa Melayu adalah salah satu daripada ciri tamadun yang mewarnai budaya dan masyarkat kita. Bahasa Melayu perlu terus diangkat sebagai bahasa yang bertamadun tinggi yang bukan hanya dituturkan oleh masyarakat Malaysia bahkan untuk masyarakat antarabangsa. Salah satu syarat untuk membina sesebuah negara bangsa dan tamadun yang berjaya menghadapi cabaran abad ke-21 adalah dengan membina solidariti bangsa Melayu itu sendiri melalui peningkatan kudrat politik, daya juang, daya tahan, daya kreatif, kesetian dan keyakinan yang tinggi bahawa Malaysia mampu bertahan sebagai sebuah negara yang berdaulat, dan mempunyai kestabilan dari segi ekonomi dan politik dalam keadaannya yang pelbagai bangsa dengan jati diri yang utuh melalui unsur budaya dan kuasa bahasa, iaitu bahasa Melayu. Perancangan bahasa Melayu perlulah mulai mengarah secara serius terhadap usaha untuk menangani masalah budaya bahasa dalam kalangan orang Melayu sendiri. Masalah ini hanya dapat ditangani melalui pendidikan bahasa tidak hanya sebagai sistem linguistik (mengajar nahu atau tatabahasa, ejaan dan sebagainya) tetapi sistem sistem budaya dan pemikiran.

Bibliografi

Abdullah Hassan. “Bukan Sekadar Bahasa” dalam Prosiding Persidangan Antarabangsa Bahasa, Sastera

dan Budaya Melayu Kedua, pada 24-25 Januari 2006 di PPL, UPM.

Asas-asas Kebudayaan Kebangsaan, (1971), Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia

Awang Sariyan (2006). Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu (Edisi Kedua). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

_____________________. (2007). ”Bahasa Sebagai Asas Jati Diri Bangsa: Isu, Cabaran dan Upaya Pelestariannya” dlm. Jurnal Bahasa 7(2): 18.

Johan Jaafar. “Nafas Baru Memperkasa Bahasa Kebangsaan” dalam Berita Minggu, 5 Mac 2006.

Hassan Ahmad. (2004). Metafora Melayu: Cara Orang Melayu Berfikir dan Menanggapi Alamnya

(Monograf Bil. 1). Kajang: Institut Kajian Ketamadunan.

Hassan Ahmad. Masalah Bahasa atau Masalah Pengguna Bahasa? Membetulkan Sikap dan Persepsi Manusia Terhadap Bahasa Melayu. Dlm. Koleksi Kertas Kerja dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-VII.

Kamal Shukri Abdullah Sani. (2007). Bahasa Melayu Apa Sudah Jadi? Kuala Lumpur:PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

101 Kamaruddin Jaafar & Hazami Habib, (1993) Wawasan 2020, Kuala Lumpur: Istitut Kajian Dasar.

Noresah Baharom. DBP Lima Dekad, Globalisasi dan Gelombang Baru Memperkasakan Bahasa Melayu. Dlm. Koleksi Kertas Kerja Dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-VII.

Puteri Roslinda Abdul Wahid. (2005). Bahasa Melayu dalam Konteks Budaya dan Kuasa. Dlm. Jurnal

Antarabangsa Dunia Melayu 4(2): 54-55.

Za‘ba. (2002). Ilmu Mengarang Melayu (Edisi Rumi Baharu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dalam dokumen Survivor Bahasa Mandarin Di Singapura Pe (Halaman 97-101)