DESKRIPSI PANDUAN KURSUS
Anda perlu membaca Panduan Kursus dengan berhati-hati dari awal hingga akhir. Ia menyatakan kandungan kursus dengan ringkas dan bertujuan membantu anda memahami kandungan kursus. Ia juga mencadangkan jumlah tempoh masa untuk anda habiskan bagi melengkapkan kursus ini dengan sepenuhnya. Sentiasalah rujuk Panduan Kursus secara berterusan semasa anda membaca kandungan kursus kerana ia dapat membantu dalam menjelaskan komponen pembelajaran penting yang mungkin anda terlepas pandang.
PENGENALAN
HBML4303 Kurikulum dan Perkaedahan dalam Pengajaran Bahasa Melayu ialah salah satu kursus yang ditawarkan oleh Fakulti Pendidikan dan Bahasa di Open University Malaysia (OUM). Kursus ini melibatkan tiga jam kredit dan harus dijalankan selama 8 hingga 15 minggu.
KEPADA SIAPA KURSUS INI DITAWARKAN
Kursus ini ditawarkan kepada pelajar yang mengambil program Sarjana Muda Pengajaran dalam bidang Bahasa Melayu dengan Kepujian.
Sebagai pelajar jarak jauh, anda seharusnya fasih dengan keperluan pembelajaran kendiri dan mampu mengoptimumkan kaedah pembelajaran dan persekitaran yang sedia ada. Sebelum anda memulakan kursus ini, sila pastikan anda maklum dengan bahan kursus, kelayakan kursus dan bagaimana kursus tersebut dikendalikan.
PERUNTUKAN MASA PEMBELAJARAN
Berdasarkan piawaian OUM, pelajar perlu memperuntukkan 40 jam pembelajaran bagi setiap jam kredit. Selaras dengan piawaian ini, kursus yang bernilai 3 jam kredit memerlukan masa selama 120 jam pembelajaran. Anggaran masa pembelajaran adalah seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1.
Jadual 1: Anggaran Masa Pembelajaran
Aktiviti Pembelajaran Jam
Pembelajaran Mengambil bahagian dalam perbincangan awal dan memahami
secara ringkas kandungan kursus
3
Memahami modul 60
Menghadiri 3 hingga 5 sesi tutorial 10
Penyertaan dalam talian 12
Ulang kaji 15
Menyiapkan tugasan, Ujian dan Peperiksaan 20
JUMLAH MASA PEMBELAJARAN 120
OBJEKTIF KURSUS
Setelah mengikuti kursus ini, anda seharusnya dapat:
1. Menyatakan strategi 5P dengan tepat;
2. Menerangkan pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran dengan jelas; 3. Menjalankan pengajaran mikro dan makro dengan betul; dan
4. Menghuraikan kepentingan pengajaran mikro dan makro;
5. Menganalisis kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah dan menengah; dan
6. Mengaplikasikan pengetahuan dalam komponen ini dalam pedagogi untuk murid-murid sekolah rendah dan menengah.
SINOPSIS KURSUS
Kursus ini mengandungi strategi dalam pengajaran, pembelajaran dan analisis kurikulum (Sukatan Pelajaran) Bahasa Melayu Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah, iaitu membentuk proses pengayaan, pemulihan, penggabungjalinan, penyerapan dan penilaian. Di samping itu, kursus ini juga mengandungi pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di bilik darjah. Pelajar akan didedahkan dengan teori pembelajaran dan pemerolehan bahasa. Selain itu, pelajar turut didedahkan dengan konsep dan
Kursus ini terbahagi kepada 10 topik. Sinopsis untuk setiap topik adalah seperti yang disenaraikan berikut:
Topik 1 membincangkan tentang Konsep 5P, iaitu penggabungjalinan, pengayaan, pemulihan, penyerapan dan penilaian. Setiap konsep ini dihuraikan secara terperinci dari segi jenis-jenisnya, ciri-cirinya serta kegunaannya dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.
Topik 2 memberi penekanan kepada strategi dan pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Strategi pengajaran yang dihuraikan meliputi strategi pengajaran mediatif dan direktif, generatif dan kolaboratif serta koperatif dan kontekstual. Manakala pendekatan pengajaran yang diberi tumpuan adalah pendekatan deduktif dan induktif, eklektik dan komunikatif. Turut dihuraikan adalah konsep pembelajaran masteri dan belajar cara belajar.
Topik 3 menghuraikan pelbagai kaedah dan teknik untuk pengajaran Bahasa Malaysia. Turut diberi tumpuan adalah penggunaan Pusat Sumber, iaitu perpustakaan, bahan ADD/NIE, buku rujukan, majalah, kamus, bahan sastera dan bukan sastera serta penggunaan bahan elektronik yang meliputi komputer, disket, CD, VCD, DVD dan Internet untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Pemilihan dan kesesuaian bahan dari segi peringkat umur serta faktor lain turut dibincangkan.
Topik 4 menghuraikan tentang konsep-konsep penting Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), organisasi kandungan, pengisian kurikulum peringkat rendah dan menengah. Huraian Sukatan Pelajaran serta kesesuaian kandungan Sukatan Pelajaran dengan tahap murid-murid.
Topik 5 memberi tumpuan kepada pemilihan aspek tatabahasa dalam pendekatan pengajaran induktif dan deduktif, faktor kepelbagaian penggunaan tatabahasa, kegiatan berbahasa yang bermakna, iaitu kecerdasan pelbagai (mulitiple intelligence) serta rangsangan ke arah minat pembelajaran, iaitu pemilihan bahan-bahan bacaan dan pembentukan kebiasaan membaca.
Topik 6 melihat pada konsep pengajaran dan pembelajaran bertema, iaitu tema kemahiran dan pembelajaran bahasa, tema pengembangan kosa kata yang disepadukan dan dikukuhkan dan tema penyerapan disiplin lain. Turut diberi penekanan adalah penentuan tema, konsep dan aplikasi, kekangan serta kesan bacaan luas kepada perkembangan mental murid-murid.
Topik 7 melihat pada konsep dan definisi kemahiran berfikir, penyerapan kemahiran berfikir dan konsep kemahiran bernilai tambah (KBT).
Topik 8 menghuraikan tentang konsep dan definisi pengajaran mikro, prinsip- prinsip pengajaran mikro dan kemahiran-kemahiran dalam pengajaran mikro.
Topik 9 memberi tumpuan perbincangan terhadap konsep dan definisi pengajaran makro, prinsip-prinsip pengajaran makro dan kemahiran dalam pengajaran makro.
Topik 10 mendedahkan pelajar kepada kaedah pengaplikasian pengajaran mikro dan makro untuk mata pelajaran Bahasa Melayu. Perbincangan turut ditumpukan kepada kaedah pelaksanaan praktikum, iaitu sesi latihan mengajar di sekolah sebagai persediaan untuk menjadi guru bertauliah.
PANDUAN SUSUN ATUR TEKS
Sebelum anda membaca modul ini, adalah penting sekiranya anda mengambil tahu susun atur teks modul. Memahami susun atur teks akan membantu anda untuk merencana pembelajaran kursus supaya lebih objektif dan berkesan. Umumnya, susun atur teks bagi setiap topik adalah seperti yang berikut:
Hasil Pembelajaran: Ia merupakan apa yang anda harus dapat lakukan atau capai setelah selesai membaca sesuatu topik. Setelah selesai membaca setiap topik, anda digalakkan merujuk kepada senarai hasil pembelajaran berkenaan untuk memastikan sama ada anda dapat atau tidak mencapainya. Amalan seperti ini akan dapat mengukur dan mempertingkatkan penguasaan kandungan sesuatu topik.
Semak Kendiri: Soalan diselitkan pada bahagian tertentu dalam topik. Soalan ini menguji kefahaman tentang maklumat yang anda telah baca. Jawapan untuk soalan ini biasanya terdapat dalam perenggan yang sebelumnya. Anda digalakkan menjawab soalan Semak Kendiri ini untuk menguji dan memastikan sama ada anda telah memahami kandungan sesuatu topik dan seterusnya menyediakan anda untuk menghadapi ujian dan peperiksaan kelak. Kebanyakan jawapan kepada soalan yang ditanya terdapat dalam modul itu sendiri.
Aktiviti: Aktiviti juga diselitkan pada bahagian tertentu dalam topik untuk menggalakkan anda mengaplikasikan konsep dan prinsip yang anda telah pelajari kepada situasi sebenar. Aktiviti ini juga memperluaskan kefahaman kandungan yang dipelajari dengan menggalakkan anda melakukan sesuatu seperti berfikir secara mendalam, memberi pendapat, berbincang bersama rakan dalam kelas, merujuk kepada laman web, membaca artikel jurnal dan seumpamanya.
Rumusan: Pada akhir topik, isi penting topik tersebut disenaraikan. Komponen ini membantu anda untuk mengingat dan mengimbas semula keseluruhan topik. Anda haruslah memastikan bahawa anda memahami setiap pernyataan yang disenaraikan. Jika tidak, sila kembali membaca topik berkenaan.
Kata Kunci: Pada akhir topik, disenaraikan beberapa perkataan dan frasa penting yang digunakan dalam topik berkenaan. Anda mesti dapat menjelaskan setiap perkataan dan frasa ini. Jika tidak, sila kembali membaca topik berkenaan. Rujukan: Rujukan merupakan bahagian yang menyenaraikan buku teks, jurnal, artikel, kandungan elektronik atau sumber yang berkaitan dan berguna kepada modul atau kursus. Senarai ini boleh dilihat dalam beberapa bahagian seperti dalam Panduan Kursus (pada bahagian Rujukan), pada akhir setiap topik atau akhir modul. Anda digalakkan membaca bahagian yang berkaitan dalam senarai rujukan tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memperkukuhkan kefahaman anda.
PENGETAHUAN ASAS
Tiada pengetahuan asas diperlukan.
BAHAN BACAAN
Buku teks rujukan bagi kursus ini seperti mana yang dicadangkan dan dinyatakan dalam unit teks.
KAEDAH PENILAIAN
RUJUKAN
Kamarudin Haji Husin, Siti Hajar Haji Abdul Aziz & ArbÊie bin Sujud. (1997). Pengajian Melayu 1: Ilmu bahasa dan kecekapan berbahasa. Subang Jaya: Kumpulan Budiman.
Abd. Aziz Abd. Talib. (2000). Pedagogi Bahasa Melayu, prinsip, kaedah dan teknik. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Kamarudin Husin, et al. (1998). Pedagogi bahasa: Perkaedahan. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Juriah Long, et al. (1992). Perkaedahan pengajaran Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Koh Boh Boon. (1989). Perspektif-perspektif dalam pengajaran Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Unit Kurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Darul Ehsan. (2002). Rancangan Pelajaran Tahunan Bahasa Melayu Tingkatan Empat. Selangor: JPNS.
PERPUSTAKAAN DIGITAL TAN SRI DR ABDULLAH
SANUSI (TSDAS)
Perpustakaan Digital TSDAS mempunyai pelbagai sumber bercetak dan dalam talian untuk kegunaan pelajar. Perpustakaan digital komprehensif ini, yang boleh dicapai melalui portal OUM, menyediakan akses kepada lebih daripada 30 pangkalan data yang meliputi jurnal, tesis dan buku dalam format elektronik serta banyak lagi. Contoh pangkalan data yang ada adalah EBSCOhost, ProQuest, SpringerLink, Books24x7, InfoSci Books, Emerald Management Plus dan Ebrary Electronic Books. Sebagai pelajar OUM, anda digalakkan untuk menggunakan sepenuhnya sumber yang terdapat di perpustakaan ini.