• Tidak ada hasil yang ditemukan

AHMAD MUZAMMIL

Dalam dokumen Indienomics (Halaman 73-79)

Sesuailah kerja beliau sekarang dengan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan yang beliau miliki.

Meskipun berbeza latar belakang pendidikan, kami berkongsi minat sama dalam bola sepak sejak dari bangku sekolah menengah. Dan satu perkara yang kami sudah lama bersetuju apabila bersembang hal bola sepak adalah, tak banyak bahan bacaan bermutu berbahasa Melayu dalam niche bola sepak.

Menyedari adanya kevakuman maklumat berkualiti berbahasa Melayu dalam bola sepak, kami tubuhkan Semuanya BOLA. Melihat respons positif daripada audiens awal kami, Shahrir kemudiannya menyedari: Semuanya BOLA mempunyai potensi untuk menjadi lebih dari sekadar fanpage perkongsian maklumat secara suka-suka.

Sub-topik 1: Dari fanpage ke laman web

Sejak dari peringkat awal kami membangunkan Semuanya BOLA, Shahrir sudah melihat apa yang saya tak nampak. Apabila beliau berkata Semuanya BOLA boleh menjadi sebuah syarikat digital media yang mengumpul ratusan ribu pembaca setiap bulan, visi beliau disambut oleh rasa skeptikal saya.

“Ada ke orang yang nak baca artikel berat pasal bola sepak on daily basis?”

“Mampu ke kami jadikan Semuanya BOLA sebagai sebuah ‘syarikat digital media’?”

“Bolehkah saya beri komitmen penuh kepada projek ini selepas 12 jam bekerja di kantin?”

Rasa skeptikal saya ada asasnya.

Pertama, kami bukanlah ‘orang industri’. Kami tiada ahli keluarga yang bekerja dalam atmosfera bola sepak tempatan dan media. Kami tiada kenalan. Kami tak tahu selok-belok dan asam garamnya. Kami hanya peminat bola sepak yang hanya ada impian.

Kedua, sebagai penulis utama, saya perlu memberikan komitmen membekalkan artikel berkualiti setiap hari walau selepas 12 jam bekerja. Sebelum menulis, saya perlu membuat kajian. Sebelum membuat kajian, saya perlu fikirkan idea. Sebelum fikirkan idea, saya perlu membaca.

Maka tak hairanlah, Shahrir memerlukan beberapa cubaan sebelum dapat menyakinkan saya untuk merealisasikan Semuanya BOLA sebagai syarikat digital media. Untuk menjadi sebuah syarikat digital media, kami perlukan laman web. Akhirnya pada Oktober 2014, semuanyabola.com pun ditubuhkan.

Sub-topik 2: Setahun tak bergaji

Visi sudah ada, perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang sudah ada dan laman web sudah ada - sekarang masa untuk bekerja.

Untuk melaksanakan projek ini secara serius, kami perlukan trafik ke laman web. Untuk mendapat trafik, kami perlukan artikel secara konsisten. Untuk mengejar trafik tanpa perlu mengorbankan identiti Semuanya BOLA yang sentiasa menghasilkan artikel berkualiti, kami perlu membuat kajian dahulu. Untuk membuat kajian, kami perlukan masa. Dan untuk mendapatkan masa, kami perlu berkorban. Jadi selama setahun, kami membangunkan laman web dan platform media sosial Semuanya BOLA tanpa gaji. Untuk membantu, kami banyak merekrut beberapa individu yang boleh bekerja tanpa gaji tetapi mempunyai passion dalam bola sepak.

Baru 4 bulan beroperasi, semuanyabola.com sudah pun konsisten mengumpul 150,000 pembaca dan 1 juta pageviews sebulan. Bounce rate pula konsisten bawah 6%.

Artikel Semuanya BOLA mula muncul di dada akhbar dan televisyen. Wartawan-wartawan sukan arus perdana juga meminati tulisan kami. Pendapat kami di artikel dan media sosial mula mempengaruhi arena bola sepak negara. Audiens laman web kami berkembang sehingga menjadi sebuah komuniti yang fanatik dengan jenama Semuanya BOLA.

Sekali lagi saya tekankan, apabila anda mempunyai passion dan sanggup bekerja keras, semuanya menjadi. Meskipun jenama Semuanya BOLA semakin dikenali, kami masih bergelut dan tak mampu menawarkan imbuhan kepada ahli-ahli pasukan kami yang bersama

sejak awal penubuhan syarikat. Apatah lagi untuk menawarkan gaji kompetitif yang membolehkan mereka menumpukan usaha sepenuh masa di Semuanya BOLA.

Ketika inilah Shahrir menyahut cabaran untuk berkorban pula. Untuk memastikan Semuanya BOLA mula dikenali oleh syarikat-syarikat agensi media, klien berpotensi dan mampu menghasilkan model perniagaan yang lestari, beliau menjual syer pemilikan syarikat madu beliau untuk menumpukan usaha pemasaran Semuanya BOLA sepenuh masa.

Hasil kerja Shahrir ini kemudiannya mendapat perhatian agensi kerajaan, Cradle dan Teraju. Bantuan kerajaan ini membolehkan kami untuk meningkatkan keagresifan usaha pemasaran. Dan hasilnya dapat dilihat pada Jun 2016 apabila A&W Malaysia memberi kepercayaan kepada kami untuk melakukan kempen pemasaran sempena kejohanan EURO 2016.

Selepas ini, Semuanya BOLA akan bekerjasama dengan penaja untuk memeriahkan liga bola sepak tempatan, Piala Malaysia 2016 dan perlawanan antarabangsa skuad kebangsaan. Tak cukup dengan itu, beberapa penganjur dan penaja sukan lain seperti MotoGP, sepak takraw dan futsal bakal bekerjasama dengan kami untuk memperhebatkan kempen pemasaran digital mereka. Kami belum berjaya lagi. Jika dibandingkan dengan banyak lagi syarikat-syarikat lain yang turut menulis dalam buku ini, kami masih kecil dan perlu belajar lagi.

Perjalanan kami masih jauh. Tetapi dengan passion dan kerja keras, kami yakin dapat merealisasikan impian kami untuk menjadi syarikat digital media yang meliputi bukan bola sepak sahaja, malah semua jenis sukan.

“Permulaan yang kurang baik oleh salah seorang pengasas Festival Vendeur pada edisi sulung 2014 membuatkan dirinya tekad untuk bangun semula. Dan hari ini Festival Vendeur menjadi bualan ramai orang terutamanya kepada brand-brand lokal. Penganjuran acara-acara oleh Festival Vendeur sehingga sekarang telah mengumpulkan lebih 1,000,000 orang pengunjung. Hasil jualan terkumpul setakat ini mencecah RM 10 juta bagi beberapa siri Festival Vendeur diadakan.”

Misi dua hari selesai! Kaki hampir kejang gara-gara berlari dari satu dewan ke dewan lain. Dari pagi membawa ke tengah malam, puluhan ribu pengunjung berasak-asak membeli-belah di Pusat Konvensyen dan Pameran, Matrade. Suara tawar menawar kedengaran, berselang seli dengan jeritan peniaga mempromosikan barangan dan produk masing-masing.

Walaupun keletihan tetapi aku puas. Usaha yang di anggap mudah oleh sesetengah manusia, yang hanya pandai berkata-kata tetapi aku sambut sebagai cabaran. Mungkin dimata kau hanya ‘dua hari jer’ namun hakikatnya hampir berbulan mimpi tidak menjengah tidurku.

Dalam dokumen Indienomics (Halaman 73-79)

Dokumen terkait