• Tidak ada hasil yang ditemukan

MUTALIB UTHMAN

Dalam dokumen Indienomics (Halaman 93-99)

Dengan wang tersebutlah aku memulakan bisnes aku yang pertama, menjual Teh Peria. Masuk Pasar Tani dan pasar malam bukanlah asing bagi aku. Abah aku dah ajar aku untuk buat semua ini, semenjak aku di Tingkatan 2 lagi. Kalau tak ada tapak, kita Rambo. Rambo ini main terjah sahaja tapak orang. Tak pernah fikir panjang.

Kenapa aku pergi berniaga jam 6 pagi? Masa tu aku hanya ada skuter V100. Itulah skuter yang aku gunakan untuk pergi kuliah, merempit dan bawa makwe. V100 inilah juga kenderaan perniagaan pertama aku. Aku menjual Teh Peria. Teh Peria ini stoknya aku perolehi dari Abah aku.

Teh Peria ini khas untuk pesakit Diabetes. Aku kena bagi tester kepada orang ramai untuk membuktikan kepada mereka bahawa Teh Peria aku ini tidak pahit. Jadi aku kena bawa thermos dan juga baldi untuk letak cawan tester yang telah diguna. Aku juga kena bawa kaki meja, kaki payung, papan lapis dan payung besar itu sendiri.

Kau bayangkan aku kena bawa semua itu menaiki skuter V100 aku. Bukan macam kau, mula-mula berniaga terus nak beli kereta, duit dalam poket ada RM50. Berangan.

Menjawab kenapa aku perlu pergi berniaga jam 6 pagi- sebenarnya pada jam 6 pagi, JPJ atau polis trafik masih belum bangun lagi. Jadi skuter aku dengan segala macam barang yang perlu bawa itu, selamat dari di saman.

6 pagi di hari Ahad, kenderaan juga tak banyak, jadi aku selamat untuk bawa skuter sambil kepit baldi yang di dalamnya ada thermos dari rumah aku di Seksyen 7 hingga ke tapak niaga di Pasar Pagi Seksyen 13; tak perlu nak cilok dan boleh langgar lampu isyarat. Jam 6 pagi juga, makwe-makwe UiTM tak bangun lagi. Jadi tak ada lah malu sangat nak lalu sebelah mereka di Seksyen 2.

Begitulah payahnya aku nak sampai ke tempat berniaga. Dan perit jerih aku tak terhenti di saat itu sahaja.

Bila sampai di tapak niaga, aku tak pernah ada tapak tetap. Rambo. Mana ada tapak kosong, aku buka payung. Walaupun sampai dalam jam 6.30 pagi, aku terpaksa tunggu sehingga 7 pagi untuk mengenalpasti tapak niaga yang kosong dan cop tempat.

Tunggu sampai 7.30 untuk pastikan tempat itu betul-betul kosong, barulah aku buka payung. Pernah sekali bila aku dah setup semua barang niaga aku, tuan tapak datang. Jadi aku kena kemas dan cari tapak lain. Sabar ajelah aku masa itu.

Kadangkala semua tapak niaga penuh. Semua peniaga datang berniaga, biasanya pada minggu orang dapat gaji. Balik rumah tidak sekali. Aku nekad untuk buka tapak niaga di laluan pejalan kaki. Laluan ini sememangnya diharamkan oleh Majlis Perbandaran Shah Alam untuk sesiapa membuka tapak niaga, tapi aku tak ada pilihan lain; Jalan Terus! Pernah beberapa kali disaman dan pernah sekali barang dagangan aku dirampas.

Bukan takat Teh Peria aku sahaja diambil, malahan payung dan meja jualan aku turut sama disita. Tapi patah semangat, tidak sekali. Aku beli baru, minggu depannya aku terus berjuang lagi.

Berniaga Teh Peria ini seronok. Seronok kerana aku dapat cash setiap hari. Kau bayangkan untuk kerja dari jam 7.30 sehingga jam 12 tengah hari, aku boleh dapat untung bersih RM200. RM200 sehari. Selain dari Pasar Pagi Seksyen 13 aku juga ada berniaga ditempat lain, di Padang Jawa misalnya. Purata dapat RM150. RM150 sehari dan aku biasa berniaga 20 hari sebulan, gaji aku dah RM3,000. Gaji kau tahun lepas baru naik RM3,000 kan? Dari situ aku nampak ini bidang yang perlu aku buat dengan sungguh-sungguh. Jadi dari seorang peniaga pasar pagi dan pasar malam, kini produk aku ada terjual di semua toko jamu ternama di seluruh Malaysia.

Kau bayangkanlah jika aku putus asa masa kena angkat semua barang niaga aku menaiki skuter V100 atau aku putus asa ketika payung dan meja aku dirampas MBSA. Bayangkan juga jika aku putus asa dan mohon kerja 7Eleven. DuBook Press tak akan ada. Sebab apa? Sebab aku takkan ada duit lebih untuk buat DuBook Press.

Pergi matilah dengan nasihat kalau nak berniaga, berniaga apa yang kita suka. Kau ingat aku suka ke jual Teh Peria tu dulu? Dah la tak glamour, jual dekat pasar malam pula tu. Kau dengar nasihat aku ni. Mulakan perniagaan dengan apa yang boleh bagi kau wang yang banyak. Lepas kau dah ada wang yang banyak, kau berniagalah benda yang kau minat. Kau nak bina 5 masjid pun boleh.

Lagi satu, aku cukup pantang orang yang menganggap bisnes ni benda yang menyedihkan. Kau asyik kata dulu kau susah meniaga kuih depan rumah. Jual kuih depan rumah tu berniaga kot.

Kau nak bersedih tentang hal itu kenapa? Berniaga kuih depan rumah itulah yang sebenarnya membentuk kau sekarang.

Mungkin dengan berniaga kuih depan rumah itulah buat kau tak kekok untuk berkomunikasi dengan orang, buat kau kenal orang dan buat kau jadi diri kau sekarang. Bisnes ini perjalanan, bukan perlumbaan. Jadi, untuk kalian yang baru nak berjinak-jinak nak berniaga, jalan terus, langgar, mulakan dengan apa yang kau ada dan tak perlu tunggu kesempurnaan. Tumpu satu perkara. Buat perkara itu sungguh-sungguh, semua benda yang baik, akan datang sendirinya.

“Bermula dari sebuah kedai konsep kecil berbumbungkan khemah di Kuala Lumpur kini telah menjadi fenomena kepada jenama-jenama tempatan. Tempatan Fest 1.0 pada tahun 2013 bermula dengan disertai oleh 34 jenama tempatan dan ianya telah mendapat sambutan yang menggalakkan. Hari ini, Tempatan Fest telah berjaya menghimpunkan lebih daripada 100 brand tempatan termasuk dari Sabah dan Sarawak.”

Salam. Terima kasih kerana menjemput untuk menulis dalam buku ini. Ini merupakan satu perhargaan. Terima kasih diucapkan.

Dalam dokumen Indienomics (Halaman 93-99)

Dokumen terkait