• Tidak ada hasil yang ditemukan

HAK DAN TANGGUNGJAWAB PENGGUNA Hak-hak pengguna

PERLINDUNGAN PENGGUNA

HAK DAN TANGGUNGJAWAB PENGGUNA Hak-hak pengguna

Antara langkah utama yang perlu dimainkan oleh pengguna bagi membentuk perlindungan kendiri yang berkesan adalah dengan mengetahui dan memahami secara jelas akan hak-hak mereka. Maksudnya di sini, seseorang pengguna itu perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan yang luas dalam aspek kepenggunaan supaya pengguna dapat membuat keputusan yang terbaik dan mampu “menjaga” dirinya dalam segala situasi atau kemungkinan yang boleh berlaku di pasaran. Dalam hal ini, pengguna perlu terlebih dahulu mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.

Walaupun pengguna mempunyai hak-hak tertentu, namun hak-hak berkenaan bukanlah diperoleh secara automatik. Oleh itu, pengguna harus diberi kesedaran bahawa mereka mempunyai hak-hak tertentu dan seterusnya perlu berusaha bagi mendapatkan hak-hak tersebut. Seseorang pengguna itu tidak akan mendapat haknya melainkan dia:

1. Mengetahui apakah hak-haknya;

2. Menuntut hak-hak tersebut daripada pihak yang wajar memberikannya; dan 3. Memainkan peranan mereka dan berusaha mendapatkan hak-hak tersebut.

Pengguna yang bijak ialah pengguna yang menyedari akan hak-haknya sebagai pengguna dan bertindak dengan penuh bijaksana dan bertanggungjawab. Pada masa ini, lapan hak asasi pengguna ini telah diterima secara universal dan empat daripadanya telah dikenal pasti dan diisytiharkan pada 15 Mac 1962, oleh J.F.

Kennedy, Presiden Amerika Syarikat pada masa itu. Empat hak asasi penggunaix tersebut ialah:

1. Hak Untuk Mendapat Keselamatan;

2. Hak Untuk Mendapat Maklumat;

3. Hak Untuk Membuat Pilihan; dan 4. Hak Untuk Menyuarakan Pendapat.

Kemudiannya, pada tahun 1983, Consumers International (CI), di samping mengiktiraf hak-hak asasi pengguna yang telah diisytiharkan oleh J.F. Kennedy itu, telah mengenal pasti empat lagi hak asasi pengguna,x iaitu:

1. Hak Untuk Mendapat Keperluan Asas;

2. Hak Untuk Mendapat Ganti Rugi;

3. Hak Untuk Mendapat Pendidikan Pengguna; dan

4. Hak Untuk Mendapat Alam Sekitar yang Sihat dan Selamat.

Kesemua hak pengguna ini telah disatukan semasa berlangsungnya Hari Hak Pengguna Sedunia yang pertama pada tahun 1983. Berikut merupakan perbincangan lebih khusus tentang kelapan-lapan hak pengguna tersebut:

Hak untuk mendapat keperluan asas

Hak kepada keperluan asas bererti hak untuk mendapat barang dan perkhidmatan yang perlu bagi menjamin kelangsungan kehidupan. Keperluan asas yang dimaksudkan ialah makanan yang mencukupi dan selamat, pakaian, tempat tinggal, kemudahan kesihatan, pendidikan dan sanitasi. Hal ini bermakna bahawa sebagai seorang pengguna, setiap orang berhak kepada bekalan air yang bersih, perkhidmatan kesihatan yang sempurna dan sebagainya. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan bekalan makanan mencukupi dan ditawarkan pada harga yang berpatutan.

Hak untuk mendapat keselamatan

Hak kepada keselamatan bererti hak untuk dilindungi daripada barang, proses pengeluaran dan perkhidmatan yang boleh membahayakan kesihatan dan kehidupan.

Antara tujuan pemeliharaan hak ini adalah supaya pengguna dapat menjaga keselamatan diri daripada penggunaan makanan yang mengandungi bahan merbahaya, barang elektrik yang tidak mengikut piawaian keselamatan, perkhidmatan yang melibatkan penggunaan ubat-ubatan dan bahan-bahan merbahaya semasa sesuatu rawatan dilakukan, dan untuk memastikan pihak tertentu terutama pengeluar dan peniaga tidak memperoleh keuntungan dengan mengenepikan kos keselamatan pengguna, di samping memberi kesedaran kepada pihak pengeluar dan peniaga tentang aspek keselamatan pengguna. Hak ini juga mencerminkan bahawa pengguna boleh mendapat pembelaan, seperti ganti rugi yang sewajarnya jika berlaku masalah berkaitan keselamatan penggunaan barangan.

Hak untuk mendapat maklumat

Hak ini menyatakan bahawa peniaga perlu sentiasa menyediakan pengguna dengan fakta dan maklumat yang perlu dan mencukupi bagi memudahkan pengguna membuat pilihan yang tepat dan bijak. Maklumat produk yang disediakan oleh perniagaan perlu sentiasa lengkap dan benar. Hal ini bertujuan untuk memberi perlindungan kepada pengguna daripada pengiklanan, pelabelan dan amalan lain yang palsu, menipu dan menyeleweng serta tidak beretika. Oleh itu, peniaga perlu menyediakan pengguna dengan sumber maklumat tepat yang biasanya dilakukan melalui label barangan dan pengiklanan mereka. Antara ciri maklumat yang perlu diberikan ialah maklumat pada label mestilah betul dan tepat, mudah difahami, mempunyai kesahihan dan tidak mengelirukan. Sebagai contoh, maklumat yang perlu disediakan pada pembungkusan makanan adalah seperti tarikh luput, kandungan, logo halal, berat dan sebagainya.

Hak untuk membuat pilihan

Hak membuat pilihan ialah kebebasan pengguna untuk memiliki dan menentukan barang dan perkhidmatan yang diperlukan berasaskan maklumat yang diperoleh, keperluan, cita rasa dan kemampuan masing-masing pada harga yang munasabah. Hal ini juga bermakna bahawa pengguna berhak untuk diberikan penerangan yang memberikan mereka pilihan dalam membuat keputusan. Dalam memelihara hak ini, pengguna perlu memilih barang atau perkhidmatan yang diingini dan membayar pada harga yang ditetapkan oleh penjual untuk mendapatkannya. Oleh itu, tindakan peniaga yang menyorok barangan adalah berlawanan dengan hak pengguna untuk membuat pilihan. Begitu juga dengan tindakan peniaga yang mengeksploitasi pasaran.

Hak untuk bersuara

Hak bersuara bererti hak untuk menyuarakan pendapat sama ada secara individu, kolektif, ataupun melalui perwakilan. Melalui hak ini, pengguna boleh menyampaikan atau menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung dengan sesuatu yang berlaku di pasaran seperti melibatkan situasi semasa dan selepas penggunaan sesuatu barang dan perkhidmatan serta semasa proses transaksi yang membebankan pengguna seperti tidak mendapat layanan yang sewajarnya, ditipu dan sebagainya.

Sekiranya tidak mampu bersuara secara individu, pengguna boleh memilih cara berkumpulan atau kolektif iaitu bergabung dengan kumpulan individu yang lain.

Selain itu, pengguna boleh menyampaikan ketidakpuasan hati mereka melalui perwakilan yang dipilih untuk kepentingan menjaga diri. Perwakilan yang dipilih ini contohnya ialah persatuan pengguna yang sememangnya bertindak sebagai badan sukarela yang memberi perlindungan kepada pengguna dan akan bertindak untuk menuntut demi kepentingan pengguna.

Hak untuk mendapat ganti rugi

Hak mendapat ganti rugi bererti hak mendapatkan penyelesaian tuntutan. Ia melibatkan hak untuk menerima pampasan bagi barang atau perkhidmatan yang tidak bermutu atau tidak memuaskan, pembelian barangan yang cacat atau berbahaya ataupun perihal dagangan yang “mengelirukan” dan ganti rugi bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian. Sebagai contoh, pengguna berhak untuk menuntut ganti rugi jika barang atau perkhidmatan yang dibeli mengandungi kuantiti yang tidak mencukupi, mutu tidak seperti yang diiklankan, melebihi tarikh luput, mengandungi bahan yang membahayakan dan sebagainya. Ganti rugi juga harus diberi bagi barang atau perkhidmatan yang mengakibatkan kecederaan kepada pengguna yang menggunakan barang atau perkhidmatan yang merbahaya. Dalam hal mendapat ganti rugi ini, pengguna berhak mendapatkannya dalam bentuk wang atau gantian barang. Pengguna boleh menuntut ganti rugi di bawah undang-undang kontrak, undang-undang tort dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Hak untuk mendapat pendidikan pengguna

Hak mendapat pendidikan pengguna bererti hak mendapatkan pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi pengguna yang bertanggungjawab, bijak dan bermaklumat sepanjang hayat. Pengguna berhak mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan berterusan. Pengguna perlu mendapatkan pendidikan pengguna supaya mereka tahu akan hak dan tanggungjawab masing-masing agar tidak mudah ditipu oleh peniaga dan pihak lain yang tidak bertanggungjawab. Seterusnya, melalui pendidikan pengguna ini, pengguna juga akan mendapatkan pengetahuan dan kemahiran yang berterusan, menjadi pengguna yang bijak dan rasional yang seterusnya dapat menyumbang ke arah taraf hidup pengguna yang lebih berkualiti.

Tanggungjawab untuk memberi pendidikan pengguna ini perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa dan pertubuhan-pertubuhan pengguna. Kerajaan Malaysia telah mengambil pelbagai langkah supaya pengguna menerima pendidikan kepenggunaan.

Usaha ini telah banyak dilakukan melalui pameran, seminar, ceramah, bengkel dan paparan media massa. Walau bagaimanapun, untuk memastikan hak ini terpelihara dengan baik, pengguna perlu turut melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Hak untuk mendapat alam sekitar yang sihat dan selamat

Hak mendapat alam sekitar yang sihat dan selamat bererti hak kepada alam sekitar fizikal yang akan memperbaiki atau meningkatkan mutu kehidupan. Pengguna berhak hidup dan bekerja dalam suasana persekitaran yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya. Hak ini melibatkan usaha mendapatkan perlindungan daripada sebarang masalah persekitaran yang di luar kawalan pengguna secara individu, tetapi boleh dibendung jika pengguna bertindak secara berkumpulan.

Hak ini perlu diperjuangkan oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan adanya unsur alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan. Alam sekitar yang bersih dan selamat haruslah bebas daripada pencemaran alam seperti udara yang kotor, bunyi yang bising dan bau yang tidak menyenangkan. Namun begitu, antara ancaman alam sekitar sebenarnya ialah hasil perbuatan pengguna itu sendiri, Oleh itu, pengguna haruslah bersama-sama menjaga alam sekitar untuk generasi akan datang.