PERLINDUNGAN PENGGUNA
PENDAYAUPAYAAN PENGGUNA
Istilah “pendayaupayaan” telah dikesan sejak tahun 1788 dalam Perlembagaan Amerika Syarikat, iaitu ia merujuk kepada penggunaan kuasa dalam menjalankan sesuatu peranan dalam diri seseorang, dan membayangkan penerimaan tanggungjawab peribadi atau akauntabiliti. Dalam konteks pengguna di pasaran dan mempromosikan perlindungan kendiri, konsep pendayaupayaan pengguna ini merujuk kepada memperkasakan pengguna dalam usaha meningkatkan atau mengaplikasikan nilai-nilai pengguna melalui akses tambahan, maklumat, pendidikan dan pasaran di mana sahaja pengguna berada. Memperkasakan atau mendayaupayakan pengguna ditakrifkan sebagai sesuatu keadaan subjektif yang secara positifnya ditimbulkan oleh kawalan diri individu. Dalam diri pengguna, kawalan ini mudah berlaku dengan adanya penghayatan yang baik tentang nilai-nilai pengguna, usaha untuk mempertahankan hak pengguna dan menjalankan tanggungjawab yang bersesuaian. Hal ini selari dengan konsep pendayaupayaan yang dibincangkan oleh Kesatuan Eropah (EU), yang melihatnya sebagai satu konsep multidimensi yang merangkumi kemahiran, kecekapan, kesedaran tentang hak pengguna, dan keupayaan untuk bertindak balas apabila mana-mana hak tersebut tidak dihormati.
Menurut McGregor, pemahaman asas bagi pengguna yang berdaya upaya ialah pengguna yang mempunyai akses kepada maklumat dan persaingan. Pengguna yang berdaya upaya akan menggunakan maklumat dan mengambil kesempatan daripada persaingan di pasaran
dengan mempunyai pengetahuan, bersifat yakin, tegas dan berdikari. Ciri yang paling ketara ialah pengguna yang bermaklumat dilihat akan berdaya upaya dan mampu membela dirinya sendiri dalam hal ehwal perlakuan mereka di pasaran.
Menurut Dasar Strategi Pengguna 2007-2013EU, pengguna yang berdaya upaya perlukan pilihan sebenar, maklumat yang tepat, ketelusan pasaran dan keyakinan yang datang daripada perlindungan yang berkesan dan hak yang sebenar-benarnya. Oleh itu, konsep pendayaupayaan ini menuntut pengguna untuk membina data pengetahuan, membentuk kemahiran dan ketegasan, dan kesemua perkara ini boleh diperoleh melalui pelbagai sumber yang berbeza-beza termasuklah melalui pendidikan pengguna, maklumat yang berharga, dan institusi perundangan atau yang membuat peraturan dan sebagainya. Secara khusus, elemen- elemen berikut penting untuk menjadi pengguna yang berdaya upaya, iaitu:
1. pengguna perlu sedar akan keputusan pembelian mereka (contohnya dari segi terma dan syarat, membandingkan harga, label produk);
2. pengguna perlu mampu untuk mendapatkan maklumat mengenai hak-hak mereka; dan 3. pengguna perlu mempunyai akses kepada sokongan dan mekanisme tebus rugi.
EU telah mengeluarkan Indeks Pendayaupayaan Pengguna dan struktur indeks telah dikumpulkan melalui tiga dimensi utama: (1) kemahiran pengguna, (2) kesedaran undang- undang mengenai hak-hak pengguna dan (3) penglibatan pengguna.Berdasarkan kajian mereka, didapati bahawa ramai pengguna Eropah adalah jauh daripada dapat memainkan peranan aktif sebagai pengguna dan hanya 44 peratus daripada pengguna Eropah yang berasa yakin, berilmu dan dilindungi. Sementara itu, di Malaysia, berdasarkan hasil kajian pembinaan indeks pendapayaupayaan Malaysia yang dilihat melalui tiga domain utama iaitu kognitif (kesedaran dan kemahiran), tindakan dan afektif (ciri-ciri psikologi) mendapati bahawa responden mempunyai skor pendayaupayaan yang sederhana sahaja iaitu sebanyak 52.6 peratus.
RUMUSAN
Melahirkan pengguna yang bijak memerlukan suatu proses yang mengambil masa yang panjang. Namun begitu, sebagai langkah awal, kesedaran tentang hak-hak dan tanggungjawab serta penghayatan nilai-nilai pengguna adalah penting dan perlu berlaku seiring bagi membolehkan kepentingan pengguna dilindungi sebaik-baiknya. Kegagalan pengguna dalam mengamalkan nilai-nilai pengguna dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing akan mengakibatkan hak pengguna terabai. Undang-undang dan agensi penguatkuasaan serta peranan persatuan pengguna sahaja tidak memadai untuk menjamin kepentingan pengguna dipelihara sepenuhnya tanpa tindakan dan pelaksanaan tanggungjawab oleh para pengguna sendiri.
Pengguna yang berdaya upaya perlu memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab mereka tanpa perlu menunggu atau merasakan bahawa hak mereka telah tercabar. Pengguna di Malaysia boleh mengambil contoh seperti yang diamalkan oleh pengguna di negara maju yang telah mencapai tahap kesedaran kepenggunaan yang tinggi. Jika sesuatu barang atau perkhidmatan itu tidak memenuhi kehendak mereka, maka tindakan akan dilakukan bagi memastikan barangan mereka diganti semula, wang mereka dipulangkan atau mereka mendapat pampasan yang sewajarnya.
Tidak dapat dinafikan bahawa persaingan yang sengit telah menyebabkan pelbagai cara digunakan oleh pihak peniaga, pemasar dan sebagainya untuk melariskan jualan barang dan perkhidmatan. Hasilnya, terdapat amalan perniagaan yang tidak beretika bagi mencapai maksud untuk menarik perhatian pengguna seperti yang banyak dilaporkan oleh media sebelum ini seperti peraduan gores dan menang, skim cepat kaya, penipuan melalui SMS dan
sebagainya termasuk penipuan yang melibatkan pembelian yang besar seperti rumah dan kereta. Menyedari hakikat bahawa pengguna merupakan golongan yang sering menjadi mangsa kepada amalan perniagaan yang tidak beretika ini, pengguna perlu melindungi diri sendiri. Justeru, hanya pengguna sahaja yang mampu berbuat demikian dengan menggunakan kuasa yang ada pada pengguna. Kuasa pengguna ini perlu diperkasakan terutamanya dengan ilmu pengetahuan agar pengguna boleh melindungi dan mempertahankan hak sebagai pengguna serta menjalankan tanggungjawab yang sewajarnya. Hal ini bersesuaian dengan slogan yang selalu dilaungkan iaitu “Perlindungan Terbaik adalah Perlindungan Kendiri.”
SOALAN:
1. Berdasarkan ayat sendiri, apakah yang anda faham tentang maksud perlindungan kendiri?
2. Senaraikan dan bincangkan mengenai hak-hak pengguna yang telah diterima secara universal.
3. Apakah tanggungjawab pengguna yang boleh dikaitkan dengan hak-hak pengguna?
4. Bincangkan mengenai langkah yang boleh anda ambil untuk menjalankan perlindungan kendiri. Bagaimana hubung kait nilai pengguna dengan tanggungjawab dan hak pengguna boleh dijelaskan dalam langkah yang anda ambil?
5. Dalam konteks diri anda sebagai pengguna, bagaimanakah anda boleh menjadi pengguna yang berdaya upaya?
Aktiviti 1
Kotak Misteri: Kenali Persatuan Pengguna OBJEKTIF
1. Mendedahkan pelajar kepada persatuan-persatuan pengguna yang terdapat di Malaysia.
2. Membincangkan peranan persatuan pengguna.
3. Menarik minat pelajar terhadap aktiviti persatuan pengguna HASIL PEMBELAJARAN
1. Mengenalpasti persatuan pengguna yang aktif di Malaysia 2. Mengingkatkan kefahaman tentang peranan persatuan pengguna
3. Menunjukkan kaedah terbaik untuk persatuan pengguna mendekati golongan pelajar
KAEDAH PELAKSANAAN
1. Pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan.
2. Setiap kumpulan akan membuat cabutan di dalam kotak misteri yang diletakkan nama- nama persatuan pengguna.
3. Selepas cabutan dibuat pelajar perlu menerangkan maklumat berkaitan persatuan pengguna tersebut dan setiap maklumat yang betul diberi bintang.
4. Persatuan pengguna yang mempunyai bintang terbanyak akan diumumkan sebagai persatuan pengguna paling berkesan dan signifikan.