• Tidak ada hasil yang ditemukan

PERLINDUNGAN PENGGUNA

LIMITASI DAN PELUANG PERSATUAN PENGGUNA

Dalam perjuangan yang digariskan pada awal penubuhan masing-masing, persatuan pengguna tidak terkecuali daripada berhadapan dengan pelbagai cabaran. Cabaran menjadi bertambah rumit dengan arus pembangunan yang semakin pesat, kepelbagaian isu pengguna di pasaran yang semakin kompleks dan ditambah dengan faktor globalisasi dan teknologi maklumat yang semakin bergerak pantas. Persaingan untuk mendapat peluang juga menjadi semakin sengit atau sukar ekoran pelbagai kekangan yang dihadapi oleh sesebuah kerajaan terutamanya dari segi ekonomi. Oleh yang demikian, persatuan pengguna di Malaysia kini perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi pelbagai kemungkinan cabaran dan peluang yang ada. Antara yang boleh dibincangkan adalah seperti yang berikut:

1. Sokongan dan kerjasama daripada pengguna

Sesuatu usaha yang dijalankan oleh persatuan pengguna walaupun untuk kebajikan pengguna tidak akan berjaya sama sekali sekiranya tiada sokongan daripada golongan pengguna itu sendiri. Misalnya, jika berlaku sesuatu isu di pasaran yang menyebabkan persatuan pengguna perlu mengambil langkah untuk memboikot sesuatu barangan, tentunya misi ini tidak akan mencapai objektifnya sekiranya pengguna tetap membeli dan menggunakan barangan tersebut. Boikot biasanya diadakan dengan tujuan untuk memberi kesedaran kepada pihak yang menimbulkan masalah agar mereka faham bahawa tindak-tanduk mereka memberikan kesan negatif kepada pihak lain, terutamanya pengguna. Begitu juga dengan kempen yang diadakan oleh persatuan pengguna yang sememangnya amat memerlukan kerjasama daripada pengguna untuk turut sama terlibat dalam aktiviti yang dianjurkan pada masa kempen dilaksanakan. Hal ini sebenarnya berbalik kepada tanggungjawab yang perlu diambil oleh pengguna yang berkaitan dengan tanggungjawab untuk penglibatan dan tindakan.

Namun begitu, hasil kajian untuk pembentukan Indeks Pendayaupayaan Pengguna Malaysia dalam kalangan 3503 pengguna di seluruh Malaysia telah mendapati bahawa peratus responden yang terlibat dalam sebagai peserta program untuk mana-mana aktiviti kepenggunaan yang pernah dianjurkan bagi tempoh 12 bulan kebelakangan (daripada masa data dikumpulkan) hanya 20 peratus sahaja. Hal ini membuktikan bahawa tahap penglibatan pengguna di Malaysia dalam aktiviti kepenggunaan adalah sangat rendah.

2. Hubungan dengan kerajaan

Sejak dua dekad yang lalu, persatuan pengguna telah menjadi semakin terlibat dengan kerajaan. Persatuan pengguna mengambil bahagian secara aktif dalam penggubalan dasar kerajaan dan menyediakan perkhidmatan sosial yang pernah dijalankan oleh kerajaan. Hal ini bermakna bahawa persatuan pengguna telah menjadi pemain penting dalam masyarakat dan mempunyai keupayaan untuk mempengaruhi proses sosial. Walaupun perkembangan ini adalah sesuatu yang baik, namun ini juga bermakna bahawa persatuan pengguna boleh

kehilangan banyak ciri asal mereka seperti misi dan visi perjuangan masing-masing kerana dikhuatiri banyak dipengaruhi oleh perhubungan ini. Pada masa yang sama, persatuan pengguna perlu memastikan prestasi penilaian dan akauntabiliti persatuan dalam keadaan yang baik supaya kewujudan persatuan pengguna sebagai organisasi bebas dengan misi untuk meneruskan perjuangan masing-masing dapat dicapai.

Namun begitu dari sudut positifnya, hubungan baik ini sebenarnya memberikan peluang kepada persatuan pengguna untuk mendapatkan sokongan dan bantuan berbentuk dana kewangan. Sokongan dana ini amat penting kerana ia akan membantu persatuan pengguna menjalankan aktiviti yang dirancang. Di Malaysia, antara sumbangan dana kewangan yang disalurkan oleh kerajaan kepada persatuan pengguna adalah berkisar kepada pelaksanaan program dan kempen kesedaran, penganjuran seminar, melaksanakan penyelidikan dan membuat penerbitan.

3. Sumber manusia

Selain sumber kewangan yang terhad, persatuan pengguna juga turut berhadapan dengan masalah kekurangan sumber manusia untuk menjalankan tugas-tugas pentadbiran dan pelaksanaan aktiviti masing-masing. Hal ini kerana kebiasaannya mereka yang terlibat dalam persatuan pengguna ialah mereka yang juga mempunyai kerjaya masing-masing. Misalnya, mereka yang menjadi ahli MACFEA, PPIM, CFM dan sebagainya ialah mereka yang juga ahli profesional yang terdiri daripada pensyarah universiti dan sebagainya yang tentunya mempunyai tanggungjawab yang besar di dalam melaksanakan tanggungjawab hakiki mereka.

4. Perkembangan teknologi maklumat

Perkembangan arus teknologi maklumat turut memberikan pengaruhnya yang tersendiri.

Teknologi internet terutamanya telah dipuji sebagai faktor yang berpotensi membawa kepada revolusi perubahan dalam interaksi sosial. Melalui peningkatan dalam bilangan pengguna dan penggunaannya, keupayaan menyebarkan maklumat secara teori ke mana-mana sahaja di dunia dengan satu klik sahaja menjadi lebih berpengaruh. Dalam hal ini, persatuan pengguna dilihat harus mengambil peluang untuk menyatukan pengguna melalui pengaruh teknologi maklumat.

Namun begitu, pada masa yang sama persatuan pengguna mungkin turut berhadapan dengan cabaran yang dibawa oleh perkembangan pesat teknologi maklumat kerana pada hakikatnya, persatuan pengguna perlu sentiasa berupaya untuk memberi maklum balas dengan cepat berhubung sebarang masalah demi untuk membantu pengguna. Selain itu, dalam menguruskan dan menyelesaikan banyak perkara, persatuan pengguna turut dilaporkan menghadapi masalah kekurangan kewangan dan sumber manusia, dan ini menyukarkan persatuan pengguna untuk melakukan banyak perkara ke arah kebajikan dengan lebih berkesan. Sementara itu, cabaran yang perlu dihadapi oleh persatuan juga mungkin boleh dilihat dari sudut akses dan kemahiran pengguna, iaitu dari segi penggunaan teknologi maklumat sebagai perhubungan antara persatuan dengan pengguna. Hal ini kerana mungkin masih terdapat pengguna terutamanya yang terdiri daripada mereka yang buta IT atau yang tinggal di pedalaman yang masih memerlukan perhatian dan perlu dilindungi tetapi terhalang disebabkan masalah ini. Oleh itu, hal ini juga dilihat sebagai suatu cabaran yang perlu difikirkan oleh persatuan pengguna di Malaysia dalam menjalankan peranan untuk melindungi pengguna agar liputan pengguna adalah meluas dan menyeluruh.

TAHUKAH ANDA

Anda boleh melibatkan diri dengan Gerakan Pengguna Siswa (GPS)

Keahlian GPS terbuka kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang berminat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang bidang pengajian yang diceburi.

Faedah sebagai Ahli:

1. Memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran berkaitan isu-isu kepenggunaan semasa yang memberi manfaat yang besar kepada diri, rakan, ahli keluarga dan masyarakat.

2. Berpeluang menyertai dan mengendalikan pelbagai program/aktiviti kepenggunaan yang menarik seperti lawatan sambil belajar, kembara pengguna, explorace pengguna, cabaran interaktif pengguna, latihan jurulatih kepenggunaan, seminar, forum, dialog dan banyak lagi.

3. Memberi sumbangan kepada masyarakat melalui perkongsian maklumat dan penglibatan dalam program/aktiviti kepenggunaan yang memberi impak kepada masyarakat.

(Sumber: http://gpspsas.blogspot.com/)

RUMUSAN

Perlindungan pengguna di negara ini akan lebih berkesan apabila gerakan kepenggunaannya memainkan peranan aktif untuk menyedarkan rakyat tentang hak dan tanggungjawab mereka selaku pengguna. Kewujudan FOMCA pada Jun 1973 menjadikan gerakan kepenggunaan di negara ini lebih dinamik dan terarah. FOMCA berperanan memayungi kebanyakan persatuan pengguna dan mengatur pelbagai perancangan dan aktiviti kepenggunaan di negara ini. CAP dan PPIM juga adalah antara persatuan pengguna yang memainkan peranan cukup berkesan dalam melindungi dan memberi pendidikan kepenggunaan kepada pengguna di negara ini.

Begitu juga pertubuhan persatuan pengguna lain yang kewujudannya dilihat sangat penting dalam melindungi pengguna di Malaysia mengikut cara dan arah perjuangan tersendiri.

Kewujudan persatuan pengguna telah menyebabkan kita sebagai pengguna berasa selamat dan peniaga pula lebih berhati-hati.

SOALAN:

1. Senaraikan persatuan pengguna di Malaysia dan antarabangsa. Bagaimanakah mereka diwujudkan?

2. Bincangkan sumbangan persatuan pengguna di Malaysia dalam konteks perlindungan pengguna.

3. Bincangkan peranan anda sebagai ahli persatuan pengguna di;

i. Kampung ii. Universiti

Aktiviti OBJEKTIF

1. Mendedahkan pelajar kepada konsep sewa beli barangan pengguna 2. Menerangkan hak dan tanggungjawab pemilik dan penyewa 3. Mengenalpasti kesan jika perjanjian sewa beli tidak dipatuhi HASIL PEMBELAJARAN

1. Memahami konsep sewa beli

2. Mengetahui hak dan tanggungjawab pemilik dan penyewa

3. Meningkatkan kefahaman tentang tanggugjawab dan liabiliti penyewa

KAEDAH PELAKSANAAN

1. Pelajar dibahagikan kepada kumpulan kecil

2. Edar kod etika pemegang permit ejan perolehan semula

3. Pelajar diminta untuk melakonkan situasi penarik kereta dengan prosedur yang salah dan prosedur yang betul (role play)

BAHAN/PERALATAN

1. Kod etika bagi pemegang permit ejen perolehan semula di bawah Akta Sewa Beli 2. Kertas A4

3. Pen marker TEMPOH/MASA 2 jam

RUMUSAN

 Pengguna harus peka terhadap perjanjian yang ditandatangani

 Penyewa bukan sahaja mempunyai hak tetapi juga tanggungjawab di bawah perjanjian sewa beli

 Barangan sewa boleh diambil semula jika perjanjian tidak dipatuhi KLUSTER: PERLINDUNGAN PENGGUNA