• Tidak ada hasil yang ditemukan

Anggaran Per Kapita Bagi Pertumbuhan KDNK Malaysia,

Dalam dokumen 2010. Rancangan Fisikal Negara Ke 2. JPB (Halaman 88-95)

Wilayah

Harga KDNK Per Kapita (RM) dalam tahun 2000 Purata Pertumbuhan Setahun (%) 2000 2010 2020 2000-2010 2010-2020 Wilayah Utara 12,215 14,714 21,774 1.9 4.0 Wilayah Tengah 20,767 24,883 32,887 1.8 2.8 Wilayah Selatan 13,294 15,322 21,483 1.4 3.4 Wilayah Timur 14,388 16,133 25,156 1.2 4.5 Semenanjung Malaysia 16,046 18,965 26,879 1.7 3.5 Malaysia 15,170 17,762 24,898 1.6 3.4

Sumber: Data yang tidak diterbitkan, EPU 2001-2010

4.3 Proses Perbandaran

Dalam beberapa dekad yang lalu, Malaysia telah mengalami kepesatan dalam perbandaran hasil daripada perubahan struktur ekonomi daripada kebergantungan dalam sektor perlombongan dan pertanian kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan. Walaubagaimana pun, selain daripada proses perbandaran yang pesat, telah muncul juga satu trend yang kurang menonjol tetapi amat signifikan kepada pembangunan bandar dalam tempoh banci tahun 1991-2000. Ini adalah pemusatan tumpuan penduduk bandar di beberapa wilayah bandar, iaitu di sekitar Conurbation Kuala Lumpur, George Town dan Johor Bahru.

Malaysia mempunyai hierarki perbandaran yang kukuh, yang telah dibangunkan semenjak awal abad ke-19. Hierarki ini terus membentuk satu asas geografi yang mampan untuk memodenisasikan sektor perindustrian dan ekonomi negara. Kini, satu pola polisentrik pusat-pusat bandar yang saling berkait telah wujud, dengan Conurbation Kuala Lumpur menjadi sebuah ‘bandar maju’ yang disokong oleh Conurbation George Town, Johor Bahru dan Kuantan (Rajah 4.1). Bagi mengelakkan Conurbation Kuala Lumpur menjadi satu-satunya bandaraya utama yang berpengaruh, tindakan-tindakan awal perlu diambil untuk mengelakkan bandar ini daripada menjadi tumpuan penduduk dan kapasiti produktif di dalam satu conurbation utama.

RFN Ke-2 memperakui trend-trend tersebut merupakan sebahagian daripada proses globalisasi yang berhubung kait dengan transformasi ke arah K-ekonomi. Gabungan proses-proses ini seiring dengan wawasan negara untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, menunjukkan trend semasa bagi pembangunan bandar tertumpu di pusat-pusat yang lebih besar untuk pertumbuhan yang lebih efisien dan nilai ditambah tinggi akan turut menjejaskan kawasan luar bandar dan petempatan bandar kecil. Di peringkat ekonomi makro, yang berasaskan pertumbuhan ekonomi semasa, peningkatan prestasi ekonomi, terutamanya teknologi tinggi dan perkhidmatan berasaskan pengetahuan, akan terus memerlukan pembangunan ditumpukan di pusat bandar berbanding dengan penyelerakan pembangunan ke kawasan-kawasan yang persekitaran ekonominya kurang maju.

Rancangan Fizikal Negara Ke-2

 

4‐12 Terdapat banyak bukti yang menunjukkan pertumbuhan yang lebih pesat berlaku di kawasan bandar pada masa hadapan dengan penumpuan pertumbuhan pusat aktiviti di bandar besar sedia ada. Justeru itu, dijangka bahawa kebanyakan penduduk bandar akan menetap dan bekerja di empat conurbation utama iaitu Kuala Lumpur, George Town, Johor Bahru dan Kuantan. Keempat-empat conurbation pertumbuhan ini dilihat sebagai asas pertumbuhan utama untuk menjanakan peluang pekerjaan yang diperlukan serta mempertingkatkan pendapatan yang lebih tinggi dan memastikan kualiti hidup untuk semua golongan di kawasan petempatan. Menjelang tahun 2020, dianggarkan hampir 70% daripada penduduk bandar Semenanjung Malaysia akan bertumpu di keempat- empat conurbation ini.

Conurbation Kuantan merupakan satu kes khas yang perlu dinyatakan, yang mana walau pun ianya tidak setaraf dengan Conurbation George Town dan Johor Bahru, tetapi Conurbation Kuantan telah dipilih untuk memperolehi infrastruktur sokongan yang setaraf dengan kedua-dua conurbation tersebut. Strategi pembangunan bagi Conurbation Kuantan adalah untuk mewujudkan satu pusat dengan critical mass yang tinggi di Pantai Timur sebagai asas untuk menjanakan perkembangan ekonomi.

DPN telah menunjukkan kadar perbandaran yang pesat sedang dialami di Semenanjung Malaysia. Berdasarkan trend semasa dan terdahulu, kadar ini dijangka akan melonjak pada masa hadapan untuk mencapai tahap perbandaran sebanyak 75% di Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2020 hampir setanding dengan lain-lain negara maju.

Dengan peningkatan prestasi ekonomi, terutamanya dalam menarik pelaburan langsung asing, RFN Ke-2 mencadangkan keperluan untuk meneruskan tumpuan pembangunan bandar di pusat-pusat terpilih, terutamanya di conurbation. Dengan pembangunan dan perkembangan pesat di conurbation, pembangunan secara ad-hoc yang tidak berurutan, kehilangan kawasan rekreasi dan kawasan hijau serta kemerosotan di pusat dalaman bandar, adalah diantara kesan dan ancaman yang timbul akibat pembangunan bandar. Cabaran kepada negara, pihak berkuasa negeri dan PBPT adalah untuk mengurus dan mentadbir pertumbuhan bandar yang cekap, di kedua-dua conurbation yang pesat dan di conurbation yang berkembang perlahan atau kawasan bandar yang merosot. Kesemua peringkat pihak berkuasa ini perlu memaksimakan faedah-faedah pembangunan, mengawal potensi kesan sampingan contohnya kesesakan lalu lintas dan pencemaran, serta memainkan peranan positif dalam mencapai Wawasan 2020. Perancangan spatial perlu bermatlamat ke arah mewujudkan sebuah pusat bandar yang menawarkan kualiti persekitaran hidup yang tinggi dan tahap penyediaan kemudahan yang mencukupi seperti sekolah, IPT, hospital, kawasan rekreasi serta pengangkutan bandar dan utiliti yang berkualiti tinggi kepada penduduknya.

Pusat-pusat bandar yang terletak di luar empat conurbation utama dijangka akan berkembang dengan lebih perlahan dan semakin lama akan kehilangan sebahagian daripada penduduknya. Kebanyakan PPU dan PPK, kecuali yang terletak dalam lingkungan pengaruh conurbation utama, dijangka akan mengalami penurunan dalam populasinya. Bagi PBPT, ini dianggap sebagai satu cabaran untuk mempertingkatkan

Rancangan Fizikal Negara Ke-2

 

4‐13 produktiviti dan efisiensi PPU dan PPK, serta mewujudkan tempat-tempat yang berdaya maju bagi mengelakkan masalah kehilangan penduduk.

Terdapat beberapa PPU dan PPK yang menunjukkan potensi untuk menjadi nukleus conurbation pada masa hadapan. Ini termasuklah Mentakab-Temerloh, Lumut-Sitiawan- Manjung dan Muar-Batu Pahat-Kluang. Terdapat juga beberapa PPU dan PPK yang mempunyai ciri-ciri khas seperti Rantau Panjang, bandar pintu masuk di sempadan, yang boleh dijadikan asas untuk pembangunan aktiviti khusus. Pada masa yang sama, keupayaan ibu negeri untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk di sekelilingnya juga perlu disokong.

Cabaran-cabaran lain adalah seperti menangani masalah kelembapan ekonomi wilayah serta kemiskinan bandar dan luar bandar. Lebih banyak usaha perlu dilaksanakan untuk memangkin dan mentransformasikan persekitaran bandar dan luar bandar menjadi kawasan yang lebih menarik, makmur dan sesuai didiami dengan penambahbaikan ke atas tahap pendapatan dan gaya hidup. Faktor-faktor ini memberikan kesan terhadap keberkesanan perancangan dan pengurusan petempatan manusia yang mampan, di kawasan bandar dan juga luar bandar.

RFN Ke-2 menyokong strategi pembangunan Serakan Tertumpu di koridor pembangunan ekonomi utama bagi mencapai objektif pembangunan wilayah yang mengutamakan pertumbuhan, kesaksamaan dan kemampanan. Strategi ini menghasratkan satu sistem fungsi hierarki perbandaran dengan usaha untuk menjana semula pertumbuhan bandar-bandar bersaiz sederhana (petempatan utama) bagi mencapai jumlah penduduk dan penumpuan aktiviti ekonomi yang mencukupi untuk kecekapan ekonomi dan aglomerasi ekonomi.

Pembangunan masa hadapan pusat-pusat bandar dan conurbation akan dipandu dan dibentuk menjadi struktur bandar padat poli-nukleus, di mana kluster pusat-pusat bandar mempunyai hubung kait fungsi dan ekonomi antara satu sama lain, justeru menjanakan pertumbuhan saling bergantungan dan sinergi yang signifikan untuk manfaat bersama (Rajah 4.2). Dalam merangka rancangan pembangunan untuk conurbation, adalah penting untuk memberikan fokus kepada strategi pengurusan pertumbuhan seperti menentukan had atau sempadan bandar, pertumbuhan bandar dan peralihan ke arah pembangunan berorientasikan transit (TOD) dalam memastikan pembangunan bandar mampan. Program tindakan seperti pembangunan semula bandar dan infrastruktur wilayah strategik berimpak tinggi, perlu dilaksanakan untuk mempercepatkan pembangunan di wilayah yang mengalami tekanan ekonomi dan kawasan fokus kemiskinan.

Rancangan Fizikal Negara Ke-2

 

4‐14

Rajah 4.2 : Strategi ‘Concentrated Dispersal’

Adalah dijangkakan sebahagian besar daripada KDNK negara dihasilkan di dalam kawasan bandar. Asas utama untuk memacu pertumbuhan dan inovasi adalah di dalam Pusat Pertumbuhan Negara dan Wilayah, iaitu Kuala Lumpur, George Town, Johor Bahru dan Kuantan. Selain fungsi wilayah, Pusat Pertumbuhan Wilayah dijangka akan memainkan peranan yang sesuai di peringkat antarabangsa dan negara untuk mengimbangi pertumbuhan di semua peringkat hierarki bandar serta mengekalkan kadar dan tahap perbandaran di Conurbation Kuala Lumpur pada tahap yang dinamik dan mudah diurustadbir. Sebagai contoh, Conurbation Kuantan akan berfungsi sebagai hab petrokimia utama negara untuk memenuhi permintaan pasaran Asia-Pasifik. Bentuk bandar conurbation ini akan mempunyai satu kawasan metropolitan utama yang dihubungkan dengan kluster pusat-pusat bandar dalam wilayah ini oleh sistem pengangkutan awam yang efisien dan kemudahan perhubungan internet jalur lebar berkelajuan tinggi. Contoh lain adalah Kuala Lumpur yang berfungsi sebagai bandar utama dihubungkan secara rapat dengan satu lingkaran pusat-pusat bandar seperti Petaling Jaya, Putrajaya, Kajang, Rawang dan Klang yang mengelilinginya.

Konsep bandar-wilayah ini juga boleh diubahsuaikan ke semua peringkat hierarki dan corak petempatan. Konsep fungsi hierarki bandar adalah penting bukan sahaja untuk mengoptimumkan peruntukan dan penyediaan kualiti perkhidmatan infrastruktur bandar yang berdaya maju, tetapi juga merupakan instrumen penting untuk mencapai keseimbangan wilayah dan kesaksamaan pembangunan, terutamanya dalam memastikan tahap penerimaan perkhidmatan yang minimum disediakan di semua kawasan bandar.

Conurbation 

 

Tahap 1 : Conurbation Pertumbuhan Negara  Tahap 2 : Conurbation Pertumbuhan Wilayah  Tahap 3 : Conurbation Pertumbuhan Separa     

       Wilayah 

Tahap 4 : Conurbation Pertumbuhan Negeri  

 

Pusat Petempatan Utama

 

Tahap 5 : Conurbation Pertumbuhan Daerah  Tahap 6 : Pusat Petempatan Utama  

 

Pusat Petempatan Kecil

 

Tahap 7 : Pusat Petempatan Kecil  Tahap 8 : Pusat Pertumbuhan Desa

 

Pusat‐pusat Bandar Sistem Bandar Poli‐Nukleus  Petempatan Desa 

Rancangan Fizikal Negara Ke-2

 

4‐15 Perkembangan bandar di negara kini mengarah kepada trend perbandaran pesat, maka kerajaan perlu memberikan komitmen yang lebih tinggi untuk bersedia menghadapi sebarang cabaran dengan strategi-strategi yang lebih kreatif dan inovasi bagi menangani cabaran tersebut. Ini perlu, antara lain, melibatkan pewujudan Kementerian Pembangunan Bandar Mampan, pembentukan Institut Penyelidikan Bandar dan pewujudan Dana dan Program Pembangunan Bandar untuk menyokong PBT di dalam pembiayaian komponen infrastruktur yang signifikan bagi pembangunan bandar, pembangunan semula brownfield dan inisiatif pemuliharaan alam sekitar di kawasan khas.

4.4 Keseimbangan Wilayah

Keseimbangan wilayah diterjemahkan sebagai peluang setara untuk mencapai kesaksamaan tahap pendapatan, kualiti kehidupan dan pembangunan individu, dan tidak semestinya sama dalam bentuk pembangunan fizikal. Secara umumnya, tidak semua tempat mempunyai peluang yang sama meningkatkan potensi pertumbuhan dan pembangunan, seperti pewujudan dan pengoperasian industri berteknologi tinggi. Matlamat utama adalah untuk mengurangkan jurang dan kadar pertumbuhan antara wilayah dalam negara.

Tanah dan sumber asli di wilayah kurang maju yang masih belum digunakan sepenuhnya, perlu dipergunakan untuk meningkatkan rantaian nilai dan produktiviti wilayah tersebut dan membantu mengurangkan ketidakseimbangan wilayah. Industri dan aktiviti yang berasaskan sumber dan perhutanan, aktiviti hiliran asas pertanian, eko atau resort pelancongan, industri asas kraf dan lain-lain aktiviti khusus perlu digalakkan dan disokong. Dalam erti kata lain, aktiviti ekonomi yang berdaya maju yang dibangunkan berdasarkan kelebihan sumber sedia ada dan kelebihan berbanding sesuatu wilayah perlu dihalakan ke wilayah yang kurang maju.

Penyediaan kawasan perusahaan SME yang sesuai, insentif dan infrastruktur strategik dalam wilayah tersebut, terutamanya penyediaan Zon Ekonomi Khas (SEZ) serta rangkaian ICT dan pengangkutan di kawasan potensi pelancongan, perlu dipertingkatkan untuk memudahcara pembangunan masing-masing. Ini akan mempercepatkan integrasi mereka ke dalam aktiviti K-ekonomi untuk menggalakkan keseimbangan wilayah. Secara khusus, usaha ini termasuklah penyambungan lebuh raya persekutuan ke negeri Kelantan.

Keseimbangan wilayah juga ditafsirkan sebagai satu permulaan bagi membolehkan pembangunan mampan dijalankan di semua kawasan yang berpotensi dalam negara pada masa hadapan. Justeru itu, kemasukan Conurbation Kuantan yang semakin membangun, sebagai satu wilayah-bandar, akan dipromosikan bersama dengan Conurbation George Town dan Johor Bahru. Kuantan akan bertindak sebagai pintu masuk bagi sektor pertumbuhan ekonomi baru dan canggih.

Rancangan Fizikal Negara Ke-2

 

4‐16 Pemodenan pertanian dan peningkatan pendapatan sektor pertanian, walau bagaimanapun, masih merupakan faktor asas dalam pembasmian ketidakseimbangan wilayah. Penghijrahan keluar dari wilayah yang kurang maju juga perlu dijangka di dalam strategi pembangunan negara untuk memudahcarakan pengukuhan pertanian dan menambah baik produktiviti tenaga kerja. Terdapat juga keperluan untuk memperkukuhkan program pembangunan pendidikan, latihan teknikal dan sosial di negeri-negeri kurang maju bagi menggalakkan penduduknya supaya dapat berintegrasi lebih efektif ke dalam ekonomi bandar conurbation tersebut.

Hasrat untuk mencapai keseimbangan wilayah merupakan salah satu tonggak utama dalam pembangunan negara yang selaras dengan RMLT. Sistem 3-peringkat pentadbiran negara, telah menyumbang kepada keseimbangan wilayah dengan peruntukan pembangunan diagihkan secara saksama di antara negeri-negeri mengikut keperluan, sumber dan keutamaan masing-masing.

Pada masa kini, kerajaan persekutuan sedang berusaha untuk melonjak dan meningkatkan prestasi ekonomi di dalam wilayah bagi menyokong pertumbuhan negara yang tinggi dan mampan. Untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi wilayah, strategi khusus telah dirangka dan dilaksanakan untuk empat wilayah ekonomi di Semenanjung Malaysia, iaitu Wilayah Tengah, Wilayah Selatan, Wilayah Utara dan Wilayah Timur. Pendekatan wilayah ini telah mengenal pasti koridor pembangunan ekonomi tempatan yang utama di sepanjang Koridor Pertumbuhan bagi melaksanakan inisiatif pemangkin berimpak tinggi. Contoh-contoh pembangunan ekonomi ialah agropolitan dan SEZ, berhubung dengan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) melibatkan Iskandar Malaysia. Untuk menyokong inisiatif ekonomi wilayah negara, RFN Ke-2 mencadangkan pengukuhan empat conurbation pertumbuhan utama sebagai pintu masuk antarabangsa dan negara serta hab wilayah bagi setiap wilayah ekonomi tersebut, iaitu: -

 Wilayah Tengah - Conurbation Kuala Lumpur.  Wilayah Utara - Conurbation George Town.  Wilayah Timur - Conurbation Kuantan.  Wilayah Selatan - Conurbation Johor Bahru.

Conurbation ini merupakan pemangkin dalam memacu pembangunan di wilayah ekonomi berkenaan. Conurbation di Pantai Barat adalah lebih jelas, bagaimanapun Conurbation Kuantan yang baru bermula di Pantai Timur memerlukan bantuan khas daripada Kerajaan dari segi insentif fiskal dan bukan fiskal serta pembangunan sosial dan infrastruktur fizikal yang bersepadu. Salah satu instrumen ekonomi utama yang digunakan adalah penetapan SEZ yang akan menarik pelaburan awam dan swasta ke dalam wilayah tersebut.

Rancangan Fizikal Negara Ke-2

 

4‐17

4.5 Trend dan Arah Tuju Pembangunan Luar Bandar

Pembentukan perhubungan yang kuat antara bandar dan luar bandar adalah amat penting dalam memastikan pembangunan kawasan luar bandar yang mampan. Kawasan luar bandar lazimnya dikaitkan dengan aksessibiliti lemah ke pusat bandar, di mana penduduknya bergantung hampir sepenuhnya kepada pendapatan dan pemasaran hasil pertanian. Kekurangan inovasi teknologi dan sokongan juga menyebabkan produktiviti dan hasil pendapatan rendah. Di peringkat awal pembangunan, kemiskinan lazimnya dikaitkan dengan aktiviti pertanian pekebun-pekebun kecil di kawasan luar bandar (Senario 1 di Rajah 4.3).

Untuk menambah baik daya tarikan ke kawasan luar bandar, adalah penting untuk memperkenalkan elemen-elemen utama seperti penyediaan peluang pekerjaan bukan pertanian, meningkatkan sumber pendapatan, mempertingkatkan kualiti hidup, penyediaan kemudahan sosial yang lebih baik dan menambah baik akses dan sistem perhubungan. Hubungan simbiotik antara petempatan bandar dan luar bandar perlu diperkukuhkan melalui penambahbaikan perhubungan dan laluan pengangkutan supaya peluang pekerjaan di bandar-bandar utama boleh menyediakan pekerjaan tambahan kepada para petani dan penduduk desa dengan jarak perjalanan berhampiran dengan kediaman mereka. Keadaan ini juga akan membolehkan pekerja menetap di kawasan luar bandar dan bekerja di pusat bandar berdekatan. Ini akan meningkatkan pendapatan isirumah luar bandar dan membolehkan keluarga menetap di desa, di mana kos sara hidup adalah lebih rendah berbanding dengan kawasan bandar.

Pelaburan Kerajaan yang berterusan di kawasan luar bandar telah menghasilkan peningkatan dalam aksessibiliti dan kemahiran individu. Jalan luar bandar yang ditambah baik, membolehkan penduduk luar bandar untuk berulang-alik ke pusat pekerjaan bukan pertanian yang kebanyakannya terletak di pusat bandar utama yang berhampiran. Pendapatan bukan pertanian juga telah meningkat dengan pengenalan industri asas sumber dan industri asas pertanian, di samping peluang pekerjaan (separuh masa dan bermusim) dalam sektor peruncitan dan perkhidmatan di bandar-bandar bersaiz kecil dan sederhana.

Perjalanan untuk bekerja di pusat bandar yang menawarkan pekerjaan dalam sektor bukan pertanian telah menghasilkan pendapatan isirumah yang lebih tinggi. Walaubagaimanapun, pekebun-pekebun kecil yang kekurangan pekerja ladang tempatan dan sokongan teknologi termasuk harga pasaran yang rendah untuk produk hasil pertanian, telah mengakibatkan kawasan ladang ditinggalkan dan kemerosotan dalam pendapatan hasil ladang secara umumnya (Senario 2 dalam Rajah 4.3).

RFN Ke-2 telah mencadangkan keperluan untuk beralih ke Senario 3 (Rajah 4.3) di mana berlakunya penggabungan aktiviti ekonomi yang merentas sektor (seperti pertanian dan industri bio teknologi) dan integrasi ekonomi yang rapat antara kawasan luar bandar dan pusat bandar. Program pembangunan luar bandar perlu mengenalpasti kepentingan peranan bandar-bandar kecil dan PPD sebagai komponen-komponen yang bersepadu bagi menjamin kejayaan pembangunan luar bandar. Pada masa yang sama,

Rancangan Fizikal Negara Ke-2

 

4‐18 perhubungan antara PPD dengan pusat pekerjaan di pusat bandar utama perlu diperkukuhkan dan dipertingkatkan lagi.

Dalam dokumen 2010. Rancangan Fisikal Negara Ke 2. JPB (Halaman 88-95)