• Tidak ada hasil yang ditemukan

Unjuran Penduduk Bagi Conurbation Utama

Dalam dokumen 2010. Rancangan Fisikal Negara Ke 2. JPB (Halaman 159-164)

Pusat Pekerjaan

Jadual 5.2: Unjuran Penduduk Bagi Conurbation Utama

Conurbation Tahun 2000 (juta) Tahun 2020 (juta)

Kuala Lumpur 4.8 10.37

George Town 1.3 2.42

Johor Bahru 1.0 2.40

Kuantan 0.5 1.38

Peratus daripada Jumlah Penduduk Semenanjung 41.1% 60.4%

Sumber : Unjuran penduduk bagi Conurbation Kuala Lumpur adalah berdasarkan Kajian Rangka Kerja Penyelarasan Pengurusan Pertumbuhan Kuala Lumpur Conurbation dan Conurbation George Town adalah berdasarkan RFN. Untuk Conurbation Johor Bahru dan Kuantan, unjuran penduduk adalah berdasarkan Pelan Induk SJER dan Zon Ekonomi Khas (SEZ) ECER.

Pembentukan conurbation yang keempat sedang berlaku di sekitar Kuantan. Strategi Serakan Tertumpu dalam koridor pembangunan berasaskan conurbation utama akan mengukuhkan fungsi dan kedudukan keempat-empat conurbation ini.

Wawasan 2020 dan strategi RRJP3 adalah berasaskan kepada tahap pertumbuhan ekonomi yang tinggi menerusi kepesatan pembangunan industri dan sektor pembuatan asas eksport. RMKe-9 juga telah mengiktirafkan sektor pembuatan dan perkhidmatan sebagai sektor-sektor ekonomi yang sedang berkembang pesat. Ia selanjutnya mengenal pasti keperluan menggalakkan pelaburan langsung asing dan memperakukan bahawa pembangunan perindustrian masa depan akan menghadapi persaingan lebih intensif antara negara-negara bagi mendapatkan pelaburan dan pasaran. Berdasarkan cabaran tersebut dan strategi perancangan ekonomi yang telah dirumuskan, pembangunan negara pada masa akan datang memerlukan dan bergantung kepada kawasan bandar.

Rancangan Fizikal Negara Ke-2

  5-37

Ianya juga memberi implikasi terhadap kebebasan memilih lokasi secara am bagi pelabur-pelabur, bersesuaian dengan keperluan dan kepentingan perniagaan masing- masing. Pelabur-pelabur antarabangsa lebih berminat dengan lokasi yang menawarkan infrastruktur fizikal bagi menyokong keperluan perniagaan mereka, berhampiran dengan perniagaan serta industri lain untuk memperolehi kos perdagangan yang rendah dan aglomerasi ekonomi, termasuk kemudahan infrastruktur sokongan bagi memenuhi keperluan gaya hidup pekerja berpengetahuan tinggi. Kemudahan yang diperlukan termasuk kelab sosial, rekreasi dan sukan, pelbagai pusat hiburan dan pusat kebudayaan masing-masing sekolah antarabangsa, pusat beli belah bertaraf mewah dan akses mudah bagi perjalanan antarabangsa. Bandar dan conurbation yang sesuai didiami dapat menarik dan mengekalkan modal insan berkepakaran dan berpengetahuan tinggi yang seterusnya mampu menarik kemasukan industri berteknologi tinggi dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi bagi memacu pertumbuhan ekonomi berpendapatan tinggi (Rajah 2.2).

Strategi serakan tertumpu dalam pembangunan koridor akan meningkatkan kemampuan bandar-bandar yang dinamik di negara ini untuk bersaing dengan bandar-bandar lain di wilayah Pasifik Barat dan terus mengekalkan kemampanan daya saingnya. Oleh itu, di dalam konteks Semenanjung Malaysia, tumpuan pelaburan produktif, peluang-peluang pekerjaan dan penduduk di conurbation utama dijangka berterusan.

Trend perbandaran semasa yang memberi penumpuan utama di bandaraya-bandaraya utama mungkin boleh diubahsuai tetapi tidak boleh disekat, sebagaimana dilaksanakan melalui dasar masa lalu contohnya untuk memperbandarkan kawasan luar bandar seperti pembangunan kawasan-kawasan Lembaga Pembangunan Wilayah (LPW). Sebarang usaha untuk mengarahkan pembangunan perindustrian ke kawasan yang ditentukan oleh pihak kerajaan akan mengakibatkan pelaburan awam yang tidak efektif, menjejaskan daya saing Malaysia dalam menarik pelaburan lansung asing dan menyebabkan kehilangan pelaburan tempatan kepada pesaing-pesaing antarabangsa, dan seterusnya menjejaskan usaha ke arah pencapaian objektif Wawasan 2020. Pengubahsuaian trend pembangunan semasa merangkumi sokongan berterusan kepada pembangunan di lokasi terpilih dan terhad dalam wilayah kurang maju seperti Kuantan dan selatan Terengganu dalam bentuk ‘pembangunan kon’ dalam koridor pertumbuhan ekonomi utama. Setiap pusat bandar terpilih perlu mengkhususkan aktiviti ekonomi mengikut potensi sumber masing-masing untuk menampung pasaran khusus, sebagai contoh NCER dengan pengeluaran pertanian khusus untuk pasaran Timur Tengah. Matlamat utamanya adalah untuk menggalakkan pembangunan geografi seimbang serta memperkukuhkan asas bagi perkembangan sektor perindustrian pada masa hadapan di wilayah tersebut. Usaha ini juga merangkumi usaha menyalurkan limpahan dan lebihan pembangunan ke conurbation yang terletak di antara conurbation utama seperti Ipoh, Melaka, Temerloh-Mentakab, Lumut-Sitiawan-Manjung dan Muar-Batu Pahat-Kluang. PPU dan PPK (bandar kecil dan sederhana) secara umumnya termasuk beberapa buah ibu negeri didapati tidak membangun dengan pesat seperti conurbation utama dan mengalami pengurangan penduduk bandar dalam dekad 1991-2000. Pelaburan awam bagi infrastruktur bertujuan untuk menarik pembangunan sektor yang menghadapi

Rancangan Fizikal Negara Ke-2

  5-38

persaingan global, ke PPU dan PPK adalah tidak efektif dari segi kos. Daya maju pembangunan bandar-bandar ini perlu bergantung kepada sektor-sektor yang tidak memerlukan persaingan global atau sekurang-kurangnya persaingan global yang minimum seperti sektor pembuatan dan perkhidmatan asas sumber, industri asas kraf, aktiviti hiliran pertanian, perhutanan serta aktiviti-aktiviti pemodenan sektor pertanian. Terdapat beberapa pengecualian, khususnya bagi bandar-bandar yang mempunyai potensi berkait dengan pembangunan sumber in-situ, iaitu sektor khusus yang tidak dipengaruhi oleh persaingan global yang intensif. Bandar-bandar ini dikenali sebagai Bandar Berciri Khas. Ianya merangkumi bandar-bandar terletak berhampiran dengan kawasan yang mempunyai keindahan semula jadi yang menyerlah atau kawasan berdaya tarikan alam semula jadi, arkeologi atau bersejarah yang boleh dijadikan sebagai bandar peranginan pelancong (contoh: Tanah Rata dan Port Dickson) dan tapak baru eko-lancong (contoh: Raub dan Kuala Lipis) termasuk bandar yang menyokong operasi perlombongan seperti di Kerteh. Kerajaan-kerajaan negeri perlu mengarahkan pelaburan infrastruktur mengikut kesesuaian jenis pembangunan ke kawasan-kawasan istimewa ini.

Rebakan bandar dan kemerosotan persekitaran bandar di dalam conurbation merupakan satu isu dalam perkembangan conurbation. Walaupun conurbation digalakkan untuk berkembang supaya dapat memanfaatkan pelaburan pembangunan, setiap bandar di dalam conurbation berkenaan tidak seharusnya menghadapi kemerosotan dalam aspek rupa bentuk, karektor dan kecekapan fungsi masing-masing.

Perancangan bandar di peringkat tempatan perlu berusaha untuk menggalakkan persekitaran yang sesuai didiami di dalam setiap bandar, mengekalkan keutuhan hubungan di antara bandar utama dan pinggir bandar serta mengurangkan masa perjalanan di antara pusat bandar dan kawasan sekitarnya. Conurbation tidak sepatutnya menjadi kawasan perbandaran yang bercelaru dengan guna tanah bandar yang bercampur aduk dan tidak dapat dibezakan sehingga penduduk terpaksa membuat perjalanan yang tidak perlu, panjang atau bersilang antara satu sama lain, sama ada ke tempat kerja, sekolah, membeli belah atau beriadah.

Bandar yang sesuai didiami dan komuniti mampan dapat dicapai dengan peralihan bentuk pembangunan daripada rebakan bandar konvensional yang tidak teratur kepada rupa bentuk dan reka bentuk bandar padat. Untuk mewujudkan bandar yang sesuai didiami, keutamaan perlu diberi kepada peruntukan sumber bagi menjana semula masyarakat dan merancakkan semula pusat bandar dan kawasan pinggir bandar lama yang sedia ada.

Konsep bandar yang sesuai didiami meletakkan keutamaan kepada menggalakkan pembangunan bercampur, berdensiti tinggi, aksessibiliti pengangkutan awam dan pejalan kaki, penggunaan optimum infrastruktur sedia ada, penambahbaikan persekitaran, dan perlindungan dan penyediaan ruangan terbuka. Reka bentuk bangunan padat membolehkan pemeliharaan dan penyediaan lebih banyak kawasan hijau dan tanah lapang seperti taman, hutan bandar, tanah bencah dan kawasan

Rancangan Fizikal Negara Ke-2

  5-39

pertanian utama. Reka bentuk, khususnya bangunan dan tempat letak kereta bertingkat, perlu dibangunkan dengan menggunakan tanah dan sumber secara efisien. Konsep bandar padat diperlukan untuk penyediaan sistem pengangkutan awam yang efisien kerana kebolehlaksanaan rangkaian sistem tersebut bergantung kepada keperluan kepadatan minima bagi sesebuah bandar. Kos untuk penyediaan dan penyelenggaraan perkhidmatan seperti air, pembetungan, elektrik dan perkhidmatan telefon bagi setiap unit kediaman dalam kawasan kejiranan padat adalah lebih rendah berbanding dengan kawasan kejiranan yang berselerak. Oleh kerana, komuniti lebih arif mengenai keperluan mereka, adalah penting untuk mengadakan penyertaan komuniti dari sektor awam dan swasta dalam proses perancangan.

Komponen utama dalam bandar padat adalah integrasi kegunaan tanah bercampur ke dalam komuniti, terutamanya di pusat bandar, berdasarkan kepada pendekatan pengezonan kegunaan tanah mengikut kesan pencemaran. Kedudukan kegunaan bercampur (contohnya perumahan, perniagaan dan perkhidmatan) yang berdekatan antara satu sama lain, menggalakkan keberkesanan rangkaian fungsi dan menawarkan alternatif lain kepada penggunaan kereta, seperti berjalan kaki dan berbasikal, justeru membantu mengurangkan kesan rumah hijau. Kegunaan tanah bercampur akan menjanakan critical mass penduduk dan asas perdagangan yang besar untuk menyokong sistem pengangkutan awam yang berdaya maju. Ia juga akan mempertingkatkan keceriaan, keselamatan dan kehidupan sesebuah kawasan terutamanya pusat bandar dan pusat kejiranan, dengan meningkatkan bilangan penduduk di atas jalanan, kawasan membeli-belah dan reruang awam, dan seterusnya mempertingkatkan aktiviti ekonomi di pusat komersial dan merancakkan semula kehidupan komuniti.

Pusat conurbation telah mengalami penurunan bilangan penduduk kepada kawasan pinggiran bandar dan bandar satelit dalam dekad yang lepas. Faktor utama yang menyebabkan perpindahan penduduk keluar dari pusat bandaraya utama adalah peningkatan kos perumahan, di mana kos kehidupan dalam bandar telah melebihi keupayaan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Hanya perumahan yang mendapat subsidi iaitu dalam bentuk rumah kos rendah dapat mengekalkan sebahagian golongan berpendapatan rendah di pusat bandar. Namun demikian, perumahan kos rendah ini ditawarkan kepada golongan miskin bandar sahaja dan tidak kepada golongan berpendapatan sederhana dan sederhana rendah. Keadaan ini mewujudkan suasana di mana pusat bandar hanya didiami oleh golongan terkaya dan termiskin. Keadaan ini tidak mengambarkan kepelbagaian sosial yang dihasratkan di pusat-pusat bandaraya. Bagi menangani sindrom perumahan golongan berpendapatan sederhana dan sederhana rendah, maka perumahan mampu milik yang mencukupi dari segi saiz, jenis dan pemilikan, perlu disediakan di bandar-bandar mengikut keperluan penduduk tempatan. Kehidupan bandar, terutamanya dalam inovasi bangunan bertingkat, akan digalakkan; dan lebih banyak rumah mampu milik akan dibina di semua kawasan pembangunan perumahan baru, terutamanya di tapak brownfield, dengan mempercepatkan kebenaran merancang dan penyediaan insentif, seperti pembangunan bercampur dan kepadatan tinggi. Dengan ini, bilangan penduduk yang tinggal di bandar

Rancangan Fizikal Negara Ke-2

  5-40

akan meningkat dan aktiviti ekonomi akan bertambah. Komuniti bercampur akan dipromosi dan peruntukan ruangan kegunaan awam seperti padang dan taman permainan, perlu disediakan bagi menggalakkan lebih banyak interaksi sosial dan perpaduan selaras dengan konsep 1 Malaysia.

Migrasi keluar penduduk dari pusat bandar memberi peluang untuk menukar kegunaan kawasan perumahan usang kepada kegunaan perdagangan dan pejabat tetapi kebanyakan kawasan tersebut telah dibiarkan usang, di mana kadar pembangunan terbengkalai adalah lebih tinggi berbanding kadar pembangunan semula. Masalah ini dijangka akan terus menjadi isu utama dalam tempoh dua dekad akan datang. Untuk mencapai bandar yang berkembang pesat dengan ekonomi yang berdaya maju, teras pembangunan spatial utama adalah ke arah pembangunan semula pusat bandar dan kawasan pinggir bandar lama yang sedia ada. Dasar perlu dirumuskan untuk memandu perancangan di pusat bandar khususnya bandar lama yang terletak di dalam conurbation utama. Usaha perlu ditingkatkan di peringkat RT untuk menangani isu-isu rekabentuk dan pembaharuan terhadap tapak dan lokasi khusus, serta halangan berkaitan pembangunan semula seperti isu pemilikan tanah.

Aspirasi untuk mencapai status negara maju dengan menikmati kualiti kehidupan bandar setaraf dengan negara maju memerlukan penerimapakaian piawaian perancangan bertaraf negara maju. Piawaian perancangan sedia ada khususnya dalam penyediaan kawasan lapang, taman rekreasi dan kemudahan awam lain perlu dikaji semula. Piawaian dan kualiti penyediaan infrastruktur seperti bekalan air, pembetungan serta kebersihan jalan dan longkang, perlu dipantau, dikaji semula dan dibandingkan dengan piawaian antarabangsa.

Malaysia sehingga kini masih menghadapi isu hartanah tidak terjual yang menyebabkan modal dan sumber menjadi statik, akibat daripada spekulasi pembangunan. Untuk mengelakkan isu tersebut daripada berulang di masa hadapan, pihak berkuasa tempatan perlu lebih berhati-hati dalam memberi kelulusan permohonan pembangunan dan perlu berpandukan kepada unjuran perumahan dan permintaan hartanah yang realistik.

Dasar pengurusan petempatan manusia perlu diintegrasikan dengan dasar sektoral seperti pertanian, pemuliharaan sumber dan alam sekitar serta sektor lain yang mempunyai impak ke atas guna tanah. Sebagai contoh, dasar pertanian untuk pemuliharaan kawasan jelapang padi strategik akan memerlukan pembangunan bandar masa depan dikawal dan diarahkan jauh daripada bandar-bandar yang terletak di dalam kawasan jelapang padi seperti Bandaraya Alor Setar. Pembangunan baru ini boleh diarahkan ke kawasan yang terletak di luar kawasan tanaman padi atau bandar-bandar lain di dalam negeri tersebut. Perincian terhadap pengalihan pembangunan bandar ini perlu dikaji di peringkat perancangan negeri dan tempatan, manakala dasar negara perlu merangkumi bantuan kewangan untuk negeri-negeri yang terlibat dengan usaha- usaha pengalihan kawasan tersebut.

Rancangan Fizikal Negara Ke-2

  5-41

Dasar negara terhadap petempatan manusia perlu juga menggalakkan inisiatif tempatan, agar inisiatif tersebut tidak bercanggah dengan rangka kerja spatial negara. Peruntukan kewangan Kerajaan Persekutuan juga perlu diperuntukkan untuk menyokong program- program tempatan yang selaras dengan Rancangan Fizikal Negara Ke-2.

RFN 14

TUMPUAN PERTUMBUHAN BANDAR PERLU DITAMPUNG DI DALAM CONURBATION

YANG DIRANCANG DAN DIMAJUKAN SECARA BERSEPADU SELARAS DENGAN DASAR

Dalam dokumen 2010. Rancangan Fisikal Negara Ke 2. JPB (Halaman 159-164)