tersebut untuk menjelajah, mengeksploitasi dan menguruskan sumber semula jadi di zon tersebut untuk tujuan ekonomi (contohnya perikanan, pelancongan), kajian saintifik, perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan seperti taman maritim. (Rajah 3.3)
Kehilangan Pulau Batu Putih atau Pedra Branca kepada Singapura telah mewujudkan satu kesedaran baru akan perlunya menjalankan aktiviti di dalam kawasan kepulauan Malaysia bagi menunjukkan hak ketuanan. Sumber yang terdapat di Zon Ekonomi Eksklusif termasuklah sumber minyak dan gas, kawasan perikanan laut dalam dan kapal karam serta harta karun yang mempunyai kepentingan sejarah dan warisan. Terdapat keperluan untuk memetakan sumber ini, membangunkan pengkalan bekalan dan pelan kontigensi untuk bantuan kecemasan dan keselamatan sekiranya berlaku kemalangan kapal, ancaman lanun atau tumpahan minyak. Kesan alam sekitar akibat kejadian tumpahan minyak ke persisiran pantai boleh membawa keburukan kepada kawasan persisiran pantai negeri-negeri Pantai Timur seperti yang telah berlaku dalam kemalangan melibatkan British Petroleum di Teluk Mexico.
Rajah 3.3 : Sumber Semula Jadi di Zon Ekonomi Eksklusif
Sumber : Data WWF, PETRONAS, USGS, 2008 1954 9.5mil ha. 1 9 6 9 8.0mil ha. 1972 7.4mil ha. 1 9 9 0 6.2mil ha. 2 0 0 0 6.0mil ha.
9.5 juta hek. 8.0 juta hek. 7.4 juta hek. 6.2 juta hek. 6.0 juta hek.
Rancangan Fizikal Negara Ke-2
3-7
ix. Bekalan Makanan Negara yang Tidak Mencukupi
Malaysia sebagai sebuah negara pengimport makanan, sangat terdedah kepada faktor luaran seperti kenaikan harga makanan dan bekalan beras yang tidak stabil di pasaran antarabangsa akibat keadaan cuaca yang buruk, bencana alam dan rusuhan. Bagi memastikan bekalan makanan negara terjamin, adalah penting bagi negara untuk melindungi kawasan-kawasan pertanian sedia ada dan memperluaskan tanah pertanian utama, khususnya kawasan jelapang padi untuk penanaman padi. Cabaran yang harus dihadapi oleh pihak berkuasa ialah untuk mewujudkan insentif fiskal yang boleh dilaksanakan bagi mengimbangi potensi kerugian bagi hak-hak pembangunan serta hasil dari kawasan yang terlibat untuk mencapai keperluan negara dalam memelihara dan memperluaskan kawasan jelapang padi dan tanah pertanian utama di dalam negara.
x. Tahap Penggunaan Tenaga Boleh Diperbaharui dan Teknologi Hijau yang
Rendah
Sehingga kini, intipati perancangan bandar di negara ini lebih berkisar kepada penggunaan bahan api fosil bagi kenderaan persendirian, yang menghasilkan sejumlah besar karbon. Aplikasi teknologi hijau seperti tenaga boleh diperbaharui dan rendah-karbon dalam perancangan spatial dan reka bentuk bandar serta perancangan rangkaian sistem pengangkutan adalah masih baru dan terhad. Dalam menghadapi harga minyak yang semakin tinggi dan masalah perubahan iklim, adalah penting untuk mengutamakan kemampanan dalam pembangunan bandar dan luar bandar. Pembangunan baru dan pembangunan semula dari segi perumahan, pekerjaan, perkhidmatan dan penyediaan infrastruktur, perlu menggunakan sumber asli dan tenaga yang paling efisien, di samping mengurangkan pembebasan gas rumah hijau. Contohnya, pembangunan bandar padat dengan kepadatan tinggi dan guna tanah bercampur yang mempunyai fungsi rangkaian hubungan yang lebih baik dan penggunaan ruang yang lebih optimum, akan melibatkan penggunaan tenaga yang lebih efisien berbanding pembangunan menjajar berkepadatan rendah. Bandar eko dan bandar berorientasikan transit juga merupakan alternatif pembangunan bandar yang lebih mampan. Bentuk dan corak perbandaran perlu ke arah mengurangkan keperluan untuk perjalanan dan meminimumkan perjalanan jauh untuk ke tempat kerja dan aktiviti harian. Selain itu, insentif harus diberikan untuk mendorong penggunaan teknologi tenaga hijau dalam bangunan dan susunatur pembangunan.
xi. Kemerosotan Kawasan Pusat Bandar dan Peningkatan Kadar Kemiskinan
Bandar
Secara umumnya, beberapa golongan masyarakat yang menetap di kawasan pusat bandar dan bandar-bandar besar, terutamanya keluarga berpendapatan rendah yang menetap di rumah pangsa sewaan persendirian, menghadapi pelbagai masalah sosial, ekonomi, persekitaran yang buruk dan serba kekurangan.
Rancangan Fizikal Negara Ke-2
3-8
Mereka juga menghadapi masalah pengangguran yang tinggi, pendapatan yang rendah, perumahan mampu milik yang tidak mencukupi, pengangkutan awam yang tidak cekap, persekitaran yang buruk, kadar jenayah yang tinggi, penyalahgunaan dadah dan kekurangan kawasan lapang. Sebahagian besar penduduk bandar yang terdiri daripada mereka yang berhijrah dari desa serta tenaga kerja asing dengan tahap kemahiran kerja dan pendidikan yang rendah, telah mengubah kemiskinan luar bandar kepada kemiskinan bandar dan terperangkap di kawasan miskin di bandar. Oleh yang demikian, program pembangunan semula bandar dan pembangunan pusat bandar bagi golongan yang kurang bernasib baik dan kawasan yang mengalami kemerosotan perlu diberi perhatian selain mempertingkatkan peluang pekerjaan, kualiti perumahan, pendidikan serta rekreasi.
xii. Perubahan Struktur Demografi dan Gaya Hidup Masyarakat
Perubahan struktur demografi, seperti penurunan tahap kesuburan penduduk, bilangan warga tua yang tinggi dan pembentukan isi rumah baru yang bertambah di negara ini mempunyai implikasi spatial yang ketara terhadap peluang pekerjaan, keperluan perumahan dan kemudahan sosial. Apabila masyarakat semakin berpendidikan dan berpendapatan lebih tinggi, saiz keluarga mereka semakin mengecil. Mereka juga mengharapkan taraf hidup dan persekitaran yang lebih baik, termasuk bandar yang lebih selesa untuk didiami, pelbagai pilihan lokasi dan jenis perumahan, serta kemudahan awam dan prasarana yang berkualiti. Contohnya peningkatan jumlah warga tua menandakan keperluan untuk membina lebih banyak rumah orang tua dan kemudahan rawatan di kawasan luar bandar; dan kesediaan tenaga kerja yang rendah pula bermakna aktiviti perlu diubah daripada pengeluaran berorientasikan tenaga kerja kepada aktiviti dan industri menggunakan mesin.
xiii. Kekurangan Sumber Kewangan Negara pada Masa Hadapan
Pada masa hadapan, sumber kewangan negara untuk pembangunan dijangka akan berkurangan berikutan kelembapan dan keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil dan sedang dalam proses pemulihan, terutamanya bagi kemudahan infrastruktur mega serta kemudahan awam. Pengurangan perbelanjaan awam dijangka akan turut berlaku. Keadaan bajet yang terhad dijangka akan bertambah buruk akibat tekanan permintaan masyarakat yang lebih tinggi terhadap kualiti dan kepelbagaian spatial, seperti tempat tinggal dan persekitaran yang lebih baik. Oleh itu, negara telah meletakkan siling sebanyak RM180 billion untuk perbelanjaan keseluruhan pembangunan di bawah RMK-10 (2011-2015) iaitu 21.7%, yakni kurang daripada jumlah peruntukan dalam RMK-9.
Justeru itu, adalah amat penting untuk menumpukan sumber-sumber sedia ada yang terhad untuk meningkatkan pertumbuhan di bandar-bandar strategik bagi memaksimumkan penggunaan infrastruktur sedia ada dan komited serta mengenal pasti pembangunan baru di kawasan di mana kemudahan dapat disedia dan diselenggarakan secara ekonomik. Selain itu, penting bagi negeri-negeri yang
Rancangan Fizikal Negara Ke-2
3-9
bersempadan untuk bersama-sama merancang, membangun dan berkongsi infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan utama, termasuk pelabuhan besar, lapangan terbang, tenaga, air, ICT, pengurusan sisa dan lokasi industri, yang lazimnya bermodal tinggi dan memerlukan skala ekonomi. Pemilihan penilaian dan pendekatan pengurusan untuk setiap projek yang berasaskan outcome dan nilai terbaik juga perlu diguna pakai.
3.2 Kedudukan Global dan Trend Pembangunan
3.2.1 Dagangan Dunia
Antara tahun 2000 dan 2008, dagangan barangan dunia meningkat pada kadar 12% setahun dan mencapai US$15,775 billion nilai eksport dan US$16,120 billion nilai import pada tahun 2008. Malaysia berada di tempat ke-21 dalam senarai pengeksport dan tempat ke-28 dalam senarai pengimport dunia pada tahun 2008.
Dari segi prestasi perdagangan, Malaysia menduduki tempat ke 28 dalam Enabling Trade Index 2009. Prosedur import yang cekap, kos rendah bagi import dan eksport barangan, infrastruktur pengangkutan dan perkhidmatan pengangkutan berkaitan yang berkualiti telah menyumbang kepada keputusan penilaian yang memberangsangkan ini.1
Krisis ekonomi global tahun 2008-2009 telah melemahkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan. Keyakinan ekonomi juga semakin berkurangan dan sektor perdagangan telah dilumpuhkan. Pada penghujung tahun 2008 dan awal tahun 2009, disebabkan permintaan yang lemah dalam ekonomi membangun, aliran dagangan telah menurun dan diburukkan lagi oleh pengurangan pembiayaan perdagangan dan kejutan daripada situasi ekonomi yang merudum.
Dagangan barangan dunia hanya berkembang 2% pada tahun 2008 berbanding dengan 6% pada tahun 2007. Pertumbuhan pada tahun 2008 adalah di bawah purata 5.7% yang dicapai sepanjang tempoh tahun 1998-2008. Suku pertama tahun 2009 menyaksikan penurunan dagangan yang paling buruk dalam sejarah Malaysia, dengan anggaran penurunan hampir 25%. Penurunan dagangan telah kembali pulih pada pertengahan tahun 2009. Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah melaporkan bahawa eksport Malaysia telah meningkat sebanyak 8.4% pada bulan Julai 2009 berbanding dengan bulan Jun 2009.
Ini adalah jumlah eksport bulanan tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh 7 bulan pertama tahun 2009, sekaligus membuktikan pemulihan industri eksport negara. Bank Negara juga melaporkan tahap penurunan yang rendah sebanyak 3.9% bagi KDNK negara berbanding dengan penurunan sebanyak 6.2% bagi suku pertama tahun 2009. Ini dipengaruhi oleh kadar perbelanjaan awam yang tinggi dan pertumbuhan positif dalam
1
Sumber: Forum Ekonomi Dunia, “The Global Enabling Trade Report 2009”. ETI menilai institusi‐institusi, polisi‐polisi dan perkhidmatan‐perkhidmatan yang menyokong aliran barangan yang bebas merentasi sempadan dan ke destinasi yang ditetapkan.
Rancangan Fizikal Negara Ke-2
3-10
perbelanjaan peribadi bagi tempoh suku kedua tahun itu. Semua sektor ekonomi utama juga telah mencapai prestasi yang baik dari segi penawaran bagi suku kedua tahun 2009.
3.2.2 Kerjasama Antarabangsa
Krisis kewangan Amerika Syarikat (AS) yang bermula pada September 2008 dengan pantasnya berubah menjadi krisis global. Rakan dagangan utama Malaysia ini telah menerima kesan yang mendalam akibat krisis tersebut. Walaupun mengalami pertumbuhan yang memuaskan bagi tujuh bulan pertama tahun 2008, ekonomi negara membangun mencatatkan pertumbuhan 0.8% pada tahun 2008 berbanding 2.5% pada tahun 2007. Sebaliknya, negara Asia 2 yang sedang membangun mengalami pertumbuhan sebanyak 5.7%, didahului oleh China yang mencatatkan pertumbuhan tertinggi di kalangan negara-negara ekonomi utama. Pada tahun 2008, keluaran dunia, dikira dengan KDNK sebenar, merosot kepada 1.7% berbanding 3.5% pada tahun sebelumnya, iaitu kadar terendah sejak tahun 2001.
Menyedari kemungkinan berlakunya krisis ekonomi global, usaha telah dilakukan oleh agensi seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan rakan serantau mereka, bagi mendapatkan kerjasama beberapa negara untuk memulihkan ekonomi mereka melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi. Negara-negara maju utama, yang diketuai oleh Amerika Syarikat telah tampil ke hadapan dengan mengadakan tabung kecemasan. Di Asia, negara China dan Jepun juga telah mengagihkan jumlah tabungan yang signifikan untuk tujuan yang sama.
Organisasi antarabangsa ini memainkan peranan yang penting dalam meyakinkan negara-negara untuk menyelaras rancangan rangsangan ekonomi. Tanpa usaha penyelarasan ini, kemelesetan ekonomi global pasti akan berlaku.
Menjelang pertengahan tahun 2009, kemerosotan ekonomi dunia mula perlahan. Walaupun keadaan ekonomi masih belum pulih sepenuhnya (contohnya kadar pengangguran yang masih tinggi), suasana dalam bursa saham dunia telah bertukar kepada keadaan yang lebih positif. Penurunan dalam dagangan juga semakin berkurangan dan prospek untuk pemulihan ekonomi adalah lebih baik berbanding dengan ramalan pada separuh tahun pertama 2009.
Malaysia telah memperkenalkan dua pakej rangsangan bernilai kira-kira satu per tiga daripada saiz bajet RMKe-9 sebagai sebahagian daripada program untuk memulihkan ekonomi. Penyediaan RFN Ke-2 telah memberi peluang untuk mengkaji semula kemerosotan ekonomi dan penilaian semula keupayaan ekonomi Malaysia untuk mencapai sasaran ekonomi Wawasan 2020 dan MBE.
2
Rancangan Fizikal Negara Ke-2
3-11
3.2.3 Kerjasama Serantau
Di peringkat wilayah serantau, Malaysia terus menyokong perkembangan integrasi ekonomi ASEAN serta mempromosikan perdagangan dan pelaburan. Pembangunan sub-wilayah, adalah melalui Segitiga Pertumbuhan (IMT-GT, IMS-GT dan BIMP-EPGA) bagi mempromosikan pertumbuhan ekonomi di sub-wilayah yang kurang membangun. Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) menghasratkan sebuah kawasan wilayah yang progresif, makmur dan aman dengan kualiti kehidupan yang lebih baik, iaitu menjadi sebuah komuniti ekonomi ASEAN menjelang tahun 2020. Untuk merealisasikan impian ini, IMT-GT bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi yang dipacu oleh sektor swasta dan menyelaraskan pembangunan di bahagian wilayah lain secara keseluruhannya. Objektifnya, seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan 2007-2011 adalah untuk mempertingkatkan perdagangan dan pelaburan di dalam IMT-GT dan di antara IMT-GT.
Segitiga Pertumbuhan antara Indonesia-Malaysia-Singapura (IMS-GT) disasarkan ke arah mempertingkatkan daya saing, integrasi dan pertumbuhan dengan kelebihan berbanding, skala ekonomi dan hubungkait produktiviti. Dengan dua jalan perhubungan darat terus ke Singapura dan perhubungan laut ke Batam, Iskandar Malaysia mempunyai kelebihan dari segi lokasi yang strategik untuk mengambil peluang daripada IMS-GT kerana ia membolehkan perkembangan kerjasama antarabangsa, pergerakan manusia dan pelancongan.
Visi kawasan pertumbuhan ASEAN Timur iaitu Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia- Filipina (BIMP-EAGA) adalah untuk mewujudkan pembangunan ekonomi yang mampan dan diterima oleh masyarakat, seterusnya mendorong kepada penyertaan EAGA sepenuhnya dalam proses pembangunan ASEAN. Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan perdagangan, pelaburan dan pelancongan di sebahagian negara serantau dengan menyokong;
i. Pergerakan bebas rakyat, barang dagangan dan perkhidmatan;
ii. Pembangunan infrastruktur yang penting di sebahagian wilayah serantau; dan iii. Penyelarasan dalam pengurusan ekosistem dan sumber bersama untuk
memastikan pembangunan yang mampan.
3.2.4 Impak Perubahan Iklim kepada Malaysia
Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC3) meramalkan peningkatan suhu purata global sebanyak 1.8°C hingga 4.0°C dalam abad ini sekiranya tindakan lanjut untuk mengurangkan pembebasan gas rumah hijau tidak diambil. Pemanasan global dijangka akan mendatangkan kesan yang serius kepada manusia, termasuk kenaikan paras air laut sebanyak 18 hingga 59 cm yang akan menjejaskan kawasan persisiran pantai dan pulau-pulau kecil, serta peningkatan frekuensi dan keadaan cuaca melampau
3
Rancangan Fizikal Negara Ke-2
3-12
yang semakin buruk. Perubahan iklim juga dijangka akan memberi kesan kepada sektor pertanian, sumber air dan biodiversiti (Jadual 3.1).
Sebagai pihak Non-Annex 1 dalam Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC4), kewajipan utama Malaysia termasuklah merumuskan program untuk mengatasi kesan perubahan iklim dan menggalakkan pengurusan yang mampan, pemuliharaan dan peningkatan penyerap karbon dan menyedia serta membentuk pelan adaptasi terhadap kesan perubahan iklim. Walaupun pemahaman yang lebih baik mengenai pelbagai kemungkinan keadaan iklim dan kesan-kesan yang berkaitan dengannya adalah penting dalam merumuskan langkah- langkah yang lebih khusus, secara amnya dipersetujui bahawa langkah-langkah adaptasi awalan adalah sangat penting untuk menghadkan kerosakan dan kos yang terhasil kesan daripadanya.
Rangka kerja kebangsaan untuk menangani perubahan iklim telahpun dibentuk dan Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan telah diluluskan oleh Kabinet.
Jadual 3.1:Ramalan Kesan Perubahan Iklim di Malaysia
Sektor Kesan-kesan
Petempatan dan
Infrastruktur
Perluasan kawasan yang mudah banjir dan peningkatan intensiti kejadian banjir.
Peningkatan kejadian hakisan pantai serta kerosakan infrastruktur di kawasan rendah pesisir pantai.
Kehilangan kawasan hutan paya bakau persisiran pantai jika kenaikan paras
air laut berlaku pada kadar 0.9 cm/tahun. Walau bagaimanapun, peralihan kawasan hutan paya bakau ke arah daratan boleh berlaku sekiranya kadar kenaikan paras air laut lebih rendah, dengan tiada halangan di pinggiran kawasan daratan.
Pengurangan kadar keberkesanan pintu kawalan air pasang surut dan
kawalan sistem saliran di hilir sungai.
Peningkatan kos pengendalian dan penyelenggaraan bagi penjanaan kuasa
elektrik akibat ribut yang melanda. Untuk setiap peningkatan 1°C suhu sekitar, pengeluaran tenaga turbin gas dan hidro masing-masing akan menurun lebih kurang 2% (ini dianggarkan akan mengakibatkan kerugian tahunan sebanyak RM 40 juta bagi kapasiti 6,600 MW turbin gas yang sedia ada).
Pertanian Peningkatan purata suhu tahunan kepada 31°C akan mengakibatkan
kemarau yang akan memberi kesan kepada 273,000 hektar (atau 15%) kawasan tanaman getah, mengakibatkan pengurangan kawasan tanaman di antara 3% hingga 15%. Kesan yang paling ketara dijangka berlaku di negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Peningkatan jumlah hujan akan menyebabkan pengeluaran getah menurun di
antara 13% hingga 30%. Negeri Kelantan dan Terengganu dijangka akan paling terjejas.
Kejadian kemarau mungkin akan memberi kesan kepada 208,000 hektar
kawasan tanaman kelapa sawit, terutamanya di sebahagian kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.
Pengeluaran padi mungkin akan berkurangan sebanyak 9% hingga 10%
untuk setiap 1°C kenaikan suhu. Kejadian kemarau berpanjangan juga boleh menjejaskan pengeluaran padi.
Kenaikan paras air laut pada kadar 0.9 cm/tahun akan mendatangkan kesan
yang serius kepada projek-projek pertanian besar seperti Projek Pembangunan Pertanian Johor Barat.
Kenaikan paras air laut akan membawa kesan kepada aktiviti akuakultur
persisiran pantai, terutamanya kolam-kolam akuakultur yang berada di dalam
4
Rancangan Fizikal Negara Ke-2
3-13
Sektor Kesan-kesan
lingkungan kawasan hutan paya bakau di hilir sungai. Kehilangan hutan paya bakau sebanyak 20% diramalkan akan menyebabkan kerugian RM300 juta di dalam industri ternakan udang.
Perubahan suhu dan hujan dijangka akan membawa kepada peningkatan
dalam kejadian jangkitan penyakit dan haiwan perosak pada tanaman pertanian.
Biodiversiti Risiko kebakaran hutan akan meningkat (terutamanya di kawasan tanah
gambut) akibat kejadian kemarau yang berpanjangan.
Risiko terhadap ekosistem semula jadi akan meningkat seperti fenomena
kemusnahan batu karang. Walau bagaimanapun, kesan jangka panjang terhadap biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem amat sukar untuk diramalkan disebabkan oleh proses ekologi yang kompleks.
Kepupusan spesies-spesies tumbuhan dan haiwan yang sensitif terhadap
perubahan cuaca mikro.
Sumber Air Musim panas akan mengakibatkan peningkatan permintaan bekalan air atau
tekanan bekalan air dan pembiakan alga .
Penyerapan air masin ke air permukaan dan air bawah tanah mungkin akan
mengakibatkan pengurangan bekalan air tawar, terutamanya di Kelantan dan Terengganu.
Kejadian ribut besar akan meningkatkan kadar pemendapan sungai dan
empangan, kehilangan nutrien tanah dan risiko keruntuhan tebing sungai dan lereng bukit.
Sumber: Malaysia’s Initial National Communication to UNFCC (MOSTI, 2000) and Study of the Impact of Climate Change on the Hydrologic Regimes and Water Resources of Peninsular Malaysia (NAHRIM, 2006)
3.3 Kedudukan Negara
3.3.1 Pertumbuhan Penduduk Nasional
Di antara tahun 2000 dan 2008, bilangan penduduk Malaysia dianggarkan akan meningkat daripada 23.3 juta kepada 27.7 juta orang dengan kadar purata pertumbuhan tahunan sebanyak 2.2% setahun.
Bagi Semenanjung Malaysia, kadar pertumbuhan penduduk adalah perlahan daripada 2.5% setahun (antara tahun 1991-2000) kepada 2.2% setahun di antara tahun 2000 hingga 2010; dan kadar pertumbuhan pada masa hadapan dijangka akan merosot sebanyak 2.0% antara tahun 2000 hingga 2020. Menjelang tahun 2020, penduduk Semenanjung Malaysia diunjurkan seramai 27.68 juta orang (Jadual 3.2).
Pertumbuhan penduduk yang perlahan ini adalah sama seperti di negara-negara pesat membangun yang lain, dan ia dikaitkan dengan penurunan kadar kesuburan. Penurunan ini berpunca daripada tahap perkahwinan yang semakin kurang atau semakin lambat disebabkan ramai yang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, dan memiliki bilangan anak yang kecil bagi mengejar cita-cita dan karier. Peningkatan kos untuk menanggung keluarga turut menyumbang kepada pengurangan pertumbuhan penduduk.
Rancangan Fizikal Negara Ke-2
3-14