• Tidak ada hasil yang ditemukan

EVOLUSI BAHASA MELAYU DALAM FILEM

Dalam dokumen BAHASA – BAHASA UTAMA DUNIA. dpc (Halaman 35-38)

Nur Izziana Binte Kamaruddin

Pengenalan

Dunia perfileman bukan sekadar berligar di sekitar audio, visual, latar dan perwatakan sahaja. Malah satu aspek penting yang menjadi bahan sinergi kesemua komponen tersebut ialah bahasa. Bahasa sememangnya merupakan satu komponen terpenting berbanding dengan aspek-aspek yang lain yang biasanya dianggap sebagai penyeri kepada sesebuah filem. Aspek visual tentunya tidak mampu dapat menyampaikan maksud-maksud tertentu sesebuah filem sebagaimana yang dapat dilakukan oleh penggunaan bahasa dalam filem. Penggunaan bahasa dalam filem dapat juga menjadi alat bagi menggambarkan keadaan dan persekitaran sesebuah zaman itu dengan lebih jelas lagi.

Penggunaan bahasa dalam filem tentunya mengalami evolusi kerana bahasa yang digunakan di dalam filem turut dipengaruhi bahasa yang digunakan pada zaman filem itu diterbitkan. Bahasa boleh dianggap sebagai anjal kerana ia dapat berubah dan menyesuaikan kewujudannya mengikut pengaruh kesekitarannya. Contohnya, perubahan kepada laras bahasa tentunya akan mengubah ciri- ciri bahasa. Pengaruh daripada kejadian-kejadian besar yang berlaku, seperti semasa zaman pendudukan Jepun juga turut meninggalkan kesan terhadap bahasa kerana kemasukan pengaruh bahasa asing ke dalam bahasa Melayu. Perubahan kepada bahasa juga dapat dilihat di dalam filem, selain bahan sastera seperti buku, yang merakamkan keadaan sosial masyarakat.

Bahasa dalam penerbitan filem-filem awal Melayu (sebelum Perang Pasifik)

Filem Melayu terawal yang ditayangkan di Tanah Melayu ialah filem „Laila Majnun‟ yang diterbitkan

pada tahun 1933 di Singapura oleh syarikat Motilal Chemical yang berasal dari Bombay tetapi beroperasi di Singapura. Ia merupakan filem saduran daripada epik Timur Tengah yang mengisahkan mengenai percintaan di antara dua watak iaitu Laila dan Majnun. Filem tersebut ditayangkan di panggung Alhambra selama dua minggu dan mendapat sambutan yang sangat baik. Memandangkan filem tersebut adalah sebuah filem saduran, penerbit telah mengekalkan beberapa lagu dan dialog dalam bahasa Arab dan Mesir bagi mengekalkan aspek keaslian di dalam filem. Kebanyakan pelakon di dalam filem tersebut rata-rata terdiri daripada pelakon bangsawan. Maka mereka menghadapi kesukaran menghafal dialog dan juga menyebut perkataan-perkataan yang agak asing bagi mereka. Filem ini dikatakan menggunakan bahasa Melayu yang agak tinggi dan kebanyakan dialog di dalam bahasa berbunga dan amat puitis sekali. Bahasa yang digunakan di dalam filem pertama ini lantas menunjukkan bahawa penggunaan bahasa Melayu pada waktu itu masih lagi dibayangi bahasa Melayu klasik yang puitis.

Selepas filem „Laila Majnun‟, sebanyak 13 buah filem Melayu dihasilkan sepanjang tahun 1930-an. Rata-rata, laras bahasa yang digunakan bagi filem-filem ini masih sama seperti yang digunakan dalam filem „Laila Majnun‟. Memandangkan filem-filem 1930-an ditulis dan diarah oleh orang-orang pendatang seperti yang berbangsa India (B.S Rajhans), laras bahasa yang digunakan tentunya mempunyai pengaruh bahasa asing yang sangat kuat. Semasa zaman penjajahan Jepun, tidak ada filem yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar filem kerana studio milik Shaw Brothers dan Cathay Keris telah diambil alih oleh pihak Jepun. Jika ada pun, tentunya filem yang dikeluarkan akan mempunyai pengaruh Jepun yang amat jelas. Bahasa yang digunakan tentunya akan mempunyai pengaruh bahasa Jepun. Semasa zaman pendudukan Jepun, sastera Melayu telah mempunyai corak yang agak menarik kerana fokus yang lebih terhadap tema-tema yang lebih menjurus ke arah keagamaan, kebencian kepada kolonialisme dan juga semangat „Asia Raya‟. Tentunya, filem yang

36

diterbitkan semasa zaman pendudukan Jepun juga akan mempunyai corak yang sedemikian, dengan laras bahasa seperti di dalam terbitan sastera bercetak.

Bahasa dalam filem Melayu selepas Perang Pasifik hingga pasca-kemerdekaan Malaya

Sejak tahun 1945 hingga 1950, hanya 8 buah filem Melayu yang diterbitkan di Singapura. Secara purata, filem-filem ini banyak mengisahkan mengenai masyarakat setelah pihak Jepun menyerah diri. Filem-filem saduran masih lagi menjadi fokus filem yang amat digemari cuma bahasanya kurang puitis. Bahasa yang digunakan kelihatan lebih serius kerana adanya suntikan bahasa bersifat nasionalisme, hasil pengalaman semasa zaman pendudukan Jepun. Filem „Seruan Merdeka‟ yang

diterbitkan pada tahun 1946 merupakan sebuah filem yang memperlihatkan semangat seorang leftenan Melayu bernama Rashid dalam perjuangannya membela negara. Filem ini merupakan filem serius yang menuntut penggunaan bahasa yang lebih serius agar lebih bersesuaian dengan tema filem. Bahasa puitis dan berbunga-bunga seperti yang digunakan di dalam filem „Laila Majnun‟, misalnya

tidak sesuai digunakan di dalam filem tersebut.

Sekitar tahun 1950-an, industri perfileman Melayu di Singapura menjadi lebih pesat. Kehadiran dan penglibatan seorang seniman agung, P.Ramlee, dalam industri perfileman Melayu turut membangunkan lagi industri filem. P.Ramlee terlibat dalam 62 buah filem, sama ada yang

dilakonkannya ataupun diarahkannya. Filem pertama arahannya ialah filem „Penarek Beca‟ yang disiarkan pada tahun 1955. Rata-rata filem-filem yang diarahkannya mempunyai tema sama iaitu mengenai ketidakadilan dan tentangannya terhadap penyalahgunaan kuasa oleh golongan atasan yang bertindak menindas golongan lain. Tema yang diketengahkan oleh P.Ramlee ini menunjukkan bahawa beliau lebih cenderung kepada filem-filem yang merupakan rakaman sosial pada sesuatu zaman itu. Laras bahasa yang digunakan kebanyakannya lebih bersifat bersahaja dan sesuai dengan tahap kefahaman masyarakat ketika itu. Keadaaan ini disebabkan oleh tema filem yang begitu dekat dengan masyarakat. Bahasa yang digunakan amat mudah difahami orang kebanyakan, tidak seperti filem

pertama „Laila Majnun‟ yang menggunakan bahasa Melayu tinggi.

Meskipun filem tahun 1950 dan 1960-an ini masih lagi disulami dengan nyanyian, bahasa yang digunakan tetap mudah dan tidak terlalu banyak dipengaruhi dengan penggunaan bahasa luar seperti bahasa Arab atau Mesir. Namun demikian, sedikit pengaruh bahasa-bahasa tempatan lain seperti bahasa Cina dan India dapat dilihat di dalam filem era ini. Sebagai contoh ialah dialog di

dalam filem „Seniman Bujang Lapok‟ yang diterbitkan pada tahun 1961: “Lu nama je Melayu, bikin adab pun tak tahu, ada ka panggil hoi hoi apa ini batu ke? Kayu ke?” (Dialog „Sikh‟ dalam filem

Seniman Bujang Lapok, 1961)

Daripada sedutan dialog tersebut dapat dilihat bukti bagaimana pengaruh bahasa tempatan lain turut menyerap masuk ke dalam filem-filem Melayu. Bahasa yang lebih bersahaja tetapi baku dari segi sebutannya yang digunakan juga adalah paparan mengenai bahasa Melayu yang digunakan oleh masyarakat pada waktu itu.

Bahasa filem moden

Filem-filem Melayu era 1970-an banyak dipengaruhi oleh Barat. Kualiti bahasa Melayu yang digunakan di dalam filem juga dikatakan telah mula merosot pada era ini. Walaupun latar dan pelaku di dalam filem masih lagi berkisar dalam konteks kemelayuan, namun bahasa dan trend yang dipaparkan menerusi filem dilihat lebih keinggerisan dengan penggunaan bahasa Melayu yang tidak

bertaraf tinggi. Filem „Si Badul‟ yang diterbitkan pada tahun 1979 adalah contoh filem yang menggunakan bahasa yang begitu mudah. Bahasa pasar dengan campuran istilah-istilah Inggeris

37

banyak digunakan dalam dialog filem. Sebagai contoh adalah sedutan daripada dialog yang diucapkan di dalam filem „Si Badul‟ (1979);

“Si Badul ni aku rasa otanya tak centre tau” “Mari kita pegi ofis la”

Filem-filem yang diterbitkan selepas tahun 1970-an turut mengalami trend yang serupa. Filem 1980-an yang bertajuk „Mekanik‟ dengan jelas menggunakan istilah dalam bahasa Inggeris. Antara istilah yang digunakan di dalam filem ini secara tetap ialah, alright brother dan boyfriend.

Filem ini juga memasukkan penggunaan perkataan yang agak kesat di dalam dialog seperti „biar dia pergi mampos‟. Ini lantas menunjukkan bahawa filem pada sekitar tahun 1980-an telah mula menggunakan bahasa yang lebih terbuka berbanding dengan filem-filem terbitan sebelumnya. Trend ini turut dilihat sehingga kini apabila filem-filem Melayu dikatakan lebih bersifat terbuka. Filem-filem

baru yang dihasilkan seperti filem „Senario The Movie‟ yang diterbitkan pada tahun 1999 juga

mempunyai laras bahasa yang serupa. Terdapat penggunaan bahasa yang dipengaruhi bahasa Cina dan juga bahasa daerah Utara Malaysia. Antara istilah yang digunakan ialah, „hang‟, „chek‟ dan „magik bin ajaib‟.

Istilah-istilah yang digunakan ini menunjukkan bahawa penggunaan bahasa di dalam filem Melayu masa kini telah mengalami evolusi yang sangat jelas kerana telah menjurus ke arah situasi

perubahan „e-kultur „ yang diakibatkan oleh perkembangan pesat media elektronik seperti internet. Bahasa yang digunakan di dalam internet lazimnya merupakan bahasa Inggeris atau bahasa yang telah dicampuradukkan. Oleh itu, laras bahasa ini turut menyebabkan pengaruhnya ke dalam filem Melayu. Filem “I am not single”, sebuah filem Melayu terbitan MIG Productions Sdn.Bhd ditayangkan pada 24 Julai 2008 adalah sebuah filem yang banyak menggunakan bahasa Inggeris di dalamnya. Ia merupakan sebuah filem yang dianggap moden kerana landasan filem juga lebih menjurus ke arah kebaratan. Perkataan seperti You are so sweet, It’s ok dan Oh yeah merupakan antara banyak perkataan Inggeris yang kerap digunakan di dalam filem tersbeut. „Ramai yang mengkritik bahawa

filem ini bersikap terlalu liberal, bukan hanya dengan laras filem, tetapi juga dengan penggunaan

bahasanya. Antara dialog yang menimbulkan kontroversi ialah dialog yang berbunyi, „Kalaupun syurga itu indah, aku tetap pilih kamu‟. Dialog ini dianggap tidak bersesuaian kerana dianggap berlawan dengan citra keislaman.

Kesimpulan

Secara tuntas, penggunaan bahasa Melayu di dalam filem Melayu telah mengalami evolusi yang sangat mendadak. Bermula dengan penggunaan bahasa Melayu yang dikira bertaraf tinggi dan berpuitis, bahasa Melayu di dalam filem berubah menjadi bahasa yang dipengaruhi keadaan sekitaran dan juga bahasa-bahasa asing lain. Yang pasti, bahasa di dalam filem pada masa hadapan akan mengalami perubahan yang ternyata berbeza berbanding dengan bahasa dalam filem yang paling moden kini.

Bibliografi

Mohamed Pitchay Gani Mohamed Abdul Aziz. (2007). Evolusi Bahasa Melayu 2000 Tahun (dari zaman purba ke budaya elektronik). Malaysia: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris http://hamlau.proboards44.com/index.cgi?action=display&board=filempelakon&thread=530&page=2 http://www.p-ramlee.com/p-ramlee/shaw.htm

http://www.hsse.nie.edu.sg/staff/blackburn/Singapore.htm http://www.finas.gov.my/index.php?mod=gallery

38

Dalam dokumen BAHASA – BAHASA UTAMA DUNIA. dpc (Halaman 35-38)