• Tidak ada hasil yang ditemukan

TEORI DIALOGISME BAKHTIN: PENELITIAN BALADA DOLAH OLEH MOHAMED LATIFF MOHAMED

Dalam dokumen BAHASA – BAHASA UTAMA DUNIA. dpc (Halaman 59-62)

Nurul Fasha Binte Samsudin

Pengenalan

Mohamed Latiff Mohamed terkenal sebagai penyajak radikal yang sering menggunakan nada protes dan sinis di dalam karya. Beliau menggunakan nada lantang dan tidak mahu membendung kata- katanya. Kebanyakan hasil sasteranya mengisahkan tentang kehidupan dan perjuangan masyarakat Melayu sehingga sajak-sajaknya dikatakan: “Sajak-sajak Mohamed Latiff Mohamed berbicara mengenai kaum, bukan perseorangan, bukan individu” (Dr Budi Darma, 2007:117). Di sini terletaknya kekuatan Mohamed Latiff kerana dapat memberikan gambaran yang jelas tentang keadaan kehidupan masyarakat Melayu, terutama sekali di Singapura. Ini mampu dihasilkannya kerana hubungan rapatnya dengan masyarakat Melayu. Sajak Balada Dolah (2007:87) adalah contoh yang baik untuk menjelaskan pernyataan ini.

Sajak Balada Dolah merupakan antara sajak yang dimuatkan di dalam buku kumpulan puisi Mohamed Latiff berjudul „Bila Rama-Rama Patah Sayapnya‟. Sajak ini merupakan coretan seorang lelaki yang menceritakan kisah keluarganya yang berada mengalami kehidupan kucar – kacir. Di

dalam sajak ini, “Dolah” menceritakan tentang keluarganya yang berpendapatan rendah. Dia juga

menceritakan tentang seorang ayah yang tidak bertanggungjawab dan suka bermain judi. Ibunya pula sering tidak ada di rumah dan abangnya pula seorang penagih dadah yang sudah kerap kali memasuki

Pusat Pemulihan Dadah. Di dalam sajak ini, “Dolah” juga menggambarkan bagaimana keluarganya tidak mempunyai pegangan agama yang baik untuk dijadikan landasan hidup. Ini menyebabkan

keadaan kehidupan keluarga “Dolah” haru-biru dan tidak terurus.

Selain menceritakan tentang institusi keluarga yang dihimpit gejala – gejala sosial, penyajak juga menyelitkan beberapa elemen lain untuk memberikan gambaran yang lebih jelas lagi tentang kehidupan masyarakat secara realistik pada masa itu. Lantas, sajak ini mempunyai hubungan dengan keadaan sosial.

Teori Dialogisme Bakhtin

Bakhtin berpendapat bahawa dalam setiap karya itu berlaku dialog yang menghubungkan antara teks dalaman dan teks luaran. Teks dalaman ialah aspek – aspek yang berkaitan dengan pembinaan sesebuah karya sastera seperti estetik, imaginatif dan ilusi. Sementara teks luaran merupakan teks sosial yang paling erat kaitannya dengan pengalaman pengarang (Mokhtar Hassan, 1995:66). Teori ini menjelaskan tentang tiga proses yang berlaku semasa seorang pengarang mahu menghasilkan sebuah karya sastera. Proses – proses ini melalui satu jenis dialog dengan unsur luar daripada karya itu. Proses – proses ini melibatkan satu „perbualan‟ antara dua unsur.

Proses pertama ialah apabila pengarang berada di dalam proses penulisan. Dalam proses ini,

pengarang sentiasa „berbual‟ ataupun berhubung dengan unsur – unsur luar untuk menghasilkan karyanya. Secara sedar atau tidak, pengarang akan memasukkan pelbagai unsur luar di dalam karyanya. Unsur luar merujuk kepada pengalaman peribadi, pengalaman orang lain, penelitian keadaan kehidupan, pembacaan lalu dan sebagainya.

Proses kedua merupakan teks yang akan sentiasa berdialog dengan teks asing ataupun teks yang pernah dihasilkan (Mokhtar Hassan, 1995:67). Sebuah hasil karya itu akan „berbual‟ dengan

unsur luar secara sendiri. Khususnya, ini bermakna beberapa perkataan, frasa, baris atau rangkap di

60

dalam sajak itu berhubung dengan teks asing. Teks asing merujuk kepada hasil sastera lain yang telah dihasilkan dan membicarakan tentang isu – isu yang sama.

Proses ketiga merupakan proses pembaca yang menghubungkan apa yang dibaca dengan realiti, yakni pengalaman peribadi, pengamatan keadaan dan sebagainya. Kedua, pembaca juga akan menghubungkan teks yang sedang dibaca dengan teks-teks lain yang pernah dibaca yang membicarakan tentang isu – isu yang sama.

Sajak Balada Dolah juga melalui proses-proses yang disebutkan di atas. Pertama, pengarang telah berdialog dengan unsur luar iaitu melalui pengamatannya terhadap keadaan masyarakat. Mohamed Latiff telah memerhatikan bahawa taraf ekonomi masyarakat Melayu merupakan taraf yang rendah di kalangan masyarakat. Keluarga Melayu sering mempunyai golongan ibu bapa yang berpendapatan rendah. Lantas, pengamatan ini dimasukkan ke dalam sajaknya:

ibuku pekerja kilang ayahku penyapu jalan

Kedua-dua baris ini menjelaskan tentang pekerjaan ibu bapa „Dolah‟ yang berpendapatan

rendah. Ini menunjukkan unsur luar yang dimasukkan oleh penulis semasa mengarang. Sajak ini juga menunjukkan pengetahuan penulis yang mendalam tentang keadaan sosial masyarakatnya:

abangku penagih dadah

sudah limabelas kali masuk DRC ... ibuku asyik di kilang

ayah gemar berjudi

tikam nombor ekor setiap hari

Baris – baris ini menggambarkan pengetahuan penulis tentang masalah – masalah sosial yang dialami masyarakat Melayu seperti masalah penagihan dadah dan perjudian. Lantas, ungkapan penulis merupakan hakikat yang benar:

tak pernah diajar mengaji ke masjid jauh sekali

aku tak tahu hadas besar

walaupun sudah pandai berahi

ayah tak pernah aku nampak sembahyang

Nukilan ini juga menunjukkan pengalaman peribadi penulis ataupun pengalaman orang lain yang dikongsi dengan penulis. Nukilan ini mengisahkan tentang Dolah yang jahil agama dan tidak mempunyai pengetahuan agama, walau yang asas sekalipun. Dolah juga tidak pernah diajar tentang

fardhu ain‟ oleh ibu bapanya ataupun orang lain. Persoalan ini mungkin diilhamkan oleh penulis berdasarkan pengalaman sendiri yang tidak diajar tentang agama semasa kecil, ataupun pengalaman orang lain yang diceritakan kepada penulis sendiri.

Proses kedua merupakan hubungan di antara sajak Balada Dolah dengan mana – mana teks asing yang juga mengutarakan isu – isu yang sama. Sajak Balada Dolah berhubung dengan teks asing, seperti cerpen Hilang Kiblat (2008:21) oleh Mawaddah As-Sayiddah Mohamed Saaid yang diterbitkan di dalam buku antologi cerpen, „Perjalananku‟. Cerpen ini mengutarakan tentang seorang remaja, Rai, yang dibesarkan dalam keadaan tidak pernah diajarkan tentang agama dan

61

kepentingannya. Kedua ibu bapa Rai juga tidak pernah mengamalkan hidup sebagai orang Islam dan melakukan pelbagai laranganNya. Ini serupa dengan nukilan dalam sajak Balada Dolah iaitu:

tak pernah diajar mengaji ke masjid jauh sekali

aku tak tahu hadas besar

walaupun sudah pandai berahi

ayah tak pernah aku nampak sembahyang

Ini menunjukkan unsur „berbual‟ atau berhubung antara satu teks dengan teks yang lain. Sajak Balada Dolah juga berhubung dengan cerpen Cannabis Sativa (86:2008) oleh Fadilah Abdul Malik yang diterbitkan di dalam buku antologi cerpen fiksyen sains, „Scrinik‟. Cerpen Cannabis Sativa juga mengutarakan tentang seorang pemuda bernama Rosman yang sudah dua kali ditangkap polis dan dihantar ke DRC kerana penagihan dadah. Unsur yang diketengahkan ini berhubung dengan unsur di dalam teks Balada Dolah iaitu:

abangku penagih dadah

sudah limabelas kali masuk DRC

Proses terakhir merupakan dialog yang dilakukan oleh pembaca. Sajak Balada Dolah

mengaitkan apa yang dibaca dengan apa yang diketahui oleh pembaca.

aku tinggal di rumah pangsa

dua bilik sempit bagai reban angsa

Nukilan ini membuat saya sebagai pembaca mengaitkannya dengan pengalaman sendiri apabila mengunjungi sebuah rumah pangsa dua bilik. Berdasarkan pengalaman ini, nukilan di atas berjaya menyampaikan mesej dengan baik kerana pengalaman pembaca yang dapat berdialog dengan apa yang tertera:

aku lulus darjah enam

setelah empat kali mengulang peperiksaan

Kedua – dua baris ini dapat menghubungkan pembaca dengan sosio – budaya masyarakat yang sebegitu rupa. Pembaca dapat mengakui kebenaran baris – baris ini kerana suratkhabar dan berita sering memaparkan berita-berita tentang murid-murid Melayu yang selalu ketinggalan dalam pencapaian akademik. Di Singapura, prestasi para pelajar Melayu sering dibincangkan kerana tidak dapat mencapai prestasi akademik baik berbanding dengan pelajar bangsa lain. Oleh itu, mesej yang ingin disampaikan juga mengesan pembaca.

Kesimpulan

Sajak Balada Dolah merupakan sajak yang banyak berhubung dengan pelbagai macam unsur luar, dalam penglahiran sajak itu, di dalam teks itu sendiri dan juga oleh si pembaca. Oleh itu, sajak ini mampu memberikan gambaran sosial yang tepat dan dengan begitu jelas sekali.

Bibliografi

Mohamed Latif Mohamed. (2007). Bila Rama-Rama patah sayapnya. Singapura: Angkatan

62 Sasterawan ‟50

Abdul Samat Ali & Mohamed Latiff Mohamed. (Ed.). (2008). Scrinik. Singapura: Angkatan Sasterawan ‟50

Abdul Samat Ali dan Mohamed Latiff Mohamed. (Ed.). (2008). Perjalananku. Singapura: Angkatan Sasterawan ‟50

Mohamad Mokhtar Hassan. (1995). Sosiologi Sastera: Teori dan aplikasi. Malaysia, Kuala Lumpur: Jabatan Penerbitan Universiti Malaya

DI HARI LAHIR KOTAKU

Dalam dokumen BAHASA – BAHASA UTAMA DUNIA. dpc (Halaman 59-62)