• Tidak ada hasil yang ditemukan

REPRESENTASI PUISI DALAM PELBAGAI MEDIA DARI SUDUT GENETIK

Dalam dokumen BAHASA – BAHASA UTAMA DUNIA. dpc (Halaman 71-74)

Noorhaqmal Mohamed Noor

Pengenalan

Sebahagian besar nilai estetika sesebuah hasil karya bergantung pada aspek tafsiran dan gaya bahasa. Di dalam aspek tafsiran itulah terdapat tema, persoalan-persoalan dan mesej tertentu yang membuat sesebuah karya itu unik dan menarik minat pembaca. Keunikan itu kemudian dihiasi dengan gaya bahasa penulis yang memberi warna terhadap lukisan karya tadi. Namun demikian, sesebuah hasil karya yang dicipta itu harus bersifat dinamik demi menegaskan kerelevanan karya tersebut dengan keadaan semasa.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), istilah „genetik‟ merujuk pada „kajian tentang

keturunan (baka), dan cara individu mewarisi sesuatu ciri (sifat), dan memindahkan ciri tersebut daripada satu generasi kepada generasi lain melalui „gen‟. Istilah „gen‟ pula membawa makna „sebahagian daripada juzuk sel pada benda hidup, yang mengawal ciri fizikal, pertumbuhan dan

perkembangan benda hidup yang berkenaan‟.

Ilmu sains genetik ini boleh dikaitkan dengan kajian hasil karya sastera. Seperti kajian tentang gen dan sel, bahasa juga mempunyai ciri-ciri yang seumpama kajian sains genetik. Dalam hal ini, penelitian dan penghayatan sesebuah karya sastera juga boleh berdasarkan sistem kajian yang berlandaskan pendekatan-pendekatan saintifik. Penelitian ini cuba mengetengahkan kaitan sebuah cabang biologi, iaitu genetik dengan salah satu bidang sastera, iaitu puisi.

Puisi Dan Seni Kata

Seperti hasil karya kreatif sastera genre puisi, seni kata di dalam lagu juga bukan hanya mementingkan nilai estetika daripada bentuk gaya bahasanya tetapi juga melalui mesej yang disampaikan. Penggunaan bahasa yang unik inilah yang terpahat dalam minda pendengar dan diperkuatkan lagi dengan kehadiran melodi yang menarik. Irama dan seni kata yang disatukan ini lebih menarik akibat pencantuman yang kreatif dan terperinci susunan lagunya (Noorhaqmal, 2009).

Hal ini juga menjelaskan bahawa kepuisian seni kata itu timbul dengan pemilihan diksi yang teramat teliti susunannya mengikut irama. Panduan tema dan persoalan-persoalan yang dibincangkan di dalam keseluruhan seni kata itu menjurus langsung kepada mesej yang ingin disampaikan kepada pendengar.

Penelitian di dalam kajian ringkas ini cuba mengetengahkan kaitan genetik dan sastera dengan merujuk kepada sebuah puisi yang telah digunakan sebagai seni kata. Karya Tekad oleh Mohamed Latiff Mohamed telah digubah menjadi seni kata lagu oleh kumpulan penyanyi Singapura, Nuradee. Kumpulan Nuradee juga telah menamakan judul album mereka dengan nama sajak yang sama. Sajak yang dihasilkan pada tahun 1977 itu kemudian menarik lebih ramai peminat setelah kumpulan Nuradee melagukannya pada lewat tahun 90-an. Berikut adalah sajak tersebut (Mohamed Latiff Mohamed:2002):

jika malam ini akan berinai juga kankupimpin tangan anak bangsa menuju telaga bening merah jingga tanda perjuanganku kembali bermula

72

jika berseri nasi pengantin

kubakar malam ini dengan api lilin dengan bunga di tujuh musim

tanda kembalinya Jebat berkeris lading.

Hasil karya Mohamed Latiff Mohamed adalah sebuah hasil seni yang kemudian melahirkan sebuah lagi karya seni berbentuk lagu. Proses penglahiran ini adalah langkah pertama di dalam kajian genetik karya sastera tersebut. Lagu Tekad oleh Nuradee tidak mungkin dapat dilahirkan tanpa kewujudan sajak Mohamed Latiff Mohamed pada awalnya. Kelahiran ini adalah proses yang mewariskan ciri (sifat) sajak Tekad kepada bentuk seterusnya. Keadaan bentuk yang baru ini boleh dianggap sebagai generasi seterusnya.

Gen Dalam Tekad

Setelah dikenal pasti akan proses kelahiran bentuk baru daripada karya sebelumnya, barulah dapat diteliti ciri-ciri atau sifat yang telah diwariskan daripada suatu karya kepada karya seterusnya. Walaupun bentuk karya yang baharu itu berbeza, ciri-ciri di dalam karya tersebut mungkin sama. Ciri- ciri ini tidak merujuk pada keadaan fizikalnya kerana sesebuah lagu itu tentunya sudah mempunyai elemen irama dan penyusunan muzik tertentu.

Perkara yang sesuai dibincangkan di sini ialah tema, persoalan, mesej dan nilai yang utama di dalam kedua-dua bentuk karya tersebut. Karya Tekad oleh Nuradee tetap mewarisi ciri-ciri dan sifat kepuisian yang sama dengan bentuk asalnya sebagai sekuntum sajak. Ini juga merujuk pada keindahan gaya bahasa yang telah diketengahkan oleh Mohamed Latiff Mohamed pada mulanya. Dalam hal ini, sesuai dinyatakan bahawa setiap rangkap, baris, perkataan dan suku kata itu adalah sel dan gen yang serupa di dalam tubuh setiap organisme yang hidup.

Ciri-ciri yang unik ini adalah persamaan kedua-dua bentuk karya ini walaupun kedua-duanya tidak serupa. Hal ini dapat dibandingkan dengan sifat seseorang manusia yang telah mewarisi sifat- sifat tertentu yang sedia wujud di dalam susur galur keluarganya. Proses perkembangan ini menyakinkan bahawa warisan generasi terdahulu tidak hilang dan kewujudan sifat-sifat tertentu akan sentiasa ada.

Perubahan Dalam Bentuk

Setiap organisme yang hidup mempunyai sel dan gen yang berbeza-beza dengan generasi sebelumnya. Walaupun begitu, terdapat beberapa maklumat dan ciri-ciri tertentu yang membezakan satu organisme itu dengan organisme yang lain. Sebagai contoh, manusia mempunyai warna kulit, warna mata dan warna rambut yang berbeza-beza. Ciri warna itu adalah aspek yang membezakan seseorang manusia itu dengan manusia yang lain. Terdapat juga individu yang tidak mempunyai warna mata atau rambut

ibu atau bapanya. Ini diterangkan di dalam „Hukum Kedua Mendel‟ (Mendel‟s 2nd Law) bahawa ciri- ciri yang terkandung di dalam setiap gen organisme yang membiak itu akan melahirkan kepelbagaian (independant assortment).

Kepelbagaian ini juga berkaitan dengan karya sastera yang telah berubah bentuk menjadi lagu. Lagu itu dianggap sebagai generasi kedua dan kemudiannya boleh melahirkan bentuk-bentuk karya lain yang tetap mempunyai ciri yang sama seperti generasi-generasi sebelumnya. Sebagai contoh, sesebuah lagu itu kemudian boleh dijadikan sebuah video ringkas atau muzik video. Hasil daripada bentuk ini kemudian juga boleh dipanjangkan menjadi sebuah drama televisyen atau filem.

Sekiranya media karya itu diubah, sajak Tekad juga berupaya digambarkan melalui media yang berlainan. Sebagai contoh, sajak tersebut boleh digambarkan melalui media seni lukis dan dihasilkan dengan kelahiran sebuah ukiran, lukisan batik atau lukisan kanvas. Kesemua bentuk karya

73

itu akan mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat tersendiri tetapi terus mengekalkan ciri-ciri tafsiran yang wujud pada karya berbentuk sajak pada asalnya.

Kesan Perkembangan Bentuk

Kelahiran bentuk-bentuk baru daripada karya-karya asal ini akan menimbulkan beberapa kesan yang tertentu. Pembahagian kesan ini boleh dikhususkan kepada dua bahagian, iaitu kesan kepada pencipta dan kesan kepada penerima. Kesan-kesan yang lahir daripada perubahan dan perkembangan bentuk ini mempunyai implikasi tertentu kepada kedua-dua golongan ini.

Pertama, istilah „pencipta‟ digunakan untuk merujuk kepada pencipta hasil karya seni yang

mempunyai bentuk-bentuk tertentu. Kemampuan sesebuah hasil karya itu untuk melalui proses perkembangan ini akan mencetuskan kesan yang positif dan negatif kepada pencipta. Kesan yang positif ini lahir kerana pencipta karya asal diberi peluang untuk melahirkan idea-idea baharu untuk diaplikasikan kepada karyanya. Idea-idea baharu ini kemudian akan menyaksikan kewujudan karyanya dalam bentuk-bentuk yang berbeza.

Kesan negatif kepada pencipta ini pula wujud kerana dalam proses perkembangan dan perubahan karya tersebut, kemungkinan beberapa ciri atau mesej yang ingin disampaikan akan hilang kerana karya asal itu harus disesuaikan dengan bentuk yang baharu agar ianya kekal relevan dengan citra baharu.

Kedua, istilah „penerima‟ digunakan untuk merujuk kepada penerima hasil karya seni

pencipta tadi. Golongan penerima ini boleh terdiri daripada pembaca, pendengar, penonton atau peminat hasil seni. Kesan positif yang akan diterima ialah, golongan penerima dapat menikmati keindahan karya asal dalam bentuk-bentuk yang berbeza. Cakupan yang luas ini juga adalah kesan yang positif terhadap pencipta karya asal kerana penyebaran karyanya tidak terhad kepada mana-mana golongan atau lapisan masyarakat.

Kesimpulan

Hakikatnya, setiap hasil karya seni itu adalah tanggungjawab penciptanya (Masuri, 2005) dan seniman itu harus mengenali potensi karya yang diciptanya. Potensi sesebuah karya adalah pemangkin dalam perkembangannya walaupun harus melalui proses perubahan dan penyesuaian dalam keadaan yang berbeza-beza. Dalam hal ini, seseorang seniman yang telah mencipta karyanya itu harus sedar bahawa penakatan karyanya mungkin bergantung kepada proses genetik ini. Malahan, keadaan teknologi yang pesat harus digunakan agar peluang yang wujud harus dikenal pasti dan tidak dilepaskan begitu saja. Bibliografi

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2008). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka

Masuri S.N. (2006). Dalam Merenung Dalam: Kumpulan Esei dan Kritikan 1977-2005.

Singapura: Angkatan Sasterawan „50

Mohamed Latiff Mohamed. (2002). Bagiku Sepilah Sudah: Kumpulan Puisi Pilihan 1990-2002.

Singapura: Pustaka Nasional

Noorhaqmal Mohamed Noor. (2009). Rima Irama Rap Sebagai Penyampai Mesej. Esei latihan bagi Program Latihan Khas Bahasa Ibunda, Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang

Peter J. Bowler (1989). The Mendelian Revolution: The Emergence of Hereditarian Concepts in Modern Science and Society. Baltimore: Johns Hopkins University Press

Rebecca L. Johnson. (2005). Genetics. Amerika Syarikat: Twenty-First Century Books.

74

Dalam dokumen BAHASA – BAHASA UTAMA DUNIA. dpc (Halaman 71-74)