• Tidak ada hasil yang ditemukan

PENGARUH BAHASA DALAM SENI KATA DIKIR SINGAPURA

Dalam dokumen BAHASA – BAHASA UTAMA DUNIA. dpc (Halaman 31-35)

Noorhaqmal Mohd Noor

Pengenalan

Seni dikir barat di Singapura mula dikesan sejak tahun 1975. Seni dikir barat yang berasal dari Kelantan dipercayai terpengaruh dengan salah satu persembahan seni dari India. Namun demikian, persembahan dikir barat yang dilihat di Singapura kini telah melalui pelbagai proses perubahan. Proses perubahan ini adalah demi penakatan seni dikir dan juga demi mengekalkan kerelevanannya dalam keadaan kontemporari.

Seni kata dikir Singapura mula diberi perhatian semenjak pertandingan dikir barat yang pertama pada tahun 1984. Pertandingan dikir Singapura yang dianjurkan oleh Maktab Rendah Nanyang mendapat sambutan baik dan akhirnya melahirkan beberapa aktivis dikir barat yang masih kekal melibatkan diri di dalam arena seni sehingga hari ini. Kini, seni kata yang dihasilkan untuk setiap pertandingan dikir Singapura memainkan peranan penting dalam keputusan dan pemarkahan setiap kumpulan yang bertanding. Maka, seni kata dikir Singapura juga mampu menjelaskan kuasa bahasa Melayu.

Kuasa Menentukan Pemenang

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), istilah „kuasa‟ membawa beberapa maksud. Di

antaranya ialah daya atau kemampuan untuk melakukan atau mengerjakan sesuatu. Makna perkataan ini juga merujuk kepada hak atau kewibawaan atas sesuatu. Perkara ini juga merujuk kepada hak atau kewibawaan untuk mengurus dan memerintah sesuatu.

Di dalam sesebuah pertandingan, beberapa aspek dikir barat dinilai. Aspek-aspek yang dinilai

ini termasuk persembahan „Tok Juara‟, „Tukang Karut‟, „awok-awok‟, kumpulan paluan, kesenian dan

juga seni kata. Kerangka pemarkahan sebegini lazimnya digunakan oleh penganjur pertandingan dikir Singapura. Setiap aspek ini mempunyai peratusan yang sama untuk menentukan markah keseluruhan setiap kumpulan yang bertanding. Namun demikian, terdapat juga beberapa pertandingan yang menilai aspek-aspek lain seperti busana kumpulan atau aspek kreativiti dalam persembahan.

Bahasa Melayu berkuasa di dalam keadaan sebegini kerana seni kata dikir Singapura adalah salah satu asas persembahan. Berbeza dengan pertandingan dikir barat di Malaysia, seni kata kumpulan dikir di Singapura dihasilkan dan harus dihantar kepada penganjur sebelum hari pertandingan. Hal ini berbeza dengan pertandingan dikir barat di Malaysia yang lazimnya bergantung kepada persembahan spontan oleh Tukang Karut; salah seorang ketua di dalam persembahan.

Bahasa

32

Sebelum seni kata dikir Singapura dihasilkan, pihak penganjur akan memberikan tema seni kata yang harus dikupas oleh penulis. Tema ini boleh merangkumi pelbagai aspek termasuk fenomena kontemporari, kata-kata puitis, peribahasa atau frasa kreatif. Contoh tema-tema yang pernah diketengahkan di dalam pertandingan ialah „Seia Tak Sekata‟, „Gelap‟, „Emas‟ dan „Wira Wajar‟.

Tema yang telah diberikan ini kemudian dikupas oleh penulis sama ada dengan mengaitkannya dengan isu semasa, mencari huraian sesuatu permasalahan dan sebagainya.

Lazimnya, penggunaan bahasa Melayu dimestikan di dalam setiap seni kata yang dihasilkan. Namun demikian, terdapat juga beberapa pertandingan yang membenarkan penggunaan bahasa lain tetapi dihadkan penggunaannya. Terdapat beberapa komponen yang dinilai dalam seni kata dikir Singapura. Di antara aspek-aspek yang dinilai ini termasuk penggunaan bahasa, ketepatan seni kata dengan tema yang diberikan, isi dan kajian tema, rima yang betul, gaya bahasa puitis dan juga penulisan yang kreatif. Komponen-komponen ini kemungkinan mempunyai peratusan markah yang berlainan mengikut kehendak penganjur. Hal ini jelas membuktikan betapa pentingnya bahasa Melayu di dalam persembahan dikir Singapura.

Bahasa yang digunakan oleh penulis mencerminkan pemikiran penulis. Kemudian, seni kata yang dipertandingkan juga mungkin mengandungi cogan, visi dan misi kumpulan masing-masing. Di sini, psikologi dan pemikiran penulis juga digambarkan sebagai fahaman seluruh kumpulan. Maka, amat tepat dinyatakan bahawa bahasa itu memberi kuasa kepada penulis dan juga menjadi kuasa yang mampu menentukan keputusan pertandingan.

Perutusan Kepada Penonton

Menurut kajian yang diketengahkan di dalam lelaman dikir barat di Malaysia11 (2009), persembahan dikir barat pada asalnya adalah sejenis persembahan seni yang kaya dengan hiburan. Meskipun begitu, unsur hiburan ini adalah sebahagian daripada keseluruhan persembahan. Hiburan yang dimaksudkan pula merujuk pada unsur jenaka melalui sindiran yang dipersembahkan oleh Tukang Karut. Hal ini boleh dianggap sebagai kritikan masyarakat yang disampaikan melalui wacana yang berbeza.

Di dalam seni kata yang dipertandingkan, terdapat juga komponen perutusan atau mesej yang hendak disampaikan kepada penonton. Hal ini selaras dengan aspek kajian tafsiran pada hasil karya sastera berbentuk prosa atau puisi. Mesej atau perutusan yang ingin disampaikan kepada pembaca atau penonton adalah salah satu komponen yang membuat karya tersebut menarik dan unik.

Isu-isu yang diketengahkan sewaktu persembahan dikir Singapura merangkumi pelbagai aspek termasuk ekonomi, politik, bahasa, sosio-budaya, pendidikan, hiburan dan sebagainya. Isu-isu kontemporari dijadikan bahan untuk dikongsi bersama dengan penonton sewaktu Tukang Karut menerajui persembahan. Keberkesanannya dalam menyampaikan mesej kepada penonton dihias dengan jenaka dan sindiran. Meskipun begitu, keunikan bahasa Melayu yang mampu mengalas sindiran ini dengan bahasa puitis mungkin juga mampu untuk tidak menyinggung perasaan mana- mana pihak.

Sewaktu membuat persembahan, Tukang Karut yang dilengkapkan dengan seni kata yang berkesan mempunyai semacam kuasa ke atas penonton. Hal ini dianggap sedemikian kerana peranannya menjadi perhatian penonton. Setiap perkara yang dikongsi disampaikan juga dengan gerak geri yang menarik perhatian penonton. Seorang Tukang Karut yang berpengalaman mampu mempengaruhi fikiran penonton sambil menyampaikan mesej dengan berkesan. Hal inilah yang

11

Lelaman www.dikirbarat.net adalah lelaman forum yang mengandungi pelbagai maklumat tentang dikir barat di Malaysia

33

memberi kuasa kepadanya melalui bahasa yang telah disediakan oleh penulis. Maka, di dalam hal ini bahasa juga memberi kuasa kepada penulis yang mahir untuk menyampaikan mesej-mesej tertentu. Sama ada isu yang dikongsi itu merupakan agenda atau perkara yang positif dan negatif, kuasa bahasa dieksploitasi oleh penulis sepenuhnya.

Dinamisme Bahasa dan Kuasanya

Kedinamikan bahasa Melayu juga tidak terhenti perkembangannya di dalam seni kata dikir Singapura. Hal ini disebabkan peraturan pertandingan yang sering tidak menghadkan penggunaan dan gaya bahasa dalam penulisan. Maka, penggunaan bahasa amat rencam dan seni kata dikir Singapura mengandungi perkataan-perkataan bahasa Melayu merentas zaman, keadaan dan daerah. Sebagai contoh, seni kata bertajuk „Wan Segala Wan‟ mengandungi perkataan „arakian‟ yang dirujuk oleh

Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) sebagai perkataan sastera lama. “arakian

tak diriwayatkan hal ~wan segala ~wan dia budayawan siur cacing sawan dia pustakawan tepi kain jiran dia perkasawan kawan makan kawan konon nak pertahan

Si Gunung Tahan”

(Zaidy Nandir, Wan Segala Wan, Piala Khatulistiwa, 2001)

“A... apa lagi nak dikata tentang E... evolusi gaya bangsa meniti I... impian dunia pertama menjejak O.. orde baru manusia

yang meruncing U... usia semakin tua”

(Noorhaqmal Mohd Noor, Aaa Wuu Bisu, Piala Buluh Perindu, 2009)

Istilah „orde‟ pula dirujuk oleh kamus yang sama sebagai perkataan yang berasal daripada penggunaan bahasa Indonesia Belanda. Contoh perkataan-perkataan sebegini menjelaskan bagaimana penulisan seni kata dikir Singapura memberi ruang dan peluang untuk penulis meneroka penggunaan bahasa yang menarik untuk disajikan kepada penonton dalam bentuk nyanyian dan sebagainya. Maka, seni kata dikir Singapura juga boleh dianggap sebagai korpus sastera yang mempunyai kuasa berbentuk metafizik.

Kuasa metafizik ini merujuk pada dendangan dan alunan lagu yang dipersembahkan. Schoen (1940), menerangkan bahawa setiap bunyi, irama atau muzik dapat mencetuskan perasaan yang berbeza-beza di kalangan setiap individu. Hallam (2008) pula menegaskan bahawa bahagian amygdala (sejenis kumpulan neuron) manusia berkait rapat dengan hypothalamus, iaitu bahagian yang mencetuskan emosi. Bahagian ini memastikan bahawa manusia peka akan keadaan sekelilingnya

34

dengan menggunakan daya pendengaran untuk keselamatan diri sendiri. Hal ini adalah naluri asas manusia. Bahagian ini juga merupakan salah satu komponen di dalam sistem neuron manusia yang penting. Maka, sesuai dikatakan bahawa bahasa mempunyai kuasa yang kemudiannya disalurkan melalui irama untuk mencetuskan perasaan-perasaan tertentu di kalangan penonton.

Dinamisme Seni Dikir

Secara keseluruhan, bahasa memainkan peranan penting dalam persembahan dikir Singapura. Secara umum, persembahan dikir Singapura juga bersifat dinamik kerana keupayaannya untuk merelevankan persembahan mengikut keadaan dan golongan penonton. Hal ini memungkinkan dikir Singapura dipersembahkan sewaktu acara-acara yang melibatkan pelbagai kaum seperti sambutan Hari Kebangsaan dan sebagainya.

Bahasa yang digunakan sewaktu persembahan juga diubah mengikut konteks jika diperlukan. Namun demikian, bahasa Melayu tetap digunakan sewaktu permulaan dan bahagian akhir persembahan dikir Singapura. Rata-rata, setiap kumpulan dikir Singapura faham akan tata cara sewaktu persembahan. Ini juga memastikan tata cara persembahan tidak dilanggar hanya untuk menyesuaikan dengan kehendak penonton. Tata cara ini juga ditegaskan lagi dengan kemestian

menggunakan bahasa Melayu sewaktu dendangan lagu penutup atau „lagu karut Wau Bulan‟.

Di sini, kuasa bahasa Melayu ditegaskan dengan memberi identiti persembahan seni dikir Singapura. Identiti ini merujuk kepada persembahan seni yang kaya dengan nilai estetika di samping

mengetengahkan falsafah „cita rasa tempatan, nilai sejagat‟. Identiti bahasa Melayu ini juga berbeza

dengan bahasa yang digunakan dalam persembahan dikir barat di Malaysia atau daerah-daerah lain di Nusantara. Hal ini menjadi bukti akan kuasa bahasa yang terkandung dalam dikir Singapura.

Kesimpulan

Hakikatnya, bahasa Melayu mempunyai kuasa yang disalurkan dan digambarkan dalam keadaan- keadaan yang tertentu. Melalui persembahan dikir Singapura dan seni katanya, kuasa bahasa diketengahkan lagi sama ada secara langsung atau tidak. Namun demikian, kuasa ini juga kadang kala tidak dapat dilihat dan difahami secara langsung. Kuasa bahasa dapat diteliti dan difahami sekiranya seseorang itu berfikir dan melihat karya dan persembahan dikir Singapura secara kritikal. Maka, kuasa bahasa merupakan salah satu pemangkin bagi penakatan dan kerelevenan dikir barat di Singapura. Bibliografi

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2007). Kamus dewan edisi keempat. Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Max Schoen. (1940). The psychology of music: A survey for teacher and musician. New York, USA: Ronald Press.

Noorhaqmal Mohamed Noor. (2009). Aaa wuu bisu. Pertandingan Dikir Singapura Piala Buluh Perindu.

Susan Hallam. (2008). Music psychology in education. London, England: Bedford Way Papers. Zaidy Nandir. (2001). Wan segala wan. Pertandingan Dikir Singapura Piala Khatulistiwa. http://en.wikipedia.org/wiki/Amygdala

http://dikirbarat.net/forum/index.php

http://kelanapurba.tripod.com/aboutus/index.htm

35

Dalam dokumen BAHASA – BAHASA UTAMA DUNIA. dpc (Halaman 31-35)