• Tidak ada hasil yang ditemukan

KATEGORI MURID PENDIDIKAN KHAS BERMASALAH PEMBELAJARAN

Dalam dokumen Modul Lengkap PDF (Halaman 44-48)

HASIL PEMBELAJARAN

KATEGORI MURID PENDIDIKAN KHAS BERMASALAH PEMBELAJARAN

Di bawah peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997 Bahagian II tiga kurungan dua menyatakan bahawa seseorang murid dengan keperluan khas adalah boleh dididik jika dia mampu untuk mengurus diri sendiri tanpa bergantung kepada orang lain dan disahkan oleh panel yang terdiri daripada pengamal perubatan, pegawai Kementerian Pendidikan dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai berupaya mengikuti program pendidikan kebangsaan layak kecuali murid-murid yang cacat anggota tetapi mempunyai kebolehan mental untuk belajar

seperti murid biasa dan murid yang mempunyai pelbagai kecacatan atau yang sangat cacat anggotanya atau yang terencat akal yang berat.

Berdasarkan peraturan pendidikan di atas, kategori kanak-kanak yang berhak mengikuti program pendidikan khas bermasalah pembelajaran ialah kanak-kanak sindrom down disebabkan oleh kromosom yang abnormal yang mana mereka mempunyai 47 kromosom berbanding manusia normal. Selain itu, autisme ringan dan hiperaktif. Autisme ringan ialah kanak-kanak yang kelihatan normal tetapi memaparkan tingkah laku dan pola perkembangan yang berbeza. Keunikan corak pembelajaran mereka disebabkan oleh ketidakupayaan kognitif dalam memproses maklumat manakala hiperaktif pula ialah kanak-kanak yang aktif dan mempunyai daya tumpuan yang singkat. Oleh yang demikian, mereka sukar untuk menumpukan kepada pembelajaran yang di ajar oleh guru di sekolah. Terencat akal minima ialah kanak-kanak yang mengalami keadaan perkembangan minda dan daya pemikiran yang kurang ataupun tidak lengkap termasuk kecacatan dalam fungsi intelek dan sosial. Mereka juga tergolong di dalam masalah pembelajaran ini juga. Golongan yang lain pula ialah kurang upaya dalam pembelajaran learning disability dan kurang upaya dalam pembelajaran khusus seperti disleksia. Kurang upaya dalam pembelajaran learning disability iaitu kanak-kanak yang mengalami satu atau lebih ketidakupayaan dalam proses psikologikal yang melibatkan pemahaman ataupun penggunaan bahasa, baik lisan mahupun tulisan. Kurang upaya dalam pembelajaran khusus seperti disleksia pula ialah kanak-kanak yang mengalami masalah membaca, menulis dan mengeja.

Merujuk kepada kategori tersebut, semua kategori kanak-kanak ini wajib mendapat pengesahan daripada doktor dan dapat menguruskan diri sendiri tanpa bantuan orang lain. Bagi golongan kanak-kanak yang tidak mampu untuk mengurus diri mereka sendiri, mereka akan di hantar ke Pemulihan Dalam Komuniti atau di kenali sebagai PDK.

Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran ialah satu perkhidmatan pendidikan yang disediakan untuk murid-murid bermasalah pembelajaran secara integrasi di sekolah bantuan kerajaan. Hatta kurikulum kebangsaan tidak dapat memenuhi keperluan murid-murid bermasalah pembelajaran kerana tahap pencapaian pendidikan mereka secara amnya amat rendah dan peningkatan pencapaian mereka juga perlahan, maka terdapat keperluan untuk membina kurikulum yang dapat menyediakan pendekatan, proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih fleksibel, menarik, berfokus dan bersesuaian dengan keupayaan serta kebolehan murid bermasalah pembelajaran (Kementerian Pendidikan Malaysia 2004).

Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Sekolah Rendah dan Menengah disediakan oleh Jabatan Pendidikan Khas di Kementerian Pelajaran Malaysia. Huraian kurikulum ini disediakan bagi menjelaskan cara pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran murid bermasalah pembelajaran. Dalam melaksanakan kurikulum Pendidikan Khas, guru-guru boleh melakukan pengubahsuaian terhadap kaedah pengajaran, pendekatan pengajaran, pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat Pendidikan Khas. Oleh yang demikian, menggunakan Kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran yang sama tidak bermakna pelaksanaan kurikulum di semua program serupa kerana setiap program mempunyai visi dan misi mereka tersendiri. Perkara seumpama ini dilihat telah menjadi kebiasaan dalam Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran di Malaysia.

Guru-guru Pendidikan Khas yang mengajar murid-murid bermasalah pembelajaran bertanggungjawab menyediakan murid-murid dengan kemahiran dan kecekapan berbahasa. Tugas yang digalas bukanlah mudah kerana selain buku Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Sekolah Rendah dan Menengah, bahan bacaan khusus disediakan sebagai panduan pengajaran masih di tahap rendah. Situasi ini menyebabkan guru-guru Pendidikan Khas perlu menyediakan sendiri bahan bantu mengajar dan memilih isi kandungan yang sesuai dengan tahap kebolehan murid-murid mereka.

Matlamat Kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran

Kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran bermatlamat menyediakan ilmu pengetahuan serta kemahiran melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel untuk memenuhi keperluan individu dengan pelbagai tahap keupayaan ke arah kehidupan bermakna (Kementerian Pendidikan Malaysia 2004). Rajah 3.1 menunjukkan Model Konseptual Kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran yang dibina berlandaskan tiga prinsip utama, iaitu (1) pendidikan menyeluruh dan bersepadu, (2) pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna serta (3) pendidikan sepanjang hayat. Tiga prinsip berkenaan dilaksanakan pula melalui satu proses yang melibatkan tiga aspek, iaitu (1) bidang pembelajaran, (2) pendekatan pengajaran dan pembelajaran serta (3) penilaian yang berteraskan kepada keperluan individu.

Rajah 3.1 Model Konseptual Kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia 2004

Kurikulum PKBP ini mengandungi matlamat, objektif, model konseptual kurikulum, pendekatan pengajaran dan pembelajaran, tempoh pendidikan, pengurusan ruang pengajaran dan pembelajaran, penilaian serta rekod perkembangan kemajuan murid, dan bidang pembelajaran. Huraian kurikulum disediakan bagi menjelaskan lagi cara pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran murid bermasalah pembelajaran. Kejayaan pelaksanaan kurikulum ini memerlukan komitmen semua pihak yang terlibat dengan PKBP untuk menghayati kandungan kurikulum sesuai dengan kepelbagaian keupayaan individu berkeperluan khas supaya tercapai hasrat untuk melahirkan murid yang dapat menjalani kehidupan bermakna (Kementerian Pelajaran Malaysia 2004).

Forum 4:

Bincangkan mengenai (1) pendidikan menyeluruh dan bersepadu, (2) pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna serta (3) pendidikan sepanjang hayat.

Tugasan Individu 4:

Terdapat tiga aspek penting dalam Model Konseptual Kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran, iaitu (1) bidang pembelajaran, (2) pendekatan pengajaran dan pembelajaran serta (3) penilaian yang berteraskan kepada keperluan individu. Huraikan dengan terperinci berkaitan ketiga-tiga aspek ini bagi menentukan kejayaan pelaksanaan kurikulum PKBP agar murid-murid dapat menjalani kehidupan bermakna.

RUMUSAN

1. Sekolah Pendidikan Khas mempunyai dua kategori, iaitu (1) Sekolah Pendidikan Khas Masalah Penglihatan dan (2) Sekolah Pendidikan Khas Masalah Pendengaran.

2. Sejarah penubuhan Pendidikan Khas di Malaysia bermula seawal tahun 1920-an oleh sukarelawan untuk kanak-kanak bermasalah penglihatan dan pendengaran.

3. Kanak-kanak bermasalah penglihatan memerlukan bantuan dan bimbingan dari segi orientasi dan mobiliti.

4. Kanak-kanak bermasalah pendengaran adalah sinonim dengan masalah-masalah komunikasi, sosial serta akademik.

5. Program pendidikan khas bermasalah pembelajaran (PKBP) merupakan satu program yang disediakan untuk kanak-kanak yang terdiri daripada golongan yang bermasalah pembelajaran seperti sindrom down, hiperaktif, terencat akal minima, kurang upaya dalam pembelajaran dan kurang upaya dalam pelajaran khusus seperti disleksia.

6. Kurikulum program pendidikan khas bermasalah pembelajaran telah diubahsuai daripada kurikulum biasa dan digabungkan di antara sekolah rendah dan sekolah menengah

Dalam dokumen Modul Lengkap PDF (Halaman 44-48)