• Tidak ada hasil yang ditemukan

Mengetahui berkaitan model pengajaran kemahiran bahasa yang boleh digunakan untuk mengajar murid-murid bermasalah pembelajaran ringan

Dalam dokumen Modul Lengkap PDF (Halaman 116-124)

Di akhir unit pelajaran ini, pelajar dapat:

2. Mengetahui berkaitan model pengajaran kemahiran bahasa yang boleh digunakan untuk mengajar murid-murid bermasalah pembelajaran ringan

PENGENALAN

Murid-murid bermasalah emosi dan tingkah laku amat memerlukan intervensi akademik dan secara umum terdapat tiga kategori intervensi yang boleh dijalankan di dalam bilik darjah, iaitu (1) intervensi murid, (2) intervensi oleh guru, seperti mengubah suai kurikulum, pujian dan token ekonomi serta (3) intervensi rakan sebaya, seperti tutoran rakan sebaya dan pembelajaran kooperatif. Dalam bab ini, kita akan membincangkan tentang pengubahsuaian pengajaran yang boleh dilaksanakan oleh guru bagi memenuhi keperluan murid-murid bermasalah pembelajaran ringan.

ISI KANDUNGAN

Pengubahsuaian Pengajaran Bagi Memenuhi Keperluan Murid-Murid Bermasalah Pembelajaran

Thurlow et al. (2000) mendapati masa dan latar tempat penilaian boleh meningkatkan pencapaian murid. Stuve dan Farrell (2001) menjalankan satu kajian terhadap 26 orang murid gred empat. Kajian dijalankan selama enam minggu dan mengambil masa antara 30 minit hingga 40 minit setiap hari. Dapatan kajian menunjukkan pengajaran bantuan dan sokongan berjaya membantu murid-murid bermasalah pembelajaran menyelesaikan masalah Sains dan menjalankan tugasan untuk mencapai sesuatu matlamat di luar kemampuan mereka. Stuve dan Farrell mencadangkan tiga aplikasi pengajaran menggunakan

pengajaran bantuan dan sokongan, iaitu (1) bantuan mengembangkan pengetahuan sedia ada murid, (2) peruntukan masa dan (3) membantu murid-murid merancang struktur pengetahuan.

Apakah yang anda faham mengenai pengajaran bantuan dan sokongan?

Greenwood (1991) telah menjalankan satu kajian terhadap murid-murid yang berisiko menghadapi kesukaran membaca. Murid-murid didapati kurang menggunakan masa untuk tujuan akademik berbanding rakan biasa mereka yang lain dan kesannya mereka didapati kurang berjaya apabila menduduki ujian. Greenwood juga mendapati murid-murid ini kurang disediakan dengan pengajaran berfokus guru dan mereka kurang menggunakan kemahiran yang dipelajari dalam kehidupan.

Jepsen dan VonThaden (2002) telah menjalankan satu kajian eksperimen yang bertujuan untuk mengenal pasti sama ada remaja berkeperluan khas mendapat manfaat daripada aktiviti pemulihan pembelajaran yang diikuti. Seramai 46 orang murid, iaitu 16 orang remaja perempuan dan 30 orang remaja lelaki mengambil bahagian dalam kajian ini. Mereka berumur antara 14 tahun hingga 16 tahun dan belajar di dalam bilik darjah biasa. Setiap kumpulan menerima 20 jam pengajaran seminggu. Kumpulan rawatan menerima lebih masa pengajaran, iaitu 60 minit seminggu sekali. Dapatan kajian menunjukkan pencapaian murid-murid dalam kumpulan rawatan meningkat kesan daripada pengajaran tambahan yang disediakan. Scruggs dan Mastropieri (1992) mendapati murid-murid berkeperluan khas boleh dibantu jika maklumat yang diberi tidak terlalu laju dan diberi tambahan masa, seperti jangka masa untuk menyiapkan tugasan ditambah.

Kajian Gordinier et al. (2004) menunjukkan pengajaran bantuan dan sokongan membolehkan murid-murid mengembangkan kemahiran dan menyusun pemikiran. Kajian Butler (1998) mendapati pendekatan bantuan dan sokongan ialah cara terbaik untuk merancang dan menyokong murid-murid ketika menyiasat atau melakukan inkuiri. Bantuan dan sokongan dilihat dapat membantu murid-murid agar tidak tersasar jauh ketika mencari jawapan kepada sesuatu projek Sains. Kajian Holbrook dan Kolodner (2004) pula dijalankan ke atas guru-guru Sains menerusi program Unit Apollo 13. Dapatan kajian mendapati guru-guru memerlukan dua hingga tiga tahun untuk mahir menjalankan kelas inkuiri Sains melainkan guru bertindak untuk mengendalikan kelas menggunakan pendekatan bantuan dan sokongan. Logan et al. (1997), McDonnel (1998) dan Hunt et al. (2002) telah menjalankan kajian terhadap murid-murid yang belajar dalam Program Pendidikan Inklusif dan mendapati pencapaian murid-murid dalam akademik dipengaruhi oleh pengajaran kolaborasi, pembelajaran kooperatif, kumpulan kecil atau pengajaran secara individu.

Murid-murid membentuk kefahaman baru melalui pengetahuan sedia ada yang disediakan oleh individu yang lebih berpengetahuan (Raymond 2000). Brush dan Saye (1999) telah menjalankan satu kajian eksperimen terhadap 35 orang murid gred lapan menggunakan pendekatan bantuan dan sokongan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kumpulan rawatan yang menggunakan model Eisenberg and Berkowitz Information Problem Solving dapat menulis artikel dengan baik serta tepat berbanding kumpulan kawalan di mana bantuan dan sokongan tidak disediakan.

Kajian Gibb dan Wilder (2002) serta Scott dan Shearer-Lingo (2002) mendapati tahap kebolehan membaca murid-murid bermasalah pembelajaran dapat dipertingkatkan jika bahan bacaan disediakan mengikut tahap bacaan murid. Flatley dan Rutland (1986) mengkaji tentang buku bergambar dan beliau mendapati konsep buku bergambar dapat membantu kanak-kanak bermasalah pembelajaran mempelajari nama objek dan mengikuti aktiviti bacaan dengan lebih berkesan. Dapatan kajian juga mendapati kanak-kanak boleh berinteraksi melalui cerita. Boutte dan McCormick (1992) menyatakan bahawa usaha untuk mengintegrasikan kefahaman tentang pendidikan pelbagai budaya sering berlaku secara tidak semula jadi di mana gambaran berkaitan perayaan dan watak utama selalu diguna untuk meningkatkan kefahaman murid.

Kajian Boone dan Higgins (2003) menunjukkan terdapat beberapa pilihan dalam teks digital yang membenarkan pengguna berinteraksi dengan teks dan sesuai dijadikan strategi mengajar literasi. Boone dan Higgins menyatakan penggunaan strategi ini membolehkan murid-murid belajar maksud perkataan dengan lebih baik. Kajian Gardner et al. (2003) mendapati carta, pengkalan data serta peralatan multimedia, misalannya penggunaan power point dalam pengajaran kurang berkesan untuk mengajar isi kandungan. Gardner et al. sebaliknya mendapati menyediakan lebih masa belajar bagi murid-murid bermasalah pembelajaran untuk mendalami isi kandungan lebih berkesan bagi meningkatkan pencapaian mereka.

Murid-murid berkeperluan khas sukar untuk memahami isi kandungan buku teks, maka bahan bacaan tambahan, seperti buku fiksyen, buku teks yang lebih mudah dan informasi maya lebih sesuai digunakan. Kesedaran menggunakan buku, seperti mengenal bahagian depan dan belakang buku, posisi buku, gambar, perkataan dan cara membuka halaman dalam buku perlu dipupuk sejak kecil kerana berpandukan gambar, kanak-kanak belajar untuk bercerita (Salend 2005). Kajian Fulk dan Stormont-Spurgin (1995) serta Zentell dan Stormont-Spurgin (1995) mendapati nota berpelekat dan pen penanda bewarna boleh dijadikan sebagai bahan sokongan yang murah, senang digunakan, mudah dibawa dan sesuai digunakan walaupun di rumah sendiri.

Terdapat beberapa kategori bahan bantu mengajar yang boleh digunakan dalam pengajaran, seperti berteknologi tinggi dan bahan bercetak. Lynne Norazit dan Su’ad (2001) telah menjalankan satu kajian berkaitan kesesuaian bahan bacaan untuk kanak-kanak. Kajian ini dijalankan terhadap 100 orang kanak-kanak dalam tahun empat di tiga buah sekolah di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur. Dapatan kajian menunjukkan ciri-ciri buku yang baik ialah buku yang mengandungi cerita yang menggembirakan, mudah, penerangan yang menarik, menggunakan bahasa mudah dan berilustrasi.

Seo et al. (2008) telah menjalankan satu kajian yang bertujuan untuk mengenal pasti amalan pengajaran kemahiran membaca 14 orang guru-guru baru Pendidikan Khas di Florida. Peserta kajian mempunyai pengalaman mengajar tiga tahun atau kurang dan kesemua mereka mengajar kemahiran membaca kepada murid-murid bermasalah pembelajaran dalam gred tiga hingga gred lima. Analisis data kualitatif menunjukkan muncul empat tema, iaitu kualiti pengajaran pengajaran, respon kepada keperluan murid, sosio emosi, persekitaran bilik darjah dan autonomi murid. Bogner et al. (2002) dan Dolezal et al. (2003) menjalankan kajian untuk melihat pengajaran guru dalam kemahiran membaca. Mereka mendapati guru yang berjaya memotivasikan murid dan mengekalkan penglibatan murid dalam literasi mempunyai pengetahuan yang mendalam berkaitan kurikulum membaca.

Aspek mengikut kesediaan guru tidak kurang pentingnya apabila pengubahsuaian kurikulum dirancang dan dilaksanakan. Kajian Clark (1997) berkaitan interaksi guru dan murid mendapati bahawa guru berinteraksi secara berbeza apabila mereka berhadapan dengan murid-murid bermasalah pembelajaran. Tingkah laku guru ini berkait rapat dengan pengetahuan dan kepercayaan mereka terhadap pencapaian murid bermasalah pembelajaran. Kajian Ethell dan McMeniman (2000), Putnam dan Borko (2000), Shulman (2000), Freeman (2002) dan Hiebert et al. (2002) menunjukkan bahawa pengetahuan guru berkaitan pendekatan pengajaran, isi kandungan dan amalan pengajaran membantu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Grossman (1995) pula mendapati masih kurang kajian dijalankan dalam domain pengetahuan kurikulum dan pelaksanaannya, pembelajaran murid serta dalam konteks pengajaran guru.

Mayer dan Marland (1997) menemu bual lima orang guru berkaitan pengetahuan mereka terhadap murid-murid bermasalah pembelajaran. Dapatan kajian menunjukkan guru-guru Pendidikan Khas mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang latar belakang murid dan pengetahuan ini membantu guru memilih pendekatan pengajaran yang bersesuaian untuk setiap murid. Kajian Clark (1997) menunjukkan guru melakukan penyesuaian dan mengadun pengalaman mengajar serta pengetahuan sedia ada apabila mengajar di dalam bilik darjah.

Berdasarkan pembacaan berkaitan pengubahsuaian pengajaran, kita boleh merumuskan bahawa murid-murid bermasalah pembelajaran memerlukan tambahan masa apabila belajar. Pembacaan yang dijalankan menyokong lima bentuk pengubahsuaian yang disarankan dalam Akta Pendidikan 1996 (Malaysia 1996). Oleh kerana tempoh masa murid-murid bermasalah pembelajaran berada di alam persekolahan tidak lama, maka mereka perlu mempelajari kemahiran-kemahiran terpilih secara berkualiti. Oleh yang demikian, pengubahsuaian pengajaran mewajarkan murid-murid bermasalah pembelajaran belajar kemahiran bahasa dalam keadaan lebih terbela, menikmati penyamarataan hak dalam pendidikan dan paling utama pendidikan yang disalurkan menepati keperluan mereka.

Model Pelaksanaan Pengajaran Kemahiran Bahasa bagi Murid-murid Bermasalah Pembelajaran Ringan

Rajah 11.1 menunjukkan Model Pelaksanaan Pengajaran Kemahiran Bahasa bagi Murid-murid Bermasalah Pembelajaran Ringan (Noor Aini 2010) yang dibina berteraskan bahasa sebagai alat kognitif agar murid-murid bermasalah pembelajaran ringan dapat menguasai dengan lebih baik kemahiran berkomunikasi, membaca dan menulis untuk meneruskan pembelajaran di peringkat pascamenengah atau menghadiri kursus kemahiran (mengikut kebolehan dan keperluan mereka). Satu perancangan rapi yang menghubung kait pengalaman sedia ada murid dan minat mereka perlu dilaksanakan semasa mereka masih di bangku sekolah. Menerusi model yang dicadangkan ini, guru dapat membantu murid-murid bermasalah pembelajaran ringan untuk terlibat secara langsung dengan pemerolehan kemahiran ke arah kerjaya dan bermotivasi untuk belajar kemahiran bahasa secara lebih berkesan melalui penyediaan Rancangan Pendidikan Individu. Rancangan Pendidikan Individu perlu dibina mengikut keperluan murid dan diumumkan pelaksanaannya supaya lebih banyak pihak boleh menghulurkan bantuan merentas perkhidmatan pendidikan yang disediakan bagi murid-murid bermasalah pembelajaran. Sebagai nilai tambah

kepada kelaziman, Noor Aini mencadangkan supaya guru Pendidikan Khas membentuk kurikulum personal bagi setiap murid bermasalah pembelajaran ringan. Kurikulum personal memastikan setiap murid diajar kemahiran bahasa (dan mata pelajaran lain) melalui satu perancangan yang sangat rapi, tersusun, mengikut tahap kebolehan murid, menggunakan kurikulum yang tepat dan sesuai, proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan disesuaikan atau diubahsuai bagi mencapai keperluan masing-masing.

Sebagai persediaan melanjutkan pelajaran ke peringkat pascamenengah bagi murid-murid bermasalah pembelajaran ringan yang berkelayakan, selain menduduki peperiksaan umum, mereka juga boleh mengikuti program jangka pendek. Program jangka pendek boleh dirancang pelaksanaannya bersama agensi kerajaan yang lain seperti Kolej Komuniti atau Giat MARA. Dengan ini, keperluan individu ke arah kehidupan bermakna seperti yang disasarkan dalam Model Konseptual Kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (Kementerian Pelajaran Malaysia 2004) dapat direalisasikan. Menerusi model ini guru disarankan mengambil kira unit mendiagnosis keperluan murid, membuat objektif khusus, memilih isi kandungan dan menyusun isi kandungan, memilih pengalaman sedia ada, menyusun pengalaman sedia ada, penilaian dan membuat semakan (Taba 1962) apabila melaksanakan pengajaran kemahiran bahasa.

Murid-murid bermasalah pembelajaran ringan didapati belajar dalam tiga pilihan persekitaran pembelajaran. Perkhidmatan pendidikan yang disediakan dalam setiap persekitaran ini walaupun pada dasarnya berbeza tetapi menuju kepada matlamat yang sama, iaitu bagi memenuhi keperluan individu. Tiga pilihan persekitaran yang dimaksudkan ialah perkhidmatan pendidikan yang disediakan di dalam bilik darjah Pendidikan Khas, Pendidikan Inklusif sepenuh masa dan Pendidikan Inklusif separa masa. Oleh yang demikian, apabila sesebuah program integrasi di sekolah menengah yang difikirkan Menteri suaimanfaat (Malaysia 1996) menyediakan perkhidmatan pendidikan, semua personal yang terlibat dalam Pendidikan Khas dan warga sekolah (terutama kerjasama guru biasa) amat diperlukan. Kejelekitan rasa tanggungjawab ini boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan jika personal yang terlibat memberi perkhidmatan pendidikan dalam ketiga-tiga pilihan persekitaran diberi latihan dan kursus secara berterusan dalam bidang Pendidikan Khas. Penguasaan komponen Bahasa Melayu seharusnya menjadi tiket kepada murid-murid bermasalah pembelajaran ringan yang mengikuti pembelajaran di dalam bilik darjah Pendidikan Khas untuk menyertai sebarang program jangka pendek dan menduduki peperiksaan awam. Oleh yang demikian, mereka perlu diberi peluang untuk mengikuti kurikulum kebangsaan dengan beberapa penyesuaian (Malaysia 1996, 2002) yang difikirkan sesuai supaya penyamarataan hak pendidikan (Biwako 2007), penyamaan peluang kepada orang kurang upaya (Malaysia 2002) dan dikaitkan dengan pengalaman murid (Salamanca 1994) dapat dilaksanakan secara adil dan berkualiti.

Model Pelaksanaan Pengajaran Kemahiran Bahasa bagi Murid-murid Bermasalah Pembelajaran Ringan menyokong pemilihan kurikulum kebangsaan bagi murid-murid bermasalah pembelajaran ringan yang mengikuti Pendidikan Inklusif secara sepenuh masa sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan umum. Dengan ini penyertaan penuh dan setara individu berkeperluan khas (Malaysia 2007) dapat dilaksanakan dengan baik berlandaskan pembangunan dan kesejahteraan orang kurang upaya.

Model Pelaksanaan Pengajaran Kemahiran Bahasa bagi Murid-murid Bermasalah Pembelajaran Ringan juga menyokong pemilihan Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran dan kurikulum kebangsaan bagi murid-murid bermasalah pembelajaran ringan yang mengikuti Pendidikan Inklusif secara separa masa. Dalam konteks ini, guru-guru Pendidikan Khas boleh menggunakan pengajaran terus (Lewis 1993; Swanson dan Hoskyn 1998; Vaughn et al. 2000) dan mendokumentasikan keperluan murid dan perkhidmatan bantuan yang disediakan dalam Rancangan Pendidikan Individu.

Murid bermasalah pembelajaran ringan Pendidikan Inklusif Separa Masa Program jangka pendek Pendidikan Inklusif Sepenuh Masa Bilik darjah Pendidikan Khas Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Modul kemahiran dengan penyesuaian Kurikulum Kebangsaan Peperiksaan umum Pascamenengah Kehidupan bermakna Rancangan Pendidikan Individu/kurikulum personal

Rajah 11.1 Model Pelaksanaan Pengajaran Kemahiran Bahasa bagi Murid-murid Bermasalah Pembelajaran Ringan

Sumber: Noor Aini (2010)

Penyertaan murid-murid bermasalah pembelajaran ringan di dalam Program Pendidikan Inklusif kurang mendapat tempat di kebanyakan sekolah. Nyatakan bagaimana program ini boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Apakah yang anda faham dengan terma kurikulum personal dan sejauhmana kurikulum personal dilaksanakan di sekolah anda?

RUMUSAN

Perkembangan dalam Pendidikan Khas amat meilbatkan kesungguhan guru-guru dan sejauhmana pengubahsuaian dilakukan oleh guru dan personal lain dalam Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran. Ramai yang menganggap tugas guru Pendidikan Khas ialah mengasuh anak-anak cacat, tetapi sebaliknya guru Pendidikan Khas menggalas tanggungjawab yang lebih besar, iaitu mendidik insan istimewa ini menjadi warga negara yang baik dan berketrampilan. Atas dasar ini, semakin ramai guru Pendidikan Khas mengambil sikap positif dan bersedia untuk merealisasikan mesej kemanusiaan ini.

KATA KUNCI

1. Murid-murid bermasalah pembelajaran ringan 2. Pengubahsuaian

3. Intervensi

PENILAIAN KENDIRI

1. Nyatakan tiga kategori intervensi yang boleh dijalankan di dalam bilik darjah Pendidikan Khas.

PETA KONSEP

RUJUKAN

BIWAKO. 2007. Biwako Millennium Framework. Jepun: BIWAKO.

Bogner, K., Raphael, L. & Pressley, M. 2002. How grade one teachers motivate literacy activity by their students. Scientific Studies of Reading 6: 135-165.

Boone, R. & Higgins, K. 2003. Reading, writing, and publishing digital text. Remedial and Special Education 24: 132-140.

Boutte, G.S. & McCormick, C.B. 1992. Authentic multicultural activities. Childhood Education, 68(3): 140-144.

Brush, T. & Saye, J. 1999. Student engagement with social issues in a multimedia-supported learning environment. Theory and Research in Social Education 27(4): 472-504.

Butler, D.L. 1998. In search of the architect of learning: a commentary on scaffolding as a metaphor for instructional interactions. Journal of Learning Disabilities 31(4): 374-386. Clark, M.D. 1997. Teacher response to learning disability: a test of attribution principles. Journal

of Learning Disabilities 30: 69-79.

Perkembangan Pendidikan Khas

Kurikulum Guru Agensi luar

Program Jangka Pendek intervensi

Dolezal, S.E., Welsh, L.M., Pressley, M. & Vincent, M.M. 2003. How nine third-grade teachers motivate student academic engagement. Elementary School Journal 103: 239-267.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2004. Sukatan pelajaran pendidikan khas bermasalah pembelajaran sekolah rendah dan menengah. Kuala Lumpur: t.pt.

Malaysia. 1996. Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan pendidikan (Pendidikan Khas) (Akta 550). Warta Kerajaan.

Malaysia. 2002. Draf Akta Orang Cacat 2002. Warta Kerajaan.

Malaysia. 2007. Rang Undang-undang Orang Kurang Upaya 2007. Warta Kerajaan. D.R. 52/2007.

Noor Aini Ahmad. 2010. Pengajaran Kemahiran Bahasa bagi Murid-murid Bermasalah Pembelajaran. Tesis Doktor Falsafah. Bangi: Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

JAWAPAN SERTA MAKLUM BALAS

1. Tiga kategori intervensi yang boleh dijalankan di dalam bilik darjah Pendidikan Khas ialah (1) intervensi murid, (2) intervensi oleh guru, seperti mengubah suai kurikulum, pujian dan token ekonomi serta (3) intervensi rakan sebaya, seperti tutoran rakan sebaya dan pembelajaran kooperatif.

2. a. Pengajaran bantuan dan sokongan b. Program Pendidikan Khas Inklusif c. Program jangka pendek

Dalam dokumen Modul Lengkap PDF (Halaman 116-124)