• Tidak ada hasil yang ditemukan

SEKOLAH PENDIDIKAN KHAS

Dalam dokumen Modul Lengkap PDF (Halaman 34-37)

HASIL PEMBELAJARAN

SEKOLAH PENDIDIKAN KHAS

PENDIDIKAN KHAS INTEGRASI

HASIL PEMBELAJARAN

Di akhir unit ini, pelajar dapat:

1. mengetahui mengenai perkhidmatan Pendidikan Khas yang disediakan di Sekolah Pendidikan Khas

2. mengetahui mengenai perkhidmatan yang disediakan di Program Pendidikan Khas Integrasi

PENGENALAN

Tiga kementerian menyediakan perkhidmatan bagi kanak-kanak berkeperluan khas di Malaysia, iaitu (1) Kementerian Pelajaran Malaysia, (2) Kementerian Kesihatan serta (3) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada (1) murid-murid kurang upaya yang mempunyai masalah pembelajaran atau kanak-kanak terencat akal yang boleh dididik dan (2) murid-murid yang mempunyai masalah dalam penglihatan, pendengaran, masalah pembelajaran dan pemulihan khas. Kementerian Pelajaran Malaysia menggariskan lima kategori kanak-kanak berkeperluan, iaitu (1) sindrom down, (2) autisme ringan, (3) attention deficit hyperactivity disorder (ADHD), (4) terencat akal ringan dan (5) disleksia untuk menerima perkhidmatan Pendidikan Khas di sekolah-sekolah kerajaan.

ISI KANDUNGAN

Dalam unit pelajaran ini, kita akan membincangkan mengenai Sekolah Pendidikan Khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi.

SEKOLAH PENDIDIKAN KHAS

Secara umum terdapat dua kategori Sekolah Pendidikan Khas, iaitu (1) Sekolah Pendidikan Khas Masalah Penglihatan dan (2) Sekolah Pendidikan Khas Masalah Pendengaran.

Sekolah Pendidikan Khas Masalah Penglihatan

Sekolah Pendidikan Khas Masalah Penglihatan di Malaysia merupakan sebuah institusi pendidikan yang khusus untuk kanak bermasalah penglihatan. Dalam konteks ini, kanak-kanak bermasalah penglihatan yang diterima untuk mendaftar ke Sekolah Pendidikan Khas Masalah Penglihatan mempunyai masalah buta dan rabun. Oleh kerana masalah penglihatan dianggap sebagai masalah utama yang memberi kesan terhadap perkembangan kognitif kanak-kanak, maka sekolah Pendidikan Khas telah dibina bagi membantu kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan supaya mereka boleh menjalani kehidupan seperti individu normal.

Perkembangan Sekolah Pendidikan Khas Masalah Penglihatan

Sejarah penubuhan Pendidikan Khas di Malaysia bermula seawal tahun 1920-an oleh sukarelawan untuk kanak-kanak bermasalah penglihatan dan pendengaran. Pada tahun 1926, Sekolah Rendah Pendidikan Khas (SRPK) St. Nicholas telah dibuka oleh Gereja Anglican di Melaka. Pada tahun 1931, SRPK St. Nicholas dipindahkan ke Pulau Pinang. SRPK Princess Elizabeth dibuka secara rasminya pada tahun 1948 dengan kemudahan asrama di Johor Bharu. Pada tahun 1962, program rancangan percantuman bagi pendidikan kanak-kanak masalah penglihatan telah dilaksanakan di sekolah biasa yang terpilih. Latihan Perguruan Khas dalam bidang cacat penglihatan di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras juga telah dilaksanakan bagi membekalkan guru-guru berkepakaran. Pada tahun 1977, Sekolah Pendidikan Khas Masalah Penglihatan telah dibuka di Setapak. Pada tahun 1978, SRPK Princess Elizabeth telah diambil alih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai sekolah bantuan penuh.

Sehingga tahun 2011, terdapat enam buah sekolah Pendidikan Khas bagi kanak-kanak bermasalah penglihatan, iaitu (1) Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alma, Pulau Pinang, (2) Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Batu, Kuala Lumpur, (3) Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor, (4) Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kuching, Sarawak, (5) Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Tuaran, Sabah dan (6) Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur. Kanak-kanak ini mengikuti kurikulum pelajaran yang sama seperti yang diikuti oleh kanak-kanak normal. Walau bagaimanapun, kaedah pengajaran dan pembelajaran adalah disesuaikan dengan penggunaan bahan cetak yang dibesarkan saiz tulisannya bagi yang kanak-kanak rabun manakala bagi yang kanak-kanak buta, mereka diajar menggunakan Braille.

Kurikulum Sekolah Pendidikan Khas Masalah Penglihatan

Kanak-kanak bermasalah penglihatan memerlukan bantuan dan bimbingan dari segi orientasi dan mobiliti. Bahan-bahan yang digunakan bagi mengajar kanak-kanak bermasalah penglihatan perlu sesuai dan dapat menggalakkan penggunaan deria lain. Kanak-kanak tanpa deria penglihatan terpaksa bergantung pada deria yang lain bagi mengumpul maklumat seperti deria dengar dan deria sentuh. Mereka mesti diajar menggunakan deria-deria lain seperti deria pendengaran, deria sentuh, bau dan rasa. Melalui sentuhan, kanak-kanak dapat belajar mengenal objek manakala melalui pendengaran, kanak-kanak dapat mengenal orang melalui suara dan objek serta bunyi

yang dihasilkan. Deria bau membolehkan kanak-kanak dapat mengenal perbezaan antara makanan, orang dan tempat. Deria rasa pula kanak-kanak dapat membezakan jenis makanan (Abd. Rahim, 2006).

Kementerian Kesihatan Malaysia telah menghasilkan Manual on the Management of Children with Visual Impairment yang antara lain memberi cadangan kaedah yang dapat digunakan semasa menjalankan aktiviti ransangan terhadap kanak-kanak bermasalah penglihatan berkaitan penggunaan deria lain. Penggunaan deria sentuh dapat dilakukan dengan memandu tangan kanak-kanak untuk menyentuh objek, memberi pelbagai bentuk, saiz dan tekstur objek dan memberi peluang kepada kanak-kanak tersebut untuk menjalankan aktiviti seharian seperti bermain, mengurus diri, menyertai keluarga di dapur atau di taman.

Penggunaan deria pendengaran dapat dilaksanakan dengan cara bercakap dengan kanak-kanak tersebut pada setiap kesempatan. Namakan benda-benda yang disentuhnya dan beritahu tentang perkara yang sedang berlaku di sekelilingnya. Terangkan juga benda-benda yang sedang dilakukan dan jelaskan kepadanya tentang perasaan. Galakkan kanak-kanak tersebut bercakap, misalnya dengan bertanya soalan kepadanya dan galakkan ia bertanya kembali. Selain itu, elakkan daripada menggunakan bahasa pelat (baby talk) dengan kanak-kanak dan pastikan orang bercakap terus dengan kanak-kanak tersebut.

Deria rasa dapat dilakukan dengan menggalakkan kanak-kanak tersebut memasukkan benda ke dalam mulut kerana dapat menggalakkan sensasi rasa. Perbuatan ini selamat dilakukan jika objek itu bersih dan besar serta tidak boleh ditelan. Aktiviti ini perlu dihentikan apabila kanak-kanak tumbuh gigi. Di samping itu, berikan makanan dan minuman yang berbagai-bagai rasa dan tekstur serta beritahu mereka tentang makanan yang diberi itu (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2003)

Tahap kehilangan penglihatan dan latar belakang murid serta latihan yang diterima memberi kesan terhadap pelbagai strategi dan cadangan. Kanak-kanak dengan masalah penglihatan memerlukan bantuan dalam pelbagai aspek pendidikan seperti orientasi dan mobiliti di kawasan yang belum difahaminya. Apabila berhadapan dengan murid bermasalah penglihatan, nyatakan kepada kelas kehadiran anda atau orang lain. Kemudian panggil murid itu dengan menyebutkan namanya. Murid yang bermasalah penglihatan perlu dijauhkan daripada cahaya yang silau dan gunakan perkataan yang sesuai dan spesifik apabila mengaitkannya dengan orientasi badan murid. Aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan penggunaan deria penglihatan yang dijalankan perlu diterangkan kepadanya dengan jelas dan beri peluang kepadanya untuk membiasakan diri dengan keadaan di kelas ataupun tempat lain yang berkaitan. Selain itu, sebarang perubahan disekelilingnya perlu diberitahu secara lisan. Walaupun murid tersebut dapat mengecam guru atau orang lain melalui suara, tetapi galakkan untuk memperkenalkan diri apabila berurusan dengan mereka (Farrel, 2006).

Pendidikan bagi kanak-kanak bermasalah penglihatan perlu dilengkapi dengan peralatan yang sesuai mengikut tahap masalah yang dihadapinya. Antaranya ialah tongkat putih, mesin Braille, alat sentuhan seperti peta, gambar rajah timbul, model tiga dimensi, bilik sumber yang dilengkapi dengan kemudahan mesin Braille, alat rakaman audio, duplicator Braille, bilik penyelenggaraan Braille, bilik low vision, hand held magnifier, stand magnifier, spectacle

magnifier dan teleskop. Bagi setiap kanak-kanak low vision, mereka mesti dinilai dari segi fungsi visual untuk menentukan tahap penglihatan mereka yang masih ada, sama ada dengan bantuan alat khas ataupun tidak. Perkara ini perlu bagi membolehkannya menggunakan sisa ataupun baki penglihatan dengan optimum. Penilaian ini mungkin melibatkan preskripsi dan latihan penggunaan alat-alat untuk kanak-kanak kategori ini (Wall, 2003).

Kajian Rokiah dan Zainora (2004) menunjukkan kebanyakan murid low vision di sekolah khas mempunyai akuiti visual dekat yang lebih baik daripada akuiti visual jauh. Kajian mereka turut mendedahkan ramai murid yang tidak menggunakan peralatan khusus. Leat dan Karadesh (1991) serta Kalloniatis dan Johnston (1990) juga mendapati ramai kanak-kanak low vision tidak dilengkapi dengan peralatan khusus yang sesuai dengan kecacatan mereka.

Penggunaan peralatan khas ini perlu dilatih supaya murid bermasalah penglihatan yang masih mempunyai baki penglihatan dapat memanfaatkan penglihatan mereka. Namun begitu, latihan perlu diberi di samping memberi motivasi kepada murid-murid dalam menggunakan peralatan khas. Keadaan murid low vision yang tidak dibantu dengan peralatan khas menyekat perkembangan murid tersebut bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga bidang perkembangan yang lain seperti emosi dan sosial. Tidak dinafikan bahawa ramai murid low vision yang malu hendak menggunakan peralatan khas atas alasan tersendiri. Namun, kesedaran yang diberikan kepada mereka tentang faedah yang diperoleh membolehkan mereka bersedia melangkah ke hadapan.

Baca selengkapnya

Dalam dokumen Modul Lengkap PDF (Halaman 34-37)