• Tidak ada hasil yang ditemukan

SEMAK KENDIRI 3.1

Dalam dokumen BBPP1103 Prinsip Pengurusan (Halaman 58-61)

Dalam topik ini, perkataan „pembuat keputusan‰ dan „pengurus‰ akan digunakan secara silih berganti. Ini kerana dalam konteks sesebuah organisasi, pengurus adalah orang yang bertanggungjawab membuat keputusan. Oleh itu, sama ada istilah „pengurus‰ atau „pembuat keputusan‰ digunakan, ia merujuk kepada individu yang sama iaitu orang yang membuat keputusan.

PERSEKITARAN PEMBUATAN

KEPUTUSAN

Sesuatu keputusan yang baik bukan sahaja dipengaruhi oleh pengalaman, kecekapan dan kemahiran pembuat keputusan tersebut tetapi juga kecukupan dan kesahihan maklumat yang diperoleh yang berkaitan dengan persekitaran perniagaan (Abu Mansor et al, 1999). Maklumat yang disebut di sini merujuk kepada maklumat yang dapat membantu kita dalam membuat ramalan tentang keadaan-keadaan yang akan berlaku pada masa hadapan. Sebagai contoh, mungkinkah kita boleh meramal dengan tepat tindakan pesaing-pesaing pada masa hadapan atau kadar faedah bagi tahun depan atau perubahan-perubahan dalam undang-undang yang mungkin berlaku pada masa hadapan dan sebagainya? Sekiranya kita boleh mendapat maklumat yang mencukupi, ia akan menjadi lebih mudah bagi kita untuk meramal situasi yang mungkin berlaku pada masa hadapan. Selepas itu, proses pembuatan keputusan akan menjadikan mudah dan tepat.

Secara amnya, terdapat tiga keadaan maklumat dalam proses pembuatan keputusan: sama ada maklumat yang diperoleh itu adalah lengkap, tidak lengkap atau tidak mempunyai maklumat langsung. Sehubungan dengan ini, ia akan mewujudkan tiga persekitaran atau keadaan pembuatan keputusan seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 3.1.

3.1

Tahukah anda faktor-faktor penentu dalam pembuatan keputusan?

Rajah 3.1: Persekitaran pembuatan keputusan

3.1.1 Pembuatan Keputusan dalam Keadaan

Kepastian

Dalam keadaan ini, pembuat keputusan mendapat maklumat yang lengkap untuk memudahkannya membuat keputusan. Beliau mampu meramalkan dengan pasti situasi-situasi yang akan berlaku pada masa hadapan. Dengan mengetahui apa yang akan terjadi pada masa hadapan, keputusan yang dihasilkan oleh setiap keputusan alternatif akan dapat ditentukan atau diketahui dengan pasti. Alternatif yang menghasilkan keputusan yang terbaik akan dipilih dan dilaksanakan.

Contoh pembuatan keputusan dalam keadaan kepastian boleh dilihat dalam situasi berikut: Katakan anda telah ditawarkan dua pelaburan alternatif ă Pelaburan A dan Pelaburan B. Pelaburan A memberi pulangan sebanyak lima peratus dalam tempoh dua tahun, manakala Pelaburan B memberi pulangan sebanyak enam peratus juga dalam tempoh dua tahun. Anda mempunyai maklumat yang mencukupi berkaitan dengan pelaburan-pelaburan ini. Anda mampu untuk mengetahui jenis pelaburan, tempoh pelaburan dan kadar pulangannya. Daripada maklumat yang lengkap ini, anda dapat mengetahui pulangan hasil daripada setiap pelaburan yang dibuat. Pembuat keputusan yang rasional semestinya memilih pelaburan alternatif yang memberikan pulangan paling tinggi, iaitu Pelaburan B.

3.1.2 Pembuatan Keputusan dalam Keadaan

Ketidakpastian

Dalam situasi ini, pembuat keputusan tidak mempunyai sebarang maklumat yang dapat membantu dalam pembuatan keputusannya. Oleh itu, beliau tidak dapat mengetahui dengan pasti peristiwa yang akan berlaku pada masa hadapan dan juga tidak dapat meramal hasil daripada setiap keputusan alternatif yang dibuat. Dengan itu, pembuat keputusan terpaksa menggunakan segala pengalaman dan budi bicaranya dalam membuat sesuatu keputusan.

Contoh berikut menjelaskan pembuatan keputusan dalam keadaan ketidakpastian: Syarikat ABC telah lama menjalankan perniagaan perabot rotan di kawasan Bandar Banjau. Kini, Syarikat ABC memutuskan untuk memperkenalkan satu produk baru ke pasarannya, iaitu, barang perhiasan yang diperbuat daripada seramik. Oleh kerana perhiasan seramik ini adalah sesuatu yang baru kepada penduduk Bandar Banjau dan tiada peniaga sebelum ini yang pernah menjual produk tersebut, Syarikat ABC tidak dapat meramal sambutan pengguna terhadap produk tersebut. Ini adalah kerana tidak ada data sebelumnya yang boleh digunakan sebagai panduan. Adakah penduduk Bandar Banjau akan berminat dengan produk seramik yang dipasarkan? Memandangkan reaksi pengguna tidak dapat diramal maka kesan setiap keputusan alternatif juga tidak dapat diramal.

Dalam kes ini, keputusan alternatif yang boleh dipertimbangkan adalah daripada aspek menetapkan harga jualan. Adakah perhiasan seramik tersebut dijual pada harga RM10, RM7 atau RM5? Memandangkan tiada maklumat yang boleh digunakan sebagai panduan, maka pada kebiasaannya, keputusan yang akan diambil bergantung kepada budi bicara pembuat keputusan itu sendiri.

3.1.3 Pembuatan Keputusan dalam Keadaan Berisiko

Apabila membuat keputusan dalam keadaan ketidakpastian, pembuat keputusan perlulah mempunyai kecenderungan yang tinggi terhadap risiko. Kecenderungan risiko merujuk kepada kecenderungan seseorang untuk mengambil atau mengelak risiko. Individu yang mempunyai kecenderungan yang tinggi terhadap risiko akan berani mengambil risiko dalam sebarang keputusan yang dibuat. Memandangkan tiada maklumat yang diperoleh bagi membantu pembuatan keputusan, maka adalah penting bagi pembuat keputusan yang beroperasi dalam keadaan ini mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi terhadap risiko.

Jika anda seorang pengurus, apakah faktor-faktor yang membolehkan anda membuat keputusan yang berisiko? Bincangkan jawapan anda dengan rakan-rakan sekelas.

Kebanyakan pengurus atau pembuat keputusan sebenarnya beroperasi dalam keadaan seperti ini. Mereka mempunyai maklumat, namun maklumat tersebut adalah tidak lengkap. Oleh itu, mereka tidak begitu pasti keadaan yang akan berlaku pada masa hadapan. Maklumat yang minimum hanya akan memberikan sedikit petunjuk dalam meramalkan apa yang akan berlaku. Sama ada keadaan itu benar-benar akan berlaku atau sebaliknya, tidak dapat dipastikan. Biasanya, sesuatu keadaan itu hanya boleh diandaikan berlaku berdasarkan maklumat yang diperoleh dan peratusan kebarangkalian yang ia akan berlaku.

Sebagai contoh, daripada penyata jualan bulanan, didapati jumlah jualan telah meningkat setiap bulan. Oleh itu, anda boleh mengandaikan yang syarikat tersebut akan memperoleh keuntungan bersih pada tahun ini selepas mengalami kerugian pada tahun lepas. Tanpa mendapatkan maklumat lain seperti kos operasi, perubahan cita rasa di kalangan pengguna dan faedah pinjaman, anda hanya boleh mengandaikan yang syarikat tersebut akan memperoleh keuntungan berdasarkan arah aliran jualan untuk beberapa bulan yang lalu. Maka, anda mengatakan kebarangkalian syarikat akan mendapat untung adalah 60 peratus, dan kebarangkalian syarikat akan rugi adalah 40 peratus. Dengan ini, anda membuat keputusan untuk meningkatkan pelaburan. Di sini, anda telah membuat keputusan dalam keadaan yang berisiko iaitu tidak diketahui sama ada syarikat benar-benar akan untung atau sebaliknya.

Apakah langkah-langkah yang anda rasa perlu bagi seseorang pengurus dalam membuat keputusan?

Dalam dokumen BBPP1103 Prinsip Pengurusan (Halaman 58-61)