• Tidak ada hasil yang ditemukan

BEBAN TUGAS GURU

Dalam dokumen PELAKSANAAN SISTEM LATIHAN DUAL NASIONAL (1) (Halaman 188-194)

Pelbagai definisi beban tugas telah dikemukakan oleh pengkaji terdahulu. Menurut Muhammad Shukri (1998)Beban tugas adalah merujuk kepada tanggungjawab yang mesti dipikul dan dilakukan oleh guru sama ada tanggungjawab di dalam bilik darjah atau pun di luar bilik darjah untuk menyelesaikan kerja-kerja sekolah. Manakala menurut Mohd Saudi (1998), beban tugas bermaksud jumlah penggunaan masa yang digunakan oleh seseorang guru untuk melaksanakan tugas-tugas berbentuk akademik dan bukan akademik baik di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Selain itu juga, beban tugas merujuk kepada sesuatu tanggungjawab kerja rasmi yang telah diberikan oleh pihak sekolah dan ianya mesti dilaksanakan oleh seseorang guru tersebut sepanjang masa. Beban tugas juga merujuk kepada jumlah masa seseorang guru untuk mengajar di kelas, masa yang diperuntuk untuk menyiapkan kerja-kerja sekolah atau tugas rasmi sebagai guru sama ada di sekolah ataupun menggunakan masa di luar waktu sekolah. Beban tugas juga boleh dirujuk sebagai satu bentuk tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh guru walaupun tanggungjawab ini tidak disenangi. Tugas-tugas ini

termasuklah berkaitan pengajaran dan pembelajaran, aktiviti kokurikulum, pengurusan fail, mesyuarat dan apa-apa yang bersangkutan dengan tugas rasmi sebagai seorang guru. Beban tugas ini juga meliputi aktiviti yang tidak menekan kepada aktiviti bilik darjah tetapi mempunyai perkaitan dengan visi dan misi sekolah (Azita, 2012). Kesemua ini boleh diukur dengan menjumlahkan masa yang digunakan (Wan Roselinda, 2008). Daripada pelbagai definisi yang dikemukakan oleh pengkaji-pengkaji sebelum, dapat dirumuskan bahawa beban tugas ialah jumlah penggunaan masa guru dalam melaksanakan tugas rasmi sama ada di dalam waktu persekolahan atau di luar waktu persekolahan. Aspek tugas dan tanggungjawab guru di sekolah adalah meliputi sembilan aspek iaitu kurikulum, kokurikulum, hal ehwal murid, kewangan, pengurusan dan pentadbiran, pembangunan staf, komuniti, asrama dan pembangunan fizikal (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2007).

Banyak kajian telah dijalankan dalam mengkaji beban tugas guru di dalam negara mahupun luar negara. Antara kajian yang dilakukan di luar negara ialah kajian oleh (Angle et al., 2008; Bubb & Earley, 2004; Deakin, James, Tickner, & Tidswell, 2010; Ingvarson et al., 2005).

Kajian yang dilakukan ke atas 1903 orang guru dari sekolah rendah, menengah dan sekolah khas di England dan Wales oleh Angle et al. (2008) merupakan kajian yang ke sembilan. Kajian sebelum ini telah dijalankan pada tahun 1994, 1996, 2000 dan setiap tahun bermula 2003. Kajian ini telah ditumpukan kepada jam bekerja dan corak kerja guru. Dapatan kajian telah menunjukkan kebanyakkan guru bekerja 50 jam seminggu. Jumlah jam bekerja telah meningkat antara tahun 2007 hingga 2008 iaitu daripada 53.6 jam seminggu kepada 58 jam seminggu. Jumlah jam bekerja guru sekolah rendah adalah 52.2 jam seminggu sementara 49.9 jam seminggu bagi guru sekolah menengah. Dapatan bagi jumlah jam mengajar telah merekodkan sebanyak 19.8 jam seminggu bagi guru sekolah menengah dan 17.7 jam seminggu bagi guru sekolah rendah.

Pada tahun 2010 satu lagi kajian dilakukan di England dan Wales oleh Deakin, James, Tickner, & Tidswell (2010) dan ini merupakan kajian yang ke 11. Kajian ini juga mengkaji beban tugas guru sekolah rendah dan menengah. Dapatan menunjukkan jumlah beban tugas guru sekolah menengah ialah 49.9 jam seminggu manakala guru sekolah rendah 50.2 jam seminggu. Ini menunjukkan terdapat sedikit pengurangan dalam beban tugas guru sekolah rendah di England dan Wales tetapi beban tugas guru sekolah menengah kekal pada 49.9 jam seminggu.

Laporan daripada Ingvarson et al., (2005) berdasarkan kajian kes dan tinjauan ke atas 1150 guru, 936 pengurus pertengahan dan 235 orang pengetua sekolah menengah di New Zealand mendapati jumlah beban kerja sebenar bagi pengetua adalah 59 jam seminggu, pengurus pertengahan 52 jam seminggu sementara 47 jam seminggu bagi seorang guru. Responden dalam kajian mengatakan bahawa bilangan jam yang dihabiskan di sekolah merupakan penyebab kepada tekanan yang paling ketara. 75% guru-guru menyatakan bahawa beban tugas mereka adalah berat. Mereka juga mengatakan terlalu banyak kertas kerja yang perlu disiapkan dan banyak tugas dilakukan di luar waktu bekerja. Jumlah jam yang digunakan dalam melaksanakan kerja perkeranian adalah sebanyak 7.7jam seminggu. Mereka mengatakan sokongan untuk mengurangkan beban tugas boleh didapati daripada penyediaan kakitangan tambahan serta peruntukan tambahan bagi melakukan kerja-kerja profesional di luar bilik darjah. Guru-guru tersebut juga mencadangkan supaya disediakan kakitangan tambahan serta kelas yang lebih kecil dalam mengurangkan beban tugas guru.

Begitu juga dengan laporan dari The School Teachers’ Review Body (STRB) pada Mac 2003 berdasarkan 2694 orang guru mendapati guru sekolah rendah menggunakan

purata 51.8 jam seminggu. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 16 peratus responden bekerja melebihi 60 jam seminggu manakala 6% sahaja bekerja kurang daripada 40 jam seminggu. Manakala guru-guru sekolah menengah pula menggunakan sebanyak 50.8 jam seminggu. Dapatan juga menunjukkan beban tugas semakin bertambah daripada tahun 1994 hingga ke tahun 2003 iaitu daripada 48.8 jam seminggu kepada 51.8 jam seminggu bagi guru sekolah rendah dan 48.9 jam seminggu kepada 50.8 jam seminggu bagi guru sekolah menengah (Bubb & Earley, 2004). Oleh itu dapat dirumuskan bahawa, jumlah beban tugas guru-guru diluar negara adalah tidak melebihi 51 jam bagi guru sekolah menengah manakala guru sekolah rendah tidak melebihi 53 jam seminggu. Banyak juga kajian tentang beban tugas guru yang telah dijalankan di Malaysia. Antaranya ialah kajian (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2007; Mohamad Yazi, 2005; Mohd Saudi, 1998; Muhammad Shukri, 1998; Norlida, Fatimah, & Mohd. Nasrudin, 2011; Rohani, 1991). Rohani (1991) telah menjalankan kajian secara kualitatif untuk melihat sama ada terdapat pertambahan tugas dalam melaksanakan KBSM serta mengetahui secara mendalam corak aktiviti dan beban tugas 3 orang guru sejak KBSM dilaksanakan untuk tiga mata pelajaran iaitu Kemahiran Hidup, Bahasa Melayu dan Matematik. Kajian beliau telah dijalankan ke atas tiga orang responden secara temu bual, pemerhatian berserta, pemerhatian ke atas buku kemasukan pelajar, buku rekod mengajar serta dokumen-dokumen lain yang berkaitan. Pemerhatian telah dijalankan selama 12 minggu termasuk catatan pergerakan responden di dalam diari serta catatan oleh penyelidik sendiri. Hasil kajian beliau telah mendapati banyak masa dan usaha guru diperlukan bagi menjayakan sesuatu kurikulum baru di samping tugas-tugas sedia ada guru yang sememangnya banyak seperti menjadi guru tingkatan, ketua panitia mata pelajaran dan sebagainya. Beliau juga mendapati rungutan utama guru adalah mengenai kerja-kerja perkeranian yang terlalu banyak serta tidak pernah selesai dan menyebabkan guru kekurangan masa untuk memberi tumpuan kepada pengajaran di dalam kelas. Kerja-kerja yang dilaksanakan oleh guru bertindih-tindih dan berulang serta membosankan dan tiada sebarang langkah diambil oleh mana-mana pihak untuk mengurangkan atau memudahkan. Tugas sebagai ketua panitia contohnya memerlukan guru KHB melaksanakan penyelarasan penggunaan bengkel, pesanan alat-alat dan sebagainya. Guru KHB juga perlu berada di bengkel 20 minit sebelum masa mengajar untuk menentukan alat-alat untuk pengajaran mencukupi dan berada dalam keadaan baik. Manakala, Mohd Saudi (1998) pula telah menjalankan kajian untuk mengetahui beban tugas guru dari segi jumlah penggunaan masa bagi melaksanakan tugas akademik dan bukan akademik di sekolah serta untuk menetapkan beban tugas yang dianggap paling sesuai bagi seseorang guru dalam melaksanakan tugas seharian dengan lebih berkesan tanpa menimbulkan tekanan (stres), ketidakpuasan bekerja dan mengganggu kesihatan fizikal dan mental guru. Responden kajian terdiri daripada guru-guru yang mengajar di tingkatan satu hingga enam iaitu seramai 120 orang dari dua buah sekolah di Daerah Kota Baharu Kelantan. Kajian beliau telah menggunakan soal selidik pengkaji sebelumnya iaitu Salwa (1996) yang cuba melihat beban tugas sebenar guru-guru dari segi jenis tugas, pembahagian tugas dan jumlah masa yang mereka gunakan dalam menyelesaikan tugas-tugas tersebut. Hasil kajian beliau telah mendapati bahawa secara puratanya setiap orang guru bekerja sejumlah 64.21 jam seminggu. Daripada jumlah masa bekerja ini sebanyak 39.59 jam seminggu (61.7%) digunakan bagi melaksanakan tugas-tugas akademik dan sebanyak 24.62 jam seminggu (38.3%) bagi melaksanakan tugas-tugas bukan akademik di sekolah. Kebanyakan guru juga telah memegang sebanyak 5 jenis tugas yang terdiri daripada guru tingkatan, tugas khas dan tugas-tugas kokurikulum. Oleh itu, jumlah jam bekerja bagi seorang guru ialah 64.21 jam seminggu yang merangkumi tugas akademik dan juga bukan akademik.

Mohamad Yazi (2005) telah menjalankan kajian tentang beban tugas dan perlakuan mengajar guru sekolah rendah. Kajian beliau telah melibatkan 274 orang guru sekolah rendah di Negeri Kedah telah mendapati guru-guru menggunakan sebanyak 52.40 jam (62.19%) masa untuk menjalankan tugas akademik dalam seminggu manakala tugas bukan akademik sebanyak 31.86 jam (37.82%) dalam seminggu. Secara purata, beliau mendapati guru-guru sekolah rendah memegang tidak kurang daripada tujuh jawatan dalam ketiga-tiga bidang iaitu kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum. Secara keseluruhan, jumlah beban tugas guru adalah 84.26 jam seminggu merangkumi tugas akademik dan bukan akademik. Beban tugas ini adalah berat ditambah lagi dengan jumlah jawatan yang dipegang oleh guru.

Kajian Habibah (1995) tentang hubungan latar belakang guru dengan persepsi terhadap mata pelajaran KHB telah mendapati min tertinggi dari persepsi guru ialah terpaksa melakukan segala persediaan sebelum dan penyenggaraan selepas kelas amali KHB kerana ketiadaan pembantu bengkel dengan nilai min=4.35. Kajian beliau juga mencadangkan diwujudkan jawatan pembantu bengkel atau makmal bagi mata pelajaran KHB. Ini bertujuan meringankan beban tugas guru KHB yang terpaksa membuat persediaan lebih awal sebelum pengajaran dan terpaksa menyenggara bengkel selepas pengajaran amali KHB. Dengan adanya pembantu bengkel, guru KHB dapat menumpukan perhatian yang lebih terhadap pengajaran dan juga dapat memberi tumpuan terhadap penilaian kerja kursus pelajar-pelajar secara berterusan.

Kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (2007) dalam mengkaji beban tugas dan tanggungjawab guru telah dijalankan secara tinjauan, lawatan penanda aras ke luar negara serta diskusi dengan ahli akademik. Kajian ini merupakan kajian terbesar yang pernah dijalankan oleh pihak KPM dengan melibatkan seramai 16699 orang guru daripada 440 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara dengan mengkaji beban tugas dan tanggungjawab guru daripada sembilan aspek iaitu kurikulum, pengurusan kewangan, hubungan komuniti, pengurusan pejabat dan pentadbiran, kokurikulum, pengurusan HEM, pembangunan staf, pengurusan asrama dan pembangunan fizikal. Kajian ini telah mendapati Guru SR menggunakan purata 65.46 jam seminggu manakala guru SM menggunakan 67.01 jam seminggu untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Satu lagi kajian tentang beban tugas guru telah dilakukan oleh Norlida, Fatimah, & Mohd. Nasrudin (2011) daripada Bahagian Pendidikan Guru (BPG). Kajian ini merupakan kajian kuasi eksperimental bertujuan mengenalpasti keberkesanan penempatan pembantu tadbir PT(P/O) gred N17 dalam membantu mengurangkan beban tugas perkeranian guru di sekolah. Kajian telah melibatkan 2490 orang guru di mana 50.1% adalah daripada sekolah rawatan yang menerima dua orang pembantu tadbir manakala 49.1% adalah daripada sekolah yang tidak menerima pembantu tadbir. Pembantu tadbir ini telah ditempatkan di 50 buah sekolah bermula Januari 2011 sehingga 31 Disember 2011. Hasil kajian telah mendapati penempatan PT(P/O) gred N17 berkesan dalam membantu mengurangkan beban tugas perkeranian guru di sekolah. Purata guru melakukan tugas perkeranian didapati berkurang untuk tugas perkeranian mengikut kerja mingguan, bulanan dan tahunan. Hasil kajian turut mendapati purata masa guru melakukan tugas utama berkaitan kurikulum dan kokurikulum meningkat dengan adanya pembantu tadbir membantu tugas-tugas perkeranian mereka.

Jika dibandingkan kajian di Malaysia dengan kajian luar negara tentang jumlah jam bekerja guru bagi seminggu, guru-guru di Malaysia menunjukkan lebih terbeban dengan jumlah jam bekerja yang ternyata melebihi guru-guru di luar negara. Perbezaan adalah mencapai sehingga 15.19 jam seminggu. Manakala jika dibandingkan dengan jumlah

jam bekerja bagi penjawat awam lain di Malaysia yang bekerja hanya 40 jam seminggu, jumlah beban tugas guru ternyata lebih tinggi dengan merekodkan perbezaan sebanyak 26.24 jam seminggu. Apa yang jelas di sini ialah beban tugas guru-guru di Malaysia adalah tinggi. Pihak terbabit seharusnya melihat aspek beban tugas dengan lebih terperinci dan mendalam serta berbuat sesuatu bagi meringankan beban tugas guru. Menurut Azita (2012) tugas guru yang semakin rumit dan mencabar pasti mengundang tekanan kepada guru-guru. Tugas yang asalnya merupakan satu bentuk tanggungjawab kini dirasakan oleh guru sebagai satu bentuk bebanan kerja. Ini pasti mengundang ketidakselesaan kepada guru-guru. Mereka melaksanakan kerja secara terpaksa dan pastinya hasil kerja guru ini tidak seperti yang diharapkan. Selain daripada bebanan tugas yang semakin banyak, guru-guru juga dilihat kurang mendapat rehat yang cukup. Menurut beliau, kebanyakan sekolah melaksanakan aktiviti setiap kali hari Sabtu. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah aktiviti bersama pelajar seperti kelas tambahan, latihan sukan, mengemas kelas, aktiviti kelab dan persatuan serta aktiviti guru bersama pihak pentadbir seperti Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP). Selain itu, pihak kaunseling sekolah akan menjemput penceramah jemputan untuk menyampaikan pelbagai isu. Pentadbir sekolah juga lebih selesa menggunakan hari Sabtu. Hal ini menyebabkan guru-guru merasakan elemen tugas sampingan yang perlu dilaksanakan oleh mereka menyumbang kepada pertambahan beban kerja. Dapatan kajian beliau juga menunjukkan elemen beban tugas guru dalam tugas sampingan berada pada tahap yang paling tinggi dengan nilai min 3.91 berbanding aspek pentadbiran dan aspek pengajaran dan pengurusan kelas.

The Chartered Institute of Personnel and Development (CIPD, 2001) telah melaporkan tentang kesan kepada individu yang bekerja dalam masa yang terlalu panjang. Dapatan menunjukkan satu daripada tiga pasangan yang bekerja melebihi 48 jam sehari mengatakan jumlah masa bekerja yang terlalu panjang telah memberi kesan yang negatif kepada hubungan personal mereka. Manakala 70% pasangan yang ditemubual oleh CIPD mengatakan masa bekerja yang terlalu panjang menyebabkan mereka letih untuk berinteraksi antara pasangan masing-masing. Sementara itu 40% mengatakan mereka telah bosan memikul tanggungjawab kerja yang berat. Hampir keseluruhan daripada responden yang bekerja dengan masa yang terlalu panjang merasakan mereka telah tiada keseimbangan antara kerja dengan kehidupan seharian. Lebih daripada separuh responden (56%) telah mengatakan mereka telah menghabiskan kehidupan mereka hanya untuk bekerja manakala 25% responden yang bekerja melebihi 48 jam seminggu telah menimbulkan aksi negatif daripada pasangan masing-masing. Lebih daripada satu per empat responden yang mempunyai anak-anak yang kecil dan masih bersekolah pula mengatakan jumlah waktu bekerja yang terlalu panjang telah memberikan kesan yang negatif kepada hubungan mereka dengan anak-anak (Bubb & Earley, 2004).

Menurut Lukman (2008), salah satu punca tekanan kerja di kalangan guru adalah disebabkan oleh faktor beban tugas yang banyak. Kenyataan ini disokong oleh kajian tentang Kesihatan dan Kesejahteraan Guru di Utara Ireland pada tahun 2001. Kajian telah mendapati sebab utama tekanan kerja ialah terlalu banyak beban tugas dan terlalu banyak kertas kerja dan kerja pentadbiran yang perlu diselesaikan. Dalam laporan yang dikeluarkan oleh The Health and Safety Executive (HSE), hampir 40 juta hari bekerja telah hilang di United Kingdom (UK) adalah akibat penyakit yang disebabkan oleh tekanan dan 60% daripada mereka yang tidak hadir bekerja adalah juga disebabkan oleh tekanan (HSE, 1995). Manakala pada tahun 2000, HSE juga melaporkan guru merupakan golongan yang teramai berhadapan dengan tekanan. Dapatan kajian daripada 17000 orang telah mendapati 41.5% guru mengalami tekanan yang tinggi diikuti jururawat sebanyak 32% dan pengurus 28% (Bubb & Earley, 2004).

Ekspektasi masyarakat terutamanya ibu bapa terhadap guru sangat tinggi dan mereka menaruh harapan yang sangat tinggi terhadap anak-anak mereka untuk mencapai kecemerlangan akademik, kokurikulum dan pembentukan sahsiah yang tinggi. Jadi, guru sebagi penjana pembina masyarakat berilmu dan bertamadun merupakan elemen penting dalam pendidikan berkualiti. Hanya guru yang berprestasi tinggi akan dapat menjiwai sepenuhnya profesion keguruan boleh menghasilkan pendidikan yang berkualiti.

2.1 MODEL BEBAN TUGAS

Beban tugas merujuk kepada tanggungjawab yang mesti dipikul dan dilakukan oleh para guru sama ada tanggungjawab di dalam bilik darjah atau pun di luar bilik darjah untuk menyelesaikan segala tugas. Beban tugas boleh diukur dengan melihat jumlah masa yang diperuntukan bagi menyelesaikannya. Model yang digunakan dalam kajian beban tugas guru ialah Work Allocation Models (WAMs). WAMs ditakrifkan sebagai model yang mengandungi peruntukan atau formula untuk memperuntukkan kerja dan termasuklah had untuk jumlah kerja yang diperuntukkan kepada seseorang itu.

Menurut Vardi (2008), dalam kajian beliau di beberapa buah universiti di Australia, beliau telah mendapati bahawa Work Allocation Models (WAMs) yang digunakan boleh mengagihkan beban tugas secara saksama dan mempunyai ketelusan. Walau bagaimanapun, untuk mengatasi beban yang meluas, terdapat keperluan bagi sesebuah organisasi untuk mengkaji faktor-faktor lain, seperti bilangan kakitangan yang ada untuk melaksanakan tugas, kepakaran kakitangan, kemahiran, kelayakan, pengalaman, dan kecekapan. Sehingga kini, ia menunjukkan penggunaan dan proses pembangunan model sebagai penentu utama kejayaan dan keberkesanan WAMs. Walau bagaimanapun, kajian ini menunjukkan kepentingan struktur dan tujuan mereka pada kehidupan bekerja dan kepuasan kedua-dua pengurus dan staf akademik mereka. Penemuan ini menunjukkan bahawa WAMs adalah model yang berstruktur, dengan satu tujuan untuk mengagihkan kerja dengan itu menyebabkan kurangnya rasa tidak puas hati dalam kalangan kakitangan.

3. OBJEKTIF KAJIAN

Kajian ini bertujuan mengenal pasti beban tugas guru KHB berdasarkan empat aspek tugas rasmi guru KHB. Secara khususnya, objektif kajian ini adalah untuk menghuraikan beban tugas guru KHB berdasarkan aspek kurikulum, kewangan, pengurusan dan pentadbiran seta pembangunan fizikal sekolah.

4. METODOLOGI

Kaedah yang digunakan untuk kajian ini adalah kaedah penyelidikan kuantitatif secara tinjauan (survey) dengan menggunakan borang soal selidik. Dalam kajian ini, populasi kajian berfokus kepada guru-guru KHB yang mengajar di sekolah menengah di Negeri Kedah. Bilangan sekolah yang terdapat di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Negeri Kedah ialah 182 buah sekolah menengah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Menengah Vokasional, Sekolah Menengah Teknik, Sekolah Menengah Agama, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Model Khas dan Sekolah Menengah Agama (SABK). Jumlah bilangan guru yang mengajar di sekolah menengah di negeri ini ialah terdiri daripada 4704 guru lelaki dan 9038 orang guru perempuan dengan jumlah keseluruhan seramai 13742 orang. Bilangan guru yang mengajar KHB sekolah menengah terdiri daripada 1087 orang lelaki dan perempuan termasuk guru opsyen dan bukan opsyen. Kajian ini akan ditumpukan kepada Sekolah

Menengah Kebangsaan, Sekolah Menengah Agama, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Model Khas dan Sekolah Menengah Agama (SABK) sahaja dan tidak termasuk Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional. Jumlah sekolah tersebut ialah 166 buah yang terdapat di Negeri Kedah. Dalam kajian ini, populasi kajian ialah 1087 orang guru KHB yang mengajar di 166 buah sekolah menengah di Negeri Kedah. Beban tugas guru KHB diukur menggunakan soal selidik yang diubahsuai daripada Kajian Tugas dan Tanggungjawab Guru (KPM, 2007). Soal selidik ini meminta responden menyatakan kekerapan sesuatu tugas itu dilakukan dalam sesuatu tempoh dan jumlah masa yang diperlukan untuk menyiapkan tugasan tersebut. Beban tugas guru dihitung dengan menjumlahkan masa yang terlibat dan dilaporkan dalam bentuk jam seminggu.

Dalam dokumen PELAKSANAAN SISTEM LATIHAN DUAL NASIONAL (1) (Halaman 188-194)