• Tidak ada hasil yang ditemukan

DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN i. Elemen kemahiran komunikasi

Dalam dokumen PELAKSANAAN SISTEM LATIHAN DUAL NASIONAL (1) (Halaman 177-184)

INSTITUSI TEKNIKAL: SATU KAJIAN KES

7. DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN i. Elemen kemahiran komunikasi

Creswell, (2005) pula berpandangan temubual adalah satu kaedah untuk mendapatkan data secara berhubung terus dengan responden secara bersemuka, menggunakan telefon atau email Antara kelebihan kaedah temubual, pengkaji akan memperolehi data yang lebih mendalam dan terperinci yang tidak dapat diperolehi daripada soal selidik seperti respon tingkah laku, menerangkan perkara yang tidak difahami dan memperoleh maklumat luar jangkaan yang dapat membantu menyelesaikan masalah kajian (Najib 1999).

Kesahan konstruk instrumen kajian ini telah dilakukan oleh lima orang pakar dalam bidang teknikal dan vokasional (empolyability). Pengubahsuaian item-item instrumen dilakukan mengikut komen pakar dan kajian rintis. Dalam kajian ini pengkaji menggunakan temubual separa struktur dengan menyediakan soalan dan merakam serta menulis jawapan yang diberikan oleh responden mengenai persepsi pensyarah terhadap kemahiran empolyability

pelajar. Dalam kajian ini penyelidik menemu bual responden yang terdiri daripada pensyarah dengan cara mengajukan soalan-soalan yang spesifik kepada responden melalui membaca daripada sesuatu senarai soalan yang telah tersedia. Walau bagaimanapun, penyelidik tidak hanya terikat dengan soalan tersebut malah penyelidik boleh mengemukan soalan-soalan secara bebas dan releven semasa sesi temubual dijalankan. Penyediaan soalan-soalan yang lebih awal akan menjadikan perbualan yang lebih fokus dan mudah dianalisis.

6. ANALISIS DATA

Transkrip temubual dihasilkan berdasarkan temubual yang dijalankan Data temubual dianalisis berdasarkan kepada tema-tema yang terdapat dalam temubual bagi menjawab soalan yang dikemukakan. Seterusnya data temubual dianalisis dengan mengguna pendekatan Bogdan dan Biklen (1992) yang melibatkan proses pengurangan data, mempamer data dan membuat kesimpulan.

7. DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN

i. Elemen kemahiran komunikasi

Hasil temu bual penyelidik dengan pensyarah kejuruteraan Institusi teknikal menunjukkan pelajar Institusi teknikal boleh berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Melayu tetapi lemah ketika berbahasa Inggeris. Hasil temu bual yang mengambarkan tahap kemahiran berkomunikasi pelajar dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris adalah seperti berikut.

…dalam Bahasa Melayu mungkin ya tapi dalam Bahasa Inggeris boleh saya jangkakan masih lemah lagi (P2).

Hasil daripada temu bual ini juga menunjukkan ada pensyarah tidak berpuas hati dengan kemahiran berkomunikasi pelajar semasa melakukan pembentangan. Pelajar tidak dapat berkomunikasi dengan baik ketika sesi soal jawab dijalankan.

…buat presentation untuk setiap tugasan-tugasan yang diberikan, dari situ pun boleh nampak lah tahap komunikasi dia orang, tahap dia orang boleh perform benda tu, dan dari segi bila kita bersoal jawab tanya dalam kelas pun tak berapa sangat dia orang respond kepada apa yang kita tanya, banyak diam daripada menjawab (P3)

Di samping itu, hasil dapatan daripada temu bual ini juga menunjukkan kebolehan berkomunikasi dalam kalangan pelajar dipengaruhi oleh latihan industri dan persekitaran institusi teknikal.

…dia dah keluar praktikal, dia punya confident level quite good la (P4).

…institusi teknikal A dan institusi teknikal B tidak semestinya sama kadang-kadang dominan kepada institusi teknikal A kerana dia punya bagaimana dibentuk dia punya persekitaran, tak sama memang kita akan pergi kita jumpa perbezaan yang ketara la (P6).

ii. Elemen kemahiran kerja berpasukan

Hasil daripada temu bual mendapati kebanyakan pensyarah bersetuju bahawa pelajar institusi teknikal boleh bekerjasama sebagai satu pasukan ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Pelajar dapat bekerjasama dalam melakukan tugasan dan amali berdasarkan temu bual ini:

...dalam bengkel ataupun dalam kelas biasa sebab kalau dalam bengkel kita memang terapkan dalam bentuk kumpulan, ada mereka boleh bekerja dalam kumpulan dengan baik , dapat buat assignment dengan baik, dapat buat report dengan baik (P1).

Pensyarah juga memberi pandangan pelajar Institusi teknikal, boleh bekerjasama sesama rakan jika diberi panduan dan pemantauan seperti hasil temu bual;

… dia orang bekerjasama apabila ada seorang pensyarah yang memantau, tapi apabila kita lepaskan sahaja memang diorang ada konflik (P6).

Namun terdapat sesetengah pelajar yang tidak memberi kerjasama kepada ahli kumpulan seperti bukti temu bual di bawah.

…ada juga yang kurang memberi komitmen, mengelat semua tu… (P3)

Hasil daripada temu bual mendapati kebanyakan pensyarah memberi pandangan bahawa pelajar institusi teknikal mempunyai kebolehan memimpin ketika proses pengajaran dan pembelajaran berdasarkan temu bual ini:

...wakil-wakil kelas, dia boleh uruskan kelas dia , lepas tu dalam kumpulan ia ada ketua kumpulan, ada projek kumpulan, kumpulan makmal dia ada kumpulan dia. Dia boleh agihkan tugas, kemudian projek dia ada kumpulan dia dalam projek tu pilihan dia lah dia boleh uruskan (P5).

Selain memimpin di dalam kelas, hasil temu bual dengan pensyarah menunjukkan ada pelajar berkebolehan menjadi pemimpin ketika menyertai pertandingan di luar institusi teknikal.

...pertandingan kemahiran Malaysia yang baru –baru ni, so kita adalah satu-satunya jabatan yang menghantar penyertaan dalam tu dan mempunyai team leader dalam kumpulan tu. Memang terserlahlah (P4).

Pensyarah juga memberi pandangan, pelajar institusi teknikal boleh memimpin jika diberi kepercayaan dan bimbingan.

…mempunyai kebolehan memimpin tetapi mereka haruslah di beri peluang kepercayaan lah untuk mereka menggerakkan kepimpinan mereka (P2).

Sesetengah pensyarah memberi pandangan ada pelajar tidak berminat menjadi pemimpin serta tidak berminat menganjur program atau aktiviti. Pelajar institusi teknikal lebih suka dipimpin dan tidak mahu mengambil tahu hal-hal yang berkait dengan kepimpinan.

…dia tak nak jadi pemimpin.. ada juga segelintir tapi kebanyakan dia, dia mintak orang lain dulu (P1).

iv. Elemen kemahiran etika dan moral

Hasil daripada temu bual mendapati pensyarah memberi pandangan terdapat segelindir pelajar institusi teknikal tidak mematuhi peraturan seperti etika berpakaian. Hasil temu bual ini telah membuktikan pendapat penyelidik.

…sudut etika berpakaian ataupun etika peraturan yang ditetapkan oleh institusi teknikal saya rasa ada juga la 20% mungkin pun menentang peraturan-peraturan (P2).

Pensyarah berpendapat perlanggaran peraturan di kalangan pelajar di sebabkan oleh penghayatan agama dan sikap pelajar. Hasil temu bual di bawah membuktikan kekuatan pegangan aqidah akan mempengaruhi akhlak dan sikap seseorang.

…bermasalah dari sudut kekuatan akhlak , dari sudut kefahamannya terhadap agama tu sendiri, jadi bila benda semua ni kurang, ia sangat mempengaruhi la, disiplin diri sangat mempengaruhi la (P3).

Kebanyakan pensyarah berpandangan, pelajar institusi teknikal mempunyai etika dan moral dari segi penampilan diri, berpakaian dan mengamalkan tingkah laku yang baik seperti bukti berikut.

...mereka memberi etika dan moral yang baik, salah satu contohnya mereka ,memberi salam, menegur kita kalau berjumpa, habis kelas bersalam-salaman dengan pensyarah, bila kita tegur pun dia orang boleh terima (P1).

v. Elemen kemahiran kerohanian

Hasil daripada temu bual mendapati kebanyakan pensyarah berpandangan bahawa pelajar institusi teknikal boleh mematuhi ajaran agama seperti menunaikan solat bagi yang beragama Islam. Pelajar yang bukan beragama Islam mematuhi ajaran agama seperti hasil temubual menyatakan:

…kalau kelas sampai pukul 6 , dia kata nak solat. Kalau yang bukan Islam tiada masalah (P8).

Sesetengah pensyarah memberi pandangan terdapat juga pelajar yang tidak mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya seperti berpacaran dan tidak menutup aurat.

… tapi dari segi penjiwaan kendiri tu masih lemah di kalangan mereka . Contoh couple, dari segi tutup aurat, kalau di institusi mungkin tutup aurat tapi mungkin di luar dia seperti sedia kala lah (P2).

vi. Elemen kemahiran pembelajaran sepanjang hayat dan pengurusan maklumat

Hasil daripada temu bual mendapati kebanyakan pensyarah berpandangan bahawa pelajar institusi teknikal berminat untuk belajar sesuatu yang baru semasa proses pengajaran dan pembelajaran seperti hasil temubual berikut:

...pelajar kita suka kalau ada sesuatu yang baru contohnya kalau dalam projek macam kita guna PIC mereka memang suka nak cuba benda tu (P9).

Pensyarah juga berpendapat, sebahagian lulusan institusi teknikal akan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Ini dapat dinyata melalui temu bual yang dijalankan.

Kebanyakkan pelajar yang saya ajar memang further study dan kebanyakkan further study (P7).

Terdapat juga pelajar institusi teknikal, hanya menunjukkan minat pada pembelajaran sesuatu yang baru pada tahap sederhana. Mereka tidak menunjukkan kerterujaan ingin tahu sesuatu yang baru seperti temu bual ini.

…apabila kita cuba nak expose kepada benda yang baru, penerimaannya biasa tidak terlalu nampak sangat dia orang berminat, pada tahap sederhana sahaja la (P3).

Walaubagaimanapun, terdapat pensyarah yang tidak berpuas hati dengan pelajar institusi teknikal yang mana tidak ada proaktif dan hanya mengharap input dari pensyarah sahaja. Sebahagian pelajar institusi teknikal yang hanya mengharap dan menerima apa sahaja yang diberi oleh pensyarah dan rakan-rakan, tiada inisiatif untuk meneroka sesuatu yang baru seperti hasil temu bual berikut.

..tak banyak la, banyak yang kita kata spoon fit (P5).

Dari segi pengurusan maklumat berkaitan pembelajaran, sebahagian pensyarah berpendapat pelajar institusi teknikal boleh menguruskannya tetapi perlu kepada garis panduan, seperti hasil temubual berikut;

...pengurusan maklumat ni data-data ataupun dokumentasi saya lihat sederhana la mereka tidak terlalu mahir tidak terlalu lemah, tapi sekiranya kita berikan satu guideline ataupun garis panduan mereka mampu melakukannya (P2).

Terdapat juga pelajar yang berkebolehan mencari bahan tapi tidak berupaya mengolahkan maklumat. Hasil temu bual ini membuktikan pendapat penyelidik.

maklumat untuk diaorang tiada masalah , memang tahu menggunakan IT, so maklumat yang dia orang dapat tu memang banyak , tapi dia orang tidak tahu mengembangkan maklumat tersebut (P7).

Kebanyakan pensyarah berpandangan, kebolehan pelajar mengumpul maklumat berada pada tahap sederhana dan perlu dimantapkan lagi.

...boleh mengumpul maklumat , tapi ada certain-certain part tu dia menyampaikan kurang. Boleh diasah lagi, untuk mencari maklumat mahir (P9).

Namun, pelajar yang telah tamat menjalani latihan industri memiliki pengurusan maklumat lebih kemas serta teratur berbanding pelajar yang belum menjalani latihan industri, seperti hasil temu bual berikut:

kumpulan yang telah pergi latihan industri dan yang belum kita kena buat perbezaan dari segi dia menghantar laporan, bentuk tugasan. Biasanya dia pergi latihan industry maksudnya dia terdedah dengan persekitaran bekerja , dari segi tugasan tu dia titik beratkan la. Contoh kalau dia buat pembentangan pun , dari segi slide presentation , laporan pun memang kita kata ada sesuatu yang menarik la (P6).

vii. Elemen kemahiran pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah

Melalui temu bual yang dijalankan didapati kebanyakan pensyarah memberi pandangan pelajar institusi teknikal tidak berupaya mengeluarkan idea, mengembangkan serta membayangkan sesuatu semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Ini dibuktikan dengan temu bual di bawah:

…berdasarkan apa yang dia orang perform dalam P&P memang tak ada Nampak sangat dia orang just ambil sahaja apa yang kita bagi dan tidak ada pengembangan lah apa yang kita bagi tu (P3)

Terdapat juga pensyarah yang berpendapat pelajar institusi teknikal berupaya mengeluarkan idea tetapi perlu diselia oleh pensyarah.. Pelajar perlu menunjukkan minat serta di beri peluang dan pendedahan seperti kata mereka;

…sebenarnya pelajar ni memang mempunyai kreativiti yang memang kita tak jangka, dan dia boleh buat sesuatu yang sangat berkualiti (P6).

Terdapat pensyarah yang berpendapat pelajar institusi teknikal boleh menyelesaikan sesuatu permasalahan jika di beri panduan seperti kata mereka.

Perlu bagi guide line, kita kena jadi fasilitator untuk bantu dia. Kalau suruh buat sendiri, tak jalan (P8).

Semasa amali, ada setengah pelajar yang boleh menyelesaikan sesuatu perkara tanpa diberi tunjuk ajar dan setengah pelajar tidak boleh seperti kata mereka.

…masa P&P di bengkel berlaku lah, ada setengah pelajar tu dia boleh menyelesaikan sesuatu perkara tanpa kita ajar dia, dia kreatif untuk selesaikan. Ada setengah tu tak boleh, ada yang kreatif ada yang tak kreatif (P1).

viii. Elemen kemahiran menggunakan teknologi

Melalui temu bual yang dijalankan didapati pensyarah berpandangan pelajar institusi teknikal berkebolehan serta minat menggunakan teknologi semasa melakukan seperti kata mereka:

Kalau kita suruh mereka buat satu tugasan yang melibatkan teknologi contohnya laman sosial ataupun video dan sebagainya saya nampak pendedahan ataupun penghasilan kerja-kerja mereka sangat mengkagumkan (P2).

Penggunaan teknologi bergantung kepada jenis teknologi samada berbentuk pendidikan atau hiburan dan juga minat pelajar. Pelajar yang minat untuk mendalami sesuatu teknologi maka dia akan mahir menggunakan teknologi tersebut. Ini dibuktikan melalui temu bual ini.

...dia cepat dapat sebab teknologi tu dia banyak entertainment. kalau teknologi yang dari segi P&P ni yang tu tak semua boleh catch up dengan bagus la kalau kita dedahkan teknologi untuk pengajaran pembelajaran ni, ada yang tak berminat langsung pun ada. jadi dia depends la tahap penggunaan skill tu, mana yang dia minat, dia concern dia dapat la, jadi bergantung kepada sejauh mana dia fokus (P3).

ix. Elemen kemahiran keusahawanan

Melalui temu bual yang dijalankan mendapati pensyarah berpendapat hanya segelintir pelajar kejuruteraan Institusi teknikal yang minat dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti keusahawanan, seperti mana pandangan pensyarah di bawah:

…pelajar kejuruteraan dia tidak ada kecenderungan tapi mungkin ada la seorang dua yang ada buat bisnes topup, yang sambung belajar ada buat bisnes kereta sewa, memang ada la tapi dia tidak jadi dominan, kita tengok pun minority sebab latar belakang pun kalau dikaji pun biasanya kejuruteraan orang kata jiwanya ke arah lain lah ke arah praktikal (P6).

Sesetengah pensyarah berpendapat, tawaran kursus keusahawanan kepada pelajar perlu diperbanyakkan bagi menarik minat pelajar menceburi bidang keusahawanan. Ini jelas melalui temu bual ini.

…cuba tawarkan kursus sebab hari tu pun saya ada dengar cuba dapatkan pelajar untuk diberi pendedahan dalam bidang keusahawanan ni…(P3).

Kesimpulannya, kebanyakan pensyarah berpandangan pelajar institusi teknikal tidak berminat menceburi bidang keusahawanan berbanding dengan kerja makan gaji. Hanya segelintir pelajar yang berminat menjadi usahawanan. Pensyarah juga berpendapat pihak pengurusan institusi teknikal perlu memperbanyak kursus-kursus yang berkaitan dengan keusahawanan bagi menarik minat pelajar menceburi bidang keusahawanan.

Melalui temu bual yang dijalankan mendapati pensyarah berpendapat pelajar institusi teknikal boleh berhubung dan bergaul dengan rakan dengan baik. Ini jelas melalui temu bual ini.

…tak ada masalah dari segi sosial, mereka boleh bercampur dengan baik , bergaul dengan baik, tak ada masalah (P1).

Sesetengah pelajar institusi teknikal mempunyai kemahiran sosial yang baik dengan rakan tetapi mempunyai hubungan dengan komuniti luar pada tahap sederhana seperti temu bual di bawah.

Walau bagaimanapun di peringkat komuniti kita lihat senario sekarang average lah. Sekarang ni kita sedang meningkat dari sederhana kepada baik (P4).

Pensyarah juga berpendapat pelajar institusi teknikal boleh melibatkan diri dengan komuniti dengan baik jika ia melibatkan aktiviti gotong royong serta aktiviti kemasyarakatan, akan tetapi jika ia melibatkan aktiviti keagamaan pelajar kurang melibatkan diri. Ini dinyatakan oleh pensyarah melalui temu bual.

…di tempat kediaman mereka di rumah sewa lah ya mungkin kalau macam gotong royong ataupun aktiviti-aktiviti sosial bersama masyarakat, saya nampak mereka berjaya menjalinkan hubungan yang baik lah dan sekali lagi kalau macam keagamaan mereka kurang sikit bergaul (P2).

Sesetengah pensyarah berpendapat pelajar lebih terpengaruh dengan aktiviti sosial yang tidak sihat berbanding yang memberi manafaat. Ini jelas melalui temu bual ini.

... mahir yang membawa kepada impak yang positif tu memang kurang la, sosial yang lain tu banyak la yang tidak sihat tu... (P3).

Secara keseluhannya dapatan temubual menunjukkan latihan industri dan persekitaran institusi teknikal mempengaruhi tahap kemahiran berkomunikasi pelajar institusi teknikal. Bagi memantapkan lagi penguasaan kemahiran berkomunikasi terutamanya dalam Bahasa Inggeris, pihak pengurusan institusi teknikal seharusnya memberi tumpuan terhadap interaksi rakan, interaksi pensyarah serta menambahbaik pelaksanaan latihan industri institusi teknikal. Kemahiran kerja berpasukan dalam kalangan pelajar institusi teknikal harus diberi panduan dan dipantau bagi memantapkan lagi kemahiran kerja berpasukan dalam kalangan pelajar. Kemahiran kepimpinan dalam kalangan pelajar institusi teknikal tidak begitu menyerlah, pihak pengurusan institusi teknikal seharusnya memperbanyakkan aktiviti-aktiviti seperti pengucapan awam, pertandingan debat atau syarahan, kursus kepimpinan dan sebagainya bagi mencungkil serta mengilap bakat-bakat kepimpinan dalam kalangan pelajar. Pengetahuan serta pengalaman agama dalam kalangan pelajar perlu dipertingkatkan bagi membendung tingkah laku kurang sopan, pergaulan bebas serta mendedah aurat. Pihak pengurusan institusi teknikal perlu memperbanyakkan kuliah-kuliah agama, seminar-seminar keagamaan bagi memantapkan penghayatan agama dalam kalangan pelajar.

Kemahiran pengurusan maklumat dan penyelesaian masalah perlu diberi perhatian yang serius, pelajar perlu didedahkan dengan pembelajaran kendiri bagi membolehkan pelajar berupaya mengeluarkan idea serta berkebolehan menyelesaikan sesuatu masalah. Bagi kemahiran keusahawanan pula, penganjuran seminar, kursus serta bengkel keusahawanan perlu diperbanyakkan dan dimantapkan bagi memupuk minat serta mengasah bakat-bakat keusahawanan dalam kalangan pelajar. Penonjolan ini penting untuk mendedahkan kepada pelajar mengenai kelebihan bekerja sendiri dan terlibat dalam bidang

keusahawanan (Nurulhuda dan Ramlee, 2009). Kemahiran sosial dalam kalangan pelajar perlu dipertingkatkan lagi terutama yang melibatkan komuniti luar. Pihak institusi teknikal seharusnya memperbanyakkan lagi program-program yang melibatkan pelajar dan masyarakat antaranya gotong royong, program anak angkat dan sebagainya. Oleh itu, institusi perlu mengalakkan suasana pembelajaran melibatkan semua pelajar bagi membolehkan pembangunan kemahiran empolyability dapat dijanakan.

Dalam dokumen PELAKSANAAN SISTEM LATIHAN DUAL NASIONAL (1) (Halaman 177-184)