• Tidak ada hasil yang ditemukan

JENIS-JENIS KEMALANGAN DI TEMPAT KERJA

Dalam dokumen Modul GMGM 2023 Pengurusan Sumber Manusi (Halaman 136-141)

SOALAN DALAM TEKS 8

8.4 JENIS-JENIS KEMALANGAN DI TEMPAT KERJA

Berdasarkan sifat kerja dan aturan tempat kerja yang pelbagai, jenis-jenis kemalangan yang berlaku di tempat kerja juga mempunyai variasi. Antara jenis-jenis kemalangan yang mungkin berlaku ialah

(i) Kemalangan yang disebabkan oleh objek yang terjatuh

dari atas;

(ii) Kemalangan yang disebabkan oleh pekerja terpijak atau

terhantuk pada objek;

(iii) Kemalangan yang disebabkan oleh pekerja itu sendiri

terjatuh;

(iv) Kemalangan yang disebabkan pekerja itu sendiri

terperangkap di celah-celah sesuatu objek;

(v) Kemalangan yang disebabkan oleh kejutan elektrik,

letupan, atau kebakaran;

(vi) Kemalangan yang disebabkan oleh pendedahan kepada

bahan-bahan toksid, radiasi atau pencemaran.

8.5 FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA KEMALANGAN

Terdapat tiga faktor penting yang menjadi penyebab kepada berlakunya sesuatu kemalangan iaitu faktor individu, faktor organisasi dan faktor persekitaran.

8.5.1 Faktor Individu

Faktor individu melibatkan ciri-ciri peribadi/masalah-masalah peribadi, tret-tret individu yang cenderung malang, masalah pendengaran/penglihatan, umur, kemahiran persepsi dan motor serta tekanan kerja.

a. Ciri-Ciri Peribadi/Masalah-Masalah Peribadi

Ciri-ciri peribadi biasanya merujuk kepada perkara-perkara yang dikaitkan dengan kecerdasan, motivasi, kemahiran dan pengalaman. Semua ciri-ciri ini mempengaruhi kemungkinan berlakunya kemalangan di tempat kerja. Tingkahlaku yang berpunca dari masalah personaliti dan kurangnya kecerdasan di kalangan pekerja akan mendedahkan pekerja kepada kecederaan dan kemalangan. Sebagai contoh, gagal mematuhi arahan dan ketidakmampuan menumpukan perhatian disebabkan masalah kecerdasan yang lemah. Pekerja yang cepat marah, melakukan tugas sambil lewa ataupun terlalu aktif, tidak ada kemahiran atau pengalaman serta kurang motivasi kerja juga boleh menyumbang ke arah berlakunya kemalangan. Kebarangkalian seseorang itu terlibat dalam kemalangan akan meningkat dengan masalah peribadi yang dihadapi oleh pekerja, misalnya masalah kewangan, hubungan interpersonal dan sebagainya.

b. Tret-Tret Individu yang Cenderung Malang

Terdapat individu yang boleh dikategorikan sebagai individu yang cenderung untuk malang dan mendapat kemalangan. Ini dikaitkan dengan beberapa sifat peribadi atau perwatakan individu yang berlawanan dengan sifat persekitaran kerja dan membuatkan mereka lebih terdedah kepada kemalangan berbanding dengan orang lain. Individu-individu ini kadangkala tidak mempunyai keserasian dengan persekitaran kerja mereka dan menyebabkan kebarangkalian mereka terlibat dengan sesuatu kemalangan adalah tinggi berbanding dengan orang lain. Tret-tret personaliti yang tertentu seperti ketidakstabilan emosi boleh menyumbang ke arah sifat ‘malang’ yang sentiasa dilalui oleh individu tertentu.

c. Masalah Pendengaran/Penglihatan

Penglihatan sering dikaitkan dengan kekerapan berlakunya kemalangan bagi kerja-kerja yang tertentu terutamanya di sektor industri yang memerlukan penumpuan melalui penglihatan. Sebagai contoh, pemandu bas dan operator mesin yang mempunyai daya penumpuan penglihatan yang tinggi mempunyai kadar kemalangan yang rendah berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai daya penumpuan penglihatan yang tinggi. Begitu juga dari segi pendengaran di mana individu yang bebas dari sebarang masalah pendengaran dapat menjalankan kerja dengan lebih baik berbanding dengan individu yang mempunyai masalah pendengaran.

d. Umur

Kemalangan dikatakan sering berlaku di sekitar umur 17 hingga 28 tahun (Dessler, 2001). Selepas dari tahap umur ini, kadar kemalangan dikatakan menurun. Walau bagaimanapun, ini bergantung kepada jenis kerja serta bentuk kerja yang tertentu. Kerja-kerja yang memerlukan pergerakan pantas dan masa reaksi yang cepat mungkin lebih sesuai dilakukan oleh orang yang lebih muda berbanding dengan orang tua.

e. Kemahiran Persepsi dan Motor

Kajian ada menunjukkan sekiranya kemahiran persepsi individu adalah lebih tinggi dari kemahiran motor, pekerja itu dianggap pekerja yang selamat. Ini merujuk kepada individu yang dapat membuat anggaran persepsi tentang sesuatu kejadian dengan lebih rasional. Kemahiran persepsi dikaitkan dengan tahap ‘kepekaan’ terhadap sesuatu keadaan khasnya di tempat kerja.

f. Tekanan Kerja

Tekanan di tempat kerja merupakan satu fenomena yang tidak dapat dielakkan. Ia merupakan reaksi tidak diingini yang melibatkan kelesuan fizikal dan mental disebabkan oleh faktor-faktor psikologikal, sosial, pekerjaan atau rangsangan persekitaran (Goetsch, 2000). Individu yang sering merasa tertekan di tempat kerja tentulah lebih mudah terdedah kepada kemalangan berbanding dengan individu lain. Antara tekanan yang dihadapi di tempat kerja ialah tekanan beban kerja, tekanan masa dan tekanan interpersonal. Apabila individu menghadapi kelesuan fizikal dan mental akibat tekanan, perasaan tertekan dan tegang akan timbul dan akhirnya kemampuan melakukan kerja dengan baik akan hilang dan prestasi kerja akan menurun. Individu mungkin akan menjadi marah, bosan, takut, jemu dan agresif hingga menyebabkan mereka tidak lagi mempedulikan situasi persekitaran. Ini akan meningkatkan kebarangkalian berlakunya kemalangan di tempat kerja. Aspek tekanan akan dibincangkan selanjutnya nanti.

8.5.2 Faktor Organisasi

Faktor organisasi melibatkan sifat sesuatu kerja, jadual sesuatu kerja dan iklim psikologikal.

a. Sifat Sesuatu Kerja

Di antara beratus-beratus jenis pekerjaan yang tersenarai dalam indeks pekerjaan, terdapat pekerjaan yang dianggap lebih merbahaya berbanding

dengan pekerjaan yang lain. Operator pengeluaran yang bekerja di kilang adalah lebih mudah terdedah kepada kemalangan berbanding dengan seorang kerani yang bertugas di pejabat. Begitu juga seorang juruteknik elektrik mungkin lebih bahaya sifat kerjanya berbanding dengan seorang jurutaip. Perbezaan jenis kerja bergantung kepada perbezaan kerja yang terlibat seperti peralatan yang digunakan, mesin yang perlu dikawal, reka bentuk tempat kerja dan sebagainya. Sebagai contoh, dalam industri perkilangan, sesebuah Jabatan Akaun tentulah akan mempunyai kadar kemalangan yang lebih rendah dari Jabatan Kejuruteraan di kilang tersebut.

b. Jadual Sesuatu Kerja

Jadual kerja adalah berbeza mengikut jenis kerja yang tertentu. Sama ada seseorang itu bekerja pada waktu siang atau malam hari, ini akan mempengaruhi tahap beban mental dan fizikal yang terpaksa diharunginya. Justeru itu, dikatakan bahawa kemungkinan berlakunya kemalangan biasanya stabil pada lima atau enam jam pertama bekerja, tetapi kadar kemungkinan ini akan meningkat selepas tempoh tersebut. Hal ini mempunyai kaitan dengan faktor keletihan yang dialami oleh pekerja.

c. Iklim Psikologikal Organisasi

Organisasi yang mempunyai masalah dalaman di mana timbulnya rasa tidak puas hati di kalangan pekerja terhadap organisasi akan menyebabkan pekerja lebih terdedah kepada kemalangan. Konflik dengan pihak pengurusan, piket dan mogok boleh mempengaruhi kadar kemalangan di organisasi. Sebaliknya, jika iklim organisasi adalah baik dan pekerja dapat bekerja dengan harmoni dan sejahtera, kemungkinan berlakunya kemalangan adalah rendah kerana pekerja akan mempunyai motivasi dan semangat kerja yang tinggi serta sentiasa berwaspada supaya mereka boleh terus bekerja untuk organisasi.

8.5.3 Faktor Persekitaran

Faktor persekitaran merangkumi situasi dan keadaan tidak selamat, kecerahan, suhu, kebisingan dan reka bentuk tempat kerja.

a. Situasi dan Keadaan Tidak Selamat

Situasi atau keadaan tidak selamat merujuk kepada situasi tempat kerja yang secara langsung mendedahkan pekerja kepada kemalangan seperti

(i) Peralatan yang tidak diselenggara dengan baik;

(iii) Kawasan kerja yang sesak;

(iv) Prosedur kerja yang merbahaya;

(v) Kawasan kerja yang licin; dan

(vi) Kurangnya peralatan keselamatan.

b. Kecerahan

Kecerahan yang sesuai adalah penting untuk kerja yang berbeza bagi tujuan penumpuan dan sebagainya. Selain itu, ia juga dapat mempengaruhi prestasi kerja. Sebagai contoh, penggunaan lampu kalimantang ataupun lampu halogen kuning mempunyai kesan yang berbeza ke atas jenis kerja yang berbeza.

c. Suhu

Persekitaran kerja yang terlalu sejuk dan terlalu panas boleh mempengaruhi cara individu bekerja. Suhu yang terlalu sejuk akan menimbulkan masalah penumpuan terhadap kerja di mana pekerja akan menghadapi masalah untuk menumpukan perhatian kepada kerja

mereka. Tiadanya perimbangan thermal di antara persekitaran dan tubuh

akan menyebabkan individu merasa tidak selesa. Begitu juga jika suhu adalah terlalu panas tanpa sistem peredaran udara yang sesuai.

d. Kebisingan

Pengeluaran bunyi bising yang berlebihan boleh memberi kesan kepada pendengaran. Kilang-kilang yang mempunyai tahap bunyi yang tinggi akan memberi kesan ke atas tingkahlaku pekerja dan seterusnya mendedahkan mereka kepada kemungkinan terlibat dalam apa-apa kemalangan, sama ada kecil atau besar. Faktor-faktor yang menentukan pengaruh bunyi terhadap pekerja ialah kekerapan bunyi, kesinambungan bunyi, jenis bunyi, jenis tugas dan tahap kesukaran tugas yang dilakukan.

e. Reka bentuk Tempat Kerja

Terdapat persekitaran kerja yang tidak kondusif dari segi aturan ruang pejabat dan saiz. Faktor-faktor ini mempunyai kaitan dengan aspek kesesakan di tempat kerja yang mendedahkan pekerja kepada persekitaran yang tidak selamat. Sebagai contoh, timbunan fail yang banyak kadangkala diletakkan di tempat atau lorong yang sepatutnya menjadi tempat lalu lalang ataupun di depan pintu kecemasan. Ini akan menjadi penghalang kepada pergerakan pekerja dan meningkatkan kebarangkalian berlakunya kecederaan atau kemalangan.

SOALAN DALAM TEKS 8.2

1. Senaraikan faktor-faktor individu yang boleh

menjadi penyebab kepada sesuatu kemalangan di tempat kerja.

2. Bagaimanakah faktor suhu boleh menyumbang ke

arah berlakunya kemalangan?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

Dalam dokumen Modul GMGM 2023 Pengurusan Sumber Manusi (Halaman 136-141)