• Tidak ada hasil yang ditemukan

MENINGKATKAN KESELAMATAN DI TEMPAT KERJA

Dalam dokumen Modul GMGM 2023 Pengurusan Sumber Manusi (Halaman 143-147)

Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya kemalangan di tempat kerja. Antaranya ialah

a. Memantapkan Proses Pemilihan Personel

Bagi mengelakkan organisasi mengambil pekerja yang tidak sesuai dengan tugas yang akhirnya mungkin menyebabkan mereka lebih terdedah dengan kemalangan, organisasi perlulah memastikan pekerja mempunyai kelayakan yang sesuai di peringkat pengambilan awal. Prosedur pemilihan perlulah diperkemaskan supaya hanya pekerja yang benar-benar layak dipilih. Oleh itu, pemilihan yang rapi perlulah dilakukan.

b. Menyimpan Rekod dan Fail Kemalangan

Organisasi perlu menyimpan rekod-rekod dan statistik kemalangan dengan baik dan memastikan supaya setiap kemalangan dilaporkan. Analisis dibuat terhadap jumlah kemalangan yang berlaku dan letakkan matlamat untuk mengurangkan jumlah tersebut pada masa depan. Sebarang kemalangan yang berlaku boleh dirujuk kepada fail-fail terdahulu untuk memudahkan siasatan.

c. Pemeriksaan Persekitaran Kerja dan Keselamatan Pekerja

Persekitaran kerja perlu diperiksa selalu bagi menentukan ia selamat terutamanya mesin dan alatan yang digunakan. Perlu ada senarai semakan (checklist) yang bertujuan untuk menentukan semua peralatan berada dalam keadaan yang baik. Pemeriksaan kesihatan yang lebih kerap untuk pekerja juga perlu diadakan terutamanya bagi pekerja yang terdedah kepada bahan-bahan toksid, radioaktif, debu, asap, bahang, bahan-bahan kimia atau gegaran berlebihan.

d. Latihan Keselamatan

Sentiasa jalankan latihan-latihan keselamatan yang melibatkan pekerja. Penggunaan alat-alat pemadam api, topeng gas, topi keselamatan dan kasut yang sesuai merupakan intipati bentuk latihan ini. Pekerja perlu didedahkan dengan penggunaan alatan dan aktiviti keselamatan dengan jelas. Program orientasi pekerja baru sepatutnya menerapkan latihan keselamatan sebagai sebahagian dari aktiviti orientasi.

e. Menguatkuasakan Peraturan Keselamatan

Kadangkala terdapat peraturan-peraturan yang jelas mengenai prosedur keselamatan tetapi tidak dikuatkuasakan oleh organisasi. Ini menyebabkan pekerja tidak mengendahkan peraturan-peraturan yang ada dan menyebabkan mereka tidak mematuhi prosedur. Kemalangan lebih mudah berlaku sekiranya larangan terhadap sesuatu peraturan tidak diberi perhatian. Larangan kawasan merokok, penggunaan topi keselamatan, kasut keselamatan, petanda garisan bahaya berwarna perlu dikuatkuasakan dengan jelas dan penalti diberikan kepada pekerja yang tidak mematuhi arahan yang dipaparkan.

f. Jawatankuasa Keselamatan dan Komitmen Pengurusan Atasan

Sebuah jawatankuasa khas mengenai keselamatan perlulah diwujudkan untuk merangka polisi-polisi dan program-program keselamatan. Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab menyelia peraturan-peraturan keselamatan. Jawatankuasa ini hendaklah melibatkan semua pihak iaitu pihak pengurusan tertinggi, pengurusan biasa dan pekerja bawahan. Perkhidmatan ahli-ahli jawatankuasa keselamatan perlu diiktiraf oleh organisasi bagi menampakkan kepentingannya melalui pemberian sijil atau surat penghargaan.

Pihak pengurusan atasan perlulah terlibat secara langsung sebagai ahli dan memberikan komitmen terhadap hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan organisasi melalui penglibatan dalam jawatankuasa ini.

Mereka seharusnya merancang aktiviti-aktiviti keselamatan dan memantau perkembangannya. Perhatian juga harus diberikan kepada soal-soal keselamatan dalam perbincangan dan mesyuarat yang diadakan. Dengan penglibatan langsung pihak pengurusan atasan, pekerja diharapkan akan lebih peka terhadap aspek-aspek keselamatan.

SOALAN DALAM TEKS 8.4

1. Apakah yang dimaksudkan dengan menyimpan

rekod dan fail kemalangan sebagai satu langkah mengelakkan kemalangan?

2. Kenapakah peraturan-peraturan keselamatan perlu

dikuatkuasakan?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

8.8 KESIHATAN PEKERJA

Kemalangan dan kecederaan di tempat kerja mempunyai hubungan yang rapat dengan tahap kesihatan pekerja. Pekerja yang sihat akan kurang terdedah kepada kemalangan dan akan menyumbang ke arah produktiviti organisasi. Pekerja yang sihat bermakna penjimatan dari segi kos perubatan dan kos produktif yang melibatkan cuti sakit dan ketidakhadiran. Kesihatan pekerja bukan hanya merujuk kepada kesihatan fizikal tetapi juga kesihatan mental yang merupakan antara elemen penting yang menentukan tahap kesihatan seseorang.

Terdapat beberapa cara untuk mempromosikan kesihatan yang baik bagi pekerja di organisasi. Program-program kesihatan yang disediakan oleh organisasi boleh menjadi pemangkin ke arah mewujudkan satu komuniti pekerja yang sihat dan dapat menyumbang ke arah peningkatan produktiviti dan prestasi organisasi.

8.9 PROGRAM-PROGRAM KESIHATAN DI TEMPAT

KERJA

Organisasi boleh mewujudkan sendiri program-program kesihatan di tempat kerja sebagai satu usaha untuk meningkatkan kecergasan pekerja. Antara program-program yang boleh dijalankan ialah seperti aktiviti riadah, senaman dan sukan, mengadakan ceramah/bengkel kesihatan serta mengadakan kempen gaya hidup sihat.

a. Aktiviti Riadah, Senaman dan Sukan

Aktiviti riadah yang sesuai boleh dianjurkan oleh organisasi sama ada dalam bentuk aktiviti dalaman atau aktiviti luaran. Organisasi mungkin boleh mengadakan lawatan perkelahan yang memasukkan program riadah seperti sukaneka, sukan beragam dan sebagainya. Dengan cara ini, pekerja akan dapat merehatkan minda di samping mewujudkan sifat harmoni sesama pekerja. Program-program sukan antara jabatan atau dalam jabatan patut digalakkan supaya pekerja dapat mengambil bahagian. Dengan cara ini, pekerja dapat melibatkan diri dalam aktiviti sampingan di samping mengekalkan kesihatan. Kelas-kelas aerobik boleh diadakan sebagai sebahagian dari aktiviti kecergasan. Organisasi boleh memberi subsidi yuran terhadap aktiviti ini atau menaja terus kelas-kelas ini secara percuma.

b. Mengadakan Ceramah/Bengkel Kesihatan

Sebagai sebahagian dari program kesihatan pekerja, ceramah atau bengkel mengenai kesihatan pekerja boleh diadakan. Pihak organisasi boleh menjemput pakar perubatan atau pakar pemakanan bagi memberikan ceramah mengenai penyakit-penyakit yang mempunyai kaitan dengan pemakanan. Sebagai contoh, ceramah tentang tekanan darah tinggi, penyakit kencing manis, penyakit jantung dan kegemukan. Selain itu, bengkel dan ceramah mengenai isu-isu semasa seperti Hepatitis B, HIV dan dadah juga boleh diadakan bagi meningkatkan kesedaran pekerja tentang gaya hidup sihat. Ceramah dan bengkel ini boleh juga disusuli dengan aktiviti pemeriksaan perubatan percuma seperti pemeriksaan mata, jantung, tekanan darah, paras gula, kolesterol dan gigi.

c. Gaya Hidup Sihat

Pekerja mesti digalakkan mengamalkan gaya hidup sihat. Kempen gaya hidup sihat boleh berbentuk kempen larangan merokok, kempen mengurangkan penggunaan gula dalam makanan dan sebagainya. Untuk mempromosikan gaya hidup sihat, media cetak seperti poster, banner, brosur dan nota pemberitahuan boleh digunakan. Supaya pihak pekerja melibatkan diri dengan program-program sebegini, pihak pengurusan perlulah menyertai kempen yang diadakan dengan memberikan hadiah atau bonus khas untuk pekerja yang dapat berhenti merokok, mengurangkan berat badan dan sebagainya. Pekerja digalakkan membentuk matlamat untuk meningkatkan gaya hidup sihat.

8.10 RUMUSAN

Bab ini telah menerangkan tentang kepentingan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Organisasi perlulah peka terhadap faktor-

faktor yang boleh menyebabkan berlakunya kemalangan di tempat kerja. Faktor-faktor ini mungkin merupakan faktor inidvidu, organisasi atau persekitaran. Di samping itu, tidak dapat dinafikan bahawa tekanan kerja sememangnya memainkan peranan dalam menyumbang ke arah berlakunya kemalangan. Justeru itu, organisasi dan pekerja perlu faham tentang punca dan kesan tekanan yang ada. Produktiviti organisasi tidak dapat ditingkatkan sekiranya kesihatan pekerja berada di tahap yang tidak memuaskan. Oleh itu, panduan-panduan jelas mengenai cara meningkatkan keselamatan di tempat kerja serta program-program kesihatan tertentu boleh dipertimbangkan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang bebas dari kemalangan.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Apakah yang dimaksudkan dengan persekitaran yang tidak

selamat (unsafe conditions) dan tingkahlaku yang tidak selamat

(unsafe acts)?

2. Senaraikan jenis-jenis kemalangan yang boleh berlaku di tempat

kerja.

3. Huraikan apa yang dimaksudkan dengan situasi atau keadaan

yang tidak selamat di tempat kerja?

4. Bagaimanakah pihak pengurusan atasan boleh melibatkan diri

dalam jawatankuasa keselamatan?

5. Huraikan dengan ringkas apa yang dimaksudkan dengan gaya

hidup sihat sebagai satu program kesihatan yang boleh diadakan di tempat kerja.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

Dalam dokumen Modul GMGM 2023 Pengurusan Sumber Manusi (Halaman 143-147)