• Tidak ada hasil yang ditemukan

SENARIO LATIHAN DI SEKTOR AWAM

Dalam dokumen Modul GMGM 2023 Pengurusan Sumber Manusi (Halaman 67-72)

DENGAN FUNGSI SUMBER MANUSIA YANG LAIN

2. Tugas dan KSA

4.4 SENARIO LATIHAN DI SEKTOR AWAM

Aspek latihan dan pembangunan pekerja telah pun mendapat tempat di kalangan organisasi kerja sama ada organisasi awam atau pun swasta. Kesedaran tentang kepentingan latihan terhadap pembangunan organisasi adalah berbeza mengikut organisasi. Sesetengah organisasi amat menitik beratkan aspek latihan dan menjadikannya sebagai budaya. Dalam organisasi sebegini kita akan dapat melihat aspek latihan diberikan penekanan yang cukup kuat dan organisasi tersebut akan mempunyai satu unit khas yang bertanggungjawab terhadap latihan. Sesetengah organisasi lain menjadikan aspek latihan sebagai satu aspek yang perlu diwujudkan hanya ketika mana ada keperluan kepadanya.

Jika dilihat dari sektor awam, kerajaan telah memainkan peranan yang berbagai dalam usaha untuk menyelenggarakan tenaga kerja. Aspek latihan dalam perkhidmatan awam telah pun dikenal pasti sebagai faktor yang dapat mempertingkatkan produktiviti pekerja. Melalui latihan yang diberikan, bilangan pekerja tidak perlu ditambah demi untuk meningkatkan produktiviti. Dengan tanggapan inilah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) diwujudkan pada 1972. INTAN adalah salah satu dari lima bahagian utama di bawah program Operasi Sumber Manusia Sektor Awam di Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. INTAN adalah agensi yang bertanggungjawab menawarkan serta

menyediakan peluang latihan dan peyeliaan latihan (training consultation),

kepada semua jabatan kerajaan (www.intanbk.intan.my - APRIL 2002). INTAN secara umumnya ditubuhkan dengan matlamat untuk memperuntukkan para pentadbir dengan kelengkapan ilmu pengetahuan

bidang pengurusan yang selaras dengan perkembangan masa dan keadaan. INTAN juga bertanggungjawab memastikan bahawa semua latihan yang disediakannya adalah selaras dengan polisi kerajaan. Selaras dengan ciri-ciri umum latihan dan pembangunan (menyediakan peluang untuk idividu menguasai kemahiran serta keupayaan tertentu), INTAN juga meletakkan objektif utamanya terhadap usaha membangunkan sumber manusia di sektor awam kearah kecemerlangan dalam perkhidmatan menerusi latihan. Kecemerlangan dalam perkhidmatan secara langsung akan menyumbang kepada pembangunana nasional. Ruang lingkup latihan yang disediakan oleh INTAN mencakupi beberapa aspek yang dianggap penting seperti TQM dan ISO 9000, pengurusan

aset serta kebertanggungjawaban (asset and accountability management),

merealisasikan wawasan 2020, kepimpinan strategik, profesionalisma dalam latihan, kreativiti, dan lain-lain lagi (www.intanbk.intan.my/ inbrief/priority.htm - APRIL 2002). Penekanan yang khusus diberikan ke atas usaha untuk mempromosikan aspek latihan kepada sektor swasta

menerusi peruntukan manual latihan, latihan kepada jurulatih (trainer’s

training), serta sistem francise latihan. Perkembangan persekitaran sentiasa akan diambil kira sebagai faktor utama pembentukan keperluan latihan dalam INTAN. INTAN juga memberikan penekanan yang amat kuat atas aspek latihan kepada jurulatih dengan menawarkan program pensijilan jurulatih.

Secara khususnya INTAN banyak menawarkan kursus dalam bidang seperti kepimpinan, pengurusan perniagaan serta pembangunan ekonomi, pengurusan teknologi, pengurusan kewangan, kualiti, pembangunan komunikasi dan latihan, pembangunan professional serta

pengurusan persekitaran (www.intanbk.intan.my/COURSES/

COURSES.HTM - APRIL 2002). Setiap kursus akan ditawarkan oleh pusat yang berasingan yang mengkhusus dalam bidang tersebut contohnya Pusat Kepimpinan Lanjutan dan Pembangunan Eksekutif (ALDEC) untuk aspek kepimpinan peringkat atasan dan pertengahan, dan pusat Komunikasi dan Pembangunan Latihan untuk aspek kemahiran dalam bidang komunikasi, pembangunan diri (latihan dari aspek protokol, etiket sosial, serta keterampilan diri), serta aspek memperkenalkan penggunaan serta penguasaan bahasa Inggeris, Arab, Cina, serta Jepun dalam interaksi seharian ataupun dalam aspek perdagangan.

Untuk lebih jelas lagi tentang bentuk kursus yang ditawarkan INTAN, para pelajar akan didedahkan dengan satu kursus umum yang perlu dijalani oleh setiap seorang pekerja sektor awam untuk tujuan pengesahan jawatan mereka. Kursus yang dimaksudkan ialah INDUKSI umum dan khusus. Secara umumnya kursus INDUKSI adalah bertujuan

untuk memberi pendedahan yang selaras kepada semua kakitangan awam sama ada dari kumpulan pengurusan dan professional atau pun sokongan tentang matlamat, keutamaan, serta dasar kerajaan (www.intanbk.intan.my/BAHASA/default.htm - APRIL 2002). Selain daripada itu, kakitangan awam juga akan didedahkan dengan sistem pentadbiran kerajaan yang melibatkan prosedur utama, arahan, panduan serta pekeliling kerajaan. Aspek pengurusan kewangan serta pengurusan akaun negasra juga akan didedahkan kepada mereka. Kursus ini juga bertujuanuntuk memupuk nilai kekitaan di kalangan kakitangan awam. Isi kandungan kursus akan meliputi aspek pembangunan diri serta kumpulan, latarbelakang masyarakat Malaysia dari aspek sosial, dan ekonomi, sistem pentadbiran Negara, pengurusan kewangan dan belanjawan Negara, dasar awam, serta Perintah Am, Arahan Keselamatan dan Pekeliling Kemajuan.

Penumpuan latihan di sektor awam bukan terhad hanya kepada aspek latihan bidang pengurusan sahaja. Ada juga peluang yang diwujudkan untuk aspek latihan berbentuk kemahiran dan vokasional. Selain dari INTAN sebagai agensi induk yang menumpukan perhatian ke atas program latihan pengurusan untuk sektor awam, ada juga agensi atau badan lain yang bertanggungjawab memperuntukkan latihan bagi bidang kemahiran dan vokasional bagi kedua-dua sektor awam dan swasta. Kementerian Sumber Manusia adalah badan lain yang bertanggungjawab secara tidak langsung terhadap aspek latihan apabila ia menumpukan perhatian kepada bidang pembangunan dan pengurusan sumber manusia (www.jaring.my/ksm/bmver/pengenalan.htm - APRIL 2002). Aspek latihan dan pembangunan adalah salah satu dari aspek yang menjadi fokus utama Kementerian ini bertepatan dengan misi utamanya membangunkan tenaga kerja yang kompetitif. Peranan kementerian secara umumnya adalah pada aspek penggubalan dasar tentang keperluan latihan di kedua-dua sektor awam dan swasta, juga aspek pemantauan dan analisis usaha yang dijalankan oleh pelbagai agensi latihan. Kementerian juga bertanggungjawab mengenal pasti keperluan latihan kemahiran mengikut peredaran masa dan perubahan persekitaran. Tersenarai di bawah Kementerian ini jabatan serta badan berkanun yang berkaitan dengan aspek latihan kemahiran dan vokasional sebagai salah satu kaedah pembangunan sumber manusia. Di antaranya ialah Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad.

Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) adalah majlis yang bertanggungjawab mewujudkan sistem vokasional dan latihan industri yang mampu menampung keperluan pembangunan ekonomi serta perkembangan teknologi negara (www.jaring.my/ksm/bmver/ mmlvk.htm - APRIL 2002). MLVK menubuhkan tiga jawatankuasa

khusus untuk memastikan perlaksanaan program latihan kemahiran dan vokasional adalah tidak bercanggah dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan. Jawatankuasa tersebut adalah 1) Jawatankuasa Penasihat Kemahiran (JPK) yang bertanggungjawab menentukan hala tuju serta isi kandungan program latihan kemahiran yang hendak ditawarkan 2) Jawatankuasa Tetap Penyelarasan Antara Agensi Latihan (JTPAAL) yang bertugas sebagai jawatankuasa yang membantu MLVK memantau perlaksanaan program latihan tersebut. JTPAAL adalah tapak di mana isu seperti kurikulum latihan, tenaga pengajar, pelatih serta kemudahan dibincangkan di antara agensi atau institusi latihan yang berkaitan, dan 3) Program Pembangunan Kemahiran Tenaga Pengajar (PPK) yang bertanggungjawab memberi pendedahan kepada tenaga pengajar tentang perkembangan sistem latihan kemahiran terkini. Sebahagian dari bidang kemahiran yang di kenalpasti dan disediakan peluang latihan oleh MLVK adalah seperti kemahiran perhotelan, teknologi pecetakan, kraftangan, pelancongan dan pengembaraan, kerja kayu perabot, teknologi maklumat, serta jentera dan pengangkutan darat (http://61.6.32.133/nvtc/main1_kuri.html - APRIL 2002).

Untuk menggalakkan lagi aspek latihan dititikberatkan dalam organisasi swasta kerajaan telah pun meluluskan satu akta, Akta Pembangunan Sumber Manusia 1992 yang kemudiannya digantikan oleh Akta Pembangunan Sumber Manusia 2001. Akta ini telah memperuntukkan penubuhan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Sumber Manusia yang memperuntukkan peluang latihan kemahiran dan latihan semula di sektor perkilangan dan perkhidmatan agar dapat melahirkan pekerja mahir di sektor swasta (www.hrdnet.gov.my/pengenalan.html - APRIL 2002). Matlamat badan ini adalah untuk melibatkan pihak swasta dalam menyumbang kepada kejayaan merealisasikan wawasan 2020. Organisasi dari sektor perkilangan dan pembuatan yang berdaftar dengan PSMB dikehendaki membayar levi Pembangunan Sumber Manusia di bawah akta Pembangunan Sumber Manusia. Pembayaran levi ini melayakkan para majikan berkenaan menuntut geran latihan untuk membiayai sebahagian besar kos melatih para pekerja mereka. PSMB menyediakan sejumlan skim latihan yang berbeza yang boleh diguna pakai oleh organisasi berdasarkan kepada kepelbagaian keperluan mereka. Antara skim latihan tersebut adalah Skim Bantuan Latihan (SBL), Skim Program Latihan yang Diluluskan (PROLUS), Skim Pelan Latihan Tahunan (PLT), Skim Perjanjian Latihan dengan Penyedia Latihan (PERLA) dan sebagainya. Untuk mendapat senarai skim ini bolehlah rujuk ke laman web PSMB di alamat berikut, iaitu www.hrdnet.gov.my - APRIL 2002. Selain PSMB, Kementerian Sumber Manusia juga mempunyai satu lagi jabatan yang mengkhusus dalam peruntukan latihan berbentuk

kemahiran iaitu Jabatan Tenaga Rakyat. Jabatan Tenaga Rakyat mempunyai empat institut sendiri yang menawarkan sejumlah kursus kemahiran selaras dengan permintaan perkembangan industri negara. Di peringkat diploma, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTECH) dan Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI) menawarkan khidmat kursus bagi pelbagai bidang teknologi. JMTI menawarkan sistem latihan teknikal dan vokasional menggunakan teknologi Jepun. Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) adalah satu lagi institut di bawah JTR yang menawarkan diploma. CIAST walau bagaimanapun memberikan penumpuan terhadap latihan kepada tenaga pengajar di institut latihan kemahiran di negara ini. Di peringkat sijil pula, Institut Latihan Perindustrian (ILP) menyediakan pelbagai kursus kemahiran seperti elektronik dan mekanikal.

4.5 RUMUSAN

Secara umumnya latihan dan pembangunan adalah salah satu cara atau kaedah yang boleh digunakan oleh organisasi untuk mempertingkatkan keupayaan serta kemahiran para pekerjanya. Latihan jika dilihat dari satu segi mampu menyelesaikan masalah produktiviti sesebuah organisasi. Walau bagaimanapun, ini tidak bererti semua jenis permasalahan yang timbul dalam organisasi boleh diselesaikan dengan kaedah latihan. Organisasi harus meneliti kesesuaian penggunaan latihan dalam usaha menyelesaikan permasalahan yang timbul. Berdepan dengan perubahan persekitaran dan permintaan pasaran, organisasi harus mengambil kira kaedah latihan sebagai salah satu cara untuk memperlengkapkan persediaan mereka menghadapi sebarang kemungkinan perubahan. Paling utama bagi organisasi adalah kesedaran tentang kepentingan latihan dan kaitannya dengan pelbagai aktitviti pengurusan sumber manusia yang lain. Dengan kesedaran sebegini, latihan mampu memberikan pulangan yang sepatutnya kepada organisasi.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Apakah signifikannya latihan dalam sesebuah organisasi?

2. Apakah persiapan yang perlu dilakukan organisasi untuk

memastikan kejayaan latihan?

3. Nyatakan langkah yang perlu diambil ketika berada pada tahap

4. Apakah maklumat utama yang harus dimasukkan dalam deskripsi kerja supaya ianya boleh diguna pakai ketika melakukan analisis tugas dan KSA?

5. Adakah wajar latihan diselenggarakan kepada semua pekerja

tanpa mengambil kira sama ada mereka memerlukannya atau tidak? Bincangkan.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

Dalam dokumen Modul GMGM 2023 Pengurusan Sumber Manusi (Halaman 67-72)