• Tidak ada hasil yang ditemukan

Kita amat terpaksa memilih satu jalan saja. Dalam tingkah-laku sejagat kita, kita tidak mempunyai jalan selain dari jalan yang satu itu. Orang-orang yang berpendapat bahawa mempunyai pilihan untuk menempuh beberapa jalan, dan kita boleh menempuh salah satunya, maka mereka ini telah tersalah dalam memahami logika masa kini, bahasa dunia nyata dan watak- watak segala sesuatunya.

Kita dipaksa untuk memilih suatu panji-panji yang kita berkumpul bersama-sama di bawahnya. Kita menggabung kepada sekumpulan bangsa- bangsa yang berdiri di bawah panji-panji ini. Kita tidak mempunyai pilihan untuk berdiri sendiri terpisah dari yang lain, atau masuk ke dalam salah satu blok, sebagaimana yang difahami oleh beberapa orang yang menyeru kepada nasionalisme setempat yang sempit, atau kepada suatu nasionalisme Arab yang terbatas. Untuk itu waktunya sudah lewat, dan hal itu telah menjadi bekas-bekas abad yang lalu.

“Mode” nasionalisme setempat telah berakhir. “Mode” nasionalisme yang berdasarkan suatu bangsa tertentu juga telah berakhir. Baik yang pertama mahupun yang kemudian ini hanya mendapat tempat dalam otak- otak yang sempit dan terbatas, yang tidak dapat mengikuti jiwa logika dan tuntutan-tuntutan masa kini.

Memang dunia terbahagi ke dalam dua blok yang nyata, sedangkan blok ketiga terumbang-ambing kerana belum menemukan suatu dasar alami yang sihat di mana ia harus berdiri. Atau mungkin juga ia telah mengetahui dasar ini, tetapi ia menghindarinya, atau pura-pura tidak melihatnya. Ia memang telah melihatnya, lalu setelah itu menuju kepada yang lain.

Kedua blok yang jelas itu adalah Blok Timur dan Blok Barat. Yang pertama berdasarkan ideologi, sedangkan yang kedua tidak mempunyai dasar apa-apa selain dari dasar imperialis. Tetapi kedua blok itu berselisih, memperselisihkan kita. Mereka memperebutkan mangsa, dan mangsa itu adalah kita. Kedua-duanya ingin untuk mengunyah kita, menelan kita, kita yang menjadi korban ini. Agar kita ini mudah dikunyah dan ditelan, kita harus jangan menjadi satu blok. Kita harus tetap menjadi negara-negara kecil yang menganggap dirinya besar seperti kucing, dan berdiri di bawah naungan panji-panji nasionalisme yang kerdil.

Orang-orang yang menyeru kita kepada nasionalisme Arab yang kecil, hanyalah berusaha untuk memudahkan proses mengunyah dan menelan itu

untuk salah satu dari dua blok besar itu, baik Timur mahupun Barat. Tetapi kita rakyat ini, kita mempunyai pendapat sendiri tentang masalah ini. Kita tidak mahu dimakan. Kerana itu kita menentang seruan-seruan yang lemah itu, yang dikemukakan oleh orang-orang upahan atau orang-orang yang telah ditipu penjajah Timur mahupun Barat.

Kita tahu bahawa kita tidak dapat memilih salah satu dari sekian banyak jalan. Jalan kita hanya satu, dan kita tidak dapat melarikan diri daripadanya. Iaitu agar kita menjadi suatu blok yang berdiri sendiri, tidak terikat dengan roda Barat dan tidak pula terikat dengan roda Timur, kerana Timur dan Barat itu hanya berkelahi untuk memperebutkan kita, keduanya ingin untuk menelan kita satu persatu.

Siapakah di antara kita yang dapat menjelaskan bahawa ia bermaksud untuk berdiri di samping salah satu dari dua blok itu dalam pertentangannya tentang kita sendiri?

Siapa di antara kita yang dapat menyatakan terus terang bahawa ia ingin memperkuat salah satu blok dan memberikan kemenangan kepadanya agar dapat menelan kita?

Marilah kita bicarakan masing-masing blok itu.

Adakah salah seorang dari kita di Mesir, atau di negeri Arab manapun, atau di negeri Islam manapun, untuk mengajak: Marilah kita memihak kepada blok penjajah, agar kita berada di bawah telapak kakinya, yang telah menindas kita di bawah telapak kakinya, di Mesir, Libya, Tunisia, Marakkesy, Aljazair, Somalia, di Eritrea, Senegal, Palestina Syria, Lebanon, Iraq, Yordania, Yaman, Hejaz, Teluk Persia dan di Malaya. Semuanya ini tanah Islam. Semuanya dihisab untuk kepentingan Barat yang berdosa, yang berkompromi, bersekongkol dan bertolong-tolongan dalam menentang kita. Kalau rakyat yang berjuang di salah satu negara itu memayahkan penjajah, maka negara-negara penjajah lain datang membantu temannya yang sedang tersepit di bawah tekanan rakyat.

Inggeris, Perancis, Itali dan Belanda tidak akan dapat menahan pukulan palu-palu kemerdekaan di tanah air Islam saja secara sendiri-sendiri. Mereka dapat bertahan berkat bantuan Amerika dengan dolarnya, kereta kebal dan pesawat udaranya, persenjataan dan pengaruh antarabangsa. Kita rakyat mengetahui hakikat ini, walaupun bagaimana juga mekanisme Amerika di Timur berusaha untuk menyesatkan kita.

Siapakah yang berani mengajak agar kita mengikatkan diri dengan Blok penjajah ini, dalam keadaan bagaimana juga, agar kita mahu mengorbankan ratusan ribu para pemuda kita untuk menjadi kayu bakar dalam peperangan di mana blok penjajah ini berusaha untuk menang, agar semakin kuat kekang jajahannya atas kita? Orang yang berani melakukan hal ini dalam keadaan bagaimanapun juga, akan mendapat pembalasan rakyat yang sudah tidak tahan lagi dijajah. Rakyat ini tidak akan tertipu oleh pergantian nama dan bentuk penjajahan, juga tidak akan ditipu oleh

bergantinya nama dan bendera orang yang menjajah. Hal itu disebabkan kerana kesedarannya telah sampai ke tingkat kematangan kerana kobaran penderitaan, pengorbanan dan pengalaman.

Tidak. Dalam keadaan bagaimana pun juga kita tidak akan mahu diikatkan kepada roda penjajahan Barat, baik dengan tipuan, mahupun dengan kekuatan ataupun dengan harta-benda. Walaupun berapa banyaknya orang-orang upahan yang berusaha melumpuhkan rakyat, maka rakyat ini sekarang telah bangun, dan celakalah orang yang mengira bahawa ia masih tidur.

Sedangkan Blok Timur, ada orang-orang tertipu yang kerana ingin untuk melepaskan diri dan penjajahan dengan cara bagaimanapun juga menunjukkan pandangannya ke Blok Timur.

Tetapi kita di bahagian dunia yang luas ini, baik yang beragama Islam mahupun yang beragama Kristian, menolak dengan keras sikap seperti ini. Kita tidak mahu membeli kebebasan tanah air kita dengan memperbudak jiwa kita. Kita tidak mahu menjual aqidah kepercayaan kita dengan harga yang demikian mahal, padahal kita memiliki cara yang lain untuk membebaskan diri.

Di tanah air ini tidak terdapat seorang Islam mahupun seorang Kristianpun yang mahu diperintah oleh orang-orang komunis agar mereka dapat menyembelih orang Islam dan Kristian bersama-sama, sebagaimana yang dilakukan Rusia dan Cina Komunis di Turkistan Timur dan Barat.

Para penganjur komunisme di tanah air kita yang baik ini sedikit sekali jumlahnya, mereka akan tetap merupakan minoriti, walaupun apa juga yang mereka lakukan, walaupun berapa juga bantuan yang mereka terima. Untuk kita ideologi komunisme itu adalah suatu ideologi yang tidak alami. Tanah kita tidak siap untuk menumbuhkannya. Kita tidak memerlukannya. Kita mempunyai suatu ideologi sosial yang jauh lebih maju, jauh lebih adil dan jauh lebih terhormat untuk kemanusiaan kita, lebih mampu memenuhi keperluan kita dan keperluan ummat manusia di masa moden ini dibandingkan dengan ideologj materialistik yang menjadi dasar komunisme.

Kerana itu para penganjur komunisme itu akan tetap sedikit, kerana dalam lingkungan kita ini, mazhab itu adalah mazhab yang tidak alami. Mazhab asing yang tidak diperlukan, sedangkan suatu mazhab sosial baru dapat hidup kalau dalam lingkungannya ia diperlukan.

Ini di samping kenyataan bahawa kita, baik yang Islam mahupun yang Kristian, tidak mahu pergi ke penyembelihan pembersihan yang diadakan untuk orang yang mempunyai aqidah keagamaan di negara-negara tirai besi. Kita ingin kehidupan kerana kita mempunyai kerja dalam kehidupan itu, dan dalam kehidupan: itu kita mempunyai beban-beban kemanusiaan. Memang kita bukan pencinta membunuh diri di tempat pembunuhan orang-orang komunis.

Kita tidak mungkin hidup sendiri-sendiri, dalam batas-batas nasionalisme setempat yang sempit, atau batas-batas nasionalisme Arab yang sempit. Demikian pula kita tidak mungkin menggabungkan diri kepada salah satu blok yang sedang memperebutkan kita, yang masing-masingnya ingin menang agar dapat memakan kita. Kerana itu kita terpaksa memilih jalan yang ketiga iaitu satu-satunya jalan yang kita miliki, yang kita harus menempuhnya. Kita harus meninggalkannya di belakang kita para penganjur nasionalisme setempat yang sempit dan para penganjur nasionalisme Arab yang sempit. Biarlah mereka menikmati khayalan-khayalan abad-abad yang lalu, “mode-mode” dunia di abad ke-XVIII dan ke-XIX. Banyak orang yang tetap berpegang kepada mode-mode lama. Tetapi baik Blok Barat mahupun Blok Timur, benci kalau kita bersatu di bawah satu panji-panji yang alami. Dan masing-masingnya mempunyai peralatan-peralatan yang diseludupkan ke tengah-tengah kita. Kerana itu kita menjauhkan diri dari bendera yang alami ini, bendera yang mencakup lima ratus juta penduduk Dunia Islam yang luas dan lebar ini. Kita menjauhkan diri dari bendera ini dan berdiri di bawah bendera lain yang dibikin-bikin: bendera kelompok Asia-Afrika, di mana dua anggotanya yang paling besar, iaitu India dan Pakistan, bertarung dalam masalah Kashmir, dan belum dapat dicapai suatu persetujuan lagi. Saya tidak dapat mengerti kenapa dan bagaimana dapat berdiri suatu kesatuan atau kelompok di mana dua anggotanya yang paling besar bermusuhan.

Blok ini tidak alami, tetapi kedua blok yang memusuhi kita, mendorong kita ke arahnya, dengan maksud agar kita jangan bersatu dalam suatu blok yang lebih alami, iaitu bangsa-bangsa yang dipersatukan oleh aqidah yang satu, sejarah yang satu, kepentingan yang satu, geografi yang satu, ekonomi yang satu, dan di mana di antara mereka terdapat segala persyaratan untuk adanya satu blok, tanpa pengecualian. Kenapa? Kerana berdirinya blok yang alami ini, akan tidak disukai baik Blok Barat mahupun Blok Timur.

Alasan apakah yang mereka pakai untuk menolak berdirinya blok yang alami itu di Dunia Islam? Hanya satu alasan. Iaitu adanya golongan minoriti yang tidak beragama Islam di Dunia Islam itu.

Aneh sekali ! Seakan-akan golongan minoriti itu timbul di saat ini saja dan tidak pernah hidup selama empat belas abad secara amat mulia di bawah naungan tanah air Islam itu. Tidak ada tanah air yang demikian hebatnya menjaga dan melindungi golongan minoritinya seperti tanah air Islam. Tetapi mereka ingin untuk menimbulkan fitnah di dalam tanah air yang aman tenteram itu. Tanah air itu tadinya tidak pernah mengenal kefanatikan yang dibenci itu. Bukan hari ini saja, tetapi dalam seluruh sejarahnya, terutama ketika hukum Islam yang memerintahnya dari hujung yang satu ke hujung yang lain. Dunia belum pernah menyaksikan keadilan untuk seluruh manusia di tanah air manapun dan semua tanah air manusia, seperti yang terdapat di tanah air Islam yang diperintah oleh hukum Islam.

Alasan ini adalah alasan yang dibuat-buat. Ia tidak dapat berdiri di depan logika sejarah, di depan tuntutan-tuntutan masa kini. Hanya ada satu jalan saja yang telah ditakdirkan untuk kita tempuh. Kita harus menempuhnya. Jadi baiklah kiranya kalau kita tidak berfikir lama-lama. Sebaiknya kita mengarah secepat mungkin ke arah yang lurus itu. Kalau tidak begitu kita akan kehilangan waktu kerana melakukan percubaan yang akan gagal, menentang logika masa dan menentang watak-watak segala sesuatunya.