• Tidak ada hasil yang ditemukan

ABSTRAK

Kajian tindakan ini bertujuan untuk membantu murid-murid yang mengalami masalah dalam operasi darab. Kajian tindakan ini telah membantu murid-murid Tahun 4 di sebuah sekolah dalam bahagian Miri meningkatkan kemahiran mendarab sifir 6, 7, 8 dan 9 dengan menggunakan jari pada kedua-dua belah tangan. Kajian tindakan ini juga telah melibatkan 4 orang responden yang mempunyai prestasi yang sederhana dan lemah. Dalam kajian tindakan ini, murid-murid telah didedahkan dengan kaedah pendaraban sifir 6, 7, 8 dan 9 menggunakan jari pada kedua-dua belah tangan. Bagi mengumpul data dan maklumat, beberapa instrumen telah digunakan iaitu pemerhatian tidak berstruktur, lembaran kerja dan temu bual tidak berstruktur. Dapatan kajian menunjukkan antara faktor yang menyebabkan responden tidak menguasai sifir 6, 7, 8 dan 9 adalah disebabkan nombor pendarab yang bernilai besar dan sukar mengaplikasikan kaedah penambahan berulang. Kajian ini juga menunjukkan terdapat peningkatan pencapaian responden dalam menguasai sifir 6, 7, 8 dan 9. Kemajuan keseluruhan responden mencatatkan 27.5%. Tiga orang responden telah menunjukkan peningkatan. Manakala, terdapat seorang responden menunjukkan penurunan. Kajian tindakan ini memberi peluang kepada guru Matematik untuk mencuba sesuatu kaedah bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Kajian ini telah mendatangkan kesan-kesan yang positif seperti peningkatan dari segi tahap minat dan penglibatan responden dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

ABSTRACT

The purpose of this action research is to help the students who have difficulties in solving multiplication problem. This action research helped the year 4 students of the primary school in Miri to enhance their multiplication skill involving multiplication tables 6, 7, 8 and 9 using fingers. Four students with average and weak performance were chosen as the respondents for this research. In this action research, students were exposed with finger multiplication techniques. Several instruments have been used for collecting data and information for this research. The instruments are unstructured observation, worksheets and unstructured interviews. Based on the result of this research, the factor that caused students failed to master multiplication of 6, 7, 8, and 9 is due to large value of coefficient and difficulties in using repeated addition. However, the research also shows some increment in respondents‟ achievement. The overall improvement recorded is 27.5%. Three of the respondent showed increased achievement but one of them showed a dropped in achievement. This action research provides opportunities for mathematics teachers to try some new method in solving problem. As the conclusion, this study has yielded positive effects such as increase in the level of interest and involvement of the respondents during the teaching and learning process.

PENDAHULUAN

Pendidikan di negara kita mengalami satu perkembangan yang pesat. Pelbagai perubahan telah dilakukan untuk memperbaiki segala kekurangan supaya ia menjadi satu sistem yang terbaik. Pihak-pihak yang terlibat dalam sistem pendidikan telah banyak menjalankan kajian yang berkaitan. Di negara kita, kanak-kanak yang bersekolah di sekolah rendah telah diajar dan didedahkan dengan keempat-empat operasi iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi.

Dalam kurikulum kita, pembelajaran melibatkan empat operasi asas dalam Matematik telah di sediakan sejak Tahap 1 lagi. Pengajaran semua operasi tersebut adalah mengikut urutan, di mana operasi tambah dan operasi tolak diajar terlebih dahulu pada Tahun 1 (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2011), diikuti oleh operasi darab dan operasi bahagi pada Tahun 2 (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2012).

Daripada situasi ini, wujud masalah yang melibatkan kanak-kanak dan pendidikan Matematik. Hal ini kerana kemampuan atau keupayaan kanak-kanak berbeza mengikut individu. Kajian tindakan merupakan salah satu cara untuk mengenalpasti dan menyelesaikan masalah tersebut. Menurut Rosinah Edinin (2011), kajian tindakan merupakan satu penyelidikan gunaan iaitu berbentuk inkuiri refleksi kendiri yang bertujuan untuk meningkatkan amalan pengkaji serta meningkatkan kefahaman terhadap amalan tersebut.

FOKUS KAJIAN

Daripada pemerhatian yang telah dilakukan semasa praktikum, pengkaji mendapati bahawa maklum balas yang diberikan oleh murid-murid tidak memuaskan semasa pengajaran Matematik yang melibatkan darab dan bahagi. Murid-murid juga mengambil masa lama untuk menyiapkan lembaran kerja yang melibatkan dua operasi asas tersebut. Hal ini kerana murid-murid tidak menghafal sifir.

Kajian yang telah dijalankan adalah untuk mengenalpasti dan mencari jalan penyelesaian yang sesuai dengan murid yang mengalami kesukaran dalam mendarab terutamanya sifir 6, 7, 8 dan 9. Kajian yang pengkaji telah jalankan adalah bertumpu kepada penguasaan murid dalam mendarab sifir. Kajian ini juga berfokuskan kepada bagaimana cara untuk membantu murid menguasai kemahiran mendarab sifir.

Dalam meningkatkan penguasaan kemahiran mendarab sifir dalam kalangan murid-murid, pengkaji menggunakan kaedah penggunaan jari untuk mendarab sifir kepada responden yang dipilih.

OBJEKTIF KAJIAN DAN SOALAN KAJIAN

Kajian ini mempunyai tiga objektif iaitu:

a. Mengenalpasti punca murid-murid tidak menguasai sifir 6, 7, 8 dan 9.

b. Membina satu perancangan yang boleh membantu murid meningkatkan kemahiran menjawab soalan darab melibatkan sifir 6, 7, 8 dan 9.

c. Menghurai keberkesanan kaedah mendarab sifir 6, 7, 8 dan 9 dengan menggunakan jari bagi membantu murid Tahun 4 meningkatkan kemahiran mendarab.

Kajian ini cuba menjawab soalan-soalan berikut:

a. Apakah punca murid-murid tidak menguasai sifir 6, 7, 8 dan 9?

b. Apakah perancangan yang boleh membantu murid meningkatkan kemahiran menjawab soalan darab melibatkan sifir 6, 7, 8 dan 9?

c. Sejauh manakah, kaedah mendarab sifir 6, 7, 8 dan 9 dengan menggunakan jari boleh membantu murid Tahun 4 meningkatkan kemahiran mendarab?

TINJAUAN LITERATUR

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), darab dari aspek Matematik ialah perkalian ataupun kali-kali. Operasi darab juga merupakan songsangan bagi operasi bahagi (Suggate et al., 1998). Mendarab, mendarabkan dan pendaraban membawa maksud yang hampir sama iaitu proses mendarab sesuatu nombor dengan sesuatu nombor. Pendarab pula mewakili nombor yang kedua dalam susunan hasil pendaraban (Saripah Ahmad dan Yong, 2006). Contohnya, 6 × 5. Dalam kes ini, 5 merupakan pendarab.

Menurut Haylock dan Cockburn (2003), pendaraban ditemui dalam dua struktur utama iaitu penambahan berulang dan berskala. Simbol darab menggambarkan satu set. Misalnya, 9 × 3. Ini menggambarkan terdapat 9 set 3 benda (penambahan berulang). Kenyataan ini disokong oleh Musser et al. (2006) yang menyatakan pendaraban boleh dilihat sebagai satu pendekatan penambahan berulang. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, darab boleh dikatakan sebagai satu proses penambahan berulang-ulang. Oleh itu, mendarab boleh dianggap sebagai suatu catatan ringkas untuk pengiraan yang panjang (Mooney, 2003). Penambahan berulang ini merupakan satu alternatif bagi memperolehi hasil darab sesuatu nombor. Hal ini dapat memberi kemudahan kepada murid-murid yang lemah dan mempunyai masalah dalam operasi darab.

Apabila dua nombor didarab, kita boleh menggunakan penambahan berulang sebagai alternatif untuk menyelesaikannya. Dua nombor bulat yang didarab akan menghasilkan nombor bulat (Musser et al., 2006). Ini merupakan salah satu daripada sifat yang dimiliki oleh darab. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, seorang guru perlu kreatif dalam mempelbagaikan strategi yang diaplikasikan. Strategi yang diaplikasikan perlulah mengambil kira faktor yang membolehkan murid menjalani proses pembelajaran dengan sempurna. Menurut Mohd. Fairuz Dollah (2010), murid-murid di sekolah rendah memerlukan pelbagai teknik yang mudah dan ringkas untuk menguasai sifir.

Kaedah menggunakan jari ini mudah untuk dijalankan kerana ia menggunakan „peralatan‟ yang ada pada tubuh badan kita (Iskandar Shah Ibrahim, 2010). Kajian yang telah dilaksanakan oleh Mohd. Fairuz Dollah (2010) membuktikan keberkesanan kaedah penggunaan jari dalam menguasai sifir 6, 7, 8 dan 9. Hasil dapatan kajian ini juga menunjukkan murid-murid berasa seronok apabila menggunakan kaedah ini.

Menurut Janting Ringkai (2005), penggunaan jejari tangan untuk menghafal sifir darab lebih praktikal. Proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan bahan maujud dapat memberi kemudahan kepada murid-murid untuk memahami sesuatu topik. Kaedah penggunaan jari ini mampu membantu murid untuk memindahkan maklumat daripada apa yang mereka lihat ke atas kertas.

Kaedah penggunaan jari ini yang melibatkan kaedah yang lebih konkrit mendatangkan keseronokan kepada murid-murid (Janting Ringkai, 2005). Menurut

Ee (1993) dalam kajian Farm (2007), keseronokan dalam pengajaran akan memberi pembelajaran yang berkesan kepada murid-murid. Dengan keseronokan yang wujud dalam proses pengajaran dan pembelajaran ini akan meningkatkan penglibatan murid. Seterusnya, telah meningkatkan penguasaan murid tersebut.

KUMPULAN SASARAN

Kumpulan sasaran dalam kajian ini ialah murid-murid Tahun 4 di sebuah sekolah di sekitar Miri. Kajian ini difokuskan kepada empat orang murid yang mempunyai latar pendidikan yang sederhana dan lemah. Tiga orang daripadanya merupakan perempuan dan selebihnya ialah lelaki. Semua responden merupakan bumiputera yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Iban, Kedayan dan Bidayuh. Responden juga masih mengalami masalah untuk menguasai sifir 6, 7, 8 dan 9 dan telah menguasai sifir 1 hingga 5.

PROSEDUR TINDAKAN

Dalam kajian yang telah dijalankan, pengkaji menggunakan Model Kajian Tindakan yang diperkenalkan oleh Kemmis & McTaggart (1988). Kajian ini mempunyai satu kitaran sahaja.