• Tidak ada hasil yang ditemukan

Min Markah bagi Ketiga-tiga Latihan

EDWARD ANAK AUSTRUS 1 ERNIE KHO SIAW NEE2

ABSTRAK

Pendaraban merupakan salah satu kemahiran asas Matematik yang sukar dikuasai oleh murid. Murid-murid yang sukar menguasai kemahiran ini akan cenderung untuk sukar menguasai kemahiran-kemahiran Matematik pada peringkat yang lebih tinggi. Justeru itu, kajian ini dilaksanakan untuk mengubah amalan guru dengan menggunakan kaedah „Pistol, Tukul dan Tangga‟ dalam mendarab nombor tiga digit dengan nombor dua digit dalam bentuk lazim. Kajian tindakan ini akan dijalankan berdasarkan Model Kemmis dan McTaggart (1988). Responden bagi kajian ini terdiri daripada 4 orang murid Tahun 4 di salah sebuah sekolah di kawasan luar bandar Miri. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini terdiri daripada borang senarai semak pemerhatian A, borang senarai semak pemerhatian B, Latihan A, Latihan B, Latihan C dan borang kaji soal selidik. Analisis data telah dilakukan setelah data dikumpul sebelum dan selepas kaedah diperkenalkan kepada responden. Semua data telah dipersembahkan dalam bentuk jadual dan graf. Hasil kajian menunjukkan bahawa kaedah „Pistol, Tukul dan Tangga‟ berjaya meningkatkan tahap penguasaan murid dalam kemahiran mendarab nombor tiga digit dengan nombor dua digit dalam bentuk lazim.

ABSTRACT

Multiplication is one of the basic mathematical skills which is difficult to be mastered by the pupils. Pupils who difficult to master this skill will tend to have difficulties in mastering the mathematics skills at a higher level. Therefore, a study was undertaken to transform the practice of teachers by using the "Gun, Hammer and Ladder" in multiplying three-digit number by two-digit number in vertical form. This action research will be carried out based on Kemmis and McTaggart Model (1988). The sample consists of 4 Year 4 pupils of a school in a rural area of Miri. The instruments used in this study consisted of observation form A, observation form B, exercise A, exercise B, exercise C and questionnaire survey forms. Data analysis was performed after all data were collected before and after the method was introduced to respondents. All data were presented in form of table and graph. The findings of the study show that the "Gun, Hammer and Ladder" succeeded in raising the pupils‟ level of mastery in multiplying three-digit numbers by two-digit numbers in vertical form.

PENDAHULUAN

Matematik merupakan sesuatu bidang mata pelajaran yang sangat berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia. Penguasaan terhadap mata pelajaran ini adalah penting terutamanya pada peringkat awal kerana tahap penguasaan mata pelajaran tersebut pada peringkat awal akan mempengaruhi tahap penguasaan pada peringkat yang seterusnya.

Pendaraban pula merupakan salah satu kemahiran yang sukar dikuasai oleh murid-murid sekolah rendah. Kelemahan ini juga dikaitkan dengan kelemahan murid dalam menguasai sifir darab selain daripada kesilapan dalam langkah kerja ketika mendarab dalam apa jua kaedah yang digunakan. Justeru itu, penguasaan terhadap kemahiran darab adalah dapat dicapai menerusi penguasaan yang baik dalam sifir darab dan pengamalan langkah kerja yang sistematik ketika melakukan pendaraban.

FOKUS KAJIAN

Kajian ini dijalankan bagi mengkaji keberkesanan kaedah „Pistol, Tukul dan Tangga‟ dalam membantu murid dalam meningkatkan penguasaan mereka dalam pendaraban nombor tiga digit dengan nombor dua digit dalam bentuk lazim melalui penambahbaikan terhadap kaedah yang sedia ada. Ini adalah kerana berdasarkan pengalaman menjalani praktikum, pengkaji mendapati murid-murid Tahun 4 sering melakukan kesilapan dalam langkah kerja ketika melakukan pendaraban nombor tiga digit dengan nombor dua digit dalam bentuk lazim seperti mendarab digit dengan betul, masalah dalam menyusun hasil darab mengikut susunan nilai tempat yang betul dan masalah dalam pengabaian digit yang mewakili nilai kumpul semula.

Responden-responden yang dipilih sepanjang pelaksanaan kajian ini adalah terdiri daripada individu yang mengalami masalah-masalah seperti yang dinyatakan di atas. Namun demikian, mereka yang terpilih tersebut adalah golongan yang mahir dalam penguasaan sifir kerana tumpuan kajian adalah mengkaji keberkesanan kaedah „Pistol, Tukul dan Tangga‟ dalam membantu murid dalam meningkatkan penguasaan mereka dalam pendaraban nombor tiga digit dengan nombor dua digit dalam bentuk lazim bagi mengatasi masalah-masalah yang telah dinyatakan.

OBJEKTIF KAJIAN DAN SOALAN KAJIAN

Objektif kajian yang menjadi garis panduan sepanjang kajian dijalankan adalah seperti berikut.

a. Mengkaji peningkatan pencapaian dan penguasaan murid dalam kemahiran pendaraban nombor tiga digit dengan nombor dua digit dalam bentuk lazim dengan menggunakan kaedah „Pistol, Tukul dan Tangga‟.

b. Melihat persepsi murid terhadap penggunaan kaedah „Pistol, Tukul dan Tangga‟ ketika menyelesaikan masalah pendaraban nombor tiga digit dengan nombor dua digit dalam bentuk lazim.

Persoalan-persoalan kajian adalah seperti berikut.

a. Adakah penggunaan kaedah „Pistol, Tukul dan Tangga‟ dapat meningkatkan penguasaan murid dalam kemahiran pendaraban nombor tiga digit dengan nombor dua digit dalam bentuk lazim?

b. Apakah persepsi murid terhadap kaedah „Pistol, Tukul dan Tangga‟ dalam menyelesaikan masalah pendaraban nombor tiga digit dengan nombor dua digit dalam bentuk lazim?

TINJAUAN LITERATUR

Menurut Kamus Dewan (2005), pendaraban merupakan satu proses penambahan berulang. Manakala, kemahiran mendarab didefinisikan sebagai kecekapan dan kepandaian dalam memperkalikan sesuatu nombor. Deren dan Anne (2003) pula mengatakan bahawa “multiplication is encountered in two pricipal structures, repeated addition and scaling”. Wallace dan Gurganus (2005) pula mendefinisikan darab kepada lima bentuk iaitu penambahan berulang, skala, kadar, produk Cartesian dan luas.

Namun demikian, kemahiran mendarab merupakan kemahiran yang paling sukar dikuasai oleh murid. Ini juga turut disokong oleh Walle (2001) yang menyatakan bahawa operasi darab merupakan operasi yang sukar untuk dikuasai oleh murid pada peringkat sekolah rendah. Selain itu, ramai guru juga turut menyatakan bahawa topik darab dan bahagi susah diajar. Ini turut disokong oleh Yip (2011) dalam kajian beliau yang mengatakan topik yang sering merunsingkan guru-guru sekolah adalah topik pendaraban dan pembahagian.

Nurul Husna Ahmad Basah dan Mas Norbany Abdul Samah (2011) pula menyatakan bahawa punca utama murid melakukan kesilapan dalam penyelesaian soalan darab ialah penguasaan yang lemah terhadap fakta asas darab ataupun sifir.

“The traditional multiplication algorithm is probably the most difficult algorithms if students have not plenty of opportunities to explore their own strategies.” (Walle, 2001). Keadaan seperti yang dinyatakan dalam kenyataan tersebut wujud kerana murid-murid tidak diterangkan dengan penggunaan kaedah tersebut dengan jelas. Menurut Mooney et al. (2002) pula, bentuk lazim merupakan algoritma piawai yang sering diajar dan kaedah ini adalah bersandarkan hukum pengagihan.

Menurut Reys et al. (2007), adalah penting bagi murid untuk menghubungkaitkan idea baharu dengan pengetahuan sedia ada sebagai pengukuhan kepada pengetahuan sedia ada tersebut. Menurut Reys et al. (2007) lagi, kanak-kanak haruslah melihat bahawa pendaraban bagi nombor dua digit atau nombor tiga digit adalah lanjutan bagi prosedur bagi pendaraban nombor satu digit.

Menurut Zainuddin Hassan et al. (2011), Kementerian Pelajaran Malaysia mengubal Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang menekankan penggunaan pelbagai teknik pengajaran serta mengutamakan penggunaan alat bantu mengajar untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran tersebut berkesan. Bagi kaedah „Pistol, Tukul dan Tangg‟ bahan-bahan yang digunakan adalah merangkumi bingkai „Pistol‟, bingkai „Tukul‟ dan bingkai „Tangga‟ yang diperbuat daripada mounting board atau kadbod keras yang hanya melibatkan kos yang rendah. Setiap bingkai tersebut pula akan dihias berdasarkan warna dan fungsi. Bingkai „Pistol‟ adalah berwarna merah dan bingkai „Tukul‟ pula berwarna biru. Manakala bingkai „Tangga‟ dilukis menggunakan pensel.

Kajian tentang „Pistol, Tukul dan Tangga‟ pernah dilakukan sebelum ini oleh Zamatun Nasrah Marwan (2011) bagi meningkatkan kemahiran murid dalam mendarab nombor tiga digit dengan nombor dua digit tersebut. Ujian Pra dan Pos yang dijalankan menunjukkan keempat-empat responden berjaya menunjukkan peningkatan antara 50 hingga 60 peratus di mana markah bagi ujian pos mereka adalah antara 80 hingga 100 peratus.

Terdapat juga kajian lain yang berkaitan dilakukan oleh penyelidik lain bagi meningkatkan masalah pendaraban sebarang nombor dengan nombor dua digit seperti yang dijalankan oleh Nurul Husna Ahmad Basah dan Mas Norbany Abdul

Samah (2012), iaitu „Penggunaan Kaedah „Circle-X‟ Bagi Meningkatkan Penguasaan Murid Tahun 5 Dalam Operasi Pendaraban Sebarang Nombor Dengan Nombor Dua Digit‟. Nuramirah Nadziri dan Abdul Muttalib Ismail (2012) pula menjalankan kajian yang bertajuk „Jadual Tambah Berulang Kaedah Berkesan Pendaraban Nombor Tiga Digit Dengan Nombor Dua Digit‟.

KUMPULAN SASARAN

Dalam pemilihan responden, keutamaan pengkaji adalah individu-individu yang cenderung melakukan masalah-masalah seperti masalah mendarab digit dengan betul, masalah dalam menyusun hasil darab mengikut susunan nilai tempat yang betul dan masalah dalam pengabaian digit yang mewakili nilai kumpul semula ketika melakukan pendaraban nombor tiga digit dengan nombor dua digit dalam bentuk lazim.

Seterusnya, individu-individu yang dipilih haruslah memiliki tahap penguasaan sifir yang baik. Ini adalah kerana batasan kajian adalah mengatasi masalah-masalah dalam pendaraban nombor tiga digit dengan nombor dua digit dalam bentuk lazim seperti yang telah dinyatakan sahaja.

Setelah sesi pemilihan dilakukan. Sebanyak 4 orang murid yang telah didapati menepati ciri-ciri yang ditetapkan oleh pengkaji telah terpilih sebagi responden bagi menjalankan kajian ini.