• Tidak ada hasil yang ditemukan

REFLEKSI DAPATAN KAJIAN

Mengkaji Penggunaan Kaedah Pendaraban Kekisi Dalam Menguasai Kemahiran Mendarab Nombor Empat Digit Dengan Nombor Dua Digit

Berdasarkan hasil dapatan yang telah diperolehi pada Jadual 3, dapat diperhatikan bahawa 3 orang responden telah mencapai tahap menguasai pada kitaran 1 kajian ini. Manakala seorang lagi responden belum mengusai sepenuhnya iaitu responden 1. Jadi setelah pengkaji mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh para responden pada kitaran pertama berdasarkan soalan yang tidak dijawab dengan tepat, penambahbaikan bagi kaedah ini telah dilakukan. Setelah diperkenalkan dengan garisan diagonal yang berwarna, keempat-empat responden dalam kitaran 2 telah dapat menguasai kemahiran mendarab nombor yang difokuskan. Ini jelas menunjukkan kaedah yang telah diperkenalkan oleh pengkaji ini telah dapat membantu para responden menguasai kemahiran mendarab nombor empat digit dengan nombor dua digit.

Kaedah Bentuk Lazim yang sering digunakan oleh para responden telah mengelirukan mereka dalam nilai tempat dan masalah ini telah selesai di mana para responden tidak perlu mengambilkira nilai tempat semasa menjawab soalan pendaraban nombor empat digit dengan nombor dua digit dengan kaedah yang diperkenalkan oleh pengkaji.

Secara keseluruhannya, markah-markah yang hilang dalam Ujian Pencapaian para responden yang disebabkan oleh masalah kaedah ini telah diselesaikan pada kitaran kedua. Ini jelas menunjukkan bahawa Kaedah Pendaraban Kekisi adalah berkesan dalam meningkatkan kemahiran pendaraban nombor empat digit dengan nombor dua digit. Dapatan pengkaji ini telah disokong oleh Ahmad Ashraf Md Yusof dan Norizah Ahmad (2010).

Masalah Yang Dihadapi Semasa Mengaplikasikan Kaedah Pendaraban Kekisi

Objektif kedua kajian ini adalah untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi semasa mengaplikasikan kaedah yang diperkenalkan oleh pengkaji. Daripada hasil dapatan pengkaji, terdapat tiga jenis masalah yang dihadapi oleh para responden sepanjang mengaplikasikan Kaedah Pendaraban Kekisi.

Masalah pertama yang dihadapi oleh beberapa responden adalah kesilapan memilih digit-digit di bawah garisan diagonal untuk dijumlahkan. Ini telah dikesan daripada soalan yang telah dijawab dengan tidak tepat oleh responden berdasarkan hasil dapatan daripada lembaran latihan seperti yang terdapat pada Jadual 5. Masalah ini adalah disebabkan kesilapan dari segi kaedah yang digunakan. Namun setelah kaedah ini dibuat penambahbaikan pada kitaran 2, kesilapan ini tidak lagi dilakukan oleh para responden semasa menjawab Lembaran Latihan 3. Ini menunjukkan kesilapan yang dilakukan oleh beberapa responden disebabkan masalah kekeliruan dengan kaedah yang diperkenalkan oleh pengkaji boleh dibuat penambahbaikan bagi memastikan kaedah yang digunakan adalah berkesan.

Seterusnya adalah masalah kedua iaitu kecuaian dalam melakukan operasi penambahan. Sikap tidak berhati-hati semasa melakukan pengiraan telah menyebabkan hasil tambah yang dicari oleh responden ini menjadi berbeza dari yang sepatutnya hanya disebabkan kesilapan satu digit sahaja.

Masalah yang ketiga adalah masalah kecuaian dalam penulisan yang mana tulisan responden yang tidak kemas telah mengelirukan responden sendiri. Masalah kedua ini boleh dikurangkan apabila responden itu sendiri mengubah sikapnya agar menjadi lebih teliti dengan memastikan tulisan adalah lebih kemas dan dapat dilihat dengan jelas.

Secara keseluruhannya, terdapat satu sahaja masalah utama yang dihadapi oleh beberapa responden yang disebabkan oleh Kaedah Pendaraban Kekisi ini iaitu garisan diagonal yang tidak jelas dan mengelirukan. Namun masalah ini telah diatasi agar ianya tidak akan berlaku lagi. Dua lagi masalah yang dilakukan oleh sesetengah responden adalah disebabkan oleh sikap mereka sendiri. Jadi para responden sendiri harus mengubah sikap agar lebih berhati-hati dan teliti semasa membuat soalan Matematik.

CADANGAN KAJIAN LANJUTAN

Pengkaji telah memberikan lima cadangan untuk kajian lanjutan. Cadangan pertama adalah dengan memperluaskan skop Kaedah Pendaraban Kekisi ini. Kaedah ini boleh digunakan untuk kesemua jenis pendaraban nombor seperti pendaraban nombor tiga digit dengan nombor dua digit dan sebagainya. Penggunaan kaedah ini akan memastikan para murid tidak akan mengalami masalah mengenai nilai tempat yang dititikberatkan di dalam Kaedah Bentuk Lazim.

Cadangan kedua adalah kaedah ini boleh diaplikasikan kepada topik lain dan bukan hanya bagi topik nombor bulat sahaja. Contohnya, kaedah ini boleh digunakan semasa melakukan pendaraban bagi topik nombor perpuluhan. Strategi yang digunakan adalah sama bagi pendaraban nombor bulat, namun tambahan yang perlu dibuat adalah titik perpuluhan yang diperlukan.

Cadangan seterusnya adalah untuk menggunakan kepelbagaian warna pada kotak Kaedah Pendaraban Kekisi ini. Murid-murid boleh menggunakan pensel warna bagi membezakan beberapa bahagian yang terdapat pada petak kaedah ini. Penggunaan pelbagai warna ini sudah pasti akan menarik perhatian murid untuk

lebih fokus dan berhati-hati dengan hasil kerja mereka. Dalam pada itu, kekeliruan atau kesilapan dalam menggunakan kaedah ini boleh dikurangkan dengan pengaplikasian pelbagai warna pada kotak Kaedah Pendaraban Kekisi mengikut kesesuaian.

Seterusnya adalah cadangan untuk menambahkan instrumen pengumpulan data mengikut kesesuaian objektif seseorang pegkaji itu. Contohnya, apabila seseorang pengkaji itu ingin mengkaji tentang minat muridnya, maka pengkaji berkenaan boleh mengunakan temu bual, pemerhatian, soal selidik dan sebagainya.

Cadangan kajian lanjutan yang terakhir adalah Kaedah Kekisi ini boleh diaplikasikan dalam kemahiran menambah yang melibatkan pengumpulan semula. Murid dapat melakukan operasi penambahan dengan lancar namun masalah yang yang sering dihadapi oleh murid-murid adalah apabila soalan penambahan itu melibatkan pengumpulan semula.

RUMUSAN

Tujuan kajian tindakan ini dijalankan adalah untuk mengkaji penggunaan kaedah yang diperkenalkan oleh pengkaji dalam membantu responden menguasai kemahiran mendarab nombor empat digit dengan nombor dua digit. Hasil kajian yang diperolehi telah menunjukkan kesan yang positif di mana keempat-empat responden telah menguasai kemahiran mendarab nombor yang difokuskan berdasarkan Ujian Pencapaian yang telah dijalankan. Selain itu, masalah yang dikesan dalam kajian ini telah diselesaikan dengan memperkenalkan garisan diagonal yang berwarna. Kaedah ini merupakan salah satu cara untuk membantu para murid yang masih belum menguasai kemahiran mendarab terutamanya apabila menggunakan Kaedah Bentuk Lazim.

RUJUKAN

Abdul Jamil Othman. (1999). Keberkesanan kaedah Lattice untuk mencari hasil darab dengan mengumpul semula dalam Matematik Tahun Lima: satu kajian di Sekolah Kebangsaan Toh Sajak Batu Kurau. Perak Darul Ridzuan: Falkulti Pendidikan, UTM: UTM. Diperolehi daripada http://www.fp.utm.my/ePusatSumber/Tb_psm_list_Detail.asp?key={0026E0 DF74154ACBB41CFFBE0361FB2B}

Abu Osman Mohammad Tap. (2004). Deria pemikiran Matematik daripada konkrit ke niskala. Kuala Lumpur: Kolej University Sains Dan Teknologi Malaysia (KUSTEM).

Ahmad Ashraf Md Yusof dan Norizah Ahmad. (2010). Penggunaan kaedah Lattice dalam membantu murid menyelesaikan soalan pendaraban 2 digit dengan 2 digit secara pengumpulan semula bagi murid Tahun 4. Prosiding Seminar Penyelidikan Tindakan PISMP 2010. September 27 – 29. Kuala Terengganu : IPG Kampus Dato‟ Razali Ismail, 4-7.

Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia. (1998). Model Pengajaran dan

Pembelajaran Matematik sekolah rendah : Nombor Bulat. Selangor: Dewan Bahasa Dan

Pustaka.

Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia. (2008).

Buku manual kajian tindakan edisi ketiga. Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Chan, Yaw Jong. (2011). Refleksi pembelajaran tentang teknik menyemak data dalam pelaksanaan penyelidikan tindakan bertajuk “penggunaan kotak ajaib dan Lattice dalam meningkatkan penguasaan pendaraban murid Tahun Lima”. Jurnal Penyelidikan Tindakan IPG KBL Tahun

2011, 5, 63-69. Diperolehi daripada http://www.ipbl.edu.my/BM/penyelidikan/JurnalAction

Research/2011/7%20Chan%20teknik%20menyemak%202011.pdf

Hill, M. (2003). Mcgraw hill dictionary of Mathematics. United States Of America: The Mcgraw – Hill Companies.Inc.

Proga, R. (2005). Math for the anxious.The McGraw: Hill Companies. Inc.

Senarai Istilah Matematik. (1981). Dewan Bahasa dan Pustaka: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Jabatan Matematik

Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak, Jalan Bakam, 98000 Miri, Sarawak.

MEMBANTU MURID MENYELESAIKAN MASALAH PENAMBAHAN