• Tidak ada hasil yang ditemukan

ABSTRAK

Penyelidikan tindakan ini dilaksanakan untuk membantu murid-murid Tahun Empat Cemerlang menguasai sifir 2 sehingga 9 di salah sebuah sekolah di luar bandar Miri. Penyelidikan tindakan ini telah menggunakan model kajian tindakan Kemmis dan McTaggart (1988). Seramai empat orang subjek kajian telah dipilih melalui pemerhatian dan temu bual secara tidak langsung semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Kajian ini bertujuan membantu murid menguasai sifir 2 sehingga 9 dengan bantuan kaedah Lukis dan Kira. Kajian ini menggunakan teknik analisis dokumen dan temu bual. Instrumen yang digunakan ialah latihan pintas, latihan progresif 1, latihan progresif 2, latihan A, latihan B, latihan C dan soalan temu bual. Data yang dikumpul melalui teknik analisis dokumen dianalisis menggunakan statistik deskriptif iaitu peratusan. Data yang diperolehi melalui teknik temu bual dianalisis menggunakan tahap kesilapan Newman. Berdasarkan analisis dapatan kajian, murid telah berjaya menguasai sifir 2 sehingga 9 di mana kesemua subjek kajian telah berjaa melapasi tahap sasaran menguasai yang telah disediakan oleh pengkaji. Subjek kajian juga berjaya menguasai kemahiran mendarab nombor tiga digit dengan dua digit dalam lingkungan 100 000 setelah diperkenalkan dengan kaedah Lukis dan Kira. Kesimpulannya, kaedah Lukis dan Kira ini mampu membantu murid tahun empat menguasai sifir 2 sehingga 9 yang sememangnya tulang asas bagi menguasai kemahiran mendarab dalam peringkat yang lebih tinggi. Dapatan ini selari dengan dapatan kajian yang diperolehi oleh Jasmin et al. (2010), Amilia (2011), Harries & Barmby (2007) dan Barmby et al. (2009).

ABSTRACT

This action research was conducted to help students in mastering multiplication tables which is a very important mathematical skill. This action research use Kemmis and McTaggart (1988) model. A total of four subjects from Year Four Cemerlang at one of the rural schools in Miri were selected through a simple observation and interview that had been conducted. This study had focused on helping students mastering multiplication table two to nine with the help from Draw and Count Method. This study used the technique of analysis of documents and interviews. The instrument used was a short multiplication table exercise, progressive exercises 1 and 2, exercise A, B and C, and interview questions. Data collected through document analysis techniques were analyzed using descriptive statistics that is percentages. The data obtained through interview techniques were analyzed using the Newman‟s error analysis. Based on analysis findings, students had successfully mastered the multiplication tables two to nine. In conclusion, the Draw and Count Method was able to assist students in mastering multiplication tables two to nine which is indeed the basis for mastering multiplication skills in the higher level. This finding is in line with the findings obtained by Jasmin et al. (2010), Amilia (2011), Harries & Barmby (2007) and Barmby et al. (2009).

PENDAHULUAN

Ramai murid merasakan Matematik sebagai sesuatu koleksi hukum-hukum abstrak yang sukar difahami, menjemukan dan jarang memberi makna secara langsung kepada mereka (Kamaluddin Ahmad, 1996). Namun bukanlah mudah untuk membentuk kefahaman yang kukuh dalam diri murid kerana kebanyakan mereka mendapati Matematik adalah subjek yang amat susah untuk dipelajari dan ini menyebabkan mereka hilang minat dan tidak bermotivasi untuk belajar matematik.

Namun kini, terdapat juga beberapa orang murid yang mempunyai masalah untuk menguasai kemahiran mendarab dalam peringat yang lebih tinggi kerana tidak menguasai sifir 2 sehingga 9. Mereka sepatutnya sudah menguasai sifir apabila memasuki Tahun Empat kerana mereka akan mempelajari kemahiran mendarab yang lebih tinggi. Jikalau mereka tidak menguasai sifir 2 sehingga 9 maka proses pembelajaran dan pengajaran akan terganggu.

Murid tidak dapat menguasai sifir 2 sehingga 9 adalah kerana mereka diminta untuk menghafal sifir tersebut tanpa mengetahui konsep dan makna di sebalik sifir tersebut. Pendekatan hafalan yang melibatkan pelbagai petua dan cara ringkas telah menyebabkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran Matematik menjadi tidak bermakna (Ting, 2011). Mereka hanya disuruh untuk menghafal sifir 1 sehingga sifir 9 tanpa menguasai fakta-fakta asas darab. Sebenarnya, jika murid didedahkan dengan fakta-fakta asas darab nescaya mereka dapat menguasainya dengan bagus.

FOKUS KAJIAN

Kajian ini memberi fokus untuk membantu murid Tahun 4 Cemerlang untuk menguasai sifir 2 sehingga 9 dengan menggunakan kaedah Lukis dan Kira disamping membantu memperbaiki penguasaan murid terhadap kemahiran mendarab nombor tiga digit dengan dua digit dalam lingkungan 100 000. Kajian ini dilaksanakan setelah pengkaji mendapati bahawa murid sekolah rendah mempunyai kesukaran untuk memahami dan menjawab soalan pendaraban peringkat yang lebih tinggi. Setelah melakukan pemerhatian semasa proses pengajaran dan pembelajaran serta memberikan latihan pintas kepada keempat-empat murid tersebut, ternyata mereka mempunyai masalah penguasaan sifir 2 sehingga 9. Oleh itu, fokus kajian pengkaji adalah lebih kepada membantu murid menguasai sifir 2 sehingga 9 dengan menggunakan kaedah Lukis dan Kira yang berbentuk bantuan gambaran visual.

OBJEKTIF KAJIAN DAN SOALAN KAJIAN

Dalam mencapai tujuan kajian, berikut merupakan objektif yang telah ditetapkan: a. Membantu murid menguasai sifir 2 sehingga 9 dengan menggunakan kaedah

Lukis dan Kira.

b. Membantu murid menguasai kemahiran mendarab nombor tiga digit dengan dua digit dalam lingkungan 100 000 setelah kaedah Lukis dan Kira diperkenalkan.

Dalam mencapai tujuan kajian, berikut merupakan soalan kajian yang telah ditetapkan:

a. Apakah kaedah Lukis dan Kira dapat membantu murid menguasai sifir 2 sehingga 9?

b. Apakah murid dapat menguasai kemahiran mendarab nombor tiga digit dengan dua digit dalam lingkungan 100 000 setelah kaedah Lukis dan Kira diperkenalkan?

TINJAUAN LITERATUR

Pendaraban melibatkan dua pemboleh ubah iaitu multiplicand dan multiplier. Multiplicand merupakan nombor yang diberi dan multiplier pula ialah berapa kali nombor yang diberi itu telah ditambah. Proses ini telah menghasilkan satu produk darab. Sebagai contoh 5 kali 3 bermaksud 3 + 3 + 3 + 3 + 3 ataupun 15 (Mok, 2003).

Wallace & Gurganus (2005) pula mendefinisikan darab di dalam konteks yang lebih luas. Darab boleh dibahagikan kepada lima maksud iaitu penambahan berulang (pengumpulan dan pembahagian), satu skala, kadar, produk Cartesian dan luas. Pendaraban merupakan satu proses mudah bagi penambahan berulang bagi jumlah yang sama banyak iaitu 4 × 3 sama maksud dengan 3 + 3 + 3 + 3. Pendaraban juga melibatkan terma-terma seperti faktor (dua nombor yang terlibat dalam operasi tersebut) dan produk (keputusan daripada operasi tersebut) (Charlesworth, 2005).

Marshall (2011) berpendapat bahawa pendaraban adalah sebagai penambahan berulang. Beliau juga mendefinisikan pendaraban sebagai „Scaling of Numbers‟. Kesimpulannya, darab adalah satu proses penambahan berulang yang melibatkan jumlah yang sama banyak ataupun cara yang termudah untuk melakukan sesuatu proses penambahan berulang dengan menggunakan ayat matematik mudah.

Kaedah Lukis dan Kira merupakan satu kaedah yang berasaskan kepada teknik visualisasi. Teknik Visualisasi merupakan satu teknik yang menggunakan gambaran visual dalam melakukan operasi matematik. Kaedah ini amat sesuai untuk subjek kajian-subjek kajian yang berumur diantara 7 – 10 tahun kerana di tahap ini subjek kajian masih berada di tahap operasi konkrit. Anak-anak yang tidak mempunyai kematangan mental untuk menguasai konsep-konsep Matematik yang kompleks perlu lebih banyak pengalaman menggunakan bahan konkrit dan gambar semasa belajar (Piaget, 1952).

Proses visualisasi menyediakan subjek kajian dengan pelbagai teknik penyelesaian melalui penambahan imej visual kepada masalah matematik (Elliot, 1999). Menurut De Corte (1985) illustrasi imej visual berbentuk gambar/gambar rajah, lakaran dan jadual boleh membantu subjek kajian memahami masalah matematik yang bakal diselesaikan.

Moses (1982) pula berpendapat bahawa visualisasi merupakan satu teknik berguna dalam menyelesaikan masalah matematik. Masalah matematik merupakan sesuatu yang agak rumit dan memerlukan kefahaman yang baik sebelum dapat menyelesaikan masalah tersebut. Oleh itu visualisasi dapat menjadi pemudah cara kepada subjek kajian untuk memahami dan menyelesaikan masalah yang diberikan. Kaedah visualisasi dapat membantu subjek kajian untuk memindahkan operasi matematik yang berbentuk abstrak kepada representasi berbentukkan gambaran atau lukisan. Dengan adanya bantuan-bantuan seperti ini, mereka telah dapat memahami konsep dengan lebih mendalam dan nescaya telah berkekalan sepanjang hayat.

Jasmin et al. (2010) telah menggunakan alat yang direka sendiri iaitu „Fun Bullets‟ bagi mengatasi masalah subjek kajian mengenai konsep pendaraban. Dengan menggunakan alat ini, subjek kajian lebih menguasai konsep pendaraban terutamanya mengenai kumpulan dan ahli berbanding penerangan secara teori.