• Tidak ada hasil yang ditemukan

SEBAB-SEBAB AMERIKA SYARIKAT TERLIBAT DALAM PERANG DUNIA KEDUA

Dalam dokumen Modul Sejarah STPM Penggal 1 (Halaman 90-93)

KUASA PAKSI  Jerman (Adolf Hitler)

C) SEBAB-SEBAB AMERIKA SYARIKAT TERLIBAT DALAM PERANG DUNIA KEDUA

Barat. Oleh itu Jepun memerlukan bahan mentah dan pasaran tetapi malangnya pasaran luar negara Jepun tersekat oleh monopoli pihak Barat. Secara kebetulannya dalam tahun-tahun 1930an Jepun mengalami kemelesetan akibat penglibatan Jepun di negara China. Kegiatan tentera Jepun di China menyebabkan negara itu terpaksa membelanjakan ribuan juta yen. Yang lebih malang rakyat terpaksa menanggung cukai. Oleh itu bagi pemimpin-pemimpin Jepun dengan menguasai Korea, Manchuria, China dan seterusnya Asia Tenggara akan dapat mengatasi masalah ekonomi dan tidak lagi bergantung pada negara – negara Barat.

C) SEBAB-SEBAB AMERIKA SYARIKAT TERLIBAT DALAM PERANG DUNIA KEDUA

1) Berakhirnya Dasar Pemencilan Amerika Syarikat

Sejak bermulanya Perang Dunia Kedua, ramai rakyat Amerika berharap negara mereka akan terus aman dan mendesak supaya kerajaan mereka akan terus berkecuali. Semangat pemencilan masih lagi ketara bukan sahaja dalam kalangan rakyat Amerika tetapi juga kongres.Ini jelas apabila Kongres meluluskan tiga akta yang membayangkan sikap berkecuali dari tahun 1935 hingga tahun 1937.

Namun dasar berkecuali Amerika mulai goyah apabila Jerman meneruskan perluasan wilayah dan Jepun pula telah menyerang China. Akhirnya, pada 3 November 1939, Kongres Amerika menggubal semula Akta pengecualian supaya dapat memulakan penghantaran bahan letupan dan senjata kepada Perancis dan Britain.

Presiden Amerika pada masa tersebut, Franklin Delano Roosevelt mengumunkan tindakan ini bertujuan mengelakkan Amerika daripada terlibat dalam peperangan.

Namun sebenarnya Roosevelt mencari satu formula yang boleh memuaskan hati kedua-dua pihak di Amerika iaitu satu inginkan campur tangan dan yang satu lagi ingin terus berkecuali, dan dalam masa yang sama membenarkan beliau membantu Britain dan Perancis.

Ini menunjukkan bahawa Amerika bersedia untuk menyertai pakatan bersama-sama dengan Perancis dan Britain.

2) Reaksi Rakyat Amerika

Peringkat awalnya, rata-rata rakyat Amerika menyokong dasar pemencilan kerana mereka kecewa dengan Perang Dunia Pertama dan kegagalan perang tersebut untuk menjamin demokrasi di dunia. Peperangan yang bakal muncul di Eropah dan Timur Jauh menyebabkan rakyat Amerika ingin terus memperjuangkan keamanan dan berpegang pada dasar tidak campur tangan. Rakyat Amerika mula membaca karya-karya yang membayangkan

peperangan sesuatu yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Ramai yang mengkritik tentang penglibatan Amerika dalam perang Dunia pertama sebagai satu kesilapan dan mengkritik Wilson kerana meninggalkan dasar berkecuali Amerika serta mendakwa Amerika sebagai boneka Britain.

Namun, beberapa siri peristiwa yang berlaku menyebabkan Amerika terlibat dalam Perang Dunia Kedua. Apabila kemenangan Jerman semakin ketara, ramai pihak di Amerika mula bersetuju dengan Presiden Franklin Delano Roosevelt.

Dalam pilihan raya yang diadakan pada tahun 1940, parti Demokrat dan parti Republikan berjanji mereka akan mengekalkan sikap berkecuali. Namun sebenarnya, Roosevelt yang mewakili parti Demokrat percaya Jerman akan beroleh kemenangan kecuali jika Amerika menyertai perang. Malah, sebelum pilihan raya itu, beliau telah membuat keputusan untuk menyertai perang.

Persepsi rakyat Amerika mula berubah terhadap pegangan berkecuali Amerika pada masa itu. Menjelang tahun1941, majoriti rakyat Amerika menyokong pandangan Presiden.

Pungutan suara yang diadakan pada tahun 1941 menunjukkan lebih kurang ¾ rakyat Amerika menyokong peperangan jika tidak ada jalan lain untuk mengalahkan Jerman. Sementara itu, 4/5 lagi merasakan penyertaan Amerika tidak dapat dielakkan.

3) Hubungan Jepun – Amerika Meruncing

Di Timur Jauh, wujud konflik antara Amerika dengan keinginan Jepun untuk meluaskan kuasa di China. Menjelang tahun 1905 hingga akhir Perang Dunia Kedua, kepentingan Amerika dan Jepun di Asia Timur dan Pasifik Barat mula bertembung.

Semasa Perang Dunia Pertama, Jepun telah mengambil kesempatan untuk mengukuhkan kedudukannya di China dan ini meningkatkan kebimbangan Amerika.

Walaupun hubungan kedua-dua negara baik pada tahun 1920-an tetapi menjelang era kemelesetan 1930-an keadaan menjadi semakin tegang.

Pada masa itu, banyak perjanjian berat sebelah yang dikenakan terhadap Jepun.

Persidangan Washington pada tahun 1921 hingga 1922 telah membawa kepada termeterainya Perjanjian Kuasa Lima Laut. Dalam perjanjian itu, Jepun telah dipaksa menerima nisbah kapal perang yang lebih rendah iaitu 5:3. Jepun juga pada masa yang sama menyatakan persetujuannya tidak akan menubuhkan pangkalan baharu di Pasifik.

Perluasan kuasa Jepun ke utara China, Korea dan Manchuria membimbangkan Amerika (berbanding Britain dan Perancis) kerana tempat itu merupakan tumpuan aktiviti Amerika di Asia Timur.

Sejak tahun1933 hingga tahun 1941, dasar luar Amerika mula bertumpu pada usaha perluasan kuasa Jepun. Dengan itu Jepun mula dianggap sebagai ancaman kerana sering melanggar perjanjian antarabangsa.

Pendudukan Jepun di Manchuria menunjukkan kerajaan Jepun secara sengaja melanggar pakatan Kellogg, Perjanjian Sembilan kuasa dan Perlembagaan liga Bangsa-Bangsa.

Menjelang tahun 1933, Liga Bangsa-Bangsa enggan mengiktiraf rejim Manchuria, dan dengan itu Jepun mengambil keputusan keluar daripada pertubuhan itu pada bulan Februari 1933. Pertembungan kepentingan Amerika dan Jepun berdasarkan tiga perkara utama iaitu cita-cita

kebangsaan, perdagangan, dan ras.

Apabila Jepun menjadi kuat, Jepun cuba mengawal Timur Jauh. Dengan itu cita-cita Jepun bertembung dengan kepentingan Amerika. Sebelum itu sudah ada kemungkinan Jepun akan menjajah Hawaii sekiranya Amerika tidak melakukannya. Malah Presiden Theodore Roosevelt pernah menyatakan beliau sedar akan bahaya daripada Jepun.

Dari aspek perdagangan, Amerika bergantung pada Timur Jauh bagi mendapatkan bekalan bahan mentah seperti timah dan getah. Sekiranya Timur Jauh dikawal oleh Jepun, sudah tentu Amerika akan menghadapi masalah.

Masalah ras juga menjadi salah satu punca konflik Jepun dengan Amerika. Undang-undang Imigresen Amerika yang ditujukan kepada bangsa Jepun dan China telah menimbulkan kemarahan. Kebencian Jepun terhadap undang-undang imigrasi Amerika telah membakar kontroversi ini.

Di California contohnya, undang-undang telah diluluskan bagi memisahkan orang Jepun dari penduduk kulit putih. Buruh Jepun juga dikenakan kod-kod tertentu contohnya dalam soal memiliki tanah.

Apabila Jepun menyertai Jerman dan Itali dalam Pakatan Tiga Kuasa pada 27 September 1940, Jepun telah meneruskan serangannya dengan lebih yakin. Jepun berjaya mengambil alih Indochina dar Perancis dan mengancam menjajah Thai.

Amerika memberi amaran sekiranya Jepun meneruskan perluasan tenteranya di negara-negara Asia, Amerika akan mengambil langkah yang perlu bagi mempertahankan hak dan kepentingannya.

Amerika telah mengenakan sekatan ekonomi pada 25 Julai 1941 bagi menyekat kemaraan Jepun.

Ini menyebabkan Jepun mengambil langkah yang lebih agresif apabila Jepun di bawah Perdana Menteri baharu, Jeneral Tojo Hideki mengisytiharkan tiada sesiapa yang boleh menghalang negaranya menceroboh China.

4) Pengeboman Pearl Harbour

Tindakan yang membawa Amerika ke kancah Perang Dunia Kedua berlaku di Pasifik dan bukannya di Atlantik. Pihak yang memulakannya ialah Jepun dan bukannya Jerman.

Pada 7 Disember 1941, tanpa amaran Jepun telah menyerang dan mengebom Pearl Harbour di Hawaii. Serangan mengejut Jepun terhadap Pearl Harbour telah membawa kecederaan kepada 1200 orang dan mengorbankan 2400 orang.

Pada hari yang sama, Jepun seterusnya mengambil kesempatan melancarkan serangan besar-besaran terhadap Kepulauan Filipina, Goa, Kepulauan Midway dan Hong Kong.

Kapal perang British Prince of Wales dan Repulse yang berada di Laut China Selatan berhampiran pantai timur Semenanjung Tanah Melayu telah ditenggelamkan.

Kongres Amerika mengisytiharkan perang terhadap jepun keesokan harinya. Beberapa hari kemudian, pada 11 Disember 1941, Jerman dan Itali mengisytiharkan perang terhadap Amerika.

Dengan itu bermulalah penglibatan Amerika dalam Perang Dunia Kedua dengan rasminya di rantau Pasifik.

Dalam dokumen Modul Sejarah STPM Penggal 1 (Halaman 90-93)