• Tidak ada hasil yang ditemukan

KEMAJUAN PENDIDIKAN

Dalam dokumen Modul Sejarah STPM Penggal 1 (Halaman 32-36)

a) Proses perubahan pendidikan di Perancis dan Jerman (abad ke-18 hingga 19) Proses Perubahan Pendidikan di Perancis.

Pada abad ke-18, kebanyakan sekolah di Perancis merupakan sekolah-sekolah swasta yang dikendalikan oleh institusi Gereja Katholik. Pendidikan hanya terhad untuk golongan bangsawan sahaja kerana golongan rakyat biasa tidak mampu membayar yuran persekolahan yang tinggi.

Pada abad ke-19, Perancis telah menyusun semula sistem pendidikannya iaitu pada era pemerintahan Napoleon Bonaparte sebagai konsul pertama (1800-1804). Napoleon telah memperkenalkan sistem pendidikan yang menyeluruh. Beliau menyediakan pendidikan percuma untuk rakyat Perancis. Satu dasar pendidikan yang baru juga telah dibentuk. Sekolah-sekolah rendah telah diwujudkan dan letakan di bawah pengawasan prefects (ketua-ketua) atau

sub-prefects (ketua-ketua kecil).

Sekolah menengah atau sekolah grammar harus memberikan satu latihan istimewa dalam bahasa Perancis, Latin dan sains permulaan dan haruslah di bawah kawalan kerajaan.Beliau telah mendirikan sekolah-sekolah tinggi atau Kolej Awam yang dipanggil sebagai lycees. Tujuan penubuhan sekolah-sekolah ini ialah untuk memajukan pendidikan secara saintifik serta melahirkan rakyat yang sepenuhnya taat setia kepada negara dan patuh kepada idea tentera. Terdapat juga sekolah aliran agama atau teologi yang memberi penekanan kepada pengajian agama Katholik.

Napaleon Bonaparte juga mendirikan banyak sekolah teknik dengan tujuan untuk memajukan proses perindustrian, di samping mencari proses-proses dan kaedah-kaedah baru dalam memajukan bidang tersebut di samping menggalakkan penghasilan ciptaan-ciptaan baru. Antara sekolah-sekolah teknik yang ditubuhkan ialah Politeknik Paris, Sekolah Tinggi Pengajian Perniagaan dan Konservatori kebangsaan bagi sastera dan perdagangan.

Institusi pengajian tinggi turut disediakan untuk rakyat Perancis. Pada tahun 1808, Napoleon telah mengeluarkan undang-undang imperial yang memberikan kuasa kepada kerajaan untuk menubuhkan sebuah universiti. Menurut undang-undang itu, bidang pendidikan di Perancis terletek di bawah pengawasan Universiti Perancis. Universiti Perancis dan cawangan-cawangannya telah ditubuhkan di banyak wilayah bagi menberikan pendidikan tinggi kepada rakyat Perancis. Universiti itu turut berperanan sebagai badan induk yang menyelia semua institusi pendidikan di Perancis. Penubuhan Universiti Perancis merupakan sumbangan besar Napoleon kepada perkembangan pendidikan tinggi di Perancis.

Bagi memantapkan lagi bidang pendidikan di Perancis, Napoleon juga telah menubuhkan sebuah sekolah latihan perguruan untuk melatih pelajar-pelajar lepasan lycees dalam bidang perguruan. Institusi yang dikenali sebagai ―superior normal school‖ itu melatih bakal-bakal guru tentang kaedah pengajaran serta menyediakan latihan praktikal. Mereka akan dilatih selama dua tahun. Pada tahun l815, latihan perguruan telah ditambah kepada tiga tahun.

Pada tahun 1880-an, Menteri Perhubungan Awam, Jeles Ferry telah mengasaskan sekolah moden dan diwajibkan kepada semua kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berusia antara 6 hingga 12 tahun. Pada abad ke-18, usaha-usaha telah diambil oleh pemerintah Perancis untuk meluaskan pendidikan di kalangan belia. Subjek-subjek baru seperti sains, vernakular dan matematik diperkenalkan. Pada abad ke-18 juga muncul satu aliran pendidikan baru yang disebut realisme. Realisme bermaksud pelajaran atau fahaman tentang keadaan yang sebenar-benarnya, cara berfikir dan kesenian yang berpegang kepada kebenaran yang nyata dan kepada penyaksian pancaindera. Pendidikan mengikut aliran ini berdasarkan tiga asas yang penting iaitu:

i. Kesanggupan untuk memiliki berbagai-bagai ilmu pengetahuan tentang pelajaran ilmu alam dan ilmu bumi.

ii. Bahasa ibunda juga digunakan sebagai alat untuk memperolehi pengetahuan selain bahasa Greek dan Latin.

iii. Pengajaran berasaskan kaedah pengamatan, pengalaman dan induksi percubaan. Pendidikan yang disediakan oleh kerajaan Perancis kepada rakyat telah menwujudkan masyarakat yang berpelajaran di mana majoriti masyarakat Perancis merupakan mereka yang celik huruf.

Proses Perubahan Pendidikan di Jerman.

Gerakan memajukan sistem pendidikan di Jerman dimulakan oleh Martin Luther (1483-1546), dengan tujuan agar setiap orang akan dapat membaca, mengkaji dan memahami kitab Bible. Bagi tujuan tersebut, beliau mencadangkan agar setiap bandar dan kampung di Jerman mengadakan sebuah sekolah untuk mendidik pelajar-pelajar lelaki dan juga perempuan. Di dalam bukunya yang bertajuk Discourse on the Duty of Sending Children to School, beliau telah menggesa agar kerajaan menyediakan sekolah yang mendaftar kehadiran pelajar-pelajarnya atau mewajibkan kehadiran mereka ke sekolah. Beliau menekankan kepentingan menghantar kanak-kanak ke sekolah dan kepentingan sistem pendidikan. Beliau juga menekankan kepentingan pendidikan formal yang disertai dengan latihan pertukangan.

Menjelang abad ke-18, Johann Heinrich Pestalozzi (1746-1827) telah mengasaskan beberapa teori pedagogi moden dan pendekatan-pendekatan pengajaran yang digunakan di seluruh dunia. Teori-teori pendidikan beliau telah memberi ilham kepada Friedrich Froebel bagi mendirikan pusat didikan kanak-kanak prasekolah yang pertama di dunia.

Pada tahun 1713, pemerintah Prusia, Frederic William I (1713-1740) mengisytiharkan undang-undang bagi sekolah-sekolah Latin dan sekolah yang dikendalikan oleh golongan mubaligh. Manakala pada tahun 1717 baginda telah mengeluarkan ―Advisory Order‖ yang mewajibkan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah. Ibu bapa yang gagal menyekolahkan anak mereka akan dikenakan bayaran denda.

Pada tahun 1717 juga kerajaan Prussia telah menubuhkan sekolah-sekolah volksschule atau sekolah-sekolah rendah bantuan kerajaan. Empayar Habsburg-Austria juga turut menubuhkan sekolah-sekolah volksschule pada tahun 1840. Sistem sekolah tersebut mewajibkan kehadiran pelajar dan pelajaran diberikan secara percuma. Di sekolah-sekolah berkenaan pelajar-pelajar akan dididik selama lapan tahun dan mereka dikehendaki mempelajar-pelajari subjek-subjek kemahiran menulis, membaca, arithmetik (ilmu matematik), etnik dan sebagainya.

Bagi memantapkan sistem pendidikan dan mempertingkatkan mutu pengajaran, pensijilan dan piawaian negeri kepada para pendidik telah dilaksanakan pada tahun 1810.

Pelaksanaan peperiksaan akhir bagi mengakhiri peringkat persekolah dimulakan pada tahun 1788, serta dilaksanakan oleh kerajaan Prussia bagi semua sekolah menengah pada tahun 1812. Menjelang tahun 1871, semua sekolah di Jerman telah melaksanakannya.

Penyatuan dan pembentukan negara bangsa Jerman pada tahun 1871 oleh Otto Von Bismarck, telah membawa kepada berlakunya pemusatan pendidikan di negara Jerman. Penyelarasan dan penyeragaman dalam bidang pendidikan dapat dilakukan di seluruh Jerman. Lebih banyak sekolah-sekolah peringkat menengah telah ditubuhkan, termasuk sekolah menengah yang dikhaskan untuk pelajar perempuan.

Kerajaan Jerman turut memberi penekanan kepada pendidikan teknologi untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang perindustrian dan perdagangan. Bagi tujuan tersebut, sistem pendidikan telah diubah suai dengan memberi keutamaan kepada pelajaran teknikal. Selain itu, sekolah-sekolah teknik dan perdagangan telah ditubuhkan.

Banyak universiti telah ditubuhkan untuk memberikan pelajaran tinggi kepada rakyat Jerman. Antaranya ialah seperti Universiti Berlin, Universiti Munich, Universiti Bonn dan lain-lain. Kebanyakan universiti tersebut telah ditubuhkan sebelum penyatuan Jerman lagi dan ditubuhkan oleh kerajaan-kerajaan negeri. Pengajian yang ditawarkan di universiti-universiti di Jerman ialah pengajian Teologi, Undang-undang, Perubatan dan Falsafah. Fakulti Falsafah menawarkan pengajian Sejarah, Matematik, Geografi, Kesusasteraan, dan lain-lain.

Secara umumnya, hampir semua institusi pendidikan dan pusat pengajian di Jerman mempunyai mutu yang standard dan berkualiti cemerlang. Lebih daripada itu, sistem pendidikan awam Jerman membolehkan semua kanak-kanak yang berkelayakan belajar sehingga ke peringkat universiti tanpa mengira status dan latar belakang kewangan keluarga mereka.

Seperti negara-negara maju yang lain, pendidikan di Jerman menawarkan keunggulan komparatif yang pelbagai. Antaranya ialah sumbangan dana pendidikan dari pihak kerajaan dan badan swasta Jerman (Industri, Institusi, Lembaga Penelitian dan lain-lain) adalah cukup besar sehingga membolehkan kemudahan dan prasarana pendidikan adalah cukup memadai serta bertaraf antarabangsa. Standard kualiti pendidikan tinggi di Jerman sangat ketat sehingga kualiti di antara sebuah universiti dengan universiti yang lain adalah relatif sama. Selain itu, sistem dan silibus pendidikan membolehkan pelajar yang dilahirkan adalah berkualiti dari segi teori dan praktikal, menjurus kepada industri dan sekaligus memenuhi kehendak pasaran kerja.

Pendidikan di Jerman berjaya melahirkan rakyat yang berpelajaran dan menjadikan Jerman sebagai sebuah negara maju.

TEMA 4: NASIONALISME DAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA

Dalam dokumen Modul Sejarah STPM Penggal 1 (Halaman 32-36)