• Tidak ada hasil yang ditemukan

SEBAB-SEBAB JEPUN TERLIBAT DALAM PERANG DUNIA KEDUA 1) Hubungan Amerika-Jepun Meruncing

Dalam dokumen Modul Sejarah STPM Penggal 1 (Halaman 87-90)

KUASA PAKSI  Jerman (Adolf Hitler)

C) SEBAB-SEBAB JEPUN TERLIBAT DALAM PERANG DUNIA KEDUA 1) Hubungan Amerika-Jepun Meruncing

Apabila tentera Jepun menduduki Manchuria dan seterusnya menceroboh negara China, negara-negara Barat terutama Amerika Syarikat telah memprotes tindakan Jepun. Amerika telah bertindak balas dan mendesak Jepun keluar dari negara China atau menghadapi sekatan perdagangan dari Amerika dan disokong oleh beberapa negara-negara lain. Apabila Jepun tidak menghiraukannya, Amerika telah melaksanakan amarannya. Pada awal 1941 kiriman besi keluli, logam-logam yang diperlukan, mesin-mesin, gasolin mutu tinggi serta jentera dan pelan membuat gasolin dari Amerika ke negeri Jepun telah terbengkalai.

Pihak Jepun tidak berganjak sebaliknya menunjukkan sikap yang lebih agresif dengan melancarkan serangan ke atas Indochina pada Julai 1941. Sebenarnya Jepun telah mendapat kebenaran memasuki Indochina sejak bulan Mac dari pihak berkuasa Perancis di situ. Sikap berani Jepun menambah kemarahan Amerika menyebabkan Amerika bertindak lebih tegas. Bermula Julai, Amerika telah menyekat semua eksport ke negara Jepun di Amerika.

Tindakan Amerika dan sekutunya itu menyebabkan hubungan Amerika-Jepun menjadi semakin serius. Tindakan Amerika telah menjejaskan kedudukan Jepun. Navy Jeneral Staff telah memberi amaran kepada Kerajaan Jepun bahawa dengan sekatan itu bermakna Jepun mempunyai kemampuan bertahan selama dua tahun dan jika tiada tindakan diambil sehingga Oktober, kedudukan Jepun akan menjadi lebih terancam. Perdana Menteri Putera Konoye telah berusaha mengadakan perundingan dengan Amerika tetapi gagal. Akibatnya beliau meletakkan jawatan pada bulan Oktober diganti oleh Jeneral Tojo Hideki.

Sebelumnya pemimpin-pemimpin Jepun terutama pihak tentera telah mengambil keputusan akan berperang dengan Amerika jika perundingan terutama mengenai bekalan minyak tidak dapat diselesaikan. Apa yang dijangka memang berlaku apabila perundingan gagal kerana Amerika mendesak Jepun keluar dari China dan Indochina. Dengan itu peperangan tidak dapat dielakkan.

Sungguhpun keputusan telah diambil oleh kerajaan Jepun untuk berperang, namun perundingan dengan Amerika masih diteruskan dengan tujuan mengabui mata dunia dan melengah-lengahkan masa agar tentera Jepun dapat berlatih dan mempersiapkan diri untuk melancarkan serangan. Pihak Jepun telah membuat keputusan jika peperangan dilancarkan ke atas Pearl Harbour dengan serentak tentera Jepun akan dihantar dan menawan Asia Tenggara dan pulau-pulau di barat daya Lautan Pasifik. Bagi Jepun penaklukan Asia Tenggara amat penting kerana dari daerah-daerah ini Jepun boleh mendapatkan bekalan minyak dan bahan galian yang lain.

2) Peperangan di Eropah

Pada 1 Sept 1939 tentera Jerman telah menyerang Poland. Oleh sebab Britain dan Perancis mempunyai perjanjian dengan Poland, menyebabkan kedua-duanya mengisytiharkan perang ke atas Jerman. Pada 1940 tentera Jerman telah berjaya menawan Perancis dan ini memberi pukulan hebat kepada Britain. Ketika ini Amerika Syarikat bersikap berkecuali dan ini menambahkan lagi kesulitan pihak Britain untuk menghadapi Jerman.

Peperangan di Eropah dan kedudukan Britain serta Perancis yang terancam menyebabkan kedua-duanya tidak dapat memberi perhatian ke atas tanah jajahannya di timur. Kekosongan ini telah memberi peluang kepada Jepun yang selama ini menyimpan perasaan dendam terhadap barat untuk mengambil alih kuasa di timur.

Pergerakan tentera Jepun tidak akan mendapat halangan dari kuasa berat kecuali angkatan laut Amerika di Pasifik yang berpangkalan di Pearl Harbour. Oleh itu pemimpin-pemimpin tentera berpendapat jika kekuatan Amerika itu dilumpuhkan bermakna tentera Jepun dapat bergerak dengan bebas dan menjadi kuasa teragung di timur.

3) Jepun dan Kuasa Paksi

Hubungan rapat antara Jepun dengan Jerman telah bermula di akhir-akhir zaman pemerintahan Maharaja Meiji. Ketika ini Jepun telah terpengaruh dengan sistem pemerintahan Nazi di Jerman. Hubungan kedua-duanya bertambah erat apabila Jepun dan Jerman menandatangani perjanjian anti-Komunis pada 1936 yang bertujuan menentang Rusia, musuh jepun di timur Jauh dan musuh Jerman di Eropah.

Di dalam negeri, sambutan terhadap hubungan dengan Jerman adalah besar kerana sebahagian pemimpin tentera, pemimpin-pemimpin awam termasuk Kerajaan Hiranoma Kiichiro sangat cenderung kepada persahabatan dengan Jerman. Malangnya Kerajaan Jerman tidak akan membuat sebarang perjanjian dengan kerajaan Jepun jika pihak Jepun tidak mahu melibatkan dirinya menentang Amerika Syarikat dan Britain. Desakan ini ditolak oleh pihak angkatan laut. Keadaan ini menyebabkan hubungan Jepun-Jerman mula tidak menyenangkan.

Hubungan Jepun-Jerman menjadi semakin buruk apabila Jerman menandatangani perjanjian dengan Rusia pada bulan Ogos 1939 di mana kedua-dua pihak bersetuju tidak akan serang menyerang antara satu dengan lain. Tindakan Jerman menimbulkan rasa kurang senang dan Jerman dituduh belot. Peristiwa ini menyebabkan Jepun mula mengalihkan pandangan kepada Amerika dan Britain. Percubaan ini telah dijalankan oleh kerajaan Admiral Yonai Mitsumasa yang bersifat pro Amerika dan Britain.

Sikap Jepun terhadap Jerman mula berubah apabila pada akhir musim bunga 1940, tentera Jerman telah memperoleh kemenangan-kemenangan besar di Eropah dan tanda-tanda kejatuhan Britain mulai kelihatan. Keadaan-keadaan ini telah menyebabkan desakan-desakan supaya diadakan persahabatan dengan Jerman timbul semula. Perhubungan Jepun-Jerman bertambah kukuh apabila kerajaan Yonai digulingkan pada Julai 1940 dan diganti oleh kerajaan Putera Konoye bagi kali kedua. Kabinet Konoye dianggap militan kerana di kalangan anggota-anggota dewan terdapat golongan anti Amerika dan Britain. Di antaranya ialah

Jeneral Tojo, wakil angkatan tentera, Hoshino, Menteri Tanpa Jawatan dan Ketua Perancang dan Matsuoka, Menteri Luar.

Hubungan rapat sampai kemuncaknya apabila kerajaan Jepun menandatangani tripartite Pact dalam bulan September 1940 dengan Jerman dan Itali. Di antara syarat perjanjian ialah salah satu dari mereka akan melibatkan diri dalam peperangan membantu pihak yang terlibat dalam peperangan. Syarat ini mendorong semangat keberanian Jepun untuk berperang dengan Amerika dan sekutunya serta polisi meluaskan empayar Jepun di seberang laut.

4) Sentimen Anti Barat

Pertambahan penduduk yang begitu pesat telah menimbulkan masalah sosial bagi negeri Jepun kerana ia tidak mempunyai tanah yang cukup untuk menampung penduduk yang ramai. Pada tahun 1872 Jepun mempunyai penduduk seramai 35 juta tetapi pada t1930 jumlah itu meningkat menjadi 65 juta. Salah satu cara untuk mengatasi masalah penduduk ialah melakukan perpindahan ke negara-negara lain.

Pada mulanya ramai orang-orang Jepun berhijrah ke Korea, Manchuria dan Farmosa tetapi lama-kelamaan negara-negara tersebut dianggap tidak sesuai kerana taraf hidup orang tempatan masih rendah. Oleh itu orang Jepun telah memilih negara lain iaitu Amerika Syarikat dan Australia. Selepas tahun1900 terdapat kira-kira 24 000 orang Jepun yang berhijrah ke Amerika Syarikat. Pada 1910 terdapat kira-kira 72 000 orang Jepun di California dan pada 1920 terdapat kira-kira 110 000 orang Jepun di kawasan Pantai Laut Pasifik.

Kemasukan orang-orang jepun yang begitu ramai telah menimbulkan kebimbangan kepada kerajaan Amerika dan langkah-langkah telah diambil untuk menyekat kemasukan orang Jepun ke Amerika. Pada 1907 satu perjanjian telah dibuat antara Amerika-Jepun yang diberi nama ―Perjanjian Persefahaman‖ (Gentlement Agreement) di mana kerajaan Jepun bersetuju tidak akan mengeluarkan pasport buruh untuk orang Jepun di Amerika. Sebelumnya iaitu pada 1902 Presiden Roosevelt telah mengadakan undang-undang menyekat kemasukan orang Jepun ke Hawaii. Undang-undang yang melarang kemasukan orang Jepun dikuatkuasakan apabila Undang-undang Imigresen ditandatangani oleh Presiden Coolidge pada 1924. Orang-orang Jepun telah digolongkan sama dengan orang-orang Asia yang lain.

Tindakan kerajaan Amerika itu telah menimbulkan kemarahan orang-orang Jepun kerana ia dianggap satu penghinaan kepada orang Jepun. Tuan Hanahira, menteri jepun ke Washington sendiri telah memberi amaran kepada Amerika bahawa tindakan itu akan menimbulkan akibat yang buruk. Rasa marah orang Jepun semakin memuncak apabila pada 1931 kerajaan negeri California telah mengadakan undang-undang tidak akan memberi kerakyatan kepada orang Jepun. Tindakan ini dianggap keterlaluan.

Pemimpin politik dan tentera serta golongan nasionalis telah menggunakan isu ini untuk memarakkan perasaan anti-Amerika dan anti-Barat. Perasaan marah dan dendam Jepun terhadap Barat telah pun wujud sebelumnya. Jepun tidak dapat melupakan bagaimana Jepun terpaksa mengalah atas desakan tiga kuasa Barat mengenai masalah Semenanjung Liaotung pada 1895.

5) Pembesaran Angkatan Laut.

Sejak diadakan persidangan Washington pada 1921 – 22 untuk mengehadkan perlumbaan senjata (angkatan laut) dan seterusnya Persidangan Perlucutan Senjata di London pada 1930, kalangan pemimpin tentera dan golongan nasionalis yang ekstrem telah menentangnya kerana ia akan mengurangkan kekuatan tentera Jepun.

Pada bulan Disember 1934, pihak Jepun telah menyatakan bantahannya terhadap Persidangan Washington itu dan menuntut kadar kekuatan yang sama di persidangan yang akan datang. Malangnya permintaan pihak Jepun tidak mendapat sambutan dan oleh sebab itu Jepun

menarik diri dari Persidangan Perlucutan Senjata yang akan diadakan di London pada 1935 – 36. Dengan menarik diri telah memberi peluang kepada Jepun untuk membesarkan angkatan lautnya. Sejak tahun 1937 Jepun telah membina angkatan lautnya secara besar-besaran yang dilakukan secara rahsia. Sungguhpun kemudiannya pihak Amerika Syarikat dan Britain telah dapat mengesannya, perkara yang tidak dapat disangkal lagi sejak 1940 Jepun telah mempunyai angkatan laut yang terkuat di Timur Jauh.

6) Faktor Dalam Negeri.

Keadaan dalam negeri juga telah mempengaruhi Jepun terlibat dalam kancah peperangan. Pertama, bermula tahun1931 pemimpin tentera mula menguasai pucuk pimpinan. Sebahagian besar dari mereka berpendapat bahawa perluasan wilayah menyebabkan negara Jepun tidak dapat mengelakkan diri dari melakukan pencerobohan dan mengenepikan kedaulatan negara-negara jiran.

Dalam dokumen Modul Sejarah STPM Penggal 1 (Halaman 87-90)