• Tidak ada hasil yang ditemukan

TRANSFORMASI YANG BERLAKU DI CHINA

Dalam dokumen Modul Sejarah STPM Penggal 1 (Halaman 48-52)

1) GERAKAN MENGUATKAN DIRI (Self Strengthening) 1861 – 1895 A) PENGENALAN

Mulai pertengahan abad ke-19, negara China menghadapi banyak masalah dalaman mahupun dengan kuasa Barat. Pemerintah China bukan sahaja menghadapi tekanan dari kuasa Barat akibat kalah dalam Perang Candu Pertama dan Kedua, malahan juga menghadapi pemberontakan dalam negeri yang turut menjejaskan kewibawaan pemerintahan Dinasti Manchu. Contohnya tercetus Pemberontakan Taiping (1851 – 1864) dan pemberontakan Nien atau Pemberontakan Muslim (1853 -1868). Peristiwa-peristiwa sedemikian menyebabkan timbulnya kesedaran di kalangan beberapa orang pegawai Istana Manchu dan pemimpin-pemimpin wilayah seperti Putera Kung, Feng kuei-fen, Tseng Kuo Fan, Li Hung Chang dan Tso Tsung Tang mengenai keperluan menguatkan dan memodenkan negara China. Pembaharuan ini berasaskan kebudayaan dan teknologi barat bagi memulihkan kembali imej negara China agar setanding dengan kuasa-kuasa barat.

Gerakan ini dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu di peringkat pusat dan wilayah yang meliputi pelbagai bidang seperti hubungan diplomatik, pendidikan, ketenteraan, ekonomi, sistem pengangkutan, perhubungan serta pentadbiran. Di peringkat pusat ia dilaksanakan oleh pegawai Istana Manchu seperti Putera Kung dan Putera Wensiang. Sementara di peringkat wilayah pula ia dilaksanakan oleh pegawai-pegawai wilayah seperti Tseng Kuo Fan, Li Hung Chang dan Tso Tsung Tang.

B) USAHA-USAHA GERAKAN MENGUATKAN DIRI 1) PERINGKAT PUSAT

i) Hubungan diplomatik

a) Kekuatan negara-negara barat berasaskan teknologi moden telah menyedarkan negara China tentang pentingnya menjalinkan hubungan baik dengan kuasa-kuasa barat. Bagi mencapai hasrat tersebut, China mula memulihkan hubungan diplomatik negaranya dengan kuasa-kuasa Barat yang sebelum ini diabaikan. Sehubungan itu, Gerakan Menguatkan Diri memberi tumpuan utama terhadap hubungan diplomatiknya dengan negara-negara luar khususnya dengan negara barat bagi menguatkan ketenteraannya.

b) Oleh itu pada 11 Mac 1861, Kerajaan Manchu telah menubuhkan Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri yang dikenali sebagai Tsungli Yamen di Peking. Tsungli Yamen akan menguruskan hubungan diplomatik negara China dengan negara luar khususnya dengan negara-negara barat.

c) Melalui institusi baru ini, China berharap dapat mewujudkan hubungan yang lebih erat dengan kuasa-kuasa barat. Tsungli Yamen diketuai oleh Putera Kung dan diletakkan di bawah Majlis Tertinggi (Grand Council). Putera Kung telah melantik Horatio Nelson seorang pegawai Inggeris sebagai Inspector General di institusi tersebut.

d) bagi menjalankan polisi ini, Kerajaan Manchu telah membenarkan penubuhan Pejabat Perwakilan Asing di Peking serta beberapa Pejabat Kedutaan china di Luar Negara. Mulai tahun 1866, Kerajaan Manchu telah memulakan langkah pertama dengan menghantar satu rombongan wakil negaranya melawat Eropah seperti Britain, Amerika Syarikat, Perancis, Belgium, Prusia, Denmark, Sweden, Sepanyol, Belanda dan Rusia. Hasilnya beberapa pejabat Kedutaan China telah berjaya ditubuhkan di London, Berlin, Paris, Washington, dan St. Petersburg.

e) Kejayaan hubungan ini telah merintis jalan bagi negara China untuk mula mempelajari teknologi barat untuk menguat dan memodenkan negara China. Ia juga telah mengesahkan bahawa China mula mengakui hubungan diplomatik dengan negara-negara Barat berdasarkan prinsip persamaan taraf.

ii) Pendidikan

a) Bidang pendidikan memainkan peranan yang cukup penting dan berkesan untuk memajukan serta memodenkan negara China. Sehubungan itu Kerajaan Manchu menggalakkan pegawai-pegawainya agar mempelajari bahasa asing serta menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan Barat. Dengan mempelajari bahasa asing, pegawai-pegawai diplomatik negara China dapat berurusan dengan orang – orang Barat lebih cepat dan berkesan di samping dapat mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua belah pihak.

b) Bagi mendalami bahasa asing, beberapa buah maktab bahasa ditubuhkan. Antaranya ialah Tung Weng Kuan yang ditubuhkan di Peking pada tahun 1862 di bawah kelolaan W.A.P. Martin selaku penguasa maktab tersebut.

c) Penubuhan Tung Weng Kuan menandakan bermulanya pendidikan barat di negara china. Di maktab ini, pegawai Manchu boleh mempelajari bahasa asing dan menambahkan pengetahuan mereka mengenai hal ehwal luar negeri. Pada awalnya belajar Bahasa Inggeris sahaja tetapi kemudiannya diperluaskan kepada bahasa lain seperti bahasa Rusia, Perancis, Jerman dan Jepun. Selain bahasa, ia juga menyediakan pelajaran barat seperti matematik, astronomi, sains, ekonomi, politik dan undang-undang barat. Ia juga berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan

pusat penterjemahan buku-buku asing bagi mempercepatkan proses untuk menyebarkan pengetahuan dan teknologi barat.

d) Melihat kejayaan Tung Weng Kuan, maka Kerajaan Manchu telah menubuhkan beberapa lagi maktab bahasa lain di Shanghai (1863), Canton dan Kwangtung (1864) serta Foochow (1866) e) Kerajaan Manchu juga menggalakkan pelajar-pelajarnya melanjutkan pelajaran ke luar negara

bagi mempelajari teknologi barat. Sehubungan itu kerajaan telah menghantar seramai 120 orang pelajarnya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat antara tahun 1872 hingga 1881. Pada tahun 1871, seramai 30 orang pelajar telah di hantar ke Britain dan Perancis.

2) PERINGKAT WILAYAH i) Ketenteraan

a) Strategi untuk menguatkan negara China tidak boleh dipisahkan dengan bidang ketenteraan. Pemimpin-pemimpin China berpendapat bahawa pemodenan dalam bidang ketenteraan amat perlu untuk mengembalikan dan memulihkan kekuatan negara China agar setanding dengan negara-negara barat. Mereka menyedari bahawa kekalahan China di tangan Inggeris dalam peperangan sebelum ini bukan disebabkan oleh kelemahan tentera, tetapi sebenarnya berpunca daripada ketiadaan peralatan senjata dan teknik ketenteraan yang moden.

b) Oleh itu, pemimpin-pemimpin Manchu seperti putera Kung dan Putera Wensiang berpendapat bahawa untuk menguatkan negara China, mereka perlu memodenkan angkatan tentera berasaskan teknologi barat seperti menggunakan senjata api, kapal perang serta tentera yang cukup terlatih dengan teknik ketenteraan Barat.

c) Bagi memodenkan ketenteraan negara China, beberapa gudang senjata limbungan kapal telah dibina. Sebuah kilang senjata api terbesar iaitu Kilang Senjata Kiangnan telah didirikan oleh Tseng Kuo-fan dan Li Hung Chang di Shanghai pada tahun 1865. Kilang ini mempunyai 32 buah bangunan, 2000 pekerja dan mengeluarkan 454 kg serbuk letup setiap hari. Di samping menghasilkan senapang, meriam dan peluru ia juga telah menghasilkan 8 buah kapal perang.

d) Pada tahun 1868, Kilang Senjata Kiangnan telah menyediakan sebuah sekolah tentera untuk memberi latihan ketenteraan kepada pekerja. Ia juga menyediakan pusat penterjemahan dalam bidang ketenteraan dan kejuruteraan asing ke dalam bahasa Cina.

e) Kilang senjata api yang lain ialah di Foochow yang dibina pada tahun 1866 atas usaha Tso Tsung Tang. Ia telah berjaya menghasilkan 10 buah kapal perang dan 15 buah bot peronda. f) Bagi memperhebatkan pemodenan ketenteraan, beberapa maktab tentera dan sekolah teknikal

telah dibina. Li Hung Chang telah membina sebuah Maktab Tentera Laut pada tahun 1880 dan Maktab Tentera Darat pada tahun 1885 di Tientsin.

g) Li Hung Chang juga menubuhkan angkatan tentera laut yang kuat untuk mempertahankan perairan negara China demi memastikan kepentingan ekonomi perdagangan terjamin. Antaranya Angkatan Tentera Laut Nanyang (17 buah kapal perang), Angkatan Tentera Laut Peiyang (15 buah kapal perang), Angkatan Tentera Laut Hokkien (11 buah kapal perang) dan Angkatan Tentera Laut Kwangtung.

h) Kerajaan Manchu juga menghantar pegawai-pegawai China ke Eropah (Jerman)untuk mempelajari sains ketenteraan.

ii) Ekonomi

a) Sektor ekonomi diberi perhatian untuk memperkayakan negara China. Hasil kekayaan membolehkan kerajaan mengatur strategi bagi menguatkan dan memodenkan negara itu. Li

Hung Chang berpendapat ―Kelemahan China adalah kerana kemiskinan negaranya, sebaliknya kekuatan negara-negara barat adalah disebabkan oleh kekayaan yang mereka miliki.

b) Kehadiran imperialisme Barat telah menyebabkan ekonomi sara diri yang diamalkan merosot. Keadaan semakin rumit apabila China terpaksa menanggung beban hutang kerana kekalahan dalam peperangan. Perjanjian-perjanjian berat sebelah yang ditandatangani dengan Barat secara terang merugikan negara China dan ini telah menyuntik kesedaran di kalangan pemimpin China.

c) bagi memajukan dan memodenkan ekonomi negara China Li Hung Chang bersama dengan beberapa pegawai lain telah menjana beberapa projek ekonomi berdasarkan prinsip “penyeliaan kerajaan dan pengelolaan saudagar-saudagar”. Melalui prinsip ini, projek-projek ekonomi akan dikendalikan oleg golongan saudagar di bawah pengawasan pegawai kerajaan. Bermakna sebahagian besar keuntungan akan dimiliki oleh pihak kerajaan. Kerajaan Manchu menggalakkan rakyatnya memulakan industri tempatan secara kecil-kecilan kerana ia dapat menyumbangkan pendapatan yang lebih baik kepada penduduk dan negara.

d) Beberapa projek ekonomi telah dirangka dan dilaksanakan. Antaranya ialah:

 Pada tahun 1872, China Merchants Steam Navigation Company ditubuhkan.

 Syarikat perlombongan arang batu ditubuhkan di Kaiping dengan bantuan jurutera Barat.  Kilang tekstil yang pertama ditubuhkan di Shanghai. Kilang Kain Kapas ini

menghasilkan kain kapas yang berkualiti tinggi.  Lombong besi Ta-yeh di Hupei.

 Kilang kertas di Shanghai

 Membina landasan kereta api pertama menghubungkan Shanghai – Tientsin dengan kerjasama Syarikat Jardine dan Matheson.

 Menubuhkan sistem telegraf

 Sistem perhubungan dipercepatkan lagi dengan terlaksananya sistem pos dan penerbitan akhbar

 Bidang pertanian juga diberi perhatian. Menggalakkan petani membuka dan meneroka tanah-tanah baru terutama di wilayah Sinkiang. Petani diberi kemudahan memiliki tanah dengan menawarkan harga tanah yang murah, cukai hasil pertanian diturunkan dan membaiki sistem pengairan seperti tali air, parit, terusan dan empangan bagi mengatasi masalah bekalan air dan mengelakkan banjir.

Dalam dokumen Modul Sejarah STPM Penggal 1 (Halaman 48-52)