• Tidak ada hasil yang ditemukan

KESAN-KESAN PERANG DUNIA KEDUA KE ATAS JEPUN

Dalam dokumen Modul Sejarah STPM Penggal 1 (Halaman 95-98)

KUASA PAKSI  Jerman (Adolf Hitler)

F) KESAN-KESAN PERANG DUNIA KEDUA KE ATAS JEPUN

Pada 29 September 1945, empat hari selepas pihak Jepun menandatangani surat penyerahan secara rasmi, satu laporan berdasarkan Perisytiharan Potsdam telah dikeluarkan. Hasilnya Jepun telah diduduki oleh Pihak Berikat yang ditadbir oleh Majlis Tertinggi Kuasa Berikat (Supreme Commander of Allied Power - SCAP) yang diketuai oleh Jeneral Douglas MacArthur dari Amerika Syarikat. Segala tindakan SCAP akan mengikut saluran ketenteraan Amerika. Ini bermakna dari tempoh September 1945 hingga April 1952, Jepun berada di bawah pendudukan Amerika Syarikat. Terdapat banyak perubahan yang di lakukan oleh SCAP yang boleh dilihat dalam aspek politik, ekonomi, dan sosial.

1. Kesan Politik

a) Aspek Pentadbiran

Di bawah pentadbiran SCAP, kerajaan Jepun terus dikekalkan tetapi di bawah arahan SCAP.

Perlembagaan baru telah diperkenalkan pada 3 Mei 1947 untuk menggantikan Perlembagaan Meiji yang digunakan sejak tahun 1889.

Dalam perlembagaan baru ini, Amerika telah memperkenalkan unsur-unsur demokrasi di Jepun.

Pada dasarnya terdapat dua perubahan yang jelas dalam perlembagaan baru tersebut, iaitu:

i) Pengalihan kedudukan kuasa Maharaja kepada golongan rakyat,

ii) Pengenalan sistem Parlimen Inggeris yang mengandungi dua Dewan (Diet) iaitu dewan Perwakilan dan Dewan penasihat.

Secara ringkasnya perlembagaan baru itu bermaksud Maharaja Jepun bertindak sebagai lambang negara dan perpaduan rakyat sementara Parlimen berfungsi sebagai jentera penuh menjalankan pentadbiran.

Kuasa kerajaan pusat diagihkan dan pilihan raya tempatan digalakkan. Perlembagaan baru tersebut telah menjamin kebebasan dan persamaan daripada segi undang-undang. Beberapa buah parti politik telah muncul seperti Parti Liberal, Parti Progresif serta Parti

Sosial Demokrat. Dalam pilihan raya pertama selepas perlembagaan baru diperkenalkan, Parti Liberal telah memenangi 139 kerusi dan Yoshida Shigeru telah dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun yang pertama.

b) Aspek Ketenteraan

Antara tindakan segera Amerika selepas menduduki Jepun ialah membubarkan angkatan tentera Jepun bagi memastikan Jepun tidak lagi mengancam keamanan dan keselamatan dunia.

Menjelang bulan Disember 1945 tentera darat dan laut Jepun telah dimansuhkan. Anggota tentera termasuk pegawai-pegawainya dijuruskan kepada kehidupan sivil. Sementara kilang-kilang membuat senjata di Jepun telah ditutup.

Sementara itu kira-kira 1 300 persatuan nasionalis pelampau telah dibubarkan. Semua rakyat Jepun di seberang laut telah dibawa balik ke Jepun.

Badan Pengadilan Antarabangsa telah ditubuhkan di Tokyo untuk mengadili pemimpin-pemimpin Jepun yang bersalah dan menyebabkan negara Jepun terjerumus dalam peperangan menentang Pihak Berikat serta pegawai-pegawai tentera yang telah melakukan kezaliman ke atas orang awam ketika meletusnya peperangan. Dalam hal ini Maharaja Jepun dikecualikan.

Golongan yang dipercayai terlibat dalam peperangan dianggap penjenayah. Dalam perbicaraan itu kira-kira 25 pemimpin tentera dan kerajaan diadili. Tujuh pemimpin kerajaan termasuk dua bekas Perdana Menteri iaitu Jeneral Tojo dan Hiroto telah dijatuhkan hukuman mati dan 18 pemimpin yang lain dipenjarakan. Lebih dari 900 pegawai tentera dijatuhkan hukuman mati kerana kesalahan jenayah perang yang dilakukan di wilayah-wilayah yang ditawan.

Dalam usaha menyusun semula sistem pentadbiran Jepun, kira-kira 200 000 pegawai awam dan 2 200 pemimpin perniagaan turut disingkirkan.

Perjanjian San Francisco pada tahun 1952 seterusnya telah berjaya menahan Jepun daripada menjadi sebuah negara tentera pada tahun-tahun berikutnya.

2) Kesan Ekonomi

Langkah awal yang diambil oleh SCAP ialah menghapuskan monopoli ekonomi golongan Zaibatsu. Menjelang tahun 1949, sebanyak 83 buah syarikat kepunyaan Zaibatsu (antara yang berpengaruh ialah Mitsui, Mitsubishi dan Sumitomo) telah dibubarkan dan saham-saham mereka dijual kepada orang ramai. Harta-harta golongan Zaibatsu juga telah dibekukan. Untuk mengelakkan berlakunya penyatuan semula dalam kalangan saudagar-saudagar dan

golongan perniagaan, undang-undang bersifat anti monopoli diluluskan.

Akta pembaharuan Tanah telah diperkenalkan pada tahun 1946. Melalui akta ini, pihak berkuasa telah memperkenalkan satu program pembaharuan tanah untuk menambahkan pemilikan tanah dalam petani-petani. Pihak berkuasa telah membeli tanah ini kemudian dijual kepada petani-petani dengan harga yang rendah. Kesannya berlaku pertambahan keluasan tanah petani-petani dan seterusnya meningkatkan hasil keluaran pertanian. Koperasi pertanian juga telah dibangunkan.

Penubuhan kesatuan-kesatuan sekerja juga digalakkan. Pada tahun 1945, Akta Kesatuan Sekerja telah diluluskan di mana kaum pekerja diberi hak untuk mengadakan mogok atau mengadakan perundingan secara kolektif dengan majikan mereka. Hal ini meningkatkan bilangan kesatuan-kesatuan buruh di Jepun. Menjelang tahun 1949, terdapat lebih daripada enam setengah juta pekerja telah menjadi ahli dalam kesatuan sekerja.

Untuk mengembalikan kedudukan ekonomi Jepun dan menentang pengaruh Komunis, bantuan telah disumbangkan terutama dari Amerika Syarikat. Sumbangan tersebut bermula pada 1947 di mana Amerika telah memberi sumbangan lebih dari $400 juta. Sehingga menjelang tahun 1952 jumlah bantuan yang telah diterima oleh Jepun telah meningkat kepada 2 billion.

Dengan bantuan dari Amerika Syarikat dan negara-negara barat serta semangat bekerja dan ketekunan orang-orang Jepun, ekonomi dapat dipulihkan. Ini terbukti bila menjelang tahun 1950 sebahagian besar kota-kota yang musnah akibat peperangan telah dapat dibina semula. Dalam tahun 1950-an, Jepun telah berjaya mengeksport barang-barang pengeluarannya.

Eksport Jepun bernilai $820 juta dan jumlah ini meningkat setiap tahun. Dengan peningkatan ini telah dapat membantu menambah pendapatan kasar negara. Pada tahun 1946 pendapatan negara Jepun ialah $1.3 billion, pada 1951 meningkat kepada 15.1 billion. Antara tahun 1951 – 55 kadar peningkatan itu ialah 8.6% dan antara 1955-60 ialah 9.1%.

Ekonomi Jepun menjadi semakin maju apabila pembayaran ganti rugi perang yang dikenakan ke atas Jepun telah dihentikan. Peningkatan ini juga dikaitkan dengan meletusnya Perang Korea 1950 – 53. Ketika meletusnya peperangan, Badan Dunia telah membuat pesanan istimewa untuk mendapatkan barang-barang perlu dari Jepun. Pada tahun 1959 barang-barang pesanan itu bernilai $149 juta, pada 1951 bernilai $592 juta, pada 1952 bernilai $824 juta dan pada 1953 ia bernilai $809 juta. Dalam tahun-tahun tersebut Jepun berjaya menghasilkan alat-alat ketenteraan berjumlah 4 billion.

Faktor lain yang turut membantu kejayaan Jepun ialah tindakan pentadbiran SCAP menarik balik pengharaman dan sekatan yang dikenakan ke atas jepun yang bermula pada 1948. Tujuannya ialah supaya Jepun dapat berdikari sama ada dari segi ekonomi mahu pun dari segi ketenteraan untuk menghadapi ancaman komunis Rusia dan China.

3. Kesan Sosial

Dalam aspek pendidikan, kurikulum pendidikan telah disusun semula dan semua kandungan yang berunsur ketenteraan dan ultra-nasionalis dihapuskan. Sebaliknya, digantikan dengan perkara yang menyemai sifat demokrasi, bertanggungjawab, dan individualisme.

Antara kesan yang paling jelas ialah ajaran dan kepercayaan mengenai Shinto dihapuskan. Begitu juga ajaran-ajaran yang berunsurkan nasionalisme yang fanatik. Tindakan ini adalah berdasarkan sejarah sebelum perang menunjukkan orang-orang Jepun menjadi satu bangsa yang tidak boleh bertolak ansur dan tidak menghormati kedaulatan negara dan bangsa lain. Akibatnya Jepun sentiasa menceroboh negara jiran dan tidak mengindahkan pendapat dan keputusan Badan Dunia.

Sebagai langkah mengelakkan unsur-unsur nasionalisme yang fanatik hidup kembali, buku-buku teks telah ditapis. Pelajaran lebih ditumpukan kepada pembentukan peribadi dan tidaklah semata-mata untuk mencapai matlamat negara seperti yang dijalankan oleh pemimpin-pemimpin Jepun sebelum Perang Dunia Kedua.

Selain itu sistem pelajaran Jepun juga mengalami perubahan dan sistem pelajaran yang baru adalah mengikut sistem pelajaran Amerika. Untuk menjayakan rancangan tersebut ramai guru-guru dari Amerika berkhidmat di Jepun.

Dari segi sosial, Amerika telah membawa banyak perubahan seperti dari segi pakaian, pengalaman dan fikiran masyarakat Jepun. Masyarakat Jepun disuburkan dengan sikap-sikap positif seperti kesamaan kedudukan dan taraf, menghormati antara satu sama lain, hak-hak kebebasan asasi manusia dan sebagainya.

Kesimpulan

Kekalahan negara Jepun dalam Perang Dunia Kedua telah meninggalkan impak yang besar terhadap negara tersebut. Kemusnahan paling hebat berlaku akibat pengeboman dua kota iaitu Hiroshima dan Nagasaki bukan sahaja telah memusnahkan nyawa dan harta benda, malah meninggalkan trauma kepada beberapa generasi di negara itu. Walau bagaimanapun, Jepun telah dapat dibangunkan semula oleh Amerika Syarikat melalui SCAP atas kepentingan tertentu. Jelasnya, sekarang negara Jepun dapat bangkit semula dan menjadi antara negara yang maju di dunia.

Dalam dokumen Modul Sejarah STPM Penggal 1 (Halaman 95-98)