• Tidak ada hasil yang ditemukan

NEGARA INDIA PENDAHULUAN

Dalam dokumen Modul Sejarah STPM Penggal 1 (Halaman 120-124)

Mengamalkan sistem ekonomi yang memiliknegarakan semua

NEGARA INDIA PENDAHULUAN

Menjelang tahun1880an muncul golongan nasionalis baru yang mahu memulihkan kegemilangan masa silam India, dan menentang pengaruh kebudayaan Barat. Mereka percaya bahawa kebebasan politik mestilah didahulukan daripada pemulihan sosial, mereka lebih nasionalistik dan tidak sabar melihat perkembangan yang lambat yang dicapai oleh pemimpin-pemimpin yang bekerjasama dengan British. Kongres Kebangsaan India ditubuhkan pada tahun 1885. Pada peringkal awal, ahli-ahlinya terdiri daripada golongan liberal yang patuh kepada Mahkota British. Pada umumnya, mereka hanya berjuang untuk mendapatkan hak-hak dalam sistem yang sedia ada seperti mendapat peluang menyertai dalam perkhidmatan awam, tanpa memikirkan untuk pemerintahan sendiri.

Walau bagaimanapun apabila mereka menyedari tuntutan-tuntutan mereka tidak dilayan, mereka bersependapat untuk menukar sistem tersebut. Mereka mula menentang dasar-dasar British yang menghalang orang-orang India dari diterima masuk ke dalam perkhidmatan awam dan menuntut kebebasan akhbar. Persatuan-persatuan politik tempatan dari seluruh India telah mengadakan perjumpaan yang pertama pada tahun 1883 di Calcutta. Orang-orang India sanggup mengenepikan sempadan ras mereka dan bersatu menubuhkan Kongres Kebangsaan Seluruh India. Mereka mula menganggap diri mereka sebagai orang India dan bukannya orang Punjab atau Benggali. Kongres itu telah mengadakan mesyuaratnya yang pertama di Bombay pada tahun 1885 dengan keizinan rasmi daripada wizurai British. Walaupun ia mendapat keizinan dan sokongan daripada pihak pemerintah British, tetapi sebarang percubaan untuk menyelaras reaksi orang-orang India terhadap pemerintahan British tidak dibenarkan.

Keadaan ini dirumitkan lagi dengan perbezaan ras dan agama penduduk India yang terdapat tidak kurang dari tujuh ras berbeza yang bertutur dalam berpuluh-puluh bahasa yang berlainan. Selain itu, agama Hindu dan agama Islam yang menjadi agama utama di India menghalang penyatuan penduduk India dalam menghadapi pemerintah British. Walaupun golongan berpendidikan Barat terpengaruh dengan kejayaan penyatuan Itali dan Jerman, tetapi mereka dapati kedua-dua negara tersebut tidak serumit keadaan di India. Keadaan-keadaan yang homogen (ras, agama dan budaya yang sama) di negara-negara itu, memudahkan proses penyatuan. Sebaliknya di India, keadaan-keadaan yang berbeza dalam masyarakatnya membawa kepada pelbagai masalah yang sukar diatasi.

Menjelang abad ke-20, golongan nasionalis India telah mula menuntut hak berkerajaan sendiri. Golongan nasionalis baru, tidak puas hati dengan perkembangan yang lambat dan mereka menuntut supaya lebih banyak pembaharuan dilakukan oleh British. Golongan nasionalis baru yang dipimpin oleh Bal Gangadhar Tilak, mahu memutuskan perhubungan dengan British dan mahukan kemerdekaan dan bukan hanya menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan. Para nasionalis baru mendapat ilham dari kemenangan Jepun terhadap Rusia dalam Perang Rusia-Jepun 1905. Mereka bangkit menlancarkan rusuhan dan keganasan anti-kerajaan di Benggala pada tahun-tahun 1905 hingga 1907.

Bagi mengurangkan rasa tidak puas hati rakyat India, Reformasi Morley-Minto telah diperkenalkan dalam pentadbiran India pada tahun 1909. Reformasi ini memberi peluang kepada orang India dalam pentadbiran kerajaan di peringkat pusat dan wilayah. British juga telah menubuhkan dua buah dewan di peringkat pusat yang mengandungi Majlis Negara dan Dewan Perhimpunan. Kebanyakan ahli Dewan Perhimpunan terdiri daripada ahli-ahli yang dipilih dan selebihnya dilantik. Manakala pada tahun 1935, pentadbiran British di India telah memisahkan pentadbiran India dengan Burma (Myanmar). Pentadbiran baru telah diperkenalkan dengan memberi kuasa yang lebih banyak kepada kerajaan wilayah.

1) KONGRES KEBANGSAAN INDIA 1885

1. Ditubuhkan pada tahun 1885 di bawah pimpinan W.C. Banerjee. Perjuangannya bersifat sederhana dan memberi tumpuan kepada:

a) penyebaran pendidikan b) pembentukan kerajaan sendiri

c) meminta peperiksaan untuk Perkhidmatan Awam India dijalankan di India dan England d) meminta ahli majlis perundangan harus dipilih dan mempunyai hak untuk

membincangkan belanjawan.

2. Pada tahun 1892, kerajaan British telah meluluskan Akta Majlis India untuk meningkatkan perwakilan orang India dalam Majlis Perundangan pusat dan wilayah, namun usaha ini tidak memuaskan hati rakyat India. Ini menyebabkan ahli kongres mula mengambil tindakan radikal.

3. Pemimpin golongan radikal Bal Gangadhar Tilak mengecam British kerana membiarkan rakyat India kebuluran dan diserang wabak penyakit. Beliau menyeru masyarakat India supaya tidak menjual harta benda dan menuntut kerajaan menguatkuasakan Kanun Bantuan Kebuluran. Manakala Gopal Krishna Gokhale telah menuntut kerajaan sendiri.

4. Sementara itu, masyarakat India semakin tertekan dengan dasar Lord Curzon yang anti India. Lord Curzon telah memperkenalkan Akta Universiti yang mengawasi perkembangan maktab-maktab persendirian. Tindakan ini dianggap telah menghalang pergerakan nasionalisme dan menyekat peluang orang India menjawat jawatan tinggi.

5. Pelaksanaan Akta Pembahagian Benggala pada tahun 1905 yang bertujuan untuk mengemaskinikan pentadbiran wilayah India pula dianggap sebagai percubaan memecah- belahkan masyarakat India. Tindakan ini telah membangkitkan kemarahan masyarakat India. Kumpulan radikal dalam kongres telah memulaukan barangan buatan Inggeris dan melancarkan Pergerakan Swabeshi dengan menggesa orang India menggunakan barangan buatan tempatan.

6. Untuk membendung kemarahan masyarakat India, pada tahun 1909, Lord Minto dan Lord Morley telah mewujudkan Akta Majlis India. Akta ini memberi hak kepada orang India memilih ahli bagi Majlis perundangan Pusat dan Wilayah melalui pilihan raya. Malangnya ia gagal memuaskan hati rakyat India.

7. Apabila kerajaan British terlibat dalam Perang dunia Pertama, kerajaan British telah mendapat kerjasama daripada pejuang nasionalisme India dari segi tenaga manusia, wang dan senjata. Semua ini adalah kerana mereka mempercayai bahawa India akan berkerajaan sendiri oleh British selepas perang dan harapan ini telah dinyatakan oleh British dalam deklarasi pada tahun 1917 yang memberi India taraf berkerajaan sendiri.

8. Kesungguhan British ini dapat dilihat apabila Montagu melawat India dan memberi laporan. Dalam laporan itu, Perundangan pusat akan dibahagi dua dewan dan boleh mempengaruhi badan eksekutif, namun ia tiada kawalan terhadap badan perundangan. Laporan ini juga bersifat perkauman yang memecahkan perpaduan antara masyarakat Hindu, Islam, Sikh dan lain-lain.

9. Seterusnya kerajaan British telah memperkenalkan Akta Rowlatt dan Akta Montague-Chelmsford pada tahun 1919. Akta Rowlatt memberi kuasa kepada kerajaan British untuk menubuhkan mahkamah khas, mengawal persuratkhabaran dan menahan serta memenjara individu yang disyaki menderhaka kepada kerajaan British. Akta ini telah menyebabkan pemberontakan di Punjab. Akta Montague-Chelmsford pula telah menyebabkan Tilak dan Laj Pat Pai dijatuhkan hukuman buang negeri ke Myanmar.

10. Pada masa yang sama Mahatma Gandhi berjuang dalam Parti Kongres dan menjalankan kempen satyagraha, iaitu penentangan secara senyap dan pasif. Kempen ini menunjukkan bahawa mereka tidak bekerjasama dengan British dan menutup kedai serta mengadakan mogok.

11. Pada bulan Ogos 1920, Gandhi menjalankan gerakan tidak bekerjasama dengan British dengan memulaukan majlis perundangan, mahkamah, sekolah dan kolej. Gerakan ini telah menimbulkan rusuhan pada tahun 1922 di Chauri Chaura. Akibatnya Gandhi telah dipenjarakan tetapi dibebaskan semula pada tahun 1924.

12. Kongres telah meluluskan resolusi di Lahore pada Disember 1929 yang mengisytiharkan Purna Swaraj (kemerdekaan) serta tidak menyertai Persidangan Meja Bulat. Seterusnya, usaha satyagraha diteruskan dengan membantah cukai garam pada tahun 1930 dan mengadakan pemulauan ke atas badan perkhidmatan kerajaan diteruskan. Gandhi sekali lagi dipenjarakan bersama 60 000 orang India yang lain.

13. Pada tahun 1930, Persidangan Meja Bulat yang dihadiri oleh raja-raja India, orang Islam, Hindu, Kristian dan Sikh gagal mencapai kata sepakat. Oleh itu British telah bekerjasama dengan Kongres dan menganjurkan Pakatan Gandhi-Irwin pada tahun 1931. Menurut pakatan ini Gandhi telah bersetuju membatalkan kempen melanggar perintah awam. Sebagai balasan pihak Inggeris akan menarik balik segala langkah dan tindakan kekerasan serta memberi jaminan untuk membebaskan nasionalis India yang ditahan. Walau bagaimanapun Parti Konservatif enggan bertolak ansur menyebabkan Gandhi menjalankan semula gerakan menentang British dan sekali lagi beliau ditahan.

14. Sementara itu, hubungan menjadi semakin tegang dengan pengisytiharan anugerah perkauman pada 17 Ogos 1932. Menurut peraturan ini, masyarakat India dari kelas bawahan diberi pilihan raya secara berasingan. Gandhi terus membantah dan menjalankan mogok lapar dalam penjara. Walau bagaimanapun beliau menghentikan mogok tersebut apabila bersetuju dengan Pakatan Poona 1932. Dalam pakatan ini British bersetuju memberikan 148 kerusi kepada kelas bawahan atas dasar persamaan dan bukan perkauman.

15. Persidangan Meja Bulat Ketiga diadakan untuk menyelesaikan masalah perlembagaan. Kerajaan British telah mengutarakan usul-usul yang kemudiannya dikenali sebagai Akta Kerajaan India pada tahun 1935. Antara usul yang dikemukakan ialah:

a) Persekutuan India yang dibentuk akan meliputi wilayah-wilayah di bawah ketua-ketua pesuruhjaya dan wilayah-wilayah India yang bersekutu.

b) Wilayah-wilayah tersebut akan diberi kuasa autonomi.

c) gabenor jeneral yang dilantik akan bertanggungjawab ke atas hal ehwal luar negeri, pertahanan dan keagamaan

d) dua wilayah baru akan dibentuk iaitu Sind dan Orissa.

16. Walau bagaimanapun, perubahan ini masih tidak dapat memuaskan hati pemimpin politik di India kerana kuasa mutlak masih berada di tangan gabenor jeneral dan gabenor wilayah. 17. Dalam pilihan raya tahun 1937, Parti Kongres telah mendapat kemenangan di lapan buah wilayah, manakala Liga Islam pula memenangi tiga wilayah lain.

Mahatma Gandhi.

Mohandas Karamchand atau lebih dikenali sebagai Mahatma Gandhi dilahirkan di Porbandar, Kathiawar pada tahun 1869. Beliau berasal dari keluarga yang mengamalkan kepercayaan Jain yang berpegang kepada falsafah tanpa kekerasan. Oleh yang demikian beliau dididik dalam suasana yang berdasarkan kepada falsafah tanpa kekerasan atau ahimsa oleh ibu bapanya. Apabila dewasa, beliau telah belajar undang-undang di London dan kemudian berkhidmat sebagai seorang peguam di Afrika Selatan. Di sana beliau banyak membela penghijrah-penghijrah India menentang kerajaan Afrika Selatan. Sekembalinya ke India pada tahun 1915, beliau telah dilantik sebagai pemimpin Parti Kongres yang memperjuangkan kemerdekaan India.

Sebelum penglibatan Gandhi, aktiviti politik adalah terbatas kepada penglibatan rakyat kelas atasan dalam perdebatan di peringkat pusat dan wilayah. Mereka tidak mewakili suara rakyat kebanyakan India yang sebenarnya kerana tidak mempunyai hubungan langsung dengan mereka. Gandhi telah mengubah keadaan ini di mana rakyat bawahan mula menjadi pengikutnya. Mereka telah terlibat di dalam aktiviti-aktiviti bantahan yang dianjurkan oleh Gandhi.

Gandhi percaya cara kekerasan akan menimbulkan banyak masalah daripada menyelesaikanya dan selalunya akan meninggalkan kesan-kesan yang buruk yang penuh dengan kebencian yang akan membuat perdamaian menjadi sulit. Oleh itu, ia bukanlah cara yang baik untuk menuntut kemerdekaan. Gandhi menggunakan cara yang dikenali sebagai satyagraha atau keingkaran awam iaitu membantah polisi-polisi British dengan cara tidak memberikan kerjasama kepada kerajaan penjajah itu. Gandhi pernah menggunakan cara tersebut dengan jayanya di Afrika Selatan. Beliau memutuskan bahawa cara-cara telah yang digunakan di Afrika Selatan patut digunakan juga di India. Tujuannya ialah untuk menyedarkan British tanpa melalui birokrasi India British.

Pada tahun 1920, Gandhi memulakan kempen keingkaran awam iaitu dengan cara tidak bekerjasama dengan British. Kempen tersebut dimulakan dengan meninggalkan gelaran-gelaran British, memulau sekolah-sekolah dan mahkamah British. Orang awam melanggar undang-undang dengan sengaja, tetapi tanpa kekerasan supaya mereka dipenjara. Penjara-penjara menjadi penuh sesak dan pentadbiran menjadi kucar-kacir.

Gandhi juga berjaya bekerjasama dengan Liga Muslim yang dipimpin oleh Muhammad Ali Jinnah, sepanjang kempen tersebut dijalankan. Walau bagaimanapun, Gandhi terpaksa membatalkan kempen tersebut apabila terdapat pengikut-pengikutnya tidak dapat menahan diri daripada melakukan keganasan. Pada tahun 1922, Gandhi dan beberapa orang ketua Kongres telah ditangkap.

2) LIGA ISLAM 1906

1. Liga Islam ditubuhkan pada tahun 1906 di Dacca oleh Nawab Salimullah Khan. Pertubuhan ini menjalankan dasar pro Inggeris. Tujuan utama penubuhannya ialah untuk melindungi hak-hak orang Islam dan menghapuskan kepercayaan kolot yang membelenggu umat Islam. 2. Liga Islam disokong oleh kerajaan British kerana ia dianggap memberi saingan kepada Parti

kongres. Sokongan ini dapat dilihat dalam Akta Morley-Minto yang memperlihatkan British menerima tuntutan Liga Islam dengan memperuntukkan beberapa buah kerusi bagi mewakili kaum dan menunjukkan orang Islam diberi perwakilan yang berasingan dalam politik negara India.

3. Namun hubungan baik antara orang Islam dengan kerajaan British tergugat apabila negara Turki menyertai Perang Dunia Pertama dan mengalami kekalahan. Umat Islam di India menyalahkan British menyebabkan kekalahan Turki. Lantaran itu, pemimpin Islam India telah meminta bantuan Inggeris untuk melindungi tempat ibadat masyarakat Islam. Namun begitu, permintaan ini tidak dipedulikan oleh British.

4. Muhammad Ali Jinnah dan Maulana Abdul Kalam Azad (pemimpin baru Liga Islam) telah mengumumkan hasrat untuk mendapatkan kerajaan sendiri bagi orang Islam di India dan menawarkan kerjasama dengan Parti Kongres.

5. Pada tahun 1916, satu mesyuarat diadakan antara Hindu-Muslim di Lucknow, dan mereka bersetuju untuk bersatu dan membentuk Pakatan Lucknow. Melalui pakatan ini, Parti Kongres bersetuju membenarkan orang Islam mengundi secara berasingan dalam pilihan raya dan Liga Islam pula menerima hasrat kongres iaitu swaraj (kemerdekaan).

6. Hubungan ini tidak kekal lama, perpecahan berlaku selepas pilihan raya 1937. Muhammad Ali Jinnah tidak mahu bergabung dengan kongres kerana beranggapan akan menyebabkan kepentingan minoriti orang Islam akan terjejas.

7. Mesyuarat Liga Islam diadakan di Lahore dan Muhammad Ali Jinnah telah mengisytiharkan bahawa orang Islam mesti mempunyai tanah air sendiri yang berasingan daripada masyarakat India yang lain dan mencadangkan Pakistan diberi kepada orang Islam.

8. Pandangan dan Teori Dua Negara Jinnah telah menghancurkan pakatan Hindu-Muslim. Pandangan Jinnah menjadi aspirasi kepada masyarakat Islam India untuk memperjuangkan negara mereka dan memperoleh kemerdekaan.

Dalam dokumen Modul Sejarah STPM Penggal 1 (Halaman 120-124)