• Tidak ada hasil yang ditemukan

Bilangan Sekolah dan Guru Ahli MGMP BERMUTU

Dalam dokumen PROSES PEMBELAJARAN BERTERUSAN DALAM PEN (Halaman 154-158)

Zon Bilangan Sekolah Peserta MGMP Fizik

Zon 1 10 SMP 10

Zon 2 10 SMP 10

Zon 3 10 SMP 10

Zon 4 Remote 10 SMP 10

Bilangan 40 Buah 40 Orang

(Sumber: Dinas Pendidikan Kota Makassar, 2011).

Daripada 40 orang guru fizik yang menyertai program MGMP Bermutu Makassar tahun 2011, dipilih 36 orang secara purposif untuk responden soal selidik. Seterusnya, untuk responden temubual dipilih sembilan orang guru fizik daripada empat zon MGMP iaitu tiga responden dari zon 1, dua responden dari zon 2, tiga responden dari zon 3, dan satu responden dari zon 4 remote. Selain itu, temubual juga dijalankan kepada satu orang pengetua dan empat orang Guru Pelatih/Pendidik Guru MGMP Makassar. Oleh itu, terdapat 14 orang yang menjadi responden temubual dalam kajian ini. Di samping itu, untuk responden pemerhatian proses pengajaran dan pembelajaran fizik bilik darjah dipilih empat orang guru fizik daripada empat zon MGMP tersebut. Identifikasi ini digunakan sebagai panduan bagi memudahkan proses pembelajaran berterusan guru fizik dalam upaya penambahbaikan pendidikan fizik pada peringkat sekolah menengah di Indonesia. Tidak ada maksud penyelidik untuk menilai guru atau melaporkan penemuan pentadbir di peringkat mana-mana. Faktor-faktor penemuan kajian ini mengukuhkan keperluan guru di semua peringkat bagi mencari cara-cara berkesan dalam menjalankan proses pembelajaran berterusan dalam peningkatan kompetensi guru fizik dengan harapan boleh meningkatkan kualiti pendidikan fizik pada sekolah menengah.

3.6 Kesahan dan Kebolehpercayaan

Kesahan penyelidikan merupakan isu mengenai ketepatan instrumen atau penyelidik pada masa pengumpulan data dilakukan. Dalam paradigma penyelidikan kualitatif, kesahan dan kebolehpercayaan adalah penting kerana mempunyai standard penilaian yang boleh digunakan untuk menilai kecukupan penyelidikan. Kesahan pada kajian kualitatif boleh berlangsung selama proses penyelidikan (Creswell, 2010). Oleh itu, penyelidik memberi tumpuan mengenai kesahan dengan cara menuliskan prosedur dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menyemak akurasi dan kredibiliti hasil kajian. Dalam kajian kualitatif, kesahan tidak memiliki konotasi dengan kesahan dalam kajian kuantitatif, tidak pula sejajar dengan kebolehpercayaan ataupun generalisasi (Creswell, 2010). Sebaliknya, kesahan kualitatitif merupakan upaya menyemak kepada akurasi dapatan kajian dengan menerapkan prosedur-prosedur tertentu, manakala kebolehpercayaan kualitatif menunjukkan bahawa kaedah yang digunakan konsisten jika diterapkan oleh penyelidik-penyelidik lain untuk projek yang berbeza (Gibbs, 2007). Tujuan kebolehpercayaan dalam kajian kualitatif menyokong bahawa penemuan inkuiri adalah bernilai dan memberi perhatian apabila mempertimbangkan empat isu-isu kualiti iaitu kredibiliti, kebolehpindahan, kebolehsandaran, dan kebolehsahan sebagai komponen kebolehpercayaan dalam kajian kualitatif (Lincoln & Guba, 1985). Dalam kajian ini, prosedur kebolehpercayaan diperincikan seperti berikut:

(i) Menyemak hasil transkripsi untuk memastikan tiada kesilapan yang dibuat semasa proses transkripsi. Dalam kajian ini, data yang diperolehi daripada soal selidik item terbuka, temubual, pemerhatian, dan pendokumenan ditranskripsikan dan dibuat dalam satu kutipan bertulis bagi kemudahan di dalam menyemak hasil transkripsi.

(ii) Memastikan tidak ada definisi dan makna yang keliru mengenai kod- kod pada masa proses pengkodan. Hal ini dijalankan penyelidik dengan terus membandingkan data dengan kod-kod atau dengan menulis nota mengenai kod-kod dan definisi-definisi.

(iii) Melakukan semak silang dan membandingkan kod-kod yang dibuat oleh penyelidik lain dengan kod-kod yang telah dibuat oleh penyelidik.

3.6.1 Triangulasi Data

Triangulasi didefinisikan sebagai penggunaan dua atau lebih kaedah pengutipan data dalam sesetengah kajian aspek kelakuan manusia (Yin, 2003). Selain itu, triangulasi merupakan gabungan daripada pelbagai kaedah yang digunakan untuk mengkaji fenomena yang saling berkaitan dari sudut pandang dan perspektif yang berbeza (Denzin & Lincoln, 2009). Oleh itu, kajian ini menggunakan triangulasi data menerusi data soal selidik item terbuka, temubual, pemerhatian dan pendokumenan untuk menguatkan kajian (Patton, 2002). Kelebihan dari penggunaan pelbagai teknik pengutipan data ialah wujudnya triangulasi untuk tujuan pengukuhan data iaitu kekuatan suatu kaedah dapat digunakan untuk mengatasi kelemahan suatu kaedah yang lain. Kaedah triangulasi membantu mengenalpasti pandangan yang berbeza (Stake, 2005). Pelbagai jenis maklumat berkenaan isu yang sama dapat diperolehi dengan menggunakan triangulasi. Mengemukakan soalan yang serupa kepada beberapa sumber bukti yang berbeza, jika semua dapatan menjuruskan kepada jawapan yang sama, maka data-data itu berjaya ditriangulasikan (Yin, 2003). Jika sekiranya data yang dipungut menunjukkan kekongruenan tinggi, maka penyelidikan itu ditaksir mempunyai kesahan tinggi (Schwandt, 2009). Justeru itu, dalam kajian ini, penyelidik telah mengedarkan soal selidik item terbuka kepada 36 responden (guru fizik) ahli MGMP Bermutu. Selain soal selidik item terbuka, penyelidik telah menemubual bukan sahaja sembilan guru fizik tetapi juga empat Guru Pelatih/Pendidik Guru MGMP dan seorang pengetua sekolah menengah. Penyelidik telah menemubual keempat-empat Guru Pelatih/Guru Pendidik MGMP dan seorang pengetua seperti mana yang terdapat dalam protokol temubual (Bahagian 3.3.3.1 sebelum ini). Data-data temubual ini bertujuan mengukuhkan dapatan daripada temubual guru fizik. Selain temubual, penyelidik turut menjalankan pemerhatian langsung kepada program latihan guru, bilik persiapan mengajar, dan lawatan bilik darjah bertujuan untuk melihat perubahan tingkahlaku yang diterjemahkan menerusi amalan rutin harian. Selain itu, analisis dokumen turut dijalankan bagi memperkukuhkan data soal selidik item terbuka, temubual dan pemerhatian. Keempat-empat bentuk data dalam kajian ini iaitu soal selidik item terbuka, temubual, pemerhatian, dan pendokumenan amat berpada untuk menjelaskan kesahan dan kebolehpercayaan data yang dikumpul dan dianalisis.

3.6.2 Kajian Rintis

Kajian rintis dalam kajian ini dijalankan bagi menguji kesahan dan kebolehpercayaan soal selidik item terbuka serta soalan dan protokol temubual yang digunakan (Sekaran & Bougie, 2010). Melalui kajian rintis, penyelidik dapat membetulkan kesilapan dan memurnikan kandungan item supaya ianya difahami oleh responden (Fraenkel & Wallen, 2003). Item-item yang tidak sesuai, kurang jelas, atau mengelirukan responden kajian, diperbaiki secara terus oleh penyelidik. Tindakan ini bertujuan memastikan dapatan kajian boleh digunakan oleh mana-mana pihak khasnya kepada LPMP Kemdiknas RI bagi merancang dan menilai proses pembelajaran berterusan yang berkualiti.

Kajian rintis ini dijalankan oleh penyelidik pada minggu pertama dan kedua di bulan pertama pada jadual pelaksanaan kajian yang terbahagi kepada dua fasa utama iaitu kesahan muka dan kesahan luaran. Kesahan muka dinilai sama ada instrumen yang digunakan berjaya menggambarkan satu proses pembelajaran berterusan (tema utama) secara sepenuhnya atau sebaliknya (Mohd. Najib, 2003). Pada fasa ini penyelidik merujuk kepada dua orang pakar akademik yang terlibat secara langsung dalam bidang pembelajaran berterusan guru fizik. Untuk itu, soal selidik item terbuka dan soalan temubual telah diedarkan kepada seorang Pensyarah Kanan di Universitas Negeri Makassar (UNM) dan seorang Pensyarah Kanan UNM yang juga sebagai pakar perkhidmatan pada Balitbang Kemdiknas RI. Hasil maklum balas daripada mereka, beberapa item yang agak kabur terutamanya dari kekeliruan penggunaan bahasa Indonesia diperbaiki supaya lebih difahami oleh responden. Kesahan muka dapat membantu penyelidik mengesan kekeliruan yang terdapat pada soal selidik item terbuka dan soalan temubual serta memperbetulkan istilah yang kurang tepat serta mengelirukan responden. Beberapa cadangan dan komen daripada pakar-pakar berkenaan diperbaiki sepertimana ditunjukkan pada Jadual 3.3 berikut ini.

Dalam dokumen PROSES PEMBELAJARAN BERTERUSAN DALAM PEN (Halaman 154-158)