• Tidak ada hasil yang ditemukan

Reka Bentuk Kajian

Dalam dokumen PROSES PEMBELAJARAN BERTERUSAN DALAM PEN (Halaman 134-138)

METODOLOGI KAJIAN

3.2 Reka Bentuk Kajian

Reka bentuk kajian merupakan keseluruhan proses penyelidikan, daripada proses pengkonseptualan masalah kepada proses menulis laporan (Creswell, 1994). Selain itu, reka bentuk merupakan urutan logikal yang mengaitkan data empirikal dengan soalan kajian dan seterusnya kesimpulan kajian (Yin, 2003). Kajian ini secara keseluruhannya menggunakan pendekatan kualitatif kaedah kajian kes bagi menjawab persoalan kajian. Penyelidik menggunakan kajian kes bagi memberikan sumbangan pengetahuan individu, kumpulan, organisasi, masyarakat, dan fenomena

daripada proses pembelajaran berterusan untuk peningkatan kompetensi guru fizik sekolah menengah (Yin, 2003). Dalam kajian ini, kaedah kajian kes membolehkan penyelidik bagi mempertahankan ciri-ciri holistik dan bermakna daripada kehidupan nyata kejadian dalam proses pembelajaran berterusan guru fizik. Penyelidik menggunakan kajian kes untuk menyediakan pelbagai keupayaan dalam menyemak proses pembelajaran berterusan guru fizik sekolah menengah secara keseluruhannya. Selain itu, penyelidik cuba memberikan pandangan mendalam ke arah pengalaman pembelajaran guru daripada pelbagai perspektif.

Kajian kualitatif melibatkan pengumpulan pelbagai bukti empirikal yang menggambarkan masa rutin dan problematik dan makna dalam kehidupan individu (Denzin & Lincoln, 1994). Oleh itu, dalam kajian ini penyelidik melibatkan empat instrumen pengumpulan bukti empirikal iaitu soal selidik item terbuka, temubual, pemerhatian, dan pendokumenan. Isian responden pada soal selidik item terbuka dianalisis secara tematik menggunakan perisian NVivo, manakala item pilihan dianalisis menggunakan kaedah deskriptif iaitu kekerapan dan peratus. Penyelidik menggunakan soal selidik item terbuka kerana dapat memberi ruang kepada responden untuk memberikan apa sahaja jawapan dengan tidak tertakluk kepada pilihan yang diberikan oleh penyelidik dan boleh dilaksanakan secara kualitatif atau kuantitatif (Mohd Najib, 2003). Dalam kajian ini soal selidik digunakan sebagai kaedah utama kerana melalui pentadbiran soal selidik data proses pembelajaran berterusan dalam peningkatan kompetensi guru fizik dapat diperolehi dengan cepat dan teratur. Selain itu, boleh mengumpul data primer dan sampel yang sedia ada secara purposif sebagai responden yang berpengetahuan. Penggunaan kos, masa, dan wang pula yang lebih menjimatkan (Sekaran & Bougie, 2010; Zikmund et al., 2010). Pendekatan kualitatif menerusi temubual, pemerhatian, dan pendokumenan pula digunakan bagi menjawab persoalan kajian dalam penyelidikan ini. Data temubual, pemerhatian, dan pendokumenan dianalisis secara tematik menggunakan perisian NVivo. Oleh itu, melalui kaedah kualitatif ini, responden akan bebas memberikan pandangan masing-masing berdasarkan konteks pembelajaran berterusan dalam peningkatan kompetensi guru fizik mengikut persepsi mereka.

3.2.1 Kajian Kualitatif

Kajian kualitatif merupakan kajian dengan latar alamiah bermatlamat untuk mentafsirkan fenomena yang berlaku serta dijalankan dengan cara membabitkan pelbagai kaedah sedia ada (Denzin & Lincoln, 1994). Selain itu, kajian ini juga bermatlamat bagi memahami fenomena mengenai pengalaman daripada subjek kajian seperti kelakuan, motivasi, persepsi, tindakan, dan lainnya secara holistik, menggunakan keterangan dalam bentuk bahasa dan perkataan daripada satu konteks khas serta menggunakan pelbagai kaedah alamiah (Moleong, 2004). Kajian kualitatif menekankan pentingnya memahami konteks di mana peristiwa dan hasil berlaku, dan lebih lanjut bahawa kajian kes memberikan wawasan penting bagi mentafsir penemuan (Denzin & Lincoln, 1994, 2009).

Berdasarkan perspektif falsafah kajian kualitatif, ramai pakar berpendapat bahawa tidak ada realiti sosial yang objektif, dan bahawa semua pengetahuan dibina oleh pengamatan yang merupakan produk daripada tradisi, keyakinan, dan persekitaran sosial dan politik di mana mereka beroperasi (Denzin & Lincoln, 1994; Marshall & Rossman, 1995). Tidak seperti kajian kuantitatif, di mana penyelidik mengenalpasti set pemboleh ubah dan berusaha bagi menentukan hubungan mereka, kajian kualitatif yang terbaik dalam memberikan sumbangan bagi pemahaman yang lebih besar daripada persepsi, sikap, dan proses (Glesne, 1999). Di samping itu, kajian kualitatif melibatkan pengumpulan pelbagai bukti empirikal yang menggambarkan masa rutin, problematik, dan makna dalam kehidupan individu (Denzin & Lincoln, 1994).

Dalam kajian ini, penyelidik menggunakan pendekatan kualitatif bagi memahami dunia yang kompleks daripada proses pembelajaran berterusan guru fizik. Memahami fenomena pada latar alamiah serta pengalaman individu guru fizik dalam menjalankan proses pembelajaran berterusan dalam peningkatan kompetensi mereka secara holistik dengan menggunakan pelbagai kaedah alamiah. Selain itu, pula bagi memahami kelakuan, persepsi, motivasi, tindakan daripada guru fizik semasa ianya menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran bilik darjah.

3.2.2 Kajian Kes

Kajian ini secara keseluruhannya menggunakan pendekatan kualitatif kaedah kajian kes bagi menjawab persoalan kajian. Kaedah kajian kes membolehkan penyelidik bagi mempertahankan ciri-ciri holistik dan bermakna daripada kehidupan nyata kejadian dalam proses pembelajaran berterusan guru fizik untuk peningkatan kompetensi mereka. Penyelidik menggunakan kajian kes untuk menyediakan pelbagai keupayaan dalam menyemak proses pembelajaran berterusan dalam peningkatan kompetensi guru fizik sekolah menengah secara keseluruhannya. Selain itu, cuba memberikan pandangan mendalam ke arah pengalaman guru fizik daripada pelbagai perspektif.

Satu kajian kes yang tepat bagi kajian ini kerana eksplorasi sistem dihadkan atau kes dari masa ke semasa melalui pengumpulan data terperinci yang mendalam, melibatkan pelbagai sumber maklumat yang kaya dalam konteks pembelajaran berterusan (Creswell, 2009). Dalam kajian kes, perilaku yang berkaitan tidak boleh dimanipulasi. Penyelidik menggunakan kajian kes bagi memberikan sumbangan pengetahuan individu, kumpulan, organisasi, masyarakat, dan fenomena berkaitan dengan proses pembelajaran berterusan (Yin, 2003). Selain itu, kajian kes merupakan reka bentuk yang menyediakan pelbagai keupayaan bagi menyemak proses pembelajaran berterusan guru fizik secara keseluruhannya dan cuba memberikan pandangan mendalam ke arah pengalaman guru fizik dari pelbagai perspektif (Creswell, 2003; Merriam, 1998). Dalam kajian ini, kaedah kajian kes membolehkan penyelidik bagi mempertahankan ciri-ciri holistik dan bermakna daripada kehidupan nyata kejadian dalam proses pembelajaran berterusan dalam peningkatan kompetensi guru fizik. Penyelidik menggunakan kajian kes hakiki atau kajian kes tunggal (Creswell, 2009; Stake, 2005, 2009; Yin, 2003). Hal ini kerana program pembelajaran berterusan sejak sekian lama di Indonesia didapati tidak berkesan, tidak memberi impak. Ia berlaku kerana tiada fokus kepada aspek keperluan pembangunan profesional guru yang sistematik-aspek pedagogi, kandungan, teknologi, penilaian, kurikulum. Dorongan untuk meningkatkan profesionalisme guru, khasnya guru Sains, sepatutnya berkait pemenuhan keperluan profesional, ganjaran melalui keperluan tahunan guru, dan pengurangan halangan (Teori Jarvis, Teori Vroom, dan Teori Motivasi).

Dalam kajian ini penyelidik ingin mendapatkan data yang lebih mendalam dan memberikan penjelasan lebih jauh mengenai apa yang sebenarnya berlaku pada konteks nyata proses pembelajaran berterusan dalam peningkatan kompetensi guru fizik sekolah menengah di Makassar Indonesia. Kajian ini bertumpu kepada keterangan yang lebih mendalam mengenai aktiviti pembelajaran berterusan yang dilalui guru fizik, maklum balas mereka, sokongan dan perubahan organisasi, halangan halangan, dan impak kepada pengajaran dan pembelajaran bilik darjah. Dapatan kajian yang diperolehi dari kaedah kajian kes ini diharapkan lebih berkesan dalam menjelaskan dan menggambarkan fakta-fakta yang ditemui.

Kajian kes ini direka bagi memberikan maklumat kepada guru, penggubal asas dan pengamal lain mengenai pentingnya pelaksanaan proses pembelajaran berterusan dalam upaya peningkatan kompetensi guru yang pada akhirnya boleh dijadikan upaya nyata bagi meningkatkan kualiti pendidikan. Seterusnya, jika terdapat bias yang dihadapi ketika melakukan kajian kes di Indonesia, maka bias ini kemungkinan disebabkan oleh status penyelidik sebagai orang dalam kerana penyelidik telah duduk di satu kawasan dalam masa yang cukup lama. Oleh itu, dalam mengurangkan kebarangkalian bias seperti subjektiviti dan keberpihakan, penyelidik perlu mengamalkan prosedur spekulasi minima bagi pengumpulan data yang diperlukan. Konsentrasi pada pemerhatian, soal selidik item terbuka, temubual mendalam, dan analisis pendokumenan sebagai kaedah penyelidikan nampaknya boleh dilaksanakan semasa kajian lapangan bagi mengurangkan kemungkinan bias yang berkaitan dengan insider kajian.

Dalam dokumen PROSES PEMBELAJARAN BERTERUSAN DALAM PEN (Halaman 134-138)