• Tidak ada hasil yang ditemukan

Maklum Balas Guru Dalam Proses Pembelajaran Berterusan

Dalam dokumen PROSES PEMBELAJARAN BERTERUSAN DALAM PEN (Halaman 103-107)

Rajah 2.1 Kesan proses pembelajaran berterusan kepada Pencapaian Pelajar

2.4 Maklum Balas Guru Dalam Proses Pembelajaran Berterusan

Maklum balas guru dalam proses pembelajaran berterusan bertujuan untuk mengenal pasti komitmen dan pola-pola antisipatif di kalangan para guru ke atas program pembelajaran mereka. Dengan mengetahui maklum balas guru, dapat dikenal pasti pola-pola perilaku guru dalam melakukan pemahaman, langkah persediaan, dan langkah penyesuaian diri dalam program pembelajaran mereka. Maklum balas guru dilihat sebagai kepuasan guru dalam menjalankan proses pembelajaran berterusan. Secara implisit mengandungi makna kepuasan terhadap polisi pembelajaran berterusan, penyeliaan Pendidik Guru dan Guru Pelatih, perkongsian rakan-rakan, fasiliti pembelajaran, persekitaran pembelajaran dan gaji serta penghargaan (Fields, 2002; Guskey, 2000; Siggins Miller Consultants, 2012). Oleh itu, pada bahagian ini dibincangkan mengenai pengertian kepuasan guru, teori kepuasan kerja guru, dan kajian lepas kepuasan guru dalam pembelajaran berterusan.

2.4.1 Pengertian Kepuasan Guru Dalam Pembelajaran Berterusan

Kepuasan kerja adalah berkaitan dengan perasaan yang dialami oleh pekerja tentang pekerjaannya dan juga setakat mana pekerja menyukai pekerjaan mereka (Agho, Mueller & Price, 1993; Smith, Kendala & Hullin, 1969). Komitmen pekerja dan kepuasan mereka terhadap kerja adalah berbeza mengikut jenis organisasi, misalnya sama ada sesuatu organisasi itu swasta atau awam. Percubaan awal untuk memberikan definisi yang agak tepat terhadap kepuasan telah dibuat pada tahun 1935 oleh Hoppock. Menurut Hoppock, kepuasan merupakan gabungan psikologi, fisiologi dan persekitaran yang menyebabkan seseorang itu berkata “saya berpuas hati dengan kerja saya” (dikutip dalam Hoy & Miskel, 2005).

Pelopor teori organisasi telah menunjukkan bahawa keberkesanan organisasi berkait rapat dengan cara fungsi sumber manusia dan pekerja diuruskan. Pekerja yang diurus dengan berkesan pula dijangka menjadi lebih komited terhadap tugas mereka dan akan merasa puas terhadap pekerjaan (Nik Mutasim & Nordin, 2001). Kepuasan kerja mendapat perhatian para penyelidik apabila pergerakan perhubungan manusia telah dapat meyakinkan para pentadbir bahawa pekerja yang berpuas hati terhadap pekerjaannya adalah pekerja yang produktif (Hoy & Miskel, 2005).

Menurut Hoy dan Miskel (2005), apabila pekerja berasa bangga bekerja secara berkumpulan, kumpulan pekerja tersebut akan terdorong untuk meningkatkan prestasi kerja. Oleh itu, apabila guru berasa bangga menjalankan proses pembelajaran berterusan secara berkumpulan, sehinggalah kumpulan guru tersebut akan terdorong untuk meningkatkan kompetensi dan prestasi kerja mereka. Maksudnya selain aspek fizikal dan persekitaran, faktor psikologi juga memainkan peranan penting terhadap motivasi dan kepuasan guru dalam proses pembelajaran berterusan.

Schaffer (1953) menegaskan bahawa pembolehubah dalam diri individu sebagai penyumbang kepada kepuasan dan ketidakpuasan. Beliau merasakan wujudnya satu set psikologi atau mekanisme dalam diri manusia yang menyebabkan kepuasan atau ketidakpuasan yang boleh memberi kesan terhadap kepuasan kerja. Apabila beberapa keperluan individu tidak dipenuhi, akan menyebabkan ketegangan timbul. Schaffer (1953) mencadangkan manusia mempunyai 12 keperluan asas yang bersamaan dengan lima kategori keperluan menurut hirarki keperluan Maslow (1954) atau tiga kategori keperluan menurut model Schaffer. Schaffer berusaha untuk menentukan kepuasan kerja keseluruhan seseorang individu berdasarkan maklumat berkaitan dengan dua keperluan utama individu tersebut. Sekiranya pekerjaan mereka memenuhi kedua dua keperluan tersebut maka mereka melaporkan kepuasan kerja.

Selain dari aspek gaji atau ganjaran, terdapat satu lagi aspek yang dikaitkan dengan kepuasan guru dalam proses pembelajaran berterusan iaitu keadaan atau ciri proses pembelajaran itu sendiri. Keadaan atau ciri yang dapat memuaskan guru ialah prospek untuk dinaikkan pangkat, gaji yang lebih tinggi dan juga waktu kerja yang

lebih kurang. Selain itu, tempat belajar guru yang berada dalam kondisi yang baik juga adalah berkaitan dengan kepuasan guru dalam proses pembelajaran.

Kepuasan kerja juga dikaitkan dengan suasana kerja (Hackman & Oldham, 1980). Suasana pembelajaran yang memberi peluang kepada guru untuk berinteraksi antara satu sama lain dan tidak wujudnya pengasingan antara guru akan menyebabkan guru lebih berpuas hati. Selain itu, satu lagi penyumbang kepada kepuasan guru adalah suasana sosial di kalangan yang dapat bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain.

Autonomi atau kebebasan yang diperolehi guru dalam proses pembelajaran berterusan juga adalah berkaitan dengan kepuasan guru. Menurut Conley, Bacharach, dan Bauer (1989), kurangnya kebebasan atau autonomi serta peluang yang sedikit untuk guru dalam proses pembelajaran berterusan akan menyebabkan guru kurang berpuas hati. Tambah mereka lagi, jika kepemimpinan dan kebolehan guru disekat kerana berlakunya konflik diantara guru dengan organisasi, maka kepuasan guru adalah rendah.

Penglibatan guru dalam aspek profesional kerja contohnya melibatkan diri dalam membuat keputusan juga adalah berkaitan dengan kepuasan guru. Guru akan puas belajar jika mereka menganggap diri sebagai profesional, mempunyai autoriti dan juga dapat melibatkan diri dalam membuat keputusan terutamanya yang berkaitan dengan rancangan kerja yang melibatkan tanggungjawab mereka dalam proses pembelajaran berterusan (Conley, Bacharach, & Bauer, 1989; Heck & Marcoulides, 1996).

Akhirnya, kepuasan guru berkaitan dengan perasaan yang dialami oleh guru dalam menjalankan proses pembelajaran berterusan. Apabila guru berasa bangga menjalankan proses pembelajaran berterusan secara berkumpulan, sehinggalah kumpulan guru tersebut akan terdorong untuk meningkatkan kompetensi dan prestasi kerja mereka. Faktor lain yang menyumbang kepada kepuasan guru dalam proses pembelajaran berterusan adalah aspek gaji atau ganjaran, keadaan atau ciri proses pembelajaran, tempat belajar guru, suasana pembelajaran, suasana sosial, autonomi atau kebebasan, dan penglibatan guru dalam aspek profesional.

2.4.2 Teori Kepuasan Kerja

Kepuasan kerja secara amnya dapat dipengaruhi oleh perasaan pekerja terhadap elemen-elemen kerja sama ada ianya hak milik pekerja itu atau sebaliknya. Ianya merangkumi aspek yang spesifik seperti bayaran, faedah, kenaikan pangkat, keadaan tempat kerja, penyeliaan, amalan organisasi, dan hubungan antara pekerja (Misener et al., 1996). Kepuasan kerja perlu dijadikan perkara penting dalam cara pemimpin memainkan peranannya kerana ianya dapat mempengaruhi orang bawahan untuk terus melaksanakan kerja dengan penuh tanggungjawab di samping terus kekal di organisasi tersebut.

Beberapa faktor yang dikatakan menjadi sebagai penyumbang kepada tahap kepuasan guru dalam proses pembelajaran berterusan seperti gaji atau ganjaran, prospek untuk kenaikan pangkat, penyeliaan, hubungan dengan rakan guru, dan perihal pembelajaran itu sendiri. Teori Motivator-Hygience telah dicetuskan oleh Frederick Herzberg dan rakan-rakannya (Herzberg, Mausner, & Snyderman, 1959). Teori ini menyatakan faktor-faktor yang mendorong kepada kepuasan kerja adalah berbeza daripada faktor-faktor ketidakpuasan kerja. Faktor yang mendorong kepada kepuasan kerja dikenali sebagai faktor pendorong (motivational) yang meliputi prospek kenaikan pangkat, penghargaan, rasa tanggungjawab dan pencapaian. Faktor yang menyebabkan ketidakpuasan kerja pula merupakan faktor hygiene yang meliputi faktor seperti, gaji atau ganjaran, polisi organisasi, penyeliaan dan persekitaran pekerjaan. Faktor pendorong dikatakan mampu membawa individu ke peringkat yang lebih tinggi dalam kerjaya mereka.

Sekiranya dapat dilihat, faktor hygiene merupakan faktor luaran yang menjurus kepada keadaan atau situasi yang berlaku dalam persekitaran pembelajaran guru itu sendiri seperti gaji atau ganjaran, prospek kenaikan pangkat dan keadaan di tempat kerja. Faktor motivasi pula merupakan faktor dalaman yang melibatkan perihal kerja individu seperti pencapaian, penghargaan dan kepuasan. Faktor hygiene dan faktor motivasi ditunjukkan seperti jadual di bawah:

Dalam dokumen PROSES PEMBELAJARAN BERTERUSAN DALAM PEN (Halaman 103-107)