• Tidak ada hasil yang ditemukan

Sokongan Organisasi dan Perubahan

Dalam dokumen PROSES PEMBELAJARAN BERTERUSAN DALAM PEN (Halaman 112-116)

Jadual 2.2: Teori Herzberg dua faktor dalam motivasi kerja

2.5 Sokongan Organisasi dan Perubahan

Perubahan pesat dalam sistem pendidikan memerlukan pendidik yang proaktif, progresif, kreatif dan inovatif agar dapat membangunkan modal insan yang bakal menerajui negara pada masa hadapan. Oleh itu, sebagai seorang pentadbir, pengurus dan pemimpin, pengetua perlu menyusun pelbagai strategi bagi menggalakkan semua warga sekolah termasuk guru untuk belajar dan terus belajar kerana pendidikan adalah dinamik. Menurut Ibrahim Mamat (1998), guru merupakan profesion yang sering mengalami reformasi maka tanggungjawab guru menjadi lebih mencabar. Sehubungan itu, guru sebagai pendidik perlu menambah ilmu, sedia mengakses maklumat semasa dan mempelbagaikan kemahiran agar dapat membentuk generasi yang bakal mengambil alih kepimpinan negara pada masa hadapan melalui proses pembelajaran berterusan.

Kecemerlangan sekolah memerlukan reformasi terutama faktor dalaman sekolah yang merangkumi budaya sekolah, amalan dan sikap individu termasuk pemimpin serta sokongan pemimpin kearah pencapaian organisasi. Sekiranya organisasi tidak bersedia untuk menghadapi perubahan, bertindak dengan pantas dan berkesan maka ia akan terjejas dan ketinggalan (Kamarul Azmi, Ab. Halim, & Mohd Izham, 2010). Guru berteraskan pengetahuan serta kemahiran mampu bersaing dan sedia menerima perubahan (Gates, 2000). Oleh yang demikian, kakitangan Institusi Latihan Perguruan digalakkan untuk melaksanakan program latihan dan latihan semula bagi melengkapkan guru bagi memenuhi keperluan kemajuan teknologi terkini serta perubahan yang dinamik di samping membantu pembangunan kerjaya individu guru. Selain itu, pembelajaran di tempat kerja meningkatkan pengetahuan

dan kemahiran guru dalam melaksanakan tugas (Mitchell, 1999; Mumtaz Begam, 2009).

2.5.1 Organisasi Pembelajaran

Percaturan menjadikan sebuah organisasi sebagai organisasi pembelajaran adalah relevan dengan perubahan dinamik abad ke 21 terutama institusi pendidikan sebagai perantara yang bertanggungjawab melahirkan generasi masa hadapan yang berilmu. Ciri organisasi pembelajaran yang menyediakan ruang dan peluang pembelajaran berterusan mampu meningkatkan kualiti, daya saing, keberkesanan dan kecemerlangan organisasi menempati dunia global tanpa sempadan. Pendekatan pengurusan organisasi pembelajaran mampu menjadikan organisasi bersaing dan mengadaptasi perubahan (Gossage, Silverstone, & Leach, 2010).

Organisasi pembelajaran memberi manfaat kepada individu dan organisasi apabila ahli ahlinya menggunakan dan mengaplikasikan ilmu pengetahuan dalam membuat perubahan dari masa ke semasa (Selen, 2000; Senge, 2006). Oleh yang demikian, penerapan sekolah sebagai organisasi pembelajaran dapat melengkapkan warganya dengan pelbagai ilmu, maklumat terkini dan kemahiran untuk individu dan organisasi bertindak dengan cekap, tepat dan pantas seiring dengan perubahan pendidikan yang dinamik. Pemimpin yang mengutamakan pembelajaran sebagai nadi organisasi mampu merealisasikan organisasi pembelajaran.

Beberapa ciri-ciri organisasi pembelajaran menurut Senge (2006) seperti berikut:

(i) Meningkatkan Kompetensi Individu; individu perlu mempunyai disiplin diri yang tinggi dan sentiasa belajar untuk mempertingkatkan pengetahuan melalui pelbagai kaedah. Organisasi perlu menyediakan peluang dan ruang bagi proses pembelajaran individu serta membolehkan mereka mengaplikasikan pengetahuan dan kepakaran mereka.

(ii) Mengemaskini Model Mental; individu dalam organisasi membentuk konsep dan kefahaman melalui pembacaan dan pengalaman masing- masing berkaitan dengan tugas dan dalam masa yang sama menghargai konsep dan kefahaman individu lain dalam pasukan. Berfikir secara terbuka serta mengemaskini model mental membolehkan individu

unlearn” dan “relearn”.

(iii) Pembelajaran Berpasukan; belajar secara kolaboratif untuk menjana idea baru dan penambahbaikan. Organisasi pembelajaran berusaha mendokumentasikan ilmu tacit iaitu kepakaran individu untuk di kongsi bersama.

(iv) Visi Bersama; Visi ini boleh dibina bersama ahli dalam organisasi ataupun dari cadangan pihak atasan. Organisasi pembelajaran membina dan mempunyai hala tuju yang sama dalam kalangan ahli-ahlinya. (v) Keterbukaan dalam Sistem Berfikir; Individu dalam organisasi terutama

pemimpin atasan dan pertengahan perlu melihat suatu perkara secara menyeluruh dan bukan mengikut segmen.

Untuk menjadikan sekolah sebagai tempat pembelajaran yang berterusan, maka sekolah harus diwujudkan sebagai organisasi pembelajaran (Senge, 2006; Marquardt, 1996; Ayob Jantan, 2005; Komariah & Triatna, 2008). Sekolah sebagai organisasi pembelajaran merupakan satu konsep meningkatkan potensi bagi membawa perubahan dalam pengurusan menuju era pasca moden kerana keberkesanan sekolah bergantung kepada kemahiran guru-guru dan staf sekolah. Menurut Amin Senin (2008), warga sekolah yang komited, kolektif ke arah satu matlamat, menilai faedah matlamat dan membuat pengubahsuaian berterusan merupakan organisasi pembelajaran. Pemimpin organisasi pembelajaran bukan berdasarkan posisi tetapi fungsi, maka peranan pemimpin organisasi pembelajaran semestinya (1) membimbing individu dan membantu semua ahlinya belajar untuk mencapai kompetensi, (2) mencari kaedah meningkatkan organisasi dan membuat perubahan, (3) menggalakkan ahlinya untuk mencuba, mencabar pasukan untuk mengambil risiko yang munasabah, menerima kesilapan dan belajar daripada kejayaan lepas, (4) menggalakkan perbincangan terbuka, sumbangan idea dan kemungkinan yang ada, (5) menghargai komitmendan inisiatif untuk membuat

penambahbaikan serta perubahan yang dilaksanakan, dan (6) belajar dan tukar gaya kepimpinan tradisi iaitu arahan dari atas (Senge, 2006).

2.5.2 Peranan Kepimpinan Dalam Pengurusan Sumber Manusia Guru

Pengurusan sumber manusia merujuk penggunaan aset-aset manusia untuk mencapai objektif organisasi. Oleh kerana sumber manusia memainkan peranan yang begitu penting untuk kejayaan sesebuah organisasi, maka pihak pengurusan perlu memberi fokus kepada pengurusan sumber agar dapat menyokong matlamat misi dan visi organisasi (Kandt, 2002; ESI International, 2006). Amalan pengurusan sumber manusia turut menuntut dimensi baru dalam memimpin guru-guru dan staf dalam menghayati serta menjayakan visi dan misi sekolah. Sumber manusia adalah sokongan yang dapat membantu pengurus sekolah mencapai matlamatnya. Pengurusan sumber manusia adalah sama penting seperti pengurusan kurikulum sekolah dan tidak ada sekolah dapat mengelak daripada mengurus sumber manusianya dengan berkesan yang menjadi tanggungjawab pemimpin sekolah (Blandford, 2004). Menurut Baron (1983) pula, keberkesanan organisasi bergantung kepada pekerja yang mahir dan terlatih, motivasi pekerja serta prestasi dan kualiti pekerjanya secara terancang. Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab pengetua sebagai pemimpin sekolah dalam membangunkan kemahiran guru dan staf sekolah. Di mana dalam pendidikan peranan guru diibaratkan sebagai jantung kepada proses pengajaran dan pembelajaran dan mempunyai kesan signifikan kepada peningkatan kualiti pembelajaran di sekolah (Bush & Middlewood, 2005).

Seyfarth (2008) pula menyatakan pemimpin sumber manusia akan membuat pelbagai keputusan berhubungan dengan manusia. Oleh itu, pengetua atau guru besar terlibat dalam membuat pemantauan dan penilaian prestasi serta pembangunan guru guru di sekolah dan setiap keputusan yang dibuat secara langsung atau tidak langsung menyumbang kepada pembelajaran pelajar. Justeru itu, kunci kepada kejayaan pelajar banyak bergantung kepada kepimpinan pengetua atau guru besar yang berkualiti dalam pengurusan sumber sekolah. Kajian telah membuktikan bahawa guru mempunyai hubungan dalam meningkatkan pembelajaran di dalam

bilik darjah. Oleh itu, adalah penting bagi pihak sekolah mempunyai matlamat yang jelas untuk membina dan melahirkan guru yang berkesan dan berkualiti. Seyfarth seterusnya mengambarkan peranan pemimpin sekolah dalam membangunkan manusia dan hubungan dengan pencapaian pelajar dan sekolah digambarkan dalam Rajah 2.1 Model Pembelajaran.

Dalam dokumen PROSES PEMBELAJARAN BERTERUSAN DALAM PEN (Halaman 112-116)