• Tidak ada hasil yang ditemukan

Takrif Pembelajaran

Dalam dokumen PROSES PEMBELAJARAN BERTERUSAN DALAM PEN (Halaman 67-71)

TINJAUAN LITERATUR

2.2.1 Takrif Pembelajaran

Pembelajaran dianggap sebagai perolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat, serta pembentukan sikap dan kepercayaan. Proses pembelajaran berlaku sepanjang hayat bermula sebaik sahaja dilahirkan. Pembelajaran bukan setakat merangkumi penguasaan pengetahuan kemahiran semata-mata, tetapi perkembangan emosi, sikap, nilai estetika dan kesenian serta ciri dalaman juga dipengaruhi oleh pembelajaran. Selain itu, pembelajaran membawa perubahan pada diri seseorang, sama ada perubahan ke arah kebaikan ataupun keburukan.

Terdapat perbezaan pendapat mengenai pengertian pembelajaran di antara ahli-ahli psikologi pendidikan mengikut mazhab atau fahaman psikologi masing- masing. Berikut adalah definisi definisi pembelajaran mengikut beberapa orang ahli psikologi pendidikan seperti Gagne (1970) dalam bukunya yang bertajuk The

Conditions of Learning mendefinisikan pembelajaran sebagai perubahan atau

kemampuan seseorang yang dapat dikekalkan tetapi tidak disebabkan oleh pertumbuhan. Perubahan yang dipanggil pembelajaran diperlihatkan melalui perubahan tingkah laku, dengan membandingkan tingkah laku seseorang individu sebelum didedahkan kepada situasi pembelajaran dengan tingkah lakunya selepas didedahkan dengan situasi pembelajaran.

Morgan dan King (1975) di dalam buku yang bertajuk Introduction to

Psychology mentakrifkan pembelajaran sebagai sebarang perubahan tingkah laku

yang agak kekal akibat pengalaman yang diperolehi oleh seseorang atau akibat latihan yang dijalaninya. Sementara itu, Hilgard, Atkinson, dan Atkinson (1979)

dalam Introduction to Psychology menyatakan bahawa pembelajaran adalah perubahan tingkah laku yang kekal hasil dari pengalaman. Perubahan ini mungkin tidak jelas sehingga timbul suatu situasi yang menonjolkan tingkah laku baru ini. Pembelajaran biasanya tidak diperlihatkan dengan serta-merta melalui pencapaian.

Lindgren dan Byrne(1976) dalam buku bertajuk Psychology: An Introduction

to a Behavioral Science menyatakan bahawa perkataan “pembelajaran”

melambangkan konsep atau idea bagi menerangkan perubahan tingkah laku yang diperlihatkan oleh seseorang. Seterusnya, Bigge (1982) dalam buku Learning

Theories for Teachers menyatakan bahawa pembelajaran merujuk kepada beberapa

perubahan sistematik dalam tingkah laku atau penyusunan tingkah laku yang berlaku hasil dari pengalaman dalam situasi yang tertentu. Seifert dan Sutton (2009) dalam buku Educational Psychology menyatakan bahawa pembelajaran merangkumi perubahan tingkah laku yang agak kekal disebabkan oleh pengalaman tertentu atau ulangan pengalaman.Woolfolk (1995) dalam buku bertajuk Educational Psychology menjelaskan bahawa pembelajaran adalah proses di mana pengalaman menyebabkan perubahan dalam pengetahuan dan tingkah laku yang kekal.

Daripada huraian yang diberikan oleh ahli-ahli psikologi pendidikan tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa walaupun pengertian pembelajaran yang diberikan berbeza antara satu sama lain, terdapat juga persamaan di antara huraian ini. Kesemua definisi ini memberi penekanan kepada perubahan tingkah laku seseorang sebagai ukuran berlakunya pembelajaran. Mengenai aspek perubahan tingkah laku tersebut, pada asasnya terdapat dua mazhab pemikiran yang menyarankan tentang aspek perubahan yang berlaku dalam seseorang akibat dari pembelajaran.

2.2.2 Keperluan Profesional Guru

Standard profesional perguruan boleh digunakan sebagai satu set kriteria dari kompetensi minimum yang ditunjukkan dalam perlaksanaan kerja guru. Keperluan profesional guru termasuklah perkara yang berkaitan personal, profesional dan sosial seperti pengajaran, kepakaran dalam subjek, kepakaran dalam teori yang berkaitan

dengan pengajaran dan pembelajaran, menguruskan proses pembelajaran, adaptasi dalam komuniti dan personaliti.

Menurut Shulman (1987) aspek-aspek yang perlu diketahui oleh guru profesional ialah:

(i) Pengetahuan tentang isi kandungan sesuatu mata pelajaran, pengetahuan tentang pedagogi asas iaitu prinsip dan strategi tentang pengurusan bilik darjah merentasi semua mata pelajaran. Ia merupakan aspek yang penting.

(ii) Pengetahuan tentang kurikulum iaitu sukatan pelajaran, buku teks, bahan bantu mengajar.

(iii) Gabungan pengetahuan tentang isi kandungan sesuatu subjek dengan pedagogi asas merupakan satu kefahaman yang profesional.

(iv) Pengetahuan tentang konteks pendidikan seperti bekerja dalam kumpulan, hal-hal pentadbiran sekolah serta juga pengetahuan tentang budaya sekolah.

(v) Pengetahuan tentang tujuan, nilai, falsafah dan sejarah pendidikan.

Semua pengetahuan ini adalah perlu kepada guru dalam usaha mereka untuk meningkatkan lagi kemahiran dan profesionalisme mereka. Walau bagaimanapun pengetahuan ini meliputi satu bidang yang luas, dan oleh itu guru-guru perlu mengenal pasti apakah keperluan mereka yang sebenar. Menurut Marimutu (1990), program dan latihan perkembangan profesionalisme mesti mengambil perhatian keperluan dan proriti guru-guru.

Beare (2001) mempunyai pandangan yang selari dengan Shulman (1987). Beare (2001) mengenal pasti kompetensi minimum bagi guru terhadap lima komponen yang sepatutnya kompeten. Lima komponen itu ialah kurikulum, pedagogi, penilaian, sumbangan kepada sekolah dan sumbangan kepada profesion.

(i) Kurikulum. Guru sepatutnya mempunyai pengetahuan tentang isi kandungan kursus yang diajar (kepakaran subjek) dan ianya dikemas kini.

(ii) Pedagogi. Guru mestilah tahu mengajar, menguruskan bilik darjah, menggunakan mod pembelajaran dan kaedah pengajaran yang sesuai dan teknologi pengajaran yang sesuai.

(iii) Penilaian. Guru seharusnya tahu untuk menilai hasil kerja pelajar, bagaimana menilai kemajuan pelajar, bagaimana melaporkan kemajuan kepada pelajar dan ibu bapa, bagaimana menyimpan rekod kemajuan pembelajaran dan bagaimana menetapkan tahap kemajuan.

(iv) Sumbangan kepada sekolah. Sebagai kakitangan institusi pelajaran, setiap guru seharusnya memberi sumbangan yang konstruktif kepada sekolah secara meluas, menerima tanggungjawab fungsi yang luas kepada sekolah secara formal, secara tidak formal mengambil berat terhadap tugas dan budaya, mempunyai pelajar yang baik, reputasi dan pendirian komuniti serta hubungan ibu bapa dan seluruh komuniti. (v) Sumbangan profesional. Setiap guru diharapkan dapat mengamalkan

profesion pergurun dengan menyertai perkembangan profesional, aktif dalam aktiviti profesional, menyumbangkan pembangunan dalam profesion perguruan dan asas kemahiran dan bersedia untuk membantu rakan secara profesional. Guru sepatutnya berfikir dan berkelakuan sebagai profesional.

Perkara asas bagi menggariskan standard guru profesional ialah apa yang perlu diketahui dan boleh dilakukan. Formula asas kebolehan guru perlu ditunjukkan dalam bidang berikut: penilaian, komunikasi, pembaikan berterusan, pemikiran kritikal, kepelbagaian, etika, perkembangan insan dan pembelajaran, pengetahuan mengenai subjek, suasana pembelajaran, perancangan dan peranan guru dan teknologi.

Caldwell dan Spinks (1992) dan Davies dan Ellison (1997) merujuk kepada trend mega "perubahan besar masyarakat yang berterusan” mencadangkan bahawa trend itu termasuk:

(i) Peningkatan kawalan berpusat bagi kurikulum dan akauntabiliti disertai dengan autonomi yang lebih besar dalam mengurus sekolah

(ii) Satu kebimbangan yang sukar ditandingi bagi menyediakan pendidikan berkualiti untuk individu dalam satu sistem yang responsif kepada keperluan negara dalam dunia ekonomi

(iii) Satu penyebaran fungsi edukatif dengan pembangunan yang pesat teknologi maklumat

(iv) Penekanan terhadap asas-asas baru penyelesaian masalah, kreativiti dan keupayaan untuk pembelajaran sepanjang hayat

(v) Tahap tinggi keterkaitan dalam kurikulum Ibu bapa dan komuniti peranan dalam pendidikan akan dituntut semula

Justeru itu, berdasarkan pelbagai pandangan di atas sehingga dalam kajian ini aspek keperluan profesional guru fizik merangkumi pedagogi, kandungan, teknologi, penilaian dan kurikulum.

Dalam dokumen PROSES PEMBELAJARAN BERTERUSAN DALAM PEN (Halaman 67-71)