• Tidak ada hasil yang ditemukan

KREATIVITI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Dalam dokumen msia2.pdf (Halaman 67-70)

Kreativiti pengajaran guru dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan dapat membantu untuk melahirkan pelajar yang kompeten, inovatif, kreatif dan berkebolehan di mana kaedah pengajaran yang tidak dibelenggu oleh buku teks yang berpusat kepada guru semata-mata. Sebaliknya pengajaran yang berpusat kepada pelajar melalui pelbagai aktiviti pembelajaran. Guru yang mengamalkan prinsip kepelbagaian dalam pengajaran sebagai kaedah penyampaian isi pembelajaran akan dapat mewujudkan keseronokan dalam pembelajaran dan seterusnya keberkesanan pembelajaran kepada pelajar itu sendiri.

62 Terdapat banyak kajian dan penulisan berkaitan pengajaran kreatif dan kebanyakan penulis memberikan tafsiran yang tersendiri berkaitan pengajaran kreatif selain mencadangkan ciri-ciri guru yang kreatif dalam menghasilkan pengajaran kreatif. Menurut Lou & Chen (2012), pengajaran kreatif ialah pendekatan yang terbuka dan memberikan inspirasi dalam menggalakkan pelajar meneroka dan berinovasi bertujuan untuk membangunkan kebolehan berfikir dan mencipta. Pengajaran kreatif mengaplikasikan teknik yang sesuai dan fleksibel bagi menjadikan kelas menarik dan menyeronokkan. Tujuan utama adalah untuk menggalakkan kemahiran kreatif pelajar. Guru merupakan pencetus inspirasi, pemandu arah dan sedia berkongsi pengetahuan.

Pengajaran boleh dianggap kreatif apabila seorang guru menggabungkan pengetahuan sedia ada dalam beberapa cara baru atau unik atau memperkenalkan proses baru dalam memupuk pemikiran (kognisi) untuk mendapatkan keputusan yang berguna (Reilly et al. 2011; Sale, 2005). Secara umumnya, ciri-ciri personaliti, nilai-nilai dan kedudukan pengajaran disintesiskan ke dalam pengajaran kreatif yang merangkumi penyediaan kurikulum, kaedah pengajaran, hubungan dengan pelajar, hubungan dengan alam sekitar, dan refleksi ke atas amalan (Reilly et. al, 2011). Sawyer (2004), pula berpandangan pengajaran kreatif ialah penambahbaikan pengajaran. Guru berperanan sebagai pelaksana, pembuat keputusan dan fasilitator. Pengajaran kreatif bukan sahaja memerlukan guru mempunyai pengetahuan pedagogi kandungan malah memerlukan kemahiran dalam melaksanakan pengajaran.

Rinkevich (2011) pula mentakrifkan pengajaran kreatif sebagai sesuatu yang unik, khusus dan pemindahan pengetahuan yang bermakna dalam kalangan individu dalam konteks pembelajaran. Guru yang kreatif boleh memulakan pengajaran dengan cara tersendiri, mencipta persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan dan menggalakkan motivasi dan perasaan ingin tahu pelajar dalam pembelajaran (Amabile, 1989). Guru sebagai fasilitator kepada kreativiti pelajar (Cropley, 1994) mengemukakan tiga aspek perlakuan kreativiti pengajaran guru yang boleh mempengaruhi pemikiran kreatif pelajar dalam bilik darjah. Aspek yang pertama, guru sebagai ‘role model’. Perlakuan yang guru pamerkan membentuk perlakuan pelajar. Aspek kedua, ialah suasana bilik darjah yang dibina oleh guru. Kreativiti subur dalam suasana responsif kepada idea luar biasa. Aspek yang ketiga ialah usaha guru yang memanfaat dan menggalakkan kreativiti pelajar melalui aktiviti-aktiviti pengajaran. Ketiga-tiga aspek itu merujuk pada personaliti, intelek dan pengetahuan asas yang diperlukan oleh guru untuk mengajar pelajar kreatif.

Oral (2006), mengatakan guru kreatif boleh menjadi model yang baik kepada pelajar melalui kreativiti pengajaran dan mereka boleh mengajar cara khusus untuk berfikir secara kreatif dengan memberi banyak rangsangan dalam pembelajaran. Torrance dan Myers (1970) pula menambah untuk mewujudkan kreativiti pengajaran, guru mestilah peka dan sensitif terhadap tiga perkara yang berlaku dalam situasi bilik darjah. Pertama, guru bukan sahaja perlu peka terhadap keperluan pembelajaran pelajar tetpi juga keperluan emosi, sosial dan fizikal mereka. Kedua, guru mesti sensitif terhadap kebolehan akademik pelajar dan juga teknik yang boleh memotivasikan mereka untuk pencapaian yang maksima. Ketiga, guru perlu dapat bertindak secara spontan, pantas dan berkeyakinan dalam situasi tertentu dan mengetahui bahawa keputusan yang diambil oleh mereka merupakan keputusan yang terbaik untuk masa itu.

Guru adalah sumber penyampai ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada para pelajar. Selain itu, guru juga berperanan sebagai tempat untuk memperkembangkan bakat, minat dan kebolehan pelajar serta sebagai wadah untuk membina daya pemikiran yang kritis dan kreatif pelajar sehingga mereka nanti dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku di sekeliling mereka.

63 METOD DAN PERSAMPELAN

Dalam kajian ini, penyelidik akan menggunakan kaedah kualitatif kajian kes. Kajian kes ini menggunakan pengumpulan data seperti pemerhatian, temu bual dan analisis dokumen bagi membolehkan proses triangulasi dilakukan. Melalui proses triangulasi, pemerolehan daripada pelbagai sumber dapat disemak keesahannya dari dapatan kajian menjadi lebih tepat dan meyakinkan (Yin, 1994). Pendekatan ini amat sesuai kerana penyelidik dapat mempamerkan situasi yang sebenar. Penyelidik mesti berjumpa secara terus dengan orang yang terlibat dalam sesebuah keadaan untuk memerhatikan sendiri kelakuan dalam keadaan sebenar.

Kaedah kajian kes adalah kaedah yang sesuai digunakan untuk kajian ini. Seperti mana saranan Merriam (1998) yang mengatakan bahawa kajian kes adalah untuk memahami secara mendalam sesuatu situasi dan memberi makna kepada mereka yang terlibat. Pendekatan kualitatif kajian kes ini dipilih bagi melihat dan memahami bagaimana amalan kreativiti guru dalam pengajaran PSV dilaksanakan dalam bilik darjah serta keadaan dan suasana yang dihasilkan. Pendekatan ini juga dipilih kerana penggunaan pendekatan ini membolehkan pengkaji mengumpul bermacam-macam maklumat dengan menggunakan berbagai kaedah. Oleh itu, kajian ini lebih menyeluruh dan mendalam. Kajian ini dapat memenuhi hasrat pengkaji untuk melihat secara ‘natural’ amalan kreativiti guru dalam pengajaran PSV di bilik darjah.

Oleh itu dalam penyelidikan ini penyelidik tidak akan membuat sebarang generalisasi, kerana kajian ini hanya tertumpu kepada sekumpulan guru PSV yang mengajar di daerah Kudat. Walaupun tidak boleh digeneralisasikn, namun dapatan daripada kajian ini boleh menjadi maklumat berguna kepada pihak pengurusan kurikulum, guru-guru, dan pihak-pihak yang berminat untuk menjalankan kajian berkenaan tajuk yang sama kelak.

Bagi mendapatkan peserta kajian dari kalangan guru yang sesuai, penyelidik telah menggunakan kaedah persampelan bertujuan “Purposive Sampling” (Miles & Huberman, 1994). Penyelidik tidak mengalami masalah dalam mengenal pasti peserta guru Pendidikan Seni Visual yang memenuhi kehendak kriteria kajian. Selepas berbincang dengan pensyarah penyelia dan beberapa rakan guru, beberapa kriteria peserta telah ditetapkan seperti berikut: peserta guru hendaklah (a) mempunyai pengalaman mengajar Pendidikan Seni Visual melebihi lima tahun di sekolah kerajaan; (b) opsyen Pendidikan Seni Visual dengan mendapat latihan perguruan dalam bidang seni visual; (c) mendapat pendedahan dan latihan berkaitan dengan kemahiran kreativiti semasa mengikuti latihan perguruan.

Melalui kaedah persampelan bertujuan, penyelidik telah mengenal pasti guru-guru yang boleh dijadikan peserta dalam kajian ini. Guru-guru ini bukan sahaja mengajar kelas Pendidikan Seni Visual di tingkatan empat sahaja malah juga kelas Pendidikan Seni Visual di tingkatan lima dan enam. Walau bagaimanapun, kajian ini hanya menumpukan kepada guru dan pelajar Pendidikan Seni Visual di tingkatan empat sahaja.

64

Rajah 3.6: Carta Alir Prosedur Pengumpulan dan Memproses Data

Proses analisis data dilakukan serentak dengan pengutipan dan pengumpulan data pertama. Sebaik saja temu bual disempurnakan, bermulalah proses untuk menganalisis menerusi penetapan indeks, mentranskrip (pengurusan data) seterusnya melakukan pembacaan secara teliti (memahami data) bagi menentukan konsep, sub-kategori dan kategori (menentukan kategori dan teori). Setelah analisis data dijalankan, penyelidik akan membuat keputusan. Sekiranya masih terdapat maklumat yang masih diperlukan, proses pengutipan data akan diulang sekali lagi.

Proses ini berterusan sehingga sampai ke peringkat tepu iaitu apabila penyelidik merasakan maklumat yang dikehendaki telah diperolehi sepenuhnya. Keadaan ini antara lain dapat dikenal pasti apabila tiada maklumat baru yang diberikan atau respoden hanya mengulang maklumat yang telah diberikannya. Apabila maklumat telah tepu, penyelidik selanjutnya merancang untuk menyampaikan segala dapatan kepada pihak berkenaan. Rajah 3.6 menggambarkan proses-proses pengumpulan dan analisis tersebut.

Dalam dokumen msia2.pdf (Halaman 67-70)